Usul Tafsir al-Quran – Sesi 71 – (Sambungan) Usul No 17 – Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat Yang Dimansuhkan

VIDEO – [Durasi 1j 21m 47s] – Sesi 71 – Usul No 17 -Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/WFQWj4jxKDI ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:06 : Jumlah Ayat-ayat Al-Quran Yang Dimansukhkan Menurut Kaedah Ulama’ Muta’akhkhirin, Contoh Kelima Ayat 240 Surah Al-Baqarah Dan Ayat 234 Surah Al-Baqarah Ayat Tentang Iddah Dan Wasiat & Pendapat Shah Waliyullah

2- 26:15 : Tempat Tinggal Bagi Isteri Yang Kematian Suami

3- 39:39 : Contoh Yang Keenam – Ayat 284 Surah Al-Baqarah Dan Ayat 286 Al-Baqarah, Tentang Allah Tidak Membebankan Di Luar Kemampuan Seseorang

4- 53:36 : Antara Sejarah Hidup Shah Waliyyullah

5- 56:31 : Hubungan Ayat 284 Dengan Ayat 286 Surah al-Baqarah Mengikut Pendapat Syah Waliyyullah

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN

(5) Firman Allah di dalam Surah al–Baqarah ayat 240 di bawah ini juga mansukh:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا وَصِيَّةً لِأَزْوَاجِهِمْ مَتَاعًا إِلَى الْحَوْلِ غَيْرَ إِخْرَاجٍ فَإِنْ خَرَجْنَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِي مَا فَعَلْنَ فِي أَنْفُسِهِنَّ مِنْ مَعْرُوفٍ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (240)

Bermaksud: Dan orang-orang yang akan meninggal dunia diantaramu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah sehingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang ma’ruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah:240)

Ia dikatakan dimansukhkan oleh firman Allah berikut:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِي أَنْفُسِهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ (234)

Bermaksud: Orang-orang yang meninggal dunia diantaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber’iddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat. (al-Baqarah:234)

Semasa jahiliah perempuan yang kematian suami beriddah selama setahun. Itulah yang disebut di dalam ayat 240 surah al-Baqarah di atas. Islam juga menerima tempoh itu pada peringkat permulaannya. Tetapi Allah memerintahkan orang-orang yang akan meninggal dunia dan meninggalkan isteri agar berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumah atau tempat tinggalnya). Akan tetapi jika mereka sendiri mahu berpindah, maka tidak ada dosa bagi wali atau waris dari yang meninggal membiarkan mereka berbuat yang ma’ruf terhadap diri mereka.

Kemudian tempoh iddah selama setahun ini dimansukhkan kepada empat bulan sepuluh hari melalui ayat 234 surah al-Baqarah, kecuali kalau si isteri mengandung, maka iddahnya ialah sehingga ia melahirkan kandungannya. Wasiat yang diperintahkan itu pula dimansukhkan dengan ayat pusaka. Tentang tempat tinggal isteri pula terdapat khilaf di kalangan ‘ulama’. Ada yang berkata, ia dikekalkan dan ada pula yang berkata, ia dimansukhkan dengan hadith: ولا سكنى . bagi golongan ini isteri yang kematian suami tidak mempunyai hak lagi baik untuk mendapat nafkah atau tempat tinggal untuk setahun itu. Keistimewaan mendapat nafkah atau tempat tinggal kalau pun ada hanyalah selagi belum habis iddah dengan berlalu empat bulan sepuluh hari atau dengan si isteri melahirkan kandungan. Menurut jumhur mufassirin ayat 240 dari surah itu sememangnya dimansukhkan dengan ayat 234 dari surah yang sama. Itulah yang disebutkan oleh Jalaluddin as-Suyuthi. Tetapi menurut Shah Waliyullah ayat 240 surah al-Baqarah itu masih boleh dita’wilkan lagi dan tidak perlu dikatakan ianya mansukh. Masih ada ruang untuk diamalkan isi kandungan ayat itu dengan kita mengatakan perintah Allah supaya berwasiat itu hanyalah mustahab, elok atau harus saja dilaksanakan oleh si suami yang akan meninggal dunia. Ia bukanlah suatu yang wajib. Hak berwasiat bukan lagi merupakan tuntutan undang-undang, sebaliknya ia hanya termasuk dalam tuntutan akhlak yang mulia semata-mata. Jika seseorang mengamalkannya, ia akan mendapat pahala kerananya dan jika tidak, maka tidaklah ia berdosa. Si siteri juga tidak berkewajipan mengikut wasiat si suami supaya tinggal di rumahnya selama setahun. Terpulang kepadanyalah, sama ada mahu terus berada di rumah suaminya atau meninggalkannya sebelum cukup setahun. Demikianlah pandangan Ibnu Abbas terhadap ayat 240 surah al-Baqarah. Bahkan itulah yang zahir daripada ayat berkenaan. Maka tidak perlulah ia disenaraikan sebagai ayat yang mansukh.

(6) Firman Allah ini:

لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَإِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُمْ بِهِ اللَّهُ فَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (284)

Bermaksud: Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (al-Baqarah:284)

Menurut sesetengan ‘ulama’, ia dimansukhkan dengan firmanNya:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (286)

Bermaksud: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”. (al-Baqarah:286).

Jika firman Allah (ما في أنفسكم) di dalam ayat 284 surah al-Baqarah di atas dipakai dengan erti umum, maka termasuklah juga dalam dikira salah oleh Allah s.w.t. itu segala lintasan hati yang di luar daripada kemampuan manusia untuk mengawalnya. Allah juga akan menyeksa mereka kerana lintasan-lintasan hati mereka yang tidak baik. Kalau begitu nampaknya tiada siapa pun manusia yang akan terlepas daripada azab Allah. Kerana itulah ada ‘ulama’ mengaktakan ayat 284 Surah al-Baqarah itu tidak muhkam. Ia sebaliknya dimansukhkan oleh ayat selepasnya iaitu ayat 286 dari Surah yang sama. Kerana ayat 286 dengan tegas menyebutkan bahawa: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Oleh kerana mengawal hati daripada segala lintasan-lintasan sama ada baik atau buruk yang sentiasa tenggelam timbul itu di luar daripada kemampuan manusia, maka ia tentunya tidak dimaksudkan oleh Allah.

Pada pandangan Shah Waliyullah, hubungan di antara ayat 284 dan 286 Surah al-Baqarah itu bukannya hubungan nasikh dan Mansukh, tetapi adalah hubungan khas dan ‘aam. Ayat 286 sebetulnya hanya mentakhsihkan (mengkhususkan mafhum) ayat 284 sebelumnya. Tidak perlu sama sekali dikatakan ayat 286 memansukhkan ayat 284.

Ayat 286 menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan (ما في أنفسكم) di dalam ayat 284 ialah keikhlasan (sifat ikhlas) dan kemunafikan (sifat nifaq) yang tersemat di dalam hati manusia. Sifat-sifat itu sama ada dinyatakan atau disembunyikan, tetap akan dikira oleh Allah. Ia sama sekali tidak bermaksud segala lintasan hati yang tidak mampu dikawal oleh sesiapa pun. Manusia sememangnya tidak mempunyai ikhtiar kesanggupan untuk mengawalnya. Oleh kerana ia termasuk dalam perkara-perkara yang di luar daripada kemampuan dan kesanggupan manusia, maka tentulah Allah tidak akan akan mengiranya sebagai suatu yang mendatangkan dosa atau pahala. Itulah yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam beberapa hadith Baginda. Di bawah ini dikemukakan dua sahaja daripadanya:

إِنَّاللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَثَتْ بِهِ أنْفُسَهَا ما لَمْ تَعْمَلْأَوْ تَتَكَلَّمْ

Bermaksud: Sesungguhnya Allah memafkan (tidak mengira salah) segala bisikan hati umatku selagi ia tidak melakukannya atau mengucapkannya. (Hadith riwayat Bukhari).

إِنَّاللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا وما أِكْرِهواعَلَيْهِ إِلَّا أَنْ يَتَكَلَّمُوا بِهِ أَوْ يَعْمَلُوا بِهِ

Bermaksud: Sesungguhnya Allah mema’afkan (tidak mengira salah) segala bisikan hati umatku dan segala yang dilakukan dengan terpaksa, kecuali kalau mereka mengucapkannya atau melakukannya. (Hadits riwayat al-Daaraquthni).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 71 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 14) 

Leave a comment