Usul Tafsir al-Quran – Sesi 35 – USUL No 14 – Mengetahui Kesinambungan DI antara Dalil Dan Madlul Pada Sumpah-sumpah Allah Di Dalam Al-Quran

VIDEO – [Durasi 1j 28m 34s] – Sesi 35-Usul No14 -Kesinambungan Dalil & Madlul Pada Sumpah-Allah Dalam Quran

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/YUjLGR5c5As ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:00:30 : Kesinambungan “Dalil” Dan “Madlul” Pada Sumpah Allah Dalam Quran

2- 00:06:59 : Enam Perkara Yang Perlu Diketahui Dalam Bab Sumpah

3- 00:10:26 : Hakikat Sumpah Adalah Bukti Atau Dalil Kepada Apa Yang Disumpah Kerananya

4- 00:21:17 : Sesuatu Cerita Itu Ada Tiga Peringkat (Ibtida’i) Penerimanya

5- 00:26:27 : Sumpah Adalah Merupakan Salah Satu Bentuk Kata Penguat Bagai Sesuatu Cerita Yang Disampaikan

6- 00:33:42 : Perkara Yang Perlu Diketahui Dalam Bab Sumpah

7- 00:36:03 : Perkataan Yang Digunakan Khusus Untuk Menunjukkan Arti Sumpah

8- 00:43:29 : Huruf “Jar” Dan Tempat Takluknya (Bergantung)

09- 00:45:10 : Pembahagian Sumpah Dilihat Kepada Bentuk Jawab Sumpahnya

10- 01:14:17 : Walaupun “waw” Merupakan Huruf Qasam Yang Paling Banyak Digunakan Untuk Qasam Tetapi Ulama’ Nahu Tidak Menganggapnya Sebagai Huruf Qasam Yang Asal

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran

(Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat)

USUL KE 14 – Mengetahui Kesinambungan DI antara Dalil Dan Madlul Pada Sumpah-sumpah Allah Di Dalam Al-Quran

——————————————————————————————-

Usul keempat belas ialah berusaha memahami maksud segala sumpah Allah di dalam al-Qur’an. Ia mustahak sekali difahami dengan sebaik-baiknya. Apa yang sangat perlu dipastikan ialah memahami perkaitan di antara dalil dan madlulnya atau dengan kata lain, perkaitan di antara “muqsam bihi” dan “muqsam ‘alaih”nya. Sumpah-sumpah Allah di dalam al-Qur’an itu sebenarnya adalah dalil-dalil yang tersendiri.

Antara tokoh ulama yang telah menulis secara khusus tentang topik sumpah Allah ialah al-Imam Ibnu al-Qaiyyim, Hameeduddin @ ‘Abdul Hameed al-Faraahi dan Ahmad Kamal al-Mahdi. Buku Ibnu al-Qaiyyim bernama “at-Tibyaan Fi Aqsaami al-Qur’an”. Buku al-Faraahi bernama “al-Im’aan Fi Aqsaami al-Qur’an” dan buku Ahmad Kamal al-Mahdi pula bernama “Aayaat al-Qasam Min al-Qur’an al-Karim”.

Di dalam al-Qur’an terdapat sebanyak 200 lebih sumpah. Hampir seratus daripadanya dengan jelas menggunakan perkataan sumpah. Termasuklah di dalamnya sumpah Allah, sumpah para nabi dan rasul, juga sumpah-sumpah orang-orang lain selain Allah dan rasul-rasulNya.

Bahasa ‘Arab terkenal dengan keseniaan ibaratnya. Gaya bahasa yang berbeda diguna untuk menyatakan maksud dan tujuan berbeda. Gaya bahasa yang berbeda juga diguna ketika berbicara dengan orang-orang yang latar belakangnya berbeda. Kerana itulah sesuatu cerita (khabar) menurut ilmu Ma’ani (salah satu cabang seni bahasa ‘Arab), semestinya disampaikan sesuai dengan tiga tahap sikap manusia yang akan menerimanya. “Al-Ibtida’i” (الإبتداعى) digunakan untuk orang yang kosong fikirannya daripada sebarang keputusan tentang sesuatu cerita yang disampaikan. Cerita yang disampaikan kepada orang-orang pada tahap ini tidak perlu diperkuatkan dengan apa-apa kata penguat. “At-Thalabi” (الطالبى) digunakan untuk orang yang ragu-ragu dan sangsi tentang sesuatu cerita yang disampaikan kepadanya. Dalam keadaan ini eloklah cerita yang hendak disampaikan itu diperkuatkan dengan sedikit kata penguat, supaya keraguan yang berlegar-legar di dalam hatinya bertukar kepada keyakinan. “Al-Inkaari” (الإنكارى) pula digunakan untuk orang yang menolak cerita yang disampaikan dan langsung tidak percaya kepadanya. Dalam keadaan ini cerita yang hendak disampaikan itu mestilah diperkuatkan dengan kata penguat tertentu. Kata penguat yang digunakan mungkin hanya satu atau dua perkataan sahaja. Mungkin jauh lebih daripada itu, dalam beberapa bentuk, sesuai dengan keadaan kuat atau lemahnya penolakan oleh pihak yang dihadap cakap.

Sumpah sebenarnya merupakan salah satu bentuk kata penguat bagi sesuatu cerita yang disampaikan. Oleh kerana al-Qur’an itu diturunkan sebagai hidayah dan untuk membimbing semua lapisan dan tahap masyarakat manusia dan jin, sedangkan ada antara mereka yang meraguinya dan ada pula yang langsung tidak mempercayainya, malah mendustakannya, maka semestinya sesuatu yang hendak disampaikan kepada mereka diperkuat dengan kata-kata penguat tertentu. Antara kata penguat yang sering digunakan oleh Allah di dalam al-Qur’an ialah sumpah (أسلوب القسم).

Antara tujuannya ialah menghilangkan keraguan orang yang ragu dan menghapuskan terus kekeliruan yang membuatkan mereka menolak dan tidak mempercayainya, dengan mengemukakan satu bentuk kata penguat yang pada hakikatnya merupakan bukti, dalil dan hujah bagi pihak Allah kepada ‘aqal dan hati nurani manusia.

Enam Perkara Yang Mesti Diketahui Dalam Bab Sumpah:

(1)أداة القسم  iaitu perkataan yang digunakan khusus untuk menunjukkan erti sumpah.

(2) مقسم به  iaitu perkataan yang digunakan buat bersumpah.

(3) مقسم عليه  iaitu perkara yang diangkat sumpah kerananya.

(4) غرض القسم iaitu tujuan sumpah.

(5) kesinambungan dan kesesuaian di antara perkataan yang digunakan buat bersumpah dan perkara yang diangkat sumpah kerananya (المناسبة بين القسم به والمقسم عليه).

(6) keadaan-keadaan orang yang dikhitab (dihadap cakap) dengan ayat sumpah (أحوال المخاطبين بجماة القسم).

PERKATAAN YANG DIGUNAKAN KHUSUS UNTUK MENUNJUKKAN ERTI SUMPAH

Pada umumnya empat huruf berikut diguna untuk menunjukkan erti sumpah.

(a) Baa’ (ب)

(b) Taa’ (ت)

(c) Wau (و) dan

(d)Laam (ل).

Semuanya memberi erti yang sama iaitu “demi”.

Huruf sumpah dengan majrurnya bergantung (berta’alluq) kepada fi’il qasam yang ditaqdirkan seperti أحلف , اقسم dan sebagainya. Daripada gabungan fi’il qasam dan fa’ilnya serta jaar dan majrurnyalah terbentuk ayat sumpah (جملة القسم). Kadang-kadang perkataan جير (sungguh) dan لا جرم  (sudah tentu, mesti, tidak dapat tidak) juga digunakan untuk menunjukkan erti sumpah.

PEMBAHAGIAN SUMPAH DILIHAT KEPADA BENTUK JAWAB SUMPAHNYA

Setiap ayat sumpah mesti diiringi ayat jawab sumpah. Syarat jawab ayat sumpah ialah ia mesti digunakan dalam bentuk خبرية  (ayat cerita), bukan dalam bentuk تعجبية (ayat yang menyatakan kekaguman atau kekagetan). Contohnya, أقسم بالله لا أنقاد لرأى يجافى العدالة (Aku bersumpah dengan nama Allah, aku tidak akan menurut pendapat yang mengenepikan keadilan). أقسمبالله  di dalam contoh ini adalah ayat sumpah. Dan لا أنقادلرأى يجافى العدالة adalah ayat jawab sumpah. Ayat jawab sumpah seperti ini dipanggil قسم خبرى atau قسم غير استعطافى . ayat jawab sumpah dari jenis ini tiada kedudukannya dalam I’raab (لا محللها من الإعراب) .

Jika ayat jawab sumpah dikemukakan dalam bentuk jumlah insya’iyyah dengan tujuan menginsafkan, menyedarkan atau memprovokasi seseorang, maka ayat sumpah seperti itu dipanggil قسماستعطافي . dalam ayat sumpah seperti ini, jawab sumpahnya mestilah digunakan dalam bentuk jumlah insya’iyyah. Contohnya, بربك هل رحمت التكلى (Demi Tuhanmu, kenapa tidak engkau mengasihani perempuan yang kematian anaknya itu?!) Ayat sumpah dari jenis ini juga tiada kedudukannya dalam I’raab.

Pada ayat jawab قسم استعطافي tidak diperlukan apa-apa tambahan lagi. Sementara pada ayat jawab قسم خبري  atau قسم غير استعطافي   masih diperlukan kepada tambahan perkataan-perkataan tertentu, seperti ل dan قد, ل sahaja, haraf nafi, ل dan نونتأكيد atau إن danل تأكيد  dan sebagainya.

Sebenarnya sumpah atau qasam dikemukakan untuk menguatkan مقسم عليه. Untuk lebih menguatkannya lagi, kadang-kadang ditambahkan perkataan-perkataan tertentu di dalam ayat sumpah. Misalnya ditambahkan perkataan إي(ya), haraf ijab sebelum perkataan yang digunakan khusus untuk menunjukkan erti sumpah.

Penggunaan seperti ini ada di dalam firman Allah berikut:

ويستنبئونكأحق هو قل إى وربى إنه لحق وما أنتم بمعجزين (53)

Bermaksud: “Dan mereka akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Adakah kedatangan azab yang dijanjikn itu benar? Jawablah: Ya, demi Tuhanku! Sesungguhnya ia adalah benar! Dan kamu tidak sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya”. (Yunus:53)

Untuk meringkaskan ayat dan kerana perbuatan sumpah yang jelas, kadang-kadang perkataan sumpah dengan haraf jarnya dibuangkan terus. Yang tersebut hanyalah jawab sumpahnya sahaja. Misalnya firman Allah berikut:

لقد كان لكمفى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخر وذكر الله كثيرا (21)

Bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh tauladan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (al-Ahzaab:21).

Apa yang seharusya ditaqdirkan sebelum لقدكان لكم di dalam ayat di atas ialah والله (Demi Allah). Di situ أداة القسم dan مقسم به, kedua-duasekali dibuang untuk meringkaskan ayat. Yang ditinggalkan hanyalah مقسمعليه atau jawab sumpah sahaja.

Kadang-kadang pula dibuangkan jawab sumpah untuk meringkaskan ayat, kerana ia dikira sebagai sesuatu yang ma’lum. Yang ada hanyalah perkataan sumpah. Menurut sesetengah ulama, qaedah inilah yang berlaku pada firman Allah berikut:

ص والقرانذى الذكر (1)

Bermaksud: “Shaad; demi al-Quran yang mempunyai kemuliaan serta mengandungi peringatan dan pengajaran”. (Shaad:1).

Di dalam ayat ini أداة القسم dan مقسمبه disebutkan, tetapi jawab qasamnya tidak. Taqdirnya ialah لأعذبنهم على كفرهم (pasti akan Ku azab mereka kerana kekufuran mereka).

Kadang=kadang pula ayat jawab sumpah tidak dibuang sepenuhnya. Yang dibuang daripadanya hanyalah perkataan-perkataan ل dan قد. Contohnya dapat dilihat pada jawab sumpah bagi sumpah-sumpah yang diangkat Allah di permulaan Surah al-Buruj. Setelah mengemukakan tiga ayat sumpah, Allah mengemukakan ayat 4 sebagai jawab sumpahnya begini:

قتل أصحبالأخدود

Bermaksud: Celakalah kaum yang menggali parit. (al-Buruj:4).

Meskipun و merupakan haraf qasam (perkataan yang digunakan khusus untuk menunjukkan erti sumpah) yang paling banyak digunakan, termasuk di dalam al-Qur’an sendiri, namun para ulama nahu bahasa ‘Arab tidak menganggapnya sebagai haraf qasam yang asal. Ini kerana ia tidak memasuki dhamir (kata ganti nama) dan tidak juga digunakan dalam قسماستعطافى, sebelum ayat pertanyaan misalnya. Haraf qasam yang asal bagi mereka ialah ب. Ini kerana ب mempunyai keistimewaan dan kelebihan berbanding haraf-haraf qasam yang lain. Antaranya:

(1) Fi’ii qasam harus (boleh) disebutkan bersama-samanya. Contohnya ialah firman Allah berikut:

فكيف إذا أصبتهم مصيبة بما قدمت أيديهم ثم جاءؤك يحلفون بالله إن أردنا إلا إحسنا وتوفيقا(62)

Bermaksud: Maka bagaimanakah halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: “Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah).” (an-Nisaa’).

(2) ب harus (boleh) memasuki dhamir (kata ganti nama). Kerana itu anda harus berkata begini:

بكلأفعلن كذا وكذا

(Demi engkau, aku pasti melakukan sekian-sekian).

(3) Dalam قسم استعطافي hanya ب sahaja yang digunakan. Contohnya:

بالله هل قام زيد؟

(Demi Allah, adakah Zaid telah berdiri?).

Haraf تpula hanya digunakan sebelum perkataan Allah dan Rab sahaja. Anda tidak boleh berkata, تاالرحمن dan تالرحيم.Bagaimanapun, kata as-Suhaili, sesetengah orang ‘Arab tetap menggunanya sebelum perkataan الرحمن atau perkataan حياتكsebagai haraf qasam.

Menurut az-Zamakhsyari, perbezaan antara ت dan ب  qasam ialah ب merupakan haraf qasam yang asal. Sedangkan ت hanya merupakan ganti kepada haraf ب. Sebabnya ب dianggap sebagai haraf qasam yang asal ialah kerana penggunaannya paling luas berbanding haraf-haraf qasam yang lain. Tetapi  ت mempunyai kelebihan yang lain, kerana ia kadang-kadang mengandungi ma’na ta’ajjub (kagum).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 35 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 14 (Nota 6) 

Leave a comment