VIDEO – [Durasi 1j 14m 11s] – Sesi 51- Usul No 15 – Antara Ayat-ayat Muhkamaat Dan Ayat-ayat Mutasyabihaa
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/r7e3d09uGZg ]
TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN
1- 00:03:00 : Huruf-huruf Muqattha’ah Di Dalam Al-Quran
2- 00:29:56 : Huruf-huruf Muqattha’ah Mengikut Ahli Bahasa Arab
3- 00:37:57 : Huruf-huruf Muqattha’ah Mengikut Khulafa’ ar-Rasyidin
4- 00:46:09 : Huruf-huruf Muqattha’ah Mengikut Imam al-Baghawi
5- 00:50:11 : Huruf-huruf Muqattha’ah Mengikut Imam Al-Qurtubi
6- 00:57:42 : Huruf-huruf Muqattha’ah Mengikut Imam Hafiz Ibnu Katsir
7- 01:00:43 : Kesimpulan Tentang Huruf-huruf Muqattha’ah
8- 01:10:21 : Kenapa Ulama’ Terus Membincangkan Dan Memperkatakan Tentang Rahsia-rahsia Dan Isyarat-isyarat Dan Hikmat-hikmat Di Sebalik Huruf-huruf Muqattha’ah?
NOTA RINGKAS
USUL TAFSIR AL-QURAN
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
USUL KE 15- Antara Ayat-ayat Muhkamaat Dan Ayat-ayat Mutasyabihaat
HURUF-HURUF MUQATTHA’AH DI DALAM AL-QURAN
Terdapat 29 surah semuanya di dalam al-Qur’an yang dimulakan dengan huruf muqattha’ah. Ia dipanggil Huruf Muqattha’ah kerana setiap hurufnya dibaca secara terpisah dan berasingan daripada huruf-huruf yang lain. Ia tidak merupakan huruf yang membentuk sesuatu perkataan yang mengandungi ma’na tertentu. Walaupun pada zahirnya Huruf Muqattha’ah itu berbentuk satu perkataan, namun ia dibaca secara terpisah dengan nama-nama asalnya. Contohnya الم , ia akan dibaca secara terpisah, Alif, Lam, Miim, كهيعص, akan dibaca secara terpisah, Kaaf, Ha, Ya, ‘Ain, Shaad. Dan begitulah seterusnya dengan lain-lain lagi.
Pada asalnya apa yang disebut itu adalah nama-nama huruf berkenaan. Tetapi tentulah disebaliknya ada maksud-maksud tersirat yang dikehendaki Allah s.w.t. bilangan Huruf Muqattha’ah itu ada 14 semuanya. Jumlah itu merupakan separuh daripada keseluruhan huruf ejaan bahasa ‘Arab. 14 huruf berkenaan adalah seperti berikut:
ا، ل، م، ص، ر، ك، ه، ي، ع، ط، س، ح، ق، ن
Untuk mudah mengingatkannya sesetengah ‘ulama’ menghimpunkan huruf-huruf itu dalam satu ibarat yang berbunyi: نص حكيم قاطع له سر (keterangan orang yang bijaksana putus, ada rahsianya).
Dibawah ini dikemukakan carta perincian 29 surah yang dimulakan dengan huruf-huruf muqattha’at tersebut tadi:
Nombor Bilangan Nama Surah Makkiyyah Atau Madaniyyah Huruf-Hurufnya Bilangan Huruf
1 Al-Baqarah Madaniyyah الم Tiga huruf
2 Aali ‘Imraan Madaniyyah الم Tiga Huruf
3 Al-A’raaf Makkiyyah المص Empat Huruf
4 Yunus Makkiyyah الر Tiga Huruf
5 Huud Makkiyyah الر Tiga Huruf
6 Yusuf Madaniyyah الر Tiga Huruf
7 Ar-Ra’d Makkiyyah Atau Madaniyyah المر Empat Huruf
8 Ibrahim Makkiyyah الر Tiga Huruf
9 Al-Hijr Makkiyyah الر Tiga Huruf
10 Maryam Makkiyyah كهيعص Lima Huruf
11 Thaha Makkiyyah طه Dua Huruf
12 Asy-Syu’araa’ Makkiyyah طسم Tiga Huruf
13 An-Naml Makkiyyah طس Dua Huruf
14 Al-Qashash Makkiyyah الم Tiga Huruf
15 Al-‘Ankabut Makkiyyah الم Tiga Huruf
16 Ar-Ruum Makkiyyah الم Tiga Huruf
17 Luqmaan Makkiyyah الم Tiga Huruf
18 As-Sajdah Makkiyyah الم Tiga Huruf
19 Yaasin Makkiyyah يس Dua Huruf
20 Shaad Makkiyyah ص Satu Huruf
21 Al-Mukmin Makkiyyah حم Dua Huruf
22 As-Sajdah Makkiyyah حم Dua Huruf
23 Asy-Syura Makkiyyah حم عسق Lima Huruf
24 Az-Zukhruf Makkiyyah حم Dua Huruf
25 Ad-Dukhan Makkiyyah حم Dua Huruf
26 Al-Jaatsiah Makkiyyah حم Dua Huruf
27 Al-Ahqaaf Makkiyyah حم Dua Huruf
28 Qaaf Makkiyyah ق Satu Huruf
29 Al-Qalam Makkiyyah ن Satu Huruf
HURUF MUQATTHA’AH MENURUT AL-KHULAFA’ AR-RASYIDUN
Kedudukan Huruf Muqathha’ah sebagai sebahagian daripada al-Qur’an merupakan suatu perkara yang mutawatir di sisi seluruh umat islam. Oleh itu mempercayainya sebagai sebahagian al-Qur’an yang diturunkan Allah adalah wajib; sama seperti mempercayai ayat-ayat yang lain daripada al-Qur’an. Al-Qur’an sendiri melalui mana-mana ayatnya tidak pernah mentafsir dan menjelaskan makna-maknanya. Tidak pernah juga Rasulullah s.a.w melalui mana-mana riwayat yang sahih menerang dan menghuraikan makna-maknanya. Jika Huruf Muqathha’ah itu mengandungi ajaran akidah tertentu yang mesti diimani sehingga tidak sah atau kurang iman seseorang yang tidak mempercayainya, tentulah Allah dan RasulNya tidak membiarkannya begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan dan penerangan. Atau jika ia mengandungi sesuatu ajaran yang berkaitan dengan syari’at dan amalan-amalan tertentu yang tidak dapat tidak mesti dilakukan oleh manusia untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat, tentu juga Allah dan RasulNya telah memaklumkan kepada mereka maksud-maksudnya. Huruf muqattha’ah ternyata dikekalkan sebagai rahsia yang tidak didedahkan, samada oleh Allah s.w.t mahupun RasulNya yang diutus sebagai guru al-Qur’an yang pertama. Itulah sebabnya ada diriwayatkan daripada al-Khulafaa’ ar-Rasyidun, sekian ramai para sahabat dan tabi’in bahawa mereka berkata: هى سر الله في القران (ia adalah rahsia Allah di dalam al-Qur’an).
Imam al-Baghawi (Muhyu as-Sunnah Abu Muhammad al-Husain bin Mas’ud al-Baghawi. Seorang muhaddits, faqih dan mufassir yang terkemuka m.516H) menulis:
“Imam Sya’bi dan sekumpulan ulama’ berkata, “ الم dan semua huruf ejaan bahasa ‘Arab di permulaan beberapa surah al-Qur’an itu termasuk dalam ayat-ayat Mutasyabihaat yang tidak ada sesiapapun mengetahui maknanya selain Allah. Ia merupakan rahsia Al-Qur’an. Kita beriman dengan zahirnya (mempercayainya sebagai sebahagian daripada al-Qur’an secara zahir sahaja) dan menyerahkan makna sebenarnya kepada Allah s.w.t. Tujuan huruf-huruf itu disebutkan tidak lain hanyalah supaya kita mengimaninya. Abu Bakar dan ‘Ali berkata, “Setiap kitab ada rahsianya. Dan rahsia Allah di dalam al-Qur’an ialah huruf Muqattha’ah di permulaan beberapa surahnya. Daud bin Abi Hind berkata, “Saya selalu bertanya Sya’bi tentang huruf-huruf itu. Jawab beliau, “Wahai Daud, sesungguhnya setiap kitab mesti ada rahsianya. Dan rahsia al-Qur’an ialah huruf-huruf Muqattha’ah di permulaan (beberapa) surah. Tinggalkan saja huruf-huruf itu, dan tanyalah apa saja yang kau mahu selainnya.” (Lihat Ma’alimu at-Tanziil j.1 m/s 59).
Ahli Tafsir terkenal al-Qurthubi (Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ahmad al-Anshaari al-Qurthubi m.671H) menulis di dalam Tafsirnya begini:
“ ‘Aamir asy-Sya’bi, Sufyan ats-Tsauri dan sekumpulan muhadditsin berpendapat, huruf-huruf Muqattha’ah itu adalah rahsia Allah di dalam al-Qur’an. Allah mempunyai rahsia di dalam setiap kitabNya. Ia termasuk ayat-ayat Mutasyabihaat yang hanya diketahui Allah (maksud sebenarnya). Tidak harus kita memperkatakannya. Apa yang perlu kepada kita ialah mengimani dan membacanya sebagaimana ia telah sampai kepada kita. Pendapat ini dinukilkan daripada daripada Abu Bakar dan ‘Ali bin Abi Thalib r.a. Abu al-Laits as-Samarqandi menukilkan daripada ‘Umar, ‘Utsman dan Ibnu Mas’ud bahawa mereka berkata, “Huruf-huruf Muqattha’ah itu termasuk dalam rahsia tersembunyi yang tidak boleh ditafsirkan.” Kata Abu Haatim, “Kita tidak dapati huruf-huruf Muqattha’ah di dalam al-Qur’an melainkan di permulaan (beberapa) surah. Dan kita tidak mengetahui apa yang dimaksudkan Allah dengannya. Abu Bakar Ibnu al-Ambaari dengan sanadnya meriwayatkan daripada Rabi’ bin Khutsaim, kata beliau:
“Sesungguhnya Allah telah menurunkan al-Qur’an ini. Ada isi kandungan al-Qur’an yang hanya diketahui Allah ma’nanya. Ada juga yang diberitahuNya kepadamu. Maksud mana-mana ayat al-Qur’an yang Allah khususkan dengan diriNya semata-mata, tidak akan dapat dicapai oleh kamu. Oleh itu janganlah kamu bertanya tentangnya. Adapun yang Dia beritahu kepadamu, itu bolehlah kamu tanya dan tentu ia juga diberitahu kepadamu. Bukan semua kandungan al-Qur’an kamu tahu maksudnya. Dan bukan juga setiap yang kamu tahu kamu amalkan. Sesiapa yang percaya (beriman) kepadanya, ia dapat pahala dan bertuah. Sesiapa yang kufur dan syak terhadapnya, ia berdosa dan menjauh. Huraits bin Dzuhair menukilkan daripada ‘Abdillah bin Mas’ud bahawa beliau berkata, “Tidak ada keimanan orang mukmin yang lebih afdhal daripada keimanannya kepada perkara ghaib. Kemudian beliau (‘Abdullah bin Mas’ud) membaca الذين يؤمنون بالغيب (orang-orang yang percaya kepada perkara ghaib).” Kata al-Qurthubi, pendapat yang dinukilkan oleh Rabi’ bin Khutsaim tentang ayat-ayat Mutasyabihaat dan hukumnya itu adalah sahih. Keterangan tentangnya akan datang nanti In Sya Allah dalam tafsir Surah Aali ‘Imraan. (al-Jaami’ Li Ahkaamul Qur’an j.1 m/s 154).
Ketika membincangkan tentang huruf-huruf muqattha’ah Hafiz Ibnu Katsir (m.774H) telah menulis dengan cantik sekali. Kata belian: “Tidak syak sama sekali bahawa Allah s.w.t. tidak menurunkannya (huruf-huruf muqathha’ah itu) dengan sia-sia dan percuma sahaja. Silap teruk orang-orang yang mengatakan, “Ada di dalam al-Qur’an huruf-huruf atau ayat-ayat yang dibaca sebagai ibadat semata-semata, sedangkan ia langsung tiada mempunyai makna (هو تعبد لا معنى له بالكلية).” Sebenarnya huruf-huruf muqattha’ah itu ada makna-maknanya yang tersendiri. Ia bukan kosong daripada makna dan diungkapkan dengan sia-sia sahaja. Jika ada sesuatu riwayat yang sahih berhubung dengan maknanya daripada Nabi s.a.w, maka kita menerimanya. Jika tidak ada, maka kita menahan diri daripada berkata sesuatu tentangnya di samping kita berkata (seperti tersebut di dalam firman Allah yang bermaksud):
“Kami percaya kepadanya. Semuanya datang dari Tuhan kami.” Tiada ijma’ ulama’ berhubung dengan maknanya. Mereka berbeda pendapat dalam masalah ini. Ada beberapa pendapat dinukilkan. Barang siapa mendapati mana-mana pendapat yang disokong oleh dalil, bolehlah ia memilihnya. Sebaliknya dalam keadaan tiada dalil, dia hendaklah bertawaqquf (mengambil sikap tunggu dan berhenti sebentar sebagai langkah cermat) sehingga menemui dalilnya.” (lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Adziim j.1 m/s 160).
Daripada pandangan dan hasil kajian tokoh-tokoh Tafsir terkemuka tadi dapat disimpulkan bahawa menurut para Khulafa’ ar-Rasyidin, tokoh-tokoh sahabat dan at-Tabi’in, huruf-huruf Muqattha’ah merupakan salah satu perkara ‘Mutasyabihaat’ di dalam al-Qur’an yang tidak diketahui makna sebenarnya secara tepat, pasti dan yakin oleh sesiapapun selain Allah. Ia adalah rahsia Allah berupa simbol-simbol di permulaan beberapa surah al-Qur’an. Ibnu Katsir menyingkapkan maksud kata-kata Salaf bahawa, “Ia merupakan rahsia Allah di dalam al-Qur’an”, itu bukanlah sama sekali bererti huruf-huruf Muqattha’ah kosong daripada makna dan ia adalah suatu yang sia-sia dan tidak berfaedah. Malah maksudnya ialah oleh kerana tiada saluran yang menyakinkan pada kita untuk mengetahui makna-maknanya, maka itulah sebabnya kita tidak mempunyai pengetahuan yang pasti dan menyakinkan tentangnya.
Silap teruk sekali orang-orang yang mengatakan huruf-huruf muqattha’ah itu langsung tidak mengandungi makna dan maksud. Jika ada pada seseorang dalil yang kuat untuk mentafsir dan menyatakan pandangannya tentang huruf-huruf muqattha’ah itu, dia boleh saja mengemukakannya. Tetapi tafsiran dan pandangannya itu tidak harus dianggap sebagai pasti tepat dan bersifat qath’i. Sekadar tafsiran berupa andaian yang bersifat dzanni sahaja bolehlah diterima. Penjelasan Ibnu Katsir itu dapat menghilangkan kemusykilan sesetengah pihak bahawa kalau para Khulafa’ ar-Rasyidun sudah mengatakan huruf-huruf muqattha’ah itu sebagai rahsia Allah di dalam al-Qur’an , kenapa pula ada sahabat-sahabat, Tabi’in, sesetengah ahli Tafsir dan ahli Hadits yang terkemuka masih mentafsir dan mentakwilkannya? Kenapa mereka masih terus membincang dan memperkatakan tentang rahsia-rahsia, isyarat-isyarat dan hikmat di sebaliknya?? Jawabnya ialah tafsiran dan takwilan mereka berkenaannya bukanlah dipercayai sebagai sesuatu yang qath’i dan pasti, malah ia hanya bersifat dzanni dan andaian sahaja.
NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
NOTA USUL TAFSIR – SESI 51 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 15 (Nota 9)
