Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 6 – “Perdamaian Itu Lebih Baik (Bagi Mereka Daripada Bercerai-Berai)” (Surah an-Nisaa’, Ayat 128)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO  – [Durasi – 14m 13s] – MUTIARA AL-QURAN – Perdamaian Itu Lebih Baik

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  https://youtu.be/iSy1oBHKClI ]

PERDAMAIAN ITU LEBIH BAIK (BAGI MEREKA DARIPADA BERCERAI-BERAI)” (SURAH AN-NISAA’ – AYAT, 128)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Panduan ini amat ringkas tetapi maknanya cukup luas.
  2. “Perdamaian itu lebih baik bagi mereka dari bercerai-berai”.
  3. Manakah yang lebih baik, bermusuh atau berbaik-baik? Berperang atau berdamai? Berpecah atau bersatu?
  4. Islam mengajar bahawa berdamai dan berbaik-baik adalah lebih baik.
  5. Islam mengajar kita bila ada peluang untuk berbaik maka hendaklah kita berbaik walaupun dengan musuh kita. Kalau musuh kita, contohnya, kafir harbi cenderung kepada perdamaian maka hendaklah disambut dengan baik kerana sifat permusuhan mereka (harbi) adalah sifat sementara yang boleh berubah.
  6. Gunakanlah panduan ini dalam apa keadaan sekalipun.
  7. Pada asalnya ayat al-Quran ini adalah berkenaan perselisihan di antara suami isteri.
  8. Dalam kehidupan berumahtangga akan berlaku peristiwa manis dan pahit, tenang dan tegang.
  9. Kita perlu ingat dan mengenangkan yang baik dan perkara baik ini sebenarnya lebih banyak berbanding perkara buruk dalam kehidupan berumahtangga.
  10. Kalau terlalu ikut emosi kita akan lebih mengingati perkara-perkara tidak baik dalam perhubungan suami isteri dan mudah buat keputusan untuk bercerai. Jangan bersikap demikian, dan jika ada peluang untuk berbaik, maka berbaiklah. Pada asasnya, kita berumahtangga adalah untuk kekal sehingga mati. Perkara-perkara kecil dan remeh-temeh hendaklah diabaikan kerana jika disimpan dalam hati ianya akan memudaratkan diri kita dan memudaratkan hubungan suami isteri.
  11. Perceraian akan memberi kesan buruk kepada anak-anak dan banyak lagi keburukannya. Oleh itu, perdamaian adalah lebih baik.
  12. Begitu juga bila berhadapan dengan kafir “harbi” (diperangi). Jika orang kafir tidak lagi “laparkan” darah kita, kita boleh berbaik dengan mereka. Nilai dan berinteraksilah dengan mereka sebagaimana mereka menilai dan berinteraksi dengan kita.
  13. Perhatikan, Islam bermaksud “selamat”, iman bermaksud “aman”. Inilah sikap yang patut kita terapkan sebagai orang Islam .
  14. Peperangan yang berlaku di zaman Nabi adalah kerana dimulakan oleh musuh-musuh Islam. Pada asasnya Islam inginkan perdamaian dan tidak suka permusuhan. Walaupun orang Islam ditekan dan dimusuhi pada awalnya, mereka lebih suka mengelak dari melawan sehingga terpaksa berhijrah meninggalkan negeri.
  1. Tetapi orang Islam tidak lemah dan penakut; bila ditekan dengan keterlaluan, mereka akan bangkit melawan.
  2. Cita-cita dan matlamat kita ialah perdamaian.
  3. Ulama’-ulama’ mutakhir tidak berapa suka dengan penulisan sejarah Islam yang menekankan peperangan, seolah-olah sirah Islam ini dipenuhi dengan peperangan dan Nabi s.a.w digambarkan seolah-olah seorang yang ganas dan suka menumpahkan darah.
  4. Sejarah kehidupan Nabi sepatutnya dikenal sebagai “sirah Nabi” bukan “peperangan Nabi” kerana “peperangan” akan menggambarkan persepsi yang negatif di kalangan bukan Islam.
  5. Nabi s.a.w adalah seorang yang sukakan perdamaian dan keharmonian. Tetapi berlakunya peperangan kerana diasak oleh orang-orang kafir. Ajaran dari al-Quran ialah, “Orang yang mencerobohi kamu, kamu boleh mencerobohinya” sebagaimana yang dilakukan kepada kita.
  6. Kita tidak seperti orang Kristian yang diajar jika ditampar pipi kanan, beri pipi kiri pula untuk ditampar.
  7. “Perdamaian itu lebih baik” adalah amat luas maknanya.
  8. Dalam setiap hal, kita kena usahakan dan galakkan ke arah kebaikan, tidak ke arah keburukan dan kebinasaan.
  9. Ungkapan “sulh”, “islah”, “solah” adalah senada di segi maksud dan aspirasi.
  10. “Perbincangan sesama manusia tiada yang baik kecuali dia yang menganjurkan bersedekah, berbuat baik atau melakukan perdamaian di antara manusia”.
  11. Kebanyakan perbincangan adalah sia-sia di segi akhirat kecuali yang disebutkan tadi, iaitu mendorong untuk bersedekah, ke arah berbuat baik (contohnya belajar) atau mendamaikan antara manusia.
  12. Lawannya ialah berbuat keburukan seperti berbisik untuk mengumpat, memfitnah, mencuri, merompak dan seumpamanya.
  13. Yang terpuji adalah usaha-usaha untuk mengukuhkan masyarakat, menghalang dari berpecah-belah sehinggakan Islam membenarkan kita berbohong demi untuk memulihkan hubungan di antara dua pihak atau individu; walaupun pada asalnya berbohong adalah dilarang keras. Contohnya, kita memberi gambaran yang baik kepada dua orang yang saling bermusuhan, walaupun keadaan sebenarnya mereka tidak begitu, sehingga masing-masing lembut hatinya untuk berdamai
  14. “Bermuka-muka” kerana inginkan kebaikan, kemesraan dan perdamaian adalah harus dan ini seringkali diamalkan oleh ahli-ahli politik.
  15. Dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini elok juga kita sekali-kala amalkan budaya kaum lain supaya terjalin ikatan yang mesra antara kaum seperti menggunakan “chop stick” (dari kaum Cina). Begitu juga menggunakan bahasa kaum lain akan merapatkan jurang antara kaum.
  16. Banyak cara untuk mewujudkan hubungan yang baik di antara kaum, antaranya menggunakan bahasa yang sama dan percampuran budaya antara satu sama lain.
  17. Kita perlu berusaha dengan apa cara untuk mendamaikan masyarakat.
  18. Islam mengajarkan “perdamaian itu adalah lebih baik”

Berusahalah sebaik mungkin untuk pastikan semuanya dalam keadaan damai dan harmoni kerana “perdamaian itu lebih baik”

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Leave a comment