VIDEO – [Durasi 1j 30m 39s] – Sesi 72 – Usul No 17 -Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/-_wDjbd6jEQ ]
TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN
01- 00:00:30 : Jumlah Ayat-Ayat Al-Quran Yang Dimansukhkan Menurut Kaedah Ulama’ Muta’akhkhirin, Contoh Yang Ketujuh, Surah Aali ‘Imran Ayat 102 Dengan Surah At-Taghaabun Ayat 16
02- 00:05:55 : Siapakah Ibnul Arabi ?
03- 00:07:20 : Alasan Ulama’ Yang Mengatakan ayat 102 Surah Aali ‘Imran Itu Mansukh
04- 00:09:10 : Maksud Bertaqwa Kepada Allah
05- 00:27:40 : Allah Tidak Mengira Salah Bagi Orang Yang Tidak Mampu
06- 00:38:50 : Memahami Istilah-Istilah Yang Berbeza Mengikut Ulama’ Mutaqaddimin Dan Mutaakhkhirin
07- 00:44:19 : Contoh Yang Kelapan, Ayat 33 Surah an-Nisaa’ Dengan Ayat 6 Surah Al-Ahzaab. Tentang Hukum Pusaka Bagi Orang Yang Berhak Menerima Sebagai Pusaka
08- 01:00:39 : Nenurut Syah Waliyyullah Tentang Ayat 33 Surah An-Nisaa’
09- 01:11:51 : Apa Maksud Mawaliya
10- 01:15:15 : Kenapa Ada Perbezaan Terjemahan ?
NOTA RINGKAS
(sambungan) USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN
Nota Kuliah:
(7) Firman Allah di dalam Surah Aali Imraan berikut:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (102)
Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Aali ‘Imraan: 102).
Menurut sesetengah ‘ulama’, ia mansukh dengan firman Allah berikut:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنْفِقُوا خَيْرًا لِأَنْفُسِكُمْ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (16)
Bermaksud: Maka bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kemampuanmu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta ta’atlah (akan perintah-perintahNya) dan belanjakanlah harta yang baik untuk dirimu. Dan abrangsiapa yang terpelihara daripada kebakhilan dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung. (at-Taghaabun:16)
Sesetengah ‘ulama’ pula berpendapat ia tidak mansukh, ia bahkan satu ayat yang muhkam.
Imam Ibnul ‘Arabi berkata, “Di dalam Surah Aali ‘Imraan tidak ada satu pun ayat lain selain ayat 102 itu layak dida’wa telah mansukh.”
Alasan para ‘ulama’ yang mengatakan ayat 102 Surah Aali ‘Imraan itu mansukh ialah kandungan perintah Allah yang tersebut di dalamnya di luar daripada kemampuan dan kesanggupan manusia. Sedangkan di dalam ayat 286 Surah al-Baqarah Allah telah menegaskan bahawa Dia tidak akan membebankan manusia melainkan sekadar kemampuannya.
Perintah Allah di dalam surah Aali ‘Imraan ayat 102 pula menghendaki manusia bertaqwa kepadanya dengan sebenar-benar taqwa. Tentu sekali manusia tidak mampu sentiasa ta’at dan ingat kepada Allah setiap masa. Tidak melakukan ma’shiat langsung di sepanjang hayat juga di luar daripada kemampuan dan kesanggupan manusia. Maka semestinya ada ayat lain yang memansukhkannya. Ia sama ada ayat 16 Surah at-Taghabun atau ayat 286 Surah al-Baqarah yang dikemukakan sebelum ini.
Shah Waliyyullah pula berpendapat, ayat 102 di dalam Surah Aali ‘Imraan itu tidak perlu dikatakan mansukh dengan mana-mana ayat lain. Ia sememangnya tidak mansukh. Ayat 16 Surah at-Taghabun yang dikatakan sebagai nasikhnya itu sebenarnya hanya menjelaskan dan mentafsirkan ma’na taqwa yang berbeza pada kedua-dua ayat tersebut. Di Dalan ayat 102 Surah Aali ‘Imraan ia bererti memelihara diri dengan betul-betul daripada kesyirikan dan kekufuran atau dengan kata lain dalam bab akidah umat Islam hendaklah betul-betul menjaga akidahnya. Di dalam ayat 16 Surah at-Taghabun pula orang-orang yang beriman diperintahkan agar bertaqwa sekadar termampu, ia bererti beramal soleh sekadar termampu. Manusia dikira bersalah apabila meninggalkan amalan yang mampu dibuatnya, tetapi jika amalan yang diperintahkan itu tidak mampu dikerjakannya, maka tidaklah ia dikira bersalah kerana meninggalkannya. Sebagai contoh orang yang tidak mampu berwudhu’, hendaklah bertayammum. Ia tidak dipaksa menggunakan air juga walaupun ketika tiada air atau ketika tidak boleh menggunakannya kerana sakit dan sebagainya. Demikian juga orang yang tidak mampu bersembahyang sambil berdiri, boleh saja bersembahyang sambil duduk. Allah tidak mengira salah apabila manusia meninggalkan apa yang tidak mampu dibuatnya. Memang begitulah Sunnatullah (ketetapan Allah). Jadi tidak perlu langsung ayat 102 Surah Aali ‘Imraan itu dimansukhkan, ia tetap dengan halnya menuntut orang-orang yang beriman agar benar-benar beriman dan menjauhi kesyirikan serta kekufuran hingga ke akhir hayat mereka. Memang itu pun diisyaratkan oleh siaq (halaman) ayat berkenaan apabila ia ditutup dengan firman Allah “…dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”. Pada kebiasaan ketika hampir mati manusia tidak mampu melakukan apa-apa amalan zahir lagi selain daripada amalan hati yang tetap teguh dengan kepercayaan dan akidah yang dipegang selama ini. Itu jua yang dapat dilakukan seseorang yang hampir mati, iaitu bertaqwa kepada Allah dengan erti berpegang teguh dengan agamaNya, mentauhidkanNya serta memelihara diri daripada kesyirikan dan kekufuran.
Berbeza dengan ayat 16 Surah at-Taghabun, ia sedari awal lagi menuntut orang-orang yang beriman supaya beramal sebanyak mungkin, tetapi tidak pula ia menuntut mereka melakuakan sesuatu yang diluar kemampuan seorang manusia. (8) Firman Allah di dalam Surah an-Nisaa’ :
وَلِكُلٍّ جَعَلْنَا مَوَالِيَ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَالَّذِينَ عَقَدَتْ أَيْمَانُكُمْ فَآتُوهُمْ نَصِيبَهُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدًا (33)
Bermaksud: Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. (an-Nisaa’: 33)
Menurut Imam Ibnul ‘Arabi, Jalaluddin as-Suyuthi dan lain-lain, ayat-ayat ini dimansukhkan oleh ayat berikut:
النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَى بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ إِلَّا أَنْ تَفْعَلُوا إِلَى أَوْلِيَائِكُمْ مَعْرُوفًا كَانَ ذَلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا (6)
Bermaksud: Nabi itu (hendaklah) lebih utamakan bagi orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain lebih berhak (waris-mewaris) di dalam Kitab Allah daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu berbuat baik kepada saudara-saudaramu (seagama). Adalah yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Allah). (al-Ahzaab:6)
Bagi mereka di peringkat permulaan zaman hijrah ke Madinah, nabi s.a.w telah mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dan Anshaar. Persaudaraan yang dijalin oleh Rasulullah s.a.w di antara mereka dipanggil “Muakhaat”. Setiap orang daripada mereka yang dipersaudarakan dianggap seperti saudara sebenar yang mempunyai pertalian darah, sehingga kalau orang Anshaar yang dipersaudarakan dengan orang Muhajir meninggal dunia, saudaranya yang Muhajir akan mewarisinya seperti pewaris-pewarisnya yang lain. Begitulah juga sebaliknya. Inilah hukum yang tersebut di dalam ayat 33 Surah an-Nisaa’ itu.
Apabila hukum pusaka dengan segala perincian yang diturunkan, pada ketika itu saudara-mara yang mempunyai pertalian darah dengan si mati diutamakan daripada saudara seagama dari kalangan Muhajirin dan Anshaar yang dijalinkan persaudaraannya oleh Rasulullah s.a.w. sebelum ini. Mereka tidak lagi dikira pewaris si mati.
Hukum yang menyatakan kedudukan saudara-mara yang mempunyai pertalian darah dengan si mati lebih utama daripada saudara seagama hasil “muaakhat” itu terdapat di dalam ayat 6 Surah al-Ahzaab. Ayat inilah yang menjadi nasikh kepada ayat 33 Surah an-Nisaa’.
Menurut Shah Waliyyullah pula, ayat 33 Surah an-Nisaa’ itu tidak mansukh, ia bahkan satu ayat yang muhkam. Maksudnya ialah pusaka sememangnya hak pewaris yang terdiri daripada sanak saudara si mati. Saudara-saudara seagama si mati pula berhak mendapat bahagiannya berupa wang ehsan, sagu hati dan lain-lain daripada keluarga si mati yang merupakan pewaris-pewarisnya. Adapun saudara seagama yang terjalin persaudaraannya melalui ‘aqad muaakhaat itu mereka sebenarnya tidak pernah pun diberi hak sebagai pewaris. Apa yang diberikan kepada mereka itu tidak lebih daripada wang ehsan atau sagu hati sahaja. Tetapi sesetengah pihak menganggap apa yang diberi kepada mereka sebagai pusaka. Pendapat Shah Waliyyullah ini nampaknya lebih sesuai dan selari dengan terjemahan dan tafsir al-Qur’an terbitan Departmen Agama Indonesia. Lihatlah terjemahannya itu di bawah ini.
Bermaksud: bagi tiap-tiap harta peninggalan dari harta yang ditinggalkan ibu bapa dan karib kerabat, Kami jadikan pewaris-pewarisnya. Dan (jika ada) orang-orang yang kamu telah bersumpah setia dengan mereka, maka berilah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah menyaksikan segala sesuatu. (an-Nisaa’ :33)
Bahagian yang diberikan kepada orang-orang yang kamu telah bersumpah setia dengan mereka itu adalah berupa wang ehsan atau sagu hati dan sebagainya. Ia bukanlah berupa pusaka seperti yang diberikan kepada pewaris-pewaris si mati. Ayat 6 Surah al-Ahzaab juga menceritakan perkara sama, iaitu orang-orang yang mempunyai hubungan darah satu sama lain berhak dalam waris-mewarisi harta peninggalan. Adapun orang-orang mukmin dan orang-orang Muhajirin yang bukan kerabat si mati, maka mereka haruslah dilayani dengan baik dan penuh simpati. Boleh juga diwasiatkan sesuatu yang bernilai untuknya. Walaupun mereka tidak berhak mendapat pusaka daripada si mati, mereka juga sewajarnya diberikan sesuatu oleh penerima pusaka sebagai sagu hati, bukan sebagai sesuatu yang mesti atau wajib diberikan.
Menurut Shah Waliyyullah, perkataan وَأُولُو الْأَرْحَامِ yang tersebut di dalam ayat 6 Surah al-Ahzaab itu merupakan bayan atau mubayyin bagi perkataan مَوَالِيَ yang tersebut di dalam ayat 33 Surah an-Nisaa’. Oleh itu nasakh dengan erti yang dipakai ‘ulama’ muta’akkhirin tidak terddapat juga di sini.
NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
NOTA USUL TAFSIR – SESI 72 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 14)
