Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 17 – “Dan (Ingatlah) Sesiapa Yang Dihinakan Oleh Allah, Maka Tidak Akan Sesiapapun Yang Dapat Memuliakannya” (Surah Al-Hajj, Ayat 18)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 7m 44s] – MUTIARA AL-QURAN – Sesiapa Dihinakan Allah, Maka Tidak Akan Sesiapapun Yang Dapat Memuliakannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  – https://youtu.be/tfQZV9MuTkk ]

DAN (INGATLAH) SESIAPA YANG DIHINAKAN OLEH ALLAH, MAKA TIDAK AKAN SESIAPAPUN YANG DAPAT MEMULIAKANNYA” (SURAH AL-HAJJ, AYAT 18)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Orang yang Allah taala hendak menghinanya, tidak ada sesiapa yang dapat memuliakannya. Contohnya, Abu Jahal, akan tetap dipandang hina, walaupun jika Nabi sendiripun ingin membantunya di akhirat nanti.
  2. Ini menggambarkan betapa berkuasanya Allah taala.
  3. Kita tidak tahu apa rahsianya, tetapi perlu terima hakikatnya dan bersangka baik terhadap Allah.
  4. Umpama buah kelapa, apa yang kita makan ialah isinya sahaja. Sabut dan tempurungnya kita buang kerana tdak sesuai untuk dimakan. Begitulah juga dengan manusia, ada yang tidak layak untuk masuk syurga, yang hanya Allah taala sahaja yang tahu sebabnya.
  5. Tidak ada siapa yang boleh mengubah jika Allah ingin bakar dan seksa Abu Jahal. Tetapi ada sebabnya mengapa seseorang itu dihina. Al-Quran menyatakan bahawa orang yang berkelakuan seperti ahli syurga maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga dan begitulah sebaliknya.
  6. Allah tidak menzalimi sesiapa pun. Tetapi oleh kerana kita tidak mempunyai ilmu yang meliputi, kita tidak tahu hakikat sebenarnya. Mungkin seseorang yang dikatakan hina oleh semua manusia sebenarnya dia seorang yang mulia di sisi Allah.
  7. Allah akan balas di akhirat nanti sesuai dengan hakikat sebenar seseorang itu.
  8. Pernah terjadi di negara kita suatu ketika dahulu perebutan mayat seorang yang dikatakan baru memeluk Islam. Tidak kira sama ada dia dikebumikan di perkuburan Islam atau tidak, Allah akan balas sesuai dengan hakikat sebenarnya, sama ada dia Islam atau tidak.
  9. Sesetengah perkara adalah nyata dan jelas hakikatnya (sama ada mulia atau hina) tetapi ada juga yang kabur. Yang sahih ialah apa yang di sisi Allah. Apa yang manusia anggap tidak mempunyai kesan apa-apa. Tiada siapa yang boleh menghinanya sekiranya Allah memuliakannya dan begitulah sebaliknya.
  10. Apa yang kita ingini ialah Allah tidak menghina kita. Dengan itu kita berusaha dan memilih jalan yang baik, jalan Islam dengan harapan Allah tidak menghina kita di dunia dan di akhirat.
  11. Hina di dunia dan hina di mata manusia tidak bermakna hina di sisi Allah walaupun seseorang itu dituduh melakukan kejahatan dan dihukum penjara di dunia ini.
  12. Mereka yang teraniaya seharusnya tidak terkesan dengan pandangan manusia dan hendaklah yakin bahawa Allah tahu segala-galanya. Tidak perlu berdukacita di atas segala yang berlaku kerana apa yang di sisi Allah adalah mengatasi yang lain. Biasanya tidak semua orang akan sependapat dalam menganggap seseorang atau sesuatu perkara itu hina atau mulia. Kalaupun mereka sependapat ianya tidak memberi kesan apa-apa di sisi Allah.
  13. Berusahalah untuk menjadi mulia dan jauhilah sebab-sebab yang menjadikan kita hina. Sebaik-baiknya, kita mulia di sisi Allah dan mulia juga di sisi manusia. Tetapi manusia terbatas ilmunya, jadi sekiranya kita berada di jalan yang benar, maka hiburkanlah hati kita dan jangan terpengaruh dengan pandangan manusia.

Yang paling penting ialah kita berusaha untuk menjadi mulia di sisi Allah. Kemuliaan di sisi Allah adalah kemuliaan hakiki yang tidak dapat diganggu-gugat oleh sesiapa.

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Leave a comment