Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 33 – “Dan Carilah Pada Apa Yang Telah Dianugerahkan Allah Kepadamu (Kebahagiaan) Negeri Akhirat, Dan Janganlah Kamu Melupakan Bahagianmu Dari (Kenikmatan) Dunia” (Surah al-Qashash, Ayat 77)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 7m 17s] – MUTIARA AL-QURAN – Carilah Akhirat Tetapi Jangan Lupakan Bahagianmu Di Dunia

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  – https://youtu.be/t2rvozEbss4 ]

“DAN CARILAH PADA APA YANG TELAH DIANUGERAHKAN ALLAH KEPADAMU (KEBAHAGIAAN) NEGERI AKHIRAT, DAN JANGANLAH KAMU MELUPAKAN BAHAGIANMU DARI (KENIKMATAN) DUNIA” (SURAH AL-QASHASH, AYAT 77)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Dan carilah pada apa yang dianugerahkan Allah kepadamu kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah kamu lupa bahagianmu dari kenikmatan dunia.
  2. Apa yang Allah beri kepada kita di dunia ini adalah untuk memberi peluang kepada kita untuk mendapat kebaikan di akhirat.
  3. Jika Allah beri kepada kita harta, ini bermakna Allah ingin beri peluang kepada kita untuk mendapat kebahagiaan di akhirat melalui harta tersebut.
  4. Begitu juga, ilmu yang diberi adalah jalan kepada kita untuk mendapat kebahagiaan di akhirat.
  5. Apa saja yang dikurniakan Allah kepada kita di di dunia ini, gunakanlahnya untuk mendapat kebahagiaan di akhirat.
  6. Ingatlah bahawa dunia ini ada penghujungnya, tetapi akhirat tiada akhirnya.
  7. Orang yang bijak (ulul albab) ialah mereka menggunakan yang “tidak kekal (dunia)” untuk mendapatkan yang “kekal (akhirat)”.
  8. Apa saja pemberian atau kelebihan yang Allah beri, contohnya dijadikan kita sebagai pemerintah atau dikurniakan anak, kita gunakanlah untuk mendapat kebahagiaan di akhirat.
  9. Gunakan dan kaitkan pemberian yang kecil atau besar di dunia ini untuk mendapat ganjaran di akhirat.
  10. Jika dikurniakan anak, usahakan supaya anak menjadi sebab untuk kita dapat masuk syurga seperti mengajarkan atau memberi ilmu yang bermanfaat, berdoa untuk kita dan sentiasa melakukan amalan baik.
  11. Allah ingatkan supaya kita mencari kebahagiaan di akhirat dari setiap perkara yang dianugerahkan kepada kita di dunia ini.
  12. Tetapi Allah ingatkan juga, di samping menggalakkan kita menggunakan pemberian di dunia untuk kebahagiaan akhirat, kita jangan lupa untuk mengecapi nikmat dari pemberian tersebut di dunia ini.
  13. Setiap pemberian dari Allah yang kita nikmati ini hendaklah sentiasa dikaitkan dengan akhirat. Contohnya, bila kita makan makanan yang sedap niatkan supaya dari makanan itu kita boleh melakukan kerja-kerja agama. Atau dengan harta dan kesenangan yang kita dapat, kita berazam supaya dapat mengelakkan diri dari terpedaya dengan dunia yang menggoda.
  14. Kita akan dapat pahala untuk semua perkara jika kita berniat baik, insyaAllah.
  15. Nabi melarang Sahabat Baginda yang tidak mahu bernikah dan tidur malam kerana ingin beribadat semata-mata.
  16. Baginda s.a.w adalah yang paling takut kepada Allah, namun Baginda pun makan, tidur dan berkahwin.
  17. Oleh itu jangan lupa bahagian kita di dunia selagi ianya halal dan dibenarkan Allah, walaupun ianya nampak mewah dan lazat.
  18. Hidup beragama tidak bermakna hidup hanya untuk akhirat semata-mata dan kita abaikan dunia. Kita juga hendaklah merasai nikmat dunia dan inilah ajaran Islam yang sebenar.

Imbangkanlah hidup kita, kecapi lah nikmat yang Allah kurniakan di dunia ini dan gunakan pemberian-pemberian tersebut untuk mendapat kebahagiaan di akhirat.

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Leave a comment