[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO – [Durasi – 7m 42s] – MUTIARA AL-QURAN – Sesiapa Membersihkan Dirinya Adalah Untuk Kebaikan Dirinya
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/htfABABzCxQ ]
“DAN SESIAPA YANG MEMBERSIHKAN DIRINYA (DARI SEGALA YANG DILARANG), MAKA SESUNGGUHNYA DIA MELAKUKAN PEMBERSIHAN ITU UNTUK KEBAIKAN DIRINYA SENDIRI” (SURAH FAATHIR, AYAT 18)
EKSTRAKS DARI VIDEO
- Sesiapa yang membersihkan dirinya dari segala yang dilarang, maka sesungguhnya dia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri.
- Sememangnya membersihkan diri disuruh oleh Allah tetapi adakah manfaatnya adalah untuk Allah? Allah tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada perbuatan baik makhluk-Nya. Hakikatnya, Allah taala Maha Kaya, tidak perlu kepada yang lain sedangkan semua yang lain perlu kepada Allah.
- Allah suruh kita sembahyang adalah untuk membersihkan diri kita dan menyuruh kita berpuasa adalah untuk menyucikan jiwa kita. Semua manfaat sama ada di dunia atau di akhirat adalah untuk kita. Contohnya, sembuhnya penyakit kerana kita berpuasa.
- “Dia sendiri yang mendapat untungnya”, bukan orang lain yang mendapat untung. Allah tidak terkesan sama sekali dengan amalan baik atau buruk kita.
- Semua perintah dan ibadat yang ditentukan Allah adalah untuk manfaat kepada kita, untuk membersihkan (tazkiyah) diri kita.
- Salah satu peranan Nabi s.a.w ialah membersihkan jiwa pengikut-pengikutnya.
- Sifat dan amalan yang baik adalah untuk diri kita sendiri. Dengan ini kita akan lebih bersemangat untuk beribadat dan taat kepada Allah. Semuanya adalah untuk membersihkan jiwa kita. Contohnya, zakat membersihkan dan menyucikan jiwa seseorang dengannya.
- Walaupun ianya menyucikan diri kita, kita tidak boleh menganggap bahawa kita adalah suci dan lebih baik dari orang lain. “Jangan kamu membersihkan diri kamu (menganggap diri bersih dan suci)”
- Kita hendaklah menganggap diri kita serba kurang dan tidak bersih. Jangan anggap kita adalah orang suci dan terpilih di sisi Allah, sehinggakan Allah terima semua amalan dan doa kita kerana kesucian kita. Dengan menganggap bahawa diri kita serba kurang, kita akan sentiasa bersemangat untuk menyucikan diri.
- Sebaliknya, mereka yang menganggap diri mereka suci membuka pintu-pintu kesesatan seperti suka diagung-agungkan.
- Kita sepatutnya sentiasa menyucikan diri kita. Hendahklah sentiasa ingat, kita bukan Nabi, tidak maksum dan sentiasa melakukan dosa.
- Beruntunglah kita jika dapat menyucikan diri dari dosa besar dan dosa kecil. Kerana syurga itu hanya untuk orang yang suci, tidak sesuai untuk orang yang kotor kerana ianya tempat yang bersih.
- Faedah terbesar dari amalan-amalan baik ini adalah kita layak untuk masuk syurga.
- Perumpamaan ringkas dalam kehidupan seharian ialah dengan perbuatan mandi, kita sendiri yang bersih, tidak orang lain.
Kita sendiri sebenarnya memperolehi manfaat dari segala perbuatan baik kita. Begitu juga kita sendiri yang akan menanggung akibat dari perbuatan buruk kita, di dunia dan di akhirat.
Muat Turun Atau Baca Online
