Usul Tafsir al-Quran – Sesi 70 – (Sambungan) Usul No 17 – Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat Yang Dimansuhkan

VIDEO – [Durasi 1j 24m 45s] – Sesi 70 – Usul No 17 -Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/fkbl50R-BBY ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:00:07 : Ayat-ayat Al-Quran Yang Dimansukhkan Menurut Kaedah Ulama’ Muta’akhkhirin – Contoh Ketiga, Ayat 183 Dan Ayat 187 Surah al-Baqarah, Umat Islam Diwajibkan Berpuasa Seperti Mana Umat-umat Sebelum Kita Juga Diwajibkan Berpuasa, Dan Pendapat Shah Waliyullah

2- 00:23:00 : Antara Faedah-Faedah Berpuasa

3- 00:59:30 : Contoh Yang Keempat – Ayat 217 Surah al-Baqarah Dimansukhkan Dengan Ayat 36 Surah Taubat Tentang Haram Berperang Di Bulan-bulan Haram, Dan Pendapat Shah Waliyyullah Mengenainya

4- 01:18:20 : Terkumpulnya Hari-hari Dengan Sebab Kejadian Alam

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN

NOTA KULIAH

(3) Ayat 183 Surah al-Baqarah, iaitu:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (183)

Bermaksud:Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (al-Baqarah : 183).

Di dalam ayat ini Allah mengatakan “diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan orang-orang sebelum kamu”. Sebagaimana orang-orang sebelum kamu dilarang bersetubuh dengan isteri pada waktu malam hari berpuasa, maka begitulah juga dengan kamu.

Sesetengah `ulama’ mengatakan ia telah dimansukhkan oleh firman Allah di bawah ini. Lihat khususnya bahagian yang bergaris di bawahnya:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ فَالْآَنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آَيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ (187)

Bermaksud: Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamupun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi ma`af kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu mencampuri mereka itu, sedang kamu beri`tikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertaqwa. (al-Baqarah : 187).

Sesetengah `ulama’ pula mengatakan yang dimansukhkannya ialah hadits Rasulullah s.a.w., bukan ayat 183 Surah al-Baqarah tadi. Ini kerana di peringkat permulaannya orang-orang yang berpuasa dilarang daripada bersetubuh dengan isteri-isteri mereka pada malam hari berpuasa.

Shah Waliyullah menolak kedua-dua pendapat tersebut. Bagi beliau ia tidak memansukhkan ayat 183 dan tidak juga memansukhkan mana-mana hadits Rasulullah s.a.w. Ayat 183 hanya bermaksud menyatakan kita umat Islam diwajibkan berpuasa seperti mana umat-umat sebelum kita juga diwajibkan berpuasa. Itu saja. Ia tidak bererti kita terikat dengan segala tatacara berpuasa mereka semua sekali. Tidak benar juga mengatakan ia memansukhkan hadits Rasulullah s.a.w., kerana tidak diketahui Rasulullah pernah melarang umatnya bersetubuh pada waktu malam di bulan puasa. Apa yang berlaku ialah amalan orang-orang jahiliah dan amalan pengikut saki-baki ajaran nabi-nabi terdahulu yang tidak dipastikan kebenarannya, Itulah yang menjadi amalan ikutan umum masyarakat apabila mereka berpuasa. Ayat 187 Surah al-Baqarah itu bagi Shah Waliyullah hanya menghapuskan adat resam jahiliah dalam berpuasa atau ia menghapuskan dan memansukhkan syari`at terdahulu jika ia benar-benar merupakan sebahagian daripada ajarannya.

(4) Firman Allah s.w.t. berikut juga dikatakan mansukh:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ وَصَدٌّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِنْدَ اللَّهِ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّى يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (217)

Bermaksud: Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, dan kufur kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. (al-Baqarah : 217)  

Ibnu Jariri at-Thabari menukilkan di dalam Tafsirnya Jami`ul Bayan daripada `Athaa’ bin Maisarah bahawa beliau mengatakan, ayat 217 Surah al-Baqarah itu dimansukhkan oleh firman Allah berikut. Perhatikan khususnya bahagian yang bergaris di bawanya:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ (36)

Bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yan dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah  sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa. (at-Taubah : 36)  

Menurut Shah Waliyullah, ayat 217 di dalam Surah al-Baqarah itu tidak menunjukkan haram berperang di bulan-bulan haram. Ia sebaliknya menunjukkan keharusan berperang padanya. Setelah diterima kehormatan bulan-bulan haram, dinyatakan pula sebab-sebab yang mengharuskan berperang walaupun di bulan-bulan itu, kerana fitnah yang dilakukan oleh orang-orang yang mengatakan ayat 36 Surah at-Taubah memansukhkan ayat 217 di dalam Surah al-Baqarah itu kerana ia mengharamkan berperang di bulan-bulan haram. Padahal ia tidak pun mengharamkannya.

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 70 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 13)

Leave a comment