VIDEO – [Durasi 1j 10m 23s] – Sesi 58 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya
TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN
1- 00:29 : Sebab Turun Ayat Dan Apa Yang Bersesuaian Dengannya
2- 06:00 : Apabila Seseorang Perawi Berkata “Nazalat Fi Kaza”, Maksudnya, “Ayat Ini Turun Berkenaan Dengan Sekian” Dan Perawi Lain Juga Menggunakan Ungkapan Yang Sama, Cuma Masing-masing Menyebutkan Perkara Yang Berbeza
3- 10:08 : Apabila Dibacakan Al-Quran Dengarlah Baik-baik, Diam Dan Perhatikan Dengan Tenang Apa Yang Dibaca Itu Agar Kamu Mendapat Rahmat
4- 29:47 : Adapun Sebab Sebenar Turun Ayat Dan Al-Quran Adalah Mukjizat
5- 40:42 : Apabila Seseorang Perawi Dari Kalangan Sahabat Atau Tabi’in Menyebutkan Sesuatu Perkara Sebagai Sebab Yang Jelas Bagi Turunnya Sesuatu Ayat, Sedangkan Ada Pula Perawi Yang Menyebutkan Perkara Lain Sebagai Sebabnya Dengan Ungkapan “Nazalatil Ayah Fi Kaza” ayat Ini Turun Berkenaan Sekian-sekian Atau “Nazalatil Ayah, Unzilatil Ayah Fi Kaza” Maka Yang Harus Dipegang Dan Diambil Kira Sebagai Sebab Sebenarnya Ialah Riwayat Perawi Yang Pertama, Riwayat Kedua Harus Diterima Sebagai Kesimpulan Yang Dibuat Perawi Daripada Ayat Berkenaan Sahaja
6- 42:54 : Maksud Ayat al-Quran Yang Mafhumnya, “Isteri-Isteri Kamu Adalah Ladang-Ladang Kamu”
7- 50:53 : Beberapa Orang Perawi Menyebutkan Sebab Nuzul Bagi Sesuatu Ayat Tetapi Menyebutkan Sebab Yang Berbeza, Dan Isnad Salah Satu Daripadanya Sahih Sedangkan Yang Lain Tidak Sahih, Maka Yang Harus Diterima Riwayat Yang Sahih Isnadnya
8- 51:26 : Cerita Anak Anjing Yang Mati Di Bawah Katil Nabi s.a.w
NOTA RINGKAS
USUL TAFSIR AL-QURAN
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA
CARA BERINTERAKSI DENGAN BEBERAPA SEBAB TURUN AYAT
Para ulama’ Tafsir seringkali menyebutkan beberapa sebab bagi turunnya sesuatu ayat. Dalam keadaan ini para pembaca akan mengalami sedikit kesukaran dan kesulitan untuk menentukan mana satu daripadanya sebagai sebab sebenar. Keadaan ini tidak sepatutnya dianggap sebagai suatu pertentangan yang menimbulkan kemusykilan. Apa yang perlu dilakukan oleh seseorang pelajar tafsir ialah mengetahui bentuk-bentuknya dan kemudian mengetahui pula cara-cara berinteraksi dengannya.
Di bawah ini dikemukakan beberapa bentuk sebab turun sesuatu ayat:
Bentuk Pertama: Apabila seseorang perawi berkata, نزلت في كذا (ayat ini turun berkenaan Dengan sekian), dan perawi lain juga menggunakan ungkapan yang sama (نزلت في كذا) , cuma masing-masing daripada mereka menyebutkan perkara yang berbeza. Dalam keadaan ini, tidak ada pertentangan sebenarnya, kerana ia adalah suatu istilah yang digunakan oleh salaf untuk mengatakan apa yang tersebut di dalam riwayatnya tepat juga dengan ayat berkenaan. Maksud ayat berkenaan begitu luas sehingga ia boleh merangkumi kedua-dua perkara atau mungkin lebih lagi daripada dua perkara yang tersebut di dalam riwayat-riwayat. Ungkapan itu tidak semestinya bererti apa yang tersebut di dalam riwayat yang dikemukakan oleh seseorang adalah sebab sebenar bagi turunnya ayat.
Firman Allah di dalam Surah al-A’raaf ini adalah sebaik-baik contohnya:
Bermaksud: Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat. (al-A’raaf:20).
Di dalam Tafsir at-Thabari tersebut beberapa riwayat daripada sahabat dan Tabi’in yang mengatakan ayat ini turun berkenaan dengan shalat, di mana para ma’mum diperintahkan agar diam dan mendengar betul-betul apa yang dibaca oleh imam. Sementara di dalam beberapa riwayat yang lain pula, ia juga daripada sahabat dan Tabi’in, tersebut ia berkenaan dengan khutbah Jumaat dan khutbah dua hari raya.
Ketika mendengar khatib berkhutbah -yang tentunya ada mengandungi ayat-ayat al-Quran – orang ramai diperintahkan agar diam dan mendengarnya dengan tenang. Tidak dinafikan ada sebahagian daripada riwayat yang dikemukakan oleh at-Thabari itu dhaif sanadnya, tetapi bukan semuanya dhaif.
Firman Allah di dalam Surah al-A’raaf ini adalah sebaik-baik contohnya:
Bermaksud: Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat. (al-A’raaf:20). Di dalam Tafsir at-Thabari tersebut beberapa riwayat daripada sahabat dan Tabi’in yang mengatakan ayat ini turun berkenaan dengan shalat, di mana para ma’mum diperintahkan agar diam dan mendengar betul-betul apa yang dibaca oleh imam. Sementara di dalam beberapa riwayat yang lain pula, ia juga daripada sahabat dan Tabi’in, tersebut ia berkenaan dengan khutbah Jumaat dan khutbah dua hari raya. Ketika mendengar khatib berkhutbah -yang tentunya ada mengandungi ayat-ayat al-Quran – orang ramai diperintahkan agar diam dan mendengarnya dengan tenang. Tidak dinafikan ada sebahagian daripada riwayat yang dikemukakan oleh at-Thabari itu dhaif sanadnya, tetapi bukan semuanya dhaif.
Orang-orang yang mengetahui istilah salaf berhubung dengan perkara ini pula akan menghadapinya dengan tenang saja, kerana ia sedar bahawa semua yang tersebut di dalam riwayat-riwayat itu merupakan “Mashadaqaat” atau perkara-perkara yang boleh termasuk di bawah mahfum ayat 204 Surah Al-A’raf itu, dengan erti ia juga bertepatan dengan kehendaknya. Meskipun ia bukan merupakan sebab asal bagi turunnya ayat tersebut. Mafhumnya bahkan boleh juga merangkumi orang-orang tidak sedang bersembahyang atau mendengar khutbah Jumaat dan khutbah dua hari raya. Orang-orang yang tidak berada dalam keadaan itu juga tentunya boleh mendapat rahmat jika diam dan mendengar dengan baik apabila al-Quran dibacakan.
Adapun sebab sebenar bagi turunnya ayat 204 Surah al-A’raf itu, maka dengan mudah saja dapat dikesan apabila anda merenungi siyaq dan sibaqnya. Ayat 203 sebelumnya itulah sebenarnya sebab turun bagi ayat 204. Anda dapat mengesannya tanpa keluar daripada al-Quran dan tanpa memerlukan riwayat-riwayat berupa hadith atau atsar. Apa yang tersebut di dalam hadith dan atsar, maka itu tidak lebih daripada penjelasan tambahan tentang perkara-perkara yang boleh juga termasuk di bawah mafhum ayat berkenaan. Perihatikan ayat 203 yang merupakan sebab sebenar bagi turunnya ayat 204 selepasnya. Allah berfirman, bermaksud, “Dan apabila kamu tidak membawa suatu mu’jizat kepada mereka, mereka berkata: “Mengapa kamu tidak memilih mu’jizat itu?” Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya mengikut apa yang diwahyukan dari Tuhanku kepadaku. Al-Quran ini adalah bukti-bukti yang nyata dari Tuhanmu, petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (al-A’raaf:203).
Ayat 203 ini menyatakan soalan orang-orang kafir Mekah yang penuh dengan ejekan dan kedegilan. Mereka memerli Nabi s.a.w dengan berkata, “Bukankah engkau menda’wa dirimu sebagai seorang dan utusan Allah? Kalau engkau benar-benar nabi dan utusan Allah, tentu engkau dapat mengemukakan mu’jizat yang kami minta supaya ditunjukkan. Tentu engkau dapat memilih mana-mana satu daripadanya! Tetapi jelas engkau tidak dapat mengemukakan setiap mu’jizat yang kami minta. Sebagai membalas soalan mereka yang penuh dengan ejekan dan cemuhan itu Allah menyuruh NabiNya Muhammad s.a.w. berkata, al-Quran itulah mu’jizat yang terbesar bagimu. Ia mengemukakan bukti-bukti yang nyata dari tuhanmu, ia juga merupakan petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Jika kamu hendak dapat manafaat daripada bukti-bukti yang terkandung di dalamnya dan hendak mendapat petunjuk dan rahmat daripadanya, maka kamu hendaklah dengar baik-baik dan diam apabila ia dibacakan di hadapanmu, jangan pula kamu tidak mahu mendengar, sebaliknya membuat bising.
Apa yang terkandung di dalam ayat ke-203 itulah sebab sebenar bagi ayat ke-204 Surah al-A’raaf.
Bentuk Kedua: Apabila seseorang perawi dari kalangan sahabat atau Tabi’in menyebutkan sesuatu perkara sebagai sebab yang jelas bagi turunnya sesuatu ayat, Sedangkan ada pula perawi yang menyebutkan perkara lain sebagai sebabnya dengan ungkapan نزلت الآية في كذا (ayat ini turun berkenaan dengan sekian-sekian) atau انزلت الآية في كذا (ayat ini diturunkan berkenaan dengan sekian-sekian), maka yang harus dipegang dan diambil kira sebagai sebab sebenarnya ialah riwayat perawi yang pertama. Riwayat kedua haruslah diterima sebagai kesimpulan yang dibuat perawi daripada ayat berkenaan sahaja atau ia hanya merupakan apa yang difahami perawi sebagai perkara yang juga termasuk di bawah ayat berkenaan sahaja.
Contohnya ialah riwayat Ibnu Umar, kata beliau, “Firman Allah (نسائكم حرث لكم) diturunkan berkenaan dengan menyetubuhi isteri-isteri pada dubur-dubur mereka. (Atsar riwayat Bukhari). Sedangkan riwayat Jaabir menyebutkan dengan terang bahawa orang-orang Yahudi berkata, “Anak hasil persetubuhan pada qubul isteri melalui duburnya akan menjadi juling.” Maka Allah menurunkan firmanNya: (نسلئكم حرث لكم) (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Daarimi dan lain-lain)
Yang harus diterima sebagai sebab sebenar bagi ayat itu ialah apa yang terkandung di dalam riwayat Jabir. Apa yang tersebut di dalam atsar Ibnu ‘Umar itu pula haruslah diterima sebagai kesimpulan yang difahaminya daripada ayat berkenaan sahaja.
BENTUK KETIGA: Beberapa orang perawi menyebutkan sebab nuzul bagi sesuatu ayat atau ayat-ayat tertentu, tetapi masing-masing mereka menyebutkan sebab yang berbeza. Isnad salah satu daripadanya sahih, sedang yang lain tidak sahih, maka yang harus diterima ialah riwayat yang sahih. Contohnya ialah satu riwayat yang dinukilkan daripada Jundab bin Sufyan, kata beliau: “Nabi s.a.w jatuh sakit. Beliau s.a.w tidak dapat bangun (beribadat) selama satu malam atau dua malam. Tiba-tiba datang seorang wanita, lantas dia berkata, “Wahai Muhammad! Aku rasa Syaitanmu memang telah meninggalkanmu. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya:
وَالضُّحَى (1) وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى (2) مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى (3)
Bermaksud: Demi waktu matahari sepenggalahan naik (1) dan demi malam apabila telah sunyi (gelap) (2) Tuhanmu tiada meninggalkanmu dan tiada (pula) benci kepadamu (3) (ad-Dhuha:1-3). (Atsar riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).
Di sana terdapat satu lagi riwayat yang menyebut tentang sebab nuzul ayat-ayat itu. at-Thabaraani, Abu Nu’aim dan Ibnu Abi ‘Aashim menukilkan satu riwayat daripada Hafsh bin Sa’id al-Qurasyi, katanya: Ibuku menceritakan kepadaku daripada ibunya, ibunya perrnah berkhidmat kepada Nabi s.a.w., katanya: “Seekor anak anjing masuk ke dalam rumah Nabi s.a.w. Ia kemudiannya mati di bawah katil. Selama empat hari Nabi s.a.w berada dalalm keadaan tidak menerima apa-apa wahyu. Maka Beliau s.a.w. bersabda, “Wahai Khaulah! Apakah yang berlaku di dalam rumah Rasulullah (s.a.w.)? Jibril tidak datang kepadaku.” Jawabnya, “Wahai Rasulullah, tidak ada hari sebaik hari ini.” Lalu Beliau s.a.w. memakai selimut dan keluar dari rumah. Aku terus terfikir untuk menyapu dan membersihkan rumah. Apabila aku menghulurkan penyapu di bawah katil, tiba-tiba aku berasa semacam ada sesuatu benda berat. Aku pun mengheretnya keluar, rupa-rupanya ia seekor anak anjing yang mati di bawah katil. Aku membuangnya di belakang rumah. Apabila Nabi s.a.w. datang, terus janggut Beliau menggeletar. Beliau s.a.w. biasanya akan menggeletar bila mendapat wahyu. Pada ketika itu Allah menurunkan firmanNya:
وَالضُّحَى (1) وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى (2) مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى (3)
(Hadith riwayat at-Thabaraani di dalam al-Mu’jam al-Kabir j.2 m/s 249, Abu Nu’aim di dalam Ma’rifatu as-Sahabah j.23 m/s 97, Ibnu Abi ‘Aashim – al-Aahaad Waal-Matsaani j.6 ms 211).
Di dalam sanad hadith ini terdapat perawi majhul iaitu Abu Hafsh bin Sa’id al-Qurasyi. Kata al-Haitsami, “Di dalam sanadnya ada orang yang aku tak kenal.” Selain itu ia juga bercanggah dengan hadith sahih. Kata Hafiz Ibnu Hajar, “Ia terdapat di dalam at-Thabaraani dengan isnad daripada perawi yang tidak dikenali (majhul), bahawa sebab nuzulnya ialah adanya anak anjing di bawah beliau tanpa disedari beliau. Kerana itulah Jibril tidak datang selama beberapa hari. Kisah lambat datangnya jibril kepada Nabi s.a.w. kerana adanya anak anjing (yang mati) di bawah katil Nabi s.a.w. adalah suatu kisah yang masyhur, tetapi ia yang menjadi sebab kepada turunnya ayat-ayat itu (3 ayat di permulaan Surah ad-Dhuha) adalah ganjil (غريب), bahkan ia syadz dan tertolak dengan hadith sahih (yang tersebut tadi). (Lihat Fathul Baari j8 m/s 710).
NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
NOTA USUL TAFSIR – SESI 58 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 11)
