Usul Tafsir al-Quran – Sesi 22 – (SAMBUNGAN) USUL KESEMBILAN – MEMAHAMI AL-QURAN BERDASARKAN TERTIB AL-QURAN YANG ADA

VIDEO – [Durasi 1j 10m 11s] – Sesi 22 – Pengenalan (Usul Tafsir al-Quran) – Maulana Asri – 24-Jun-16

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/Kxg0bXq9JNw

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 00:00:30 : Memahami Al-Qur’an Berdasarkan Tertib (Susunan Surah) al-Quran Yang Ada

02- 00:05:46 : Guruh-guruh Dan Malaikat-malaikat Memuji Allah s.w.t

03- 00:07:55 : Semua Agama Langit Menerima Baik Nabi Ibrahim a.s

04- 00:11:13 : Maksud-maksud Utama Nama-nama Surah

05- 00:29:30 : Surah Al-Mu’minun Dan Kelebihan Penyair-penyair

06- 00:34:36 : Surah Al-Qasas Dan al-Ankabut – Perbandingan Orang Yang Mengambil Orang Lain Sebagai Tuhan Selain Allah Adalah Umpama Labah-labah

07- 00:37:20 : Surah Ar-Rum Dan Pengajaran Dari Cerita Bangsa Rum

08- 00:39:25 : Surah Luqman Dan Ahli Hikmah

09- 00:42:25 : Peringatan Yang Pertama

10- 00:44:47 : Peringatan Yang Kedua

11- 00:47:15 : Kaedah Umum Dan Ciri-ciri Surah Makkiyah

12- 01:00:50 : Kaedah Umam Dan Ciri-ciri Surah Madaniyah

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran

(Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat)

(SAMBUNGAN) USUL KESEMBILAN – MEMAHAMI AL-QURAN BERDASARKAN TERTIB AL-QURAN YANG ADA

Bab: Nama-nama Surah Dalam Al-Quran

11. Surah Huud – Juzuk: 11 – 12 – Makkiyyah – Bilangan Ayat-Ayatnya : 123 – Bilangan Ruku’nya : 10

dan seterusnya.

Peringatan (1) :-

Surah-surah yang disepakati ahli tafsir sebagai surah-surah Madaniyyah ada 20 kesemuanya. Di bawah ini dikemukakan senarainya :

i) al-Baqarah

ii) Aalii ‘Imran

iii) An-Nisaa’

iv) Al-Maa’idah

v) al-Anfaal

vi) at-Taubah

vii) an-Nuur

viii) al-Ahzaab

ix) Muhammad

x) Al-Fath

xi) al-Hujuraat

xii) al-Hadid

xiii) al- Mujaadilah

xiv) al-Hasyr

xv) al-Mumtahanah

xvi) al-Jumu’ah

xvii) al-Munafiqin

xviii) al-Thalaaq

xix) at-Tahrim

xx) an-Nashr

Surah-surah yang khilaf para ahli tafsir tentang Makkiyyah atau Madaniyyahnya pula ada 13. Senarainya adalah seperti berikut:

i) Al-Faatihah

ii) Ar-Ra’ad

iii) AL-Hajj

iv) Ar-Rahman

v) As-Shaff

vi) At-Taghabuun

vii) Al-Munafiqun

viii) Al-Qadr

ix) Al-Baiyyinah

x) Al-Zalzalah

xi) Al-Ikhlash

xii) AL-Falaq

xiii) An-Naas

Selebihnya adalah surah-surah yang disepakati mereka sebagai surah-surah Makkiyyah.

Kesimpulannya: Jumlah kesemua sekali surah di dalam al-Qur’an ada 114. 20 daripadanya adalah surah-surah Madaniyyah. 81 daripadanya adalah surah-surah Makkiyyah dan 13 daripadanya pula adalah yang diperselisihkan, sama ada ia Makkiyyah atau Madaniyyah.

Peringatan (2) :-

Sesuatu surah dikatakan Makkiyyah atau Madaniyyah berdasarkan kebanyakan isi kandungannya. Ia tidak bererti setiap ayat di dalam surah Makkiyyah diturunkan sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Kerana mungkin juga ada di dalamnya satu atau dua ayat yang diturunkan setelah Baginda s.a.w. berhijrah ke Madinah. Demikian juga sebaliknya, mungkin ada di dalam surah yang dikatakan Madaniyyah satu atau dua ayat yang diturunkan sebelum Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah.

Bagaimanapun para ulama Tafsir ada menyebutkan beberapa qaedah umum dan ciri-ciri bagi masing-masing daripada surah Makkiyyah dan Madaniyyah.

Antara qaedah umum dan ciri-ciri surah Makkiyyah adalah sebagai berikut :

(i) Setiap surah yang di dalamnya ada ayat sajdah adalah Makkiyyah, kecuali Surah al-Hajj. Kerana para ahli Tafsir masih khilaf tentangnya. Sama ada ia Makkiyyah atau Madaniyyah, meskipun di dalamnya terdapat dua ayat Sajdah.

(ii) Semua Surah yang di dalamnya digunakan perkataan “Kalla” adalah Makkiyyah . Perkataan ini berulang sebanyak 33 kali di bahagian separuh akhir al-Qur’an. Ia bertaburan di dalam 15 Surah.

(iii) Surah yang di dalamnya terdapat ayat yang dimulakan dengan “Ayyuhan Nas” adalah Makkiyyah, kecuali Surah al-Baqarah dan Surah al-Hajj.

(iv) Semua Surah yang dimulakan dengan Huruf Muqattha’at Makkiyyah, kecuali Surah al-Baqarah dan Aali ‘Imraan.

(v) Semua Surah yang tersebut di dalamnya kisah para nabi dan umat-umat di zaman silam adalah Makkiyyah, kecuali Surah al-Baqarah.

(vi) Setiap Surah yang tersebut di dalamnya kisah Adam dan Iblis adalah Makkiyyah, kecuali Surah al-Baqarah.

(vii) Surah-surah yang mengandungi pembuktian tentang ‘aqidah tauhid, risalah (kerasulan), hari kebangkitan, hari kiamat, syurga dan neraka pada umumnya adalah surah-surah Makkiyyah.

(viii) Surah-surah yang memaparkan akhlaq-akhlaq yang mulia di samping membantah jenayah dan perlakuan buruk golongan musyrikin, seperti membunuh orang-orang yang tidak bersalah, memakan harta anak yatim, menanam hidup-hidup anak-anak perempuan dan lain-lain adalah Makkiyyah.

(ix) Surah-surah Makkiyyah pada umumnya mengandungi ayat-ayat yang pendek, penuh erti dan banyak menggunakan seni bahasa ‘Arab yang tinggi. Penggunaan seni bahasa seperti tasybih, tamtsil, kinayah, majaaz dan isti’aarah adalah suatu yang lumrah di dalamnya. Perbendaharaan katanya juga sangat luas.

QAEDAH UMUM DAN CIRI-CIRI SURAH MADANIYYAH PULA ADALAH SEBAGAIMANA BERIKUT:

i) Surah-surah yang mengandungi kewajipan-kewajipan agama (seperti puasa, zakat, haji dan sebagainya) dan hukum-hukum hudud adalah Madaniyyah.

ii) Surah-surah yang menyebutkan tentang golongan munafiqin dan gelagat-gelagat mereka Madaniyyah, kecuali Surah al-‘Ankabut.

iii) Surah-surah yang mengandungi ayat-ayat yang ditujukan kepada Ahli al-Kitab dan dialog serta kritikan terhadap mereka adalah Madaniyyah.

iv) Surah-surah yang di dalamnya terdapat ayat yang dimulakan dengan “Ya ayyuhalLazi naamanu” umumnya Madaniyyah.

v) Surah-surah yang mengandungi hukum-hakam ibadat, muamalat, hudud, pusaka, perang, damai, kekeluargaan, kenegaraan dan kemasyarakatan serta hubungan antara bangsa Madaniyyah kesemuanya.

vi) Banyak daripada surah Madaniyyah panjang. Demikian juga dengan ayat-ayatnya. Di dalamnya terdapat panduan yang agak terperinci tentang sesuatu peraturan atau tatacara melaksanakan sesuatu perintah dan larangan Allah.

vii) Kalau surah-surah Makkiyyah lebih lebih banyak menyatakan pertentangan antara orang-orang Islam dan penyembah berhala secara khususnya, maka surah-surah Madaniyyah pula lebih lebih banyak menyatakan pertentangan antara orang-orang Islam dan Ahli al-Kitab atau golongan munafiqin.

viii) Gaya bahasa surah-surah Madaniyyah pada umumnya bersahaja dan terang. Penggunaan bahasa-bahasa berbunga dan penuh dengan pelbagai seni bahasa `Arab kurang terdapat di dalamnya. Ini kerana realiti masyarakat Madinah adalah daripada latar belakang yang berbeza-beza. Keadaan mereka sememangnya menghendaki bahasa yang terang dan sederhana digunakan.

ix) Kalau surah-surah Makkiyyah lebih banyak menekankan fasal tauhid, kemahiran, kehidupan di alam akhirat, pemandangan hari kiamat, menghiburkan Rasulullah s.a.w. dan kisah-kisah zaman lampau, maka surah-surah Madaniyyah pula lebih banyak menekankan soal-soal kekeluargaan, kemasyarakatan dan ketamuddunan.

x) Surah-surah yang mengandungi keizinan berjihad dan hukum-hakam semasa berperang, di samping apa-apa yang ada kaitan dengannya adalah Madaniyyah.

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 22 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 9

Leave a comment