VIDEO – [Durasi 1j 0m 27s] – Sesi 59 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/jU7WcJMs0bI ]
TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN
1- 00:35 : Sebab Turun Ayat Dan Apa Yang Bersesuaian Dengannya
2- 05:54 : Dalam Keadaan Kedua-dua Hadith Yang Menyatakan Sebab Turun Sesuatu Ayat Sama-sama Sahih, Perlulah Mencari Sebab Yang Mentarjihkan, Salah Satu Daripada Dua Sebab Tersebut Dari Luar
3- 11:14 : Orang-Orang Yahudi Bertanya Tentang Roh Kepada Nabi s.a.w
4- 24:41 : Keadaan Dimana Jika Kedua-dua Hadith Sama Daripada Segi Kesahihan Dan Tiada Apa-apa Sebab Yang Mentarjihkan Salah Satu Daripadanya, Tetapi Kedua-duanya Boleh Dijamak (Boleh Diguna Kedua-dua Hadith Tersebut) Dengan Dikatakan Tiap-tiap Satu Riwayat Merupakan Sebab Bagi Turunnya Ayat Tertentu Secara Berasingan
5- 27:02 : Cerita Tentang Li’an Iaitu Suami Menuduh Isteri Berzina)
6- 49:14 : Penzina Lelaki Tidak Akan Berkahwin Melainkan Dengan Penzina Perempuan
NOTA RINGKAS
USUL TAFSIR AL-QURAN
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA
CARA-CARA BERINTERAKSI DENGAN BEBERAPA SEBAB TURUN AYAT – BENTUK KE EMPAT
BENTUK KEEMPAT: Dalam keadaan kedua-dua hadith yang menyatakan sebab turun sesuatu ayat sama-sama sahih, perlulah dicari sebab yang mentarjihkan salah satu daripada dua sebab tersebut dari luar, seperti
(a) Mempastikan salah satu daripada dua riwayat itu lebih sahih daripada yang satu lagi.
(b) Perawi salah satu daripada dua riwayat berkenaan terlibat secara langsung dalam peristiwa yang dikatakan sebagai sebab turun ayat.
(c) Atau lain-lain sebab dan alasan yang boleh mentarjihkan salah satu daripada dua riwayat.
Contohnya ialah hadith yang dikemukakan oleh Ibnu Mas’ud, kata beliau: “Pernah aku berjalan bersama Nabi s.a.w. di Madinah. Baginda bertongkat dengan pelepah kurma (yang tidak berdaun). Ketika kami lalu di hadapan sekumpulan orang-orang Yahudi, sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain, “Bagus juga kalau kamu bertanya dia (tentang sesuatu perkara yang agak sulit dan mencabarnya).” Lalu mereka bertanya (Nabi s.a.w.) “Ceritakanlah kepada kami tentang roh.” Nabi s.a.w. berdiri sejenak sambil mendongakkan kepalanya. Maka fahamlah aku bahawa Baginda sedang mendapat wahyu. Setelah selesai menerima wahyu Baginda membacakan ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (al-Israa’:85). (Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tarmizi dan Ahmad).
Di sana terdapat satu lagi riwayat berhubung dengan ayat yang sama. Ia dinukilkan daripada Ibnu `Abbas, kata beliau: “Orang-orang Quraisy berkata kepada orang-orang Yahudi, berilah kepada kami sesuatu yang dapat kami tanya orang ini ( Nabi Muhammad s.a.w ).” Kata orang-orang Yahudi., “Tanyalah dia tentang roh.” Orang-orang Quraisy pun bertanyalah Nabi s.a.w tentangnya. Lalu Allah menurunkan firmanNya, bermaksud: “Dan mereka bertanya bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan kecuali sedikit.” (al-Israa’:85).(Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ahmad).
Hadits Ibnu `Abbaas ini berbeza daripada hadith Ibnu Mas’ud tadi. Riwayat Ibnu Mas’ud dianggap lebih rajih (kuat) kerana dua alasan. (i) Ia lebih sahih daripada riwayat Ibnu ‘Abbaas, kerana ia terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. (ii) Ibnu Mas’ud yang meriwayatkan hadits itu terlibat secara langsung dalam peristiwa yang diriwayatkannya.
BENTUK KELIMA: Bentuk kelima ialah kedua-dua hadits sama daripada segi kesahihan, dan tiada apa-apa pula sebab yang mentarjihkan salah satu daripadanya. Tetapi kedua-duanya boleh dijama` dengan dikatakan tiap-tiap satu riwayat merupakan sebab bagi turunnya ayat tertentu secara berasingan. Ini kerana sebab bagi turunnya ayat boleh jadi berbilang ( tidak satu sahaja ). Kata Imam Ibnu Taimiyyah, “Apabila seseorang daripada mereka (sahabat atau Tabi’in) menyebutkan sesuatu sebab yang lain bagi ayat sama, maka kedua-duanya boleh jadi benar sebagai sebab turunnya, mengambil kira ayat berkenaan turun selepas berlakunya beberapa sebab yang disebut (di dalam riwayat-riwayat yang berbeza-beza itu).(Lihat Ibnu Taimiyyah – al-Fatawa al-Kubra, j.13 m/s 340).
Antara contoh yang dapat dikemukakan untuk bentuk kelima ini ialah hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari, Ibnu Majah dan lain-lain daripada Ibnu `Abbaas bahawa Hilal bin Umaiyyah telah menuduh isterinya bermukah (berzina) dengan Syarik bin Sahmaa’ di hadapan Nabi s.a.w. Maka Nabi s.a.w bersabda “Sama ada engkau kemukakan bukti atau belakangmu dipukul kerana menjalani hukuman had.” Kata Hilal, “Wahai Rasulullah! Apabila seseorang daripada kami melihat lelaki bersama isterinya, apakah dia perlu pergi mencari bukti?” Maka Allah s.w.t menurunkan firmanNya kepada Nabi s.a.w. , surah An-Nur:6 hingga 9. (Hadits riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad ad-Daaraquthni, al-Haakim dan lain-lain)
Di dalam riwayat Sahl bin Sa`ad terdapat satu riwayat lain tentang sebab turunnya ayat 6 hingga9 Surah an-Nur itu. Katanya, “`Uwaimir datang kepada `Aashim bin `Adi, katanya tolong tanya Rasulullah s.a.w., “Apa katamu tentang seorang laki-laki yang mendapati bersama isterinya ada laki-laki lain, apakah patut ia membunuhnya, nanti kamu membunuhnya pula, atau apa harus dia lakukan”. Maka `Aashim bertanya Rasulullah s.a.w. Rasulullah pula mencelanya yang bertanya. `Aashim memberitahu `Uwaimir tentang apa yang berlaku. Lantas `Uwaimir berkata, “Aku akan terus bertanya Rasulullah s.a.w.” Lalu dia pergi bertemu baginda dan bertanya lagi. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya al-Quran telah diturunkan tentangmu dan isterimu”. Bacalah hadits seterusnya (Hadits riwayat Bukhari, Muslim Abu Daud, Nasaa’i, Tirmidzi, Ibnu Majah, Daarimi dan Malik)
NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
NOTA USUL TAFSIR – SESI 59 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 11)
