Usul Tafsir al-Quran – Sesi 56 – USUL KE 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 01m 05s] – Sesi 56 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/T10ZH4WlsBE ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:31 : Faedah Mengetahui Sebab-sebab Turun Ayat-Ayat Al-Quran

2- 02:41 : Menghadap Kiblat Ketika Solat & Tidak Ada Pertentangan Di Antara Satu Ayat Al-Quran Dengan Ayat Al-Quran Yang Lain

3- 32:30 : Sahabat Nabi s.a.w Salah Faham Tentang Ayat al-Quran Tentang Arak

4- 47:17 : Cerita Nabi s.a.w Berhijrah Dengan Abu Bakar r.a

5- 50:01 : Cerita Tentang Peristiwa Perang Badar

6- 52:21 : Perintah Allah s.w.t. Supaya Maryam Goncangkan Pokok Kurma Dan Mengetahui Maksud Sebenar Ayat-ayat Berkenaan

NOTA RINGKAS

USUL 16- MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

(c) Lihat pula seterusnya firman Allah di bawah ini:

Bermaksud: “Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadap disitulah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya) lagi Maha Mengetahui” (al-Baqarah:115).

Tanpa melihat kepada sebab turun ayat ini, seseorang yang membacanya mungkin sekali akan menyimpulkan bahawa menghadap qiblat adalah sesuatu yang tidak diperlukan untuk sembahyang. Ia boleh saja menghadap ke arah yang dikehendakinya, asalkan ia berniat menghadap Allah. Kerana Allah ada di setiap arah yang dihadapinya. Sedangkan di dalam ayat yang lain (Lihat sebagai contohnya ayat 144 surah al-Baqarah) Allah memerintahkan hamba-hambaNya, biar di mana pun mereka berada agar menghadap ke arah Masjidil Haram sebagai qiblat apabila bersembahyang. Sekali pandang dua ayat yang dikemukakan itu kelihatan bertentangan dan anda akan berada dalam kesukaran untuk memilih mana satu daripada keduanya yang harus dijadikan panduan. Tetapi jika anda mengetahui sebab turun ayat 115 yang dikemukakan itu, anda akan mendapati tidak ada sebarang pertentangan di antara keduanya. Kedua-duanya harus digunakan untuk keadaan yang berbeza sebenarnya. Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan, “Ketika dalam perjalanan dari Mekah ke Madinah nabi s.a.w. sering bersembahyang dalam keadaan berkenderaan tanpa mempedulikan sama ada baginda menghadap kearah Ka’bah (qiblat) atau pun tidak”. Kata beliau, “Berhubung dengannyalah turun ayat ini:فأَينَمَا تُوَلوا فَثَم وَجهُ الله (maka ke mana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah).(Hadith riwayat Muslim)

Hadith ini menunjukkan sebab turun ayat 115 di dalam surah ai-Baqarah itu berkaitan dengan sembahyang sunat di atas kenderaan ketika dalam perjalanan (musafir) sahaja. Ia boleh terus dikerjakan sama ada dalam keadaan seseorang itu menghadap qiblat atau pun tidak. Hukum ini tidak umum untuk semua keadaan.

Abdullah bin ‘Abbas pula berkata ketika menerangkan sebab turun ayat yang sama, “Bila qiblat orang-orang Islam dialihkan dari Baitulmaqdis ke Ka’bah, maka orang-orang Yahudi mengkritik dengan mengatakan: “Apakah sebab perubahan ini?” Maka turunlah ayat 115 yang mana kesimpulan maksudnya ialah “semua pihak atau arah itu dibuat oleh Allah dan Allah ada di pihak mana sekalipun. Oleh itu, jika Dia memerintahkan seseorang mengarahkan manusia agar menghadap ke pihak mana sekali pun, baik ke timur atau ke barat ketika sembahyang, menjadi wajiblah kepadanya menurut perintah itu”.

Walaupun terdapat beberapa riwayat tentang sebab turun ayat berkenaan di dalam kitab-kitab Tafsir, namun riwayat Ibnu Umar di atas adalah yang paling sahih berhubung dengan sebab turunnya.

(d) Akhir sekali lihatlah firman Allah di bawah ini sebagai contohnya:

Bermaksud: “Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertakwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (al-Maaidah:93).

Dengan melihat kepada zahir ayat ini mungkin boleh dikatakan bahawa tidak ada apa pun yang haram dimakan atau diminum oleh orang Islam asalkan dia beriman, takut kepada Tuhan dan mengerjakan amal soleh. Dia boleh memakan apa saja yang dikehendakinya.

Oleh kerana ayat itu disebut selepas pengharaman arak, mungkin ada orang yang menyimpulkan bahawa ayat ini membenarkan orang yang beriman dan beramal soleh meminum arak.

Apa yang penulis sebutkan ini bukan andaian dan kemungkinan semata-mata, bahkan telah ada di kalangan sahabat sendiri yang terkeliru apabila membaca ayat ini. Mereka menjadikan ayat ini sebagai dalil apabila menyatakan pendapat bahawa “peminum arak juga pada masa lalu jika seorang yang baik, tidaklah dikenakan hukuman had ke atasnya”.

Setelah Ibnu Abbas menyatakan sebab nuzul ayat ini kepada mereka, barulah hilang kekeliruan mereka.

Sebenarnya latar belakang ayat ini ialah apabila telah turun ayat yang mengharamkan arak dan judi maka sebahagian sahabat bertanya, “Bagaimana keadaan sahabat yang telah meninggal dunia sebelum turunnya hukum haramnya arak dan judi itu, sedangkan ia meminum arak dan berjudi sepanjang hayatnya?”. Maka turun ayat ini yang bermaksud: “Mana-mana orang mu’min yang minum arak atau makan harta hasil perjudian sebelum turunnya ayat tentang haram kedua-duanya, tidaklah ia berdosa dan akan diseksa dengan syarat dia adalah seorang mu’min dan patuh dengan hukum Allah s.w.t. pada masa lalu.”

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 56 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 10) 

Leave a comment