Usul Tafsir al-Quran – Sesi 55 – (Sambungan) Usul No 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 09m 50s] – Sesi 55 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/qNJbVF3lUok ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 00:00:27 : Sebab Nuzul Yang Khusus

02- 00:01:26 : Salah Faham Yang Telah Berlaku Kepada Orang-orang Atau Golongan Tertentu; Untuk Menghilangkan Salah Faham itu Ayat-ayat Berkaitan Dengannya Diturunkan

03- 00:02:03 : Salah Faham Tentang Sa’ir, Safa Dan Marwah

04- 00:14:26 : Soalan-soalan Yang Dikemukakan Kepada Nabi s.a.w Juga Menjadi Punca Atau Sebab Kepada Turunnya Sesuatu Ayat

05- 00:17:11 : Antara Contoh Soalan Bagi Peristiwa Yang Telah Berlaku: Tentang Peristiwa Zulqarnain Dan Nabi Sulaiman a.s

06- 00:20:21 : Antara Contoh Soalan Bagi Peristiwa Semasa

07- 00:22:50 : Siapakah Yang Dimaksudkan “Ibnus Sabil” ?

08- 00:30:45 : Antara Contoh Soalan Bagi Peristiwa Yang Akan Berlaku

09- 00:31:47 : Faedah Mengetahui Sebab-sebab Turun Ayat-Ayat Al-Quran

10- 00:33:01 : Dapat Mengetahui Maksud Sebenar Bagi Ayat-Ayat Berkenaan

11- 00:43:46 : Ada Khilaf Di Kalangan Ulama’ Tentang Sebab Nuzul Sesuatu Ayat

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

USUL KE 16- MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

(4) Salah faham yang telah berlaku kepada orang-orang atau golongan tertentu. Untuk menghilangkan salah faham itu ayat-ayat berkaitan dengannya diturunkan. Sebagai contoh ayat di bawah ini :

Bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syi’ar Allah. Maka barang siapa yang beribadah haji ke Baitullah atau ber’umrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sa’i antara keduanya. Dan barang siapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah : 158).

Ayat ini turun berkaitan dengan segolongan sahabat yang berasa berdosa kalau bersa’i antara Safa dan Marwah. Ini kerana mereka menganggapnya sebagai amalan jahiliah. Maka untuk menghilangkan salah faham mereka itulah Allah menurunkan ayat 158 di dalam Surah al-Baqarah tersebut.

Soaalan-soalan yang dikemukakan kepada Nabi s.a.w pula adakalanya berkaitan dengan peristiwa yang telah berlalu. Adakalanya berkaitan dengan peristiwa semasa dan adakalanya berkaitan dengan peristiwa yang akan berlaku. Antara contoh soalan bagi peristiwa yang telah berlalu ialah firman Allah:

Bermaksud: Dan mereka akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zul Qarnain. Katakanlah: Aku akan baca kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya. (al-Kahfi: 83)

Antara contoh soalan bagi peristiwa semasa ialah firman Allah: Bermaksud: Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.” Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya. (al-Baqarah: 215)

Dan antara contoh soalan bagi peristiwa yang akan berlaku pula ialah firman Allah s.w.t. berikut: Bermaksud: Mereka (yang ingkar) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: bilakah masa datangnya? (an-Naazi’at: 42)

FAEDAH MENGETAHUI SEBAB-SEBAB TURUN AYAT-AYAT AL-QURAN

Kefahaman yang tepat dan lengkap tentang ayat-ayat tertentu di dalam al-Qur’an sangat bergantung kepada pengetahuan tentang sebab-sebab turunnya. Oleh itu perlu sekali ia dikuasai. Silap teruk orang-orang yang menganggap pengetahuan tentang sebab-sebab turun ayat al-Qur’an itu tidak lebih daripada pengetahuan sejarahnya semata-mata.

Para ‘ulama’ telah menyebutkan banyak faedahnya mengetahui sebab-sebab turun ayat-ayat al-Qur’an yang tertentu. Di bawah ini dikemukakan beberapa yang terpenting sahaja daripadanya:

1) Dapat mengetahui maksud sebenar bagi ayat-ayat berkenaan. Kata al-Waahidi, “Tafsiran sebenar sesetengah ayat tidak mungkin diketahui tanpa terlebih dahulu mengetahui kisah atau sebab kenapa ia diturunkan.” Ibnu Daqiqil ‘Iid berkata, “Pengetahuan tentang sebab turun sesuatu ayat merupakan saluran yang kuat untuk memahami ma’na al-Qur’an.” Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata, “Pengetahuan tentang sebab turun sesuatu ayat membantu anda memahaminya. Ini kerana pengetahuan tentang sebab sesuatu akan membawa kepada pengetahuan tentang musabbabnya.” As-Suyuthi di dalam Lubaab an-Nuqulnya pula berkata, “Makna sekian banyak ayat-ayat al-Qur’an pernah tidak dapat difahami dengan pasti oleh sekumpulan ‘ulama’ salaf. Setelah mereka mengetahui sebab-sebab turunnya, barulah hilang segala kekeliruan mereka.”

Di bawah ini dikemukakan beberapa contoh yang membenarkan kata-kata para ‘ulama’ yang dinukilkan tadi tentang betapa pentingnya mengetahui sebab-sebab turun ayat dan betapa ia dapat membantu anda memahami maksud sebenarnya.

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 55 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 10) 

Leave a comment