Usul Tafsir al-Quran – Sesi 32 – USUL no 12 – Mencari dan Mengesan Struktur Mikro Di Dalam Ayat-Ayat Al-Quran

VIDEO – [Durasi 1j 19m 12s] – Sesi 32- Usul No 12 – Mencari dan Mengesan Struktur Mikro Di Dalam Ayat Quran

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/viIs0V-2Ueg ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:00:32 : Mencari dan Mengesan Struktur Mikro Di Dalam Ayat al-Quran

2- 00:01:47 : Kaedah “Aud’ ala al-Bad’i” (Kembali Kepada Asal Atau Kembali Mengulangi Perkataan Atau Ayat Atau Maknanya Yang Telah Tersebut Di Permulaan Surah)

3- 00:14:56 : Orang Mukmin Yang Sebenar Dan Rezeki Yang Mulia

4- 00:21:45 : Allah s.w.t Memberi Pilihan Kepada Manusia Untuk Memilih Jalan Kehidupan Yang Baik Atau Buruk

5- 00:29:34 : Janji Allah s.w.t Bahawa Orang-orang Islam Akan Mengalahkan Rom Dan Parsi

6- 00:39:24 : Cerita Nabi Yusuf a.s

7- 00:52:24 : “Ijaz” Ialah Penggunaan Bahasa Ringkas, Tetapi Penuh Erti, Semakin Direnung Semakin Banyak Hasil Yang Akan Diperolehi Daripadanya & Tentang Aqidah Tauhid Orang-orang Kristian

8- 01:05:57 : Tentang Arak Dan Judi

9- 01:11:31 : Adakah Kamu Berpuas Hati Dengan Kehidupan Dunia?

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran

(Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat)

USUL KE 12 – MENCARI DAN MENGESAN STRUKTUR MIKRO DI DALAM AYAT-AYAT AL-QURAN

KAEDAH-KAEDAH MENGESAN STRUKTUR MIKRO AYAT-AYAT AL-QURAN

(j) `Aud’ ala al-Bad’i bererti kembali kepada asal atau kembali mengulangi perkataan atau ayat atau maknanya yang telah tersebut di permulaan Surah. Ia merupakan salah satu gaya bahasa al-Quran yang unik. Walaupun disebutkan di celah-celahnya sekian banyak perkara lain sesuai dengan keadaan-keadaan yang menghendakinya, namun apa yang tersebut di permulaan Surah tetap tidak terlepas dari ingatan. Gaya bahasa seperti ini boleh dikatakan ada di dalam setiap surah dan ia dapat dikesan dengan memberikan sedikit sahaja pengamatan dan renungan. Tetapi di dalam surah-surah yang pendek, kewujudannya lebih banyak dan lebih ketara. Antara contoh `Aud `ala al-Bad’i ialah firman Allah di permulaan Surah al-Qashash ini:

Bermaksud: Sesungguhnya Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang (berlaku zalim) di muka bumi. Dia menjadikan penduduknya berpecah-belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan (al-Qashash:4)

Kemudian di akhir Surah, Allah menyebutkan pula apa yang terkandung di dalam ayat 4 ini dengan ibarat yang sedikit berbeza, tetapi mafhum dan kandungannya tetap sama. Lihat firman Allah di akhir Surah al-Qashash yang dimaksudkan:

Bermaksud: Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan untuk orang-orang yang tidak berbuat sewenang-wenang (berlaku zalim) di muka bumi dan tidak pula melakukan kerosakan. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (al-Qashash: 83).

(k) Iijaaz ialah penggunaan bahasa ringkas tetapi penuh erti. Semakin direnung semakin banyak pula hasil yang akan diperolehi daripadanya.

Ketika menyatakan kebatilan kepercayaan orang-orang Kristian tentang `Isa dan ibunya Maryam – suatu kepercayaan yang jelas bercanggah dengan `aqidah tauhid – lihat bagaimana al-Quran menghujah mereka dengan hujah yang sangat ringkas, tetapi amat kuat. Allah berfirman tentang `Isa yang dipercayai sebagai salah satu dari tiga tuhan dan ibunya Maryam pula dipercayai sebagai isteri Tuhan, begini saja: …… (mereka berdua memakan makanan). Suatu hujah yang amat ringkas. Bukan satu ayat yang lengkap pun. Tetapi ia cukup bermakna dalam menolak kepercayaan mereka yang salah itu. Bagaimana mereka boleh dipercayai sebagai tuhan dalam keadaan mereka memerlukan kepada makanan. Sedangkan tuhan yang sebenar tidak memerlukan apa-apa pun. Kalau seseorang itu memerlukan kepada makanan bererti ia memerlukan kepada segala-gala yang ada di bumi dan segala-gala yang ada dilangit. Manusia memerlukan matahari untuk memasakkan bijirin di sawah dan ladang. Bijirin tidak akan masak kalau matahari tidak terbit menyinarinya. Matahari pula tidak akan wujud tanpa wujudnya galaksi dengan segala sistemnya. Kalau sinar matahari sahaja ada, sedangkan air tiada, gandum dan padi tetap tidak masak juga. Untuk mendapat air manusia memerlukan awan, sungai, tasik dan lain-lain. Awan pula tidak akan datang sendiri tanpa diedarkan oleh angin. Pokok padi dan gandum pula memerlukan tanah yang sesuai untuknya. Setelah ada gandum atau padi dan beras, ia tidak boleh terus dimakan oleh manusia. Mereka perlu memasaknya terlebih dahulu. Untuk memasaknya diperlukan pula api. Dari mana pula datangnya api? Dari neraka Jahannam!

Pendek kata manusia perlukan semua itu untuk menyediakan makanannya. Jadi manusia yang memerlukan kepada segala yang ada di sekelilingnya untuk menyiapkan makanannya untuk dua kali sehari itu bagaimana akan menjadi tuhan yang mencipta dan memiliki sekalian alam ini? Bagaimana dalam satu masa seseorang boleh menjadi tuhan pencipta, sedangkan ia juga memerlukan kepada makhluk yang dicipta? Suatu yang tidak masuk `aqal! Oleh itu firman Allah: “Mereka berdua memakan makanan” merobohkan terus binaan `aqidah orang-orang Kristian yang batil itu. Anda tidak perlu menghabiskan banyak masa untuk merobohkannya. Sepotong firman Allah itu sudah cukup untuknya. Supaya lebih jelas, lihat firman Allah berkenaan di dalam ayat yang lengkap berserta ayat-ayat yang merupakan siyaaq dan sibaaqnya di bawah ini:

Bermaksud: Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Mariam. Padahal Al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah. Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga dan tempat kembalinya ialah Neraka dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim. (72) Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (73) Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun lagi Maha Mengasihani. (74) Tiadalah Al-Masih Ibni Mariam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul dan ibunya seorang perempuan yang sangat benar, mereka berdua memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu). (75) Katakanlah (wahai Muhammad); Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudharat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui. (76) (al-Maa’idah: 72-76).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 32 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 12 

Leave a comment