Usul Tafsir al-Quran – Sesi 24 – USUL No 12 – Mencari dan Mengesan Struktur Mikro Di Dalam Ayat-Ayat Al-Quran.

VIDEO – [Durasi 1j 19m 50s] – Sesi 24 -Usul No 12 -Mencari dan Mengesan Struktur Mikro Di Dalam Ayat Quran.

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/xg-7dt4f-Yg ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 00:00:35 : Mengetahui Struktur Mikro Dalam Setiap Ayat Al-Qur’an

02- 00:03:31 : Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Baik Hendaklah Berusaha Mencari Dan Mengesan Perkataan-perkataan Yang Saling Berkaitan Di Dalam Sesuatu Ayat Atau Beberapa Ayat

03- 00:06:50 : Seseorang Penuntut Ilmu Al-Qur’an Hendaknya Sentiasa “Berjalan Dengan Memegang Jari” (Berjalan Bersama al-Quran) Setiap Perkataan Yang Dibacanya Di Dalam Setiap Ayat Al-Qur’an

04- 00:07:51 : Keperluan Mengetahui Kata Kunci Setiap Surah

05- 00:13:00 : Mengesan Kesinambungan Satu Perkataan Dengan Perkataan Lain, Seterusnya Satu Ayat Dengan Ayat Yang Lain

06- 00:13:22 : Mengesan Apa-apa Ayat Yang Tersirat Di Sebalik Beberapa Ayat Kecil (Jumlah) Di Dalam Sesuatu Ayat Yang Panjang

07- 00:14:35 : Berusaha Menggilap Kebolehan Memahami Struktur Ayat Dan Apa Yang Tersurat

08- 00:15:21 : Mamahirkan Diri Dalam Mengesan Apa-apa Yang Dibuang, Dan Apa Yang Seharusnya Di”takdir”kan

09- 00:15:59 : Terdapat Banyak Sekali Ayat-ayat Yang Disudahi Dengan Menyebutkan Sifat-sifat Tertentu Allah s.w.t

10- 00:17:42 : Contoh Struktur Ayat Dan Apa Yang Tersurat

11- 00:33:33 : Contoh Struktur Mikro Di Dalam Sesuatu Ayat Atau Surah, Kepercayaan Pada Hari Pembalasan

12- 00:51:00 : Kaitan Rapat Di Antara Perkataan-perkataan Allah “Al-Hayyu” Dan “Al-Qayyum” Kemudian Bagaimana Ia Disusuli Dengan Penafian Dengan Sifat-sifat Yang Tidak Layak Bagi Allah

13- 00:55:19 : Sedikit Penjelasan Tentang Ayat Kursi

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran

(Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat)

USUL 12 – Mencari dan Mengesan Struktur Mikro Di Dalam Ayat-Ayat Al-Quran.

Usul seterusnya untuk memahami al-Quran dengan baik ialah berusaha mencari dan mengesan perkataan-perkataan yang saling berkaitan di dalam sesuatu ayat atau beberapa ayat. Seseorang penuntut ilmu al-Quran hendaknya sentiasa berjalan dengan memegang jari setiap perkataan yang dibacanya di dalam setiap ayat al-Quran. Semua perkataan di dalam al-Quran ada ertinya tersendiri. Tiada satu pun hurufnya berlebihan atau sia-sia. Dalam membincangkan sesuatu perkataan, para ulama Tafsir kadang-kadang memerlukan beberapa muka surat untuk menyelami maksudnya. Mereka sehabis daya berusaha mengaitkan satu ayat dengan ayat yang lain, bahkan satu perkataan dengan satu perkataan yang lain. Segala mahzufaat (perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang dibuang) dipastikan. Segala yang tersembunyi pula dinyatakan. Betapa besarnya jasa dan sumbangan mereka, Allah sahajalah yang dapat memberikan ganjarannya.

Berikut dikemukakan beberapa langkah yang perlu diambil dalam usaha mengesan kesinambungan satu perkataan dengan perkataan lain, seterusnya satu ayat dengan ayat yang lain:

(a) Mengesan apa-apa yang tersirat di sebalik beberapa ayat kecil (jumlah) di dalam sesuatu ayat yang panjang

(b) Berusaha menggilap kebolehan memahami struktur ayat dan apa yang tersurat.

(c) Memahirkan diri dalam mengesan apa-apa yang dibuang (mahzufaat) dan apa yang seharusnya ditaqdirkan .

(d) Terdapat banyak sekali ayat-ayat yang disudahi dengan menyebutkan sifat-sifat tertentu Allah s.w.t. seperti “as-Sami’ ul-Alim”, “Al-Azizul Hakim”, “Al-Ghaniyul Hameed”, “Al-Ghafurul Rahim” dan sebagainya. Sifat-sifat itu tentu sekali tidak disebutkan sebarangan tanpa sesuatu maksud. Ia tentunya mempunyai kaitan dan pertalian dengan apa yang tersebut sebelumnya atau selepasnya. Apa yang perlu anda lakukan ialah merenungi apakah gerangan hikmat di sebalik sifat-sifat Allah itu disebutkan pada tempat-tempat berkenaan.

Berapa Contoh Struktur Mikro Di Dalam Sesuatu Ayat Atau Surah

a) Di dalam Surah at-Tiin, cuba lihat betapa rapatnya perkaitan di antara perkataan “At-Tiin” dengan “Az-Zaitun”, perkataan “Az-Zaitun” dengan “Thursinin” (Thur sina) dan seterusnya di antara perkataan “Thursinin” dan”al baladil amiin”. Keempat-empat perkataan itu pula berkait rapat dengan rangkai kata “ahsanitaqwiim” dan “asfalasaafiliin”. Dan semua yang tersebut itu pula berkait rapat dengan “Addiin” atau “Yaumiddiin” (hari pembalasan) iaitu hari kiamat di mana manusia akan mendapat balasan bagi semua amalannya, sama ada baik atau buruk. Pada hari kiamat nanti akan nyatalah keadilan dan kesaksamaan Allah. Sesungguhnya hari kiamat itu merupakan sebesar-besar dalil bagi adanya “Ahkamil haa kimiin” (Tuhan Yang Maha Adil dan Saksama).

b) Perhatikanlah betapa rapatnya perkaitan di antara perkataan-perkataan Allah, Al-Hayyu dan Al-Qayyum. Kemudian perhatikan pula bagaimana ia disusuli dengan penafian sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah daripada Allah (sifat-sifat tanzihiyyahNya, iaitu mengantuk dan tidur. Perkaitan di antaranya amat rapat sekali. Syafa’at berkait rapat dengan ilmu. Kursi Allah pula berkait rapat denganNya. Kekuasaan Allah berkait rapat dengan sifat tanzihiNya, “Layanuuduhu” (dia tidak berasa berat). Sifat Tuhan “Al-“Aliyyul’azim” (Maha Tinggi Lagi Maha Besar) pula mencukupi dan merangkumi semua sekali kandungan ayat al-Kursi itu sendiri.

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 24 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 12 

Leave a comment