[Muat Turun Artikel – Format PDF]
VIDEO – [Durasi – 9m 56s] – MUTIARA AL-QURAN -Bertaqwalah Kamu Kepada Allah Menurut Kesanggupanmu
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/OopvnYISYt0 ]
“MAKA BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH MENURUT KESANGGUPANMU” (SURAH AT-TAGHAABUN, AYAT 16)
EKSTRAKS DARI VIDEO
- Maka bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu.
- Allah suruh kita bertaqwa kepada-Nya setakat yang kita mampu, Allah tidak tuntut sesuatu di luar dari kemampuan kita.
- Dalam al-Quran ada menyebut, ayat yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam”.(Surah Ali Imran, ayat 102). Manakala ayat 16 surah at-Taghaabun pula menyatakan, “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu”.
- Ayat al-Quran ini adalah berkenaan “taqwa” dalam perkara furu’ iaitu dalam hal-hal berkaitan syariat. Manakala Ayat 102 Surah ali-Imraan tadi adalah berkenaan “taqwa” yang berkaitan dengan aqidah.
- Dalam hal berkaitan aqidah, tiada tolak ansur, kita hendaklah “haqqatuqaatih” (benar-benar bertaqwa)”. Contohnya, tentang sifat Allah, kita wajib terima kesemuanya, tidak boleh tolak walaupun satu sifat. Begitu juga dengan sifat Rasul tidak memadai jika kita hanya terima sifat “benar”nya sahaja tetapi menolak sifat-sifat lain. Oleh itu kita perlu tahu secara lengkap dan sempurna apa yang wajib kita tahu tentang Allah dan Rasul.
- Antara perkara aqidah ialah tentang syurga dan neraka, dosa dan pahala; wajib kita terima tentang kewujudan dan perkara-perkara asas tentangnya tetapi kita dimaafkan jika tidak mengetahuinya secara terperinci.
- Kita tidak boleh berbeza dalam “usul” (asas-asas) aqidah, tetapi dalam furu’ (cabang) aqidah, kita boleh berbeza pendapat.
- Dalam hal-hal syariat, tuntutannya adalah lebih ringan. Kita tidak diminta untuk menyeksa diri demi untuk melaksanakan syariat Allah, contohnya, dalam solat tahajjud, disebabkan terlalu mengantuk mungkin kita tersalah menyebut doa dan sebagainya. Oleh itu tidak digalakkan solat tahajjud dalam keadaan terlalu penat atau mengantuk sehingga kita tidak dapat mengawal ucapan atau doa kita. Atau, dalam puasa sunat, kita tidak boleh dalam melakukannya dalam keadaan terlalu lapar atau penat sehingga meninggalkan atau cuai dalam tugas lain yang lebih penting.
- Kita perlu bezakan tugas dan tanggungjawab yang wajib berbanding ibadat yang sunat, contohnya, tidak boleh mengantuk kerana solat tahajjud terlalu lama atau berpuasa sedangkan tugas kita memerlukan badan yang sentiasa sihat dan segar seperti memandu bas atau teksi.
- Allah tidak tuntut sesuatu yang tidak mampu kita laksanakan malah tidak berkurang pahalanya jika kita tidak melakukannya. Contohnya solat sambil duduk kerana sakit, tidak kurang pahalanya berbanding solat sambil berdiri. Lainlah kalau kita mampu berdiri tetapi kita sembahyang sambil duduk (untuk solat sunat), pahalanya memang kurang.
- Kalau kita buat sesuatu ibadat setakat kemampuan kita, Allah akan tutup apa-apa kekurangan (dan akan sempurnakan) yang kita tidak lakukan. Oleh itu janganlah kita lakukan lebih daripada kemampuan kita. Contohnya, memberi derma dan bersedekahlah setakat kemampuan, kerana yang dinilai Allah bukan di segi kuantitinya, tetapi kualitinya.
- Usahakan beramal secara maksima setakat kemampuan kita.
- Begitu juga dalam mencegah kemungkaran. Adalah wajib untuk kita mencegah kemungkaran dan kita tidak boleh redha dengan kemungkaran. Kewajipan mencegah kemungkaran adalah setakat mana kemampuan kita. Yang penting, kita tetap jalankan tugas mencegah kemungkaran ini.
- Kita perlu bijak menimbang sesuatu perkara dan keadaan dan kita berusaha semaksima mungkin dalam lingkungan kemampuan kita.
- Allah tidak menuntut lebih dari kemampuan kita. Tetapi dalam bab aqidah (usul aqidah), tidak boleh kurang walaupun sedikit. Kerana kekurangan satu aspek dalam aqidah akan merosakkan keseluruhan aqidah . Contohnya, walaupun seseorang percaya semua perkara tentang aqidah tetapi menolak satu sahaja ayat al-Quran, ianya akan menyebabkan dia terkeluar dari Islam.
- Dalam hal syariat, kita dituntut melaksanakannya hanya setakat yang kita mampu walaupun ianya ibadat fardhu, contohnya tidak puasa Ramadhan kerana sakit.
- Oleh itu, amat penting kita mengetahui dan membezakan antara perkara-perkara aqidah dan syariat.
- Ayat al-Quran ini menjelaskan perbezaan di antara tuntutan aqidah dan tuntuan syariat.
Adalah amat penting mengetahui dan membezakan di antara perkara-perkara aqidah dan syariat. Aqidah (usul aqidah) hendaklah diyakini sepenuhnya dan tidak boleh kurang walaupun sedikit tetapi hal-hal syariat perlu dilaksanakan hanya setakat kemampuan kita. Islam adalah mudah dan tidak membebankan. Islam juga jelas dan tegas di segi pegangangnya.
Muat Turun Atau Baca Online
