Usul Tafsir al-Quran – Sesi 57 – (Sambungan) Usul No 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 03m 38s] – Sesi 57 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/spFyRf-TaB0 ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:06 : Cara-cara Mengetahui Sebab-Sebab Turun Ayat

2- 10:58 : Para Ulama’ Berbeza Pendapat Tentang Kata-kata Sahabat “Nazalat Fi Kaza”

3- 26:30 : Khilaf Tentang Membaca Surah al-Fatihah Dalam Solat Dan Sebab Nuzul

4- 48:53 : Ayat yang Turun Tentang Bal’am bin Ba’ura, Umayyah Bin Abi Sald, Abu Amir Ar-Rahib, Orang-Orang Yahudi Yang Munafik

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

CARA-CARA MENGETAHUI SEBAB-SEBAB NUZUL (TURUN) AYAT

Para ulama’ mengatakan, tidak ada jalan untuk mengetahui sebab-sebab turun ayat melainkan melalui nukilan riwayat yang sahih. Tidak harus seseorang memperkatakannya melainkan ia mengetahui tentangnya melalui riwayat-riwayat yang boleh dipercayai.

Kata al-Waahidi, “Tidak halal berbicara tentang sebab-sebab turun ayat-ayat al-Qur’an melainkan berasaskan riwayat dan apa yang didengari daripada orang-orang yang menyaksikan penurunannya secara langsung dan mereka sememangnya mengetahui tentang sebab-sebabnya.” (Lihat Asbabu an-Nuzul m/s 8).

Perlulah diketahui bahawa perawi adakalanya menyebutkan dengan jelas, ayat ini turun dengan sebab peristiwa sekian-sekian. Adakalanya pula ia berkata, ayat ini turun berhubung dengan sekian-sekian perkara.

Apabila sebab nuzul diriwayatkan dengan terang daripada seorang sahabat, maka ia dikira seperti riwayat marfu’ dan musnad menurut jumhur Muhadditsin. Ada pun apabila ia berkata نزلت في كذا (ia turun berhubung/ berkaitan sekian-sekian), maka para riwayat musnad, sementara orang-orang lain tidak memasukkannya dalam riwayat musnad yang marfu’. Sebabnya ialah kata-kata seperti ini berkemungkinan menyatakan sebab. Ia juga berkemungkinan termasuk dalam bab beristidlal dengan ayat (tertentu).

Kerana sudah kebiasaan mereka mengatakan begitu untuk menyatakan hukum-hukum yang boleh termasuk di bawah ayat-ayat berkenaan.

Al-Imam Ibnu Taimiyyah di dalam Muqaddimah Tafsirnya berkata: “Kata mereka, نزلت هذه الأية في كذا (ia turun berhubung/ berkaitan dengan sekian-sekian), kadang-kadang dimaksudkan dengannya sebab turun ayat itu. Kadang-kadang pula dimaksudkan bahawa perkara tertentu juga termasuk dalam kehendak ayat, walaupun ia sebenarnya bukanlah merupakan sebab turunnya. Para ulama’ berbeda pendapat tentang kata-kata sahabat, نزلت في كذا (ia turun berhubung / berkaitan sekian-sekian); adakah ia dikira sebagai riwayat musnad sebagaimana kalau ia menyebutkan sebab sebenarnya atau ia dikira sebagai tafsiran semata-mata, bukan sebagai musnad? Imam Bukhari menganggapnya termasuk dalam riwayat musnad. Kebanyakan kitab-kitab musnad seperti Musnad Ahmad dan lain-lain mengikut qaedah kedua. Keadaan berbeza jika seseorang sahabat menyebutkan sebab sebenar bagi turunnya ayat berkenaan. Semua ulama’ bersepakat tentang cerita sahabat yang seperti itu dikira sebagai musnad. (Lihat fatwa Ibni Taimiyyah j.13 m/s 339-340).

Al-Imam az-Zarkasyi pula berkata: “Sudah menjadi adat para sahabat dan at-Tabi’in apabila seseorang daripada mereka berkata, نزلت هذهالأية في كذا (ayat ini turun berhubung/berkaitan dengan sekian-sekian), maka ertinya ialah ayat berkenaan juga mengandungi atau menunjukkan hukum yang disebut mereka. Ia tidak bererti perkara yang disebut mereka itu merupakan sebab bagi turunnya ayat berkenaan. Sekumpulan muhadditsin menganggap kata-kata seperti itu sebagai riwayat marfu’ dan musnad. Tetapi Imam Ahmad tidak menganggapnya musnad. Demikian juga Imam Muslim dan lain-lain. Mereka menganggap kata-kata sahabat dan Tabi’in yang seperti itu tidak lebih daripada ta’wilan dan tafsiran mereka sahaja. Ia bagi mereka termasuk dalam bab nukilan tentang apa yang telah berlaku. (Lihat al-Burhan j.1 m/s 32).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 57 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 10) 

NOTA USUL TAFSIR – SESI 57 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 11)

Leave a comment