Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 39 – “Maka Apabila Kamu Telah Selesai (Dari Sesuatu Urusan), Kerjakanlah Dengan Sungguh-sungguh (Urusan) Yang Lain. Dan Hanya Kepada Tuhanmulah Hendaknya Kamu Berharap” (Surah al-Insyiraah, Ayat 7 & 8)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 9m 6s] – MUTIARA AL-QURAN – Maksimakan Usaha Dan Bersungguh-sungguh Dalam Berusaha

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  – https://youtu.be/IHI7KxTb2vE ]

“MAKA APABILA KAMU TELAH SELESAI (DARI SESUATU URUSAN), KERJAKANLAH DENGAN SUNGGUH-SUNGGUH (URUSAN) YANG LAIN. DAN HANYA KEPADA TUHANMULAH HENDAKNYA KAMU BERHARAP” (SURAH AL-INSYIRAAH, AYAT 7 & 8)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Ayat al-Quran ini amat besar pengajarannya. Orang Islam perlu berusaha keras dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam hidupnya. Hidup ini perlu ada tujuan dan hendaklah tidak dibazirkan begitu sahaja.
  2. Janganlah setelah datang ke dunia ini, kita kemudiannya mati tanpa meninggalkan apa-apa jasa. Elakkan dari hidup dan mati yang sia-sia, yang tidak meninggalkan tanda dan tidak menyumbang apa-apa.
  3. Perlu ada sesuatu yang bermakna yang kita buat yang boleh disebut selepas kematian kita. Contohnya, Nabi Ibrahim berjasa besar membina Kaabah yang menjadi pusat perpaduan dan kiblat sehingga ke hari ini.
  4. Sesuatu kerja besar akan berjaya jika mempunyai keikhlasan yang tinggi kepada Allah taala.
  5. Kita perlu fikir untuk lakukan sesuatu yang bermanfaat; contohnya sebagai pelajar agama, jangan belajar sambil lewa dan kita sepatutnya bercita-cita untuk melakukan sesuatu yang besar dan bermanfaat, seperti menulis tafsir al-Quran, mensyarahkan hadith dsb.
  6. “Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain”.
  7. Setelah kita siapkan sesuatu kerja dengan sempurna dan cemerlang, kita teruskan dengan kerja yang lain pula dengan penuh semangat. Tidak mudah berpada dengan hanya satu dua usaha sahaja.
  8. Di dalam surah at-Taghaabun, disebut bahawa semua manusaia di akhirat nanti akan merasa rugi dan menyesal kerana semasa di dunia dulu tidak beramal dan jika berbuat baik pun tidak sehingga tahap maksimal..
  9. Bila telah selesaikan sesuatu kerja atau usaha, jangan berhenti malah teruskan dengan kerja dan usaha yang seterusnya. Dengan sikap sebegini, seseorang akan sentiasa maju dan akan lebih dari orang lain.
  10. Semua usaha yang kita lakukan hendaklah kerana Allah, “Kepada tuhanmu hendaknya kamu berharap”.
  11. Berharap dan berdoalah kepada Allah dan sentiasa ingat yang amalan ini adalah kerana Allah. Kita hanya berusaha dalam perkara yang baik kerana tidak mungkin kita melakukan perkara yang tidak baik kerana Allah dan mengharapkan balasan yang baik dari Allah.
  12. Berusahalah dengan bersemangat sebagaimana kata-kata (yang dinisbahkan kepada) Saidina Ali, “Jadilah kamu manusia yang kakinya berpijak di bumi dan puncak semangatnya berada di bintang Suraya (Venus)”.
  13. Kehidupan ini adalah amat berharga, berusaha dan bekerjalah supaya kita meninggalkan bekas dalam sejarah.
  14. Fikirkanlah, apakah sumbangan kita (kepada umat manusia dan dunia seluruhnya)?
  15. Selingan – kelebihan orang kita ialah minat dan kepakaran dalam masakan dan kuih muih tapi setakat mana ianya menyumbang kepada tamaddun manusia? Fikir-fikirkanlah!
  16. Fikirkanlah suatu yang besar manfaatnya, contohnya apa yang berkait dengan agama dan masyarakat. Buatlah sesuatu nescaya kita pun akan dapat manfaatnya.
  17. InsyaAllah, hasil usaha kita besar manfaatnya kepada ramai orang dan berpanjangan manfaaatnya.

Gunakanlah kesempatan yang ada semasa hidup ini untuk membuat kebaikan sebanyak mungkin. Jangan tinggalkan dunia ini tanpa apa-apa bekas dan jasa.

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Leave a comment