Usul Tafsir al-Quran – Sesi 73 – (Sambungan) Usul No 17 – Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat Yang Dimansuhkan

VIDEO – [Durasi 1j 09m 08s] – Sesi 73 – Usul No 17 -Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/JMI8eAi8sas ]

                                                              TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:35 : Ayat-ayat Al-Quran Yang Dimansukhkan Menurut Kaedah Ulama’ Muta’akhkhirin, Contoh Yang Kesembilan – Surah An-Nisaa’ Ayat 8, Ayat Tentang Pusaka

2- 16:20 : Perkembangan Ilmu Tafsir Terkini; Ramai Ulama’ Moden Yang Berpendapat Tidak Ada Ayat Yang Mansukh Dalam Al-Quran

3- 22:07 : Contoh Kesepuluh – Surah An-Nisaa’ Ayat 15-16 Dan Surah An-Nuur Ayat 2 Berkaitan Dengan Hukum Zina

4- 33:09 : Pendapat Syah Waliyyullah Tentang Ayat Ini

5- 42:26 : Pendapat Syaikhul Hadith Darul Ulum Deoband Maulana Zaed Palanpuri Tentang Ayat Ini

6- 45:02 : Pendapat Sebilangan Ulama’ Tafsir Tentang ayat Ini (Iaitu Hubungan Seks Sesama Jenis)

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk
Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(sambungan) USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN

(Sambungan Nota dari sesi 72)

(9) Firman Allah s.w.t di dalam Surah an-Nisaa’ berikut:

وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينُ فَارْزُقُوهُمْ مِنْهُ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَعْرُوفًا (8)

Bermaksud: Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka) dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik. (an-Nisaa’: 8).

Menurut sesetengah ‘ulama’, ia dimansukhkan dengan ayat pusaka yang sedia dima’lumi.

Menurut sesetengah yang lain pula, ia tidak mansukh. Ia juga merupakan salah satu ayat yang mukham.

Golongan ‘ulama’ yang mengatakan ia mansukh berhujah dengan ayat-ayat pusaka yang menunjukkan tidak semua kerabat berhak mendapat pusaka. Apa lagi anak-anak yatim dan orang-orang miskin yang bukan pewaris. Kalau mereka termasuk juga dalam kalangan pewaris, tentu bahagian-bahagian mereka juga disebutkan dengan jelas di dalam ayat-ayat pusaka seperti yang disebutkan bahagian-bahagian orang-orang yang memang berhak menerima pusaka.

Ada juga berpendapat ketika ayat itu diturunkan sememangnya mereka berhak mendapat sesuatu pemberian yang bukan merupakan pusaka sebagai suatu yang wajib. Kemudian setelah ayat pusaka diturunkan kewajibannya dimansukhkan. Pemberian itu hanya tinggal sebagai suatu yang digalakkan sahaja.

Sementara segolongan yang lain pula berpendapat, ayat itu tidak pernah mansukh, baik oleh ayat pusaka atau ayat-ayat yang lain. Ia dari awal lagi diturunkan sebagai galakan kepada para penerima pusaka agar tidak terlepas pandang terhadap orang-orang itu. Mereka seeloknya diberikan sesuatu, bukan sebagai pusaka tetapi sebagai hadiah dan penghibur hati. Jika ada antara penerima pusaka anak-anak yatim misalnya, maka tidak harus diambil daripada harta pusakanya untuk diberikan kepada mereka tersebut. Mereka sebaliknya dilayan dengan mesra dan diucapkan kepada mereka ucapan-ucapan yang baik. Misalnya, apa boleh buat kami tidak dapat berikan kepada kamu kerana ia harta anak-anak yatim. Si mati pula tidak ada berwasiat apa-apa untuk kamu. Ibnu ‘Abbas dan Shah Waliyyullah adalah antara tokoh yang berpendapat begini. Bagi mereka ayat 8 Surah an-Nisaa’ itu muhkam, ia tidak pernah dimansukhkan.

(10) Firman Allah di dalam Surah an-Nisaa’

وَاللَّاتِي يَأْتِينَ الْفَاحِشَةَ مِنْ نِسَائِكُمْ فَاسْتَشْهِدُوا عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِنْكُمْ فَإِنْ شَهِدُوا فَأَمْسِكُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ حَتَّى يَتَوَفَّاهُنَّ الْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلًا (15) وَاللَّذَانِ يَأْتِيَانِهَا مِنْكُمْ فَآذُوهُمَا فَإِنْ تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُوا عَنْهُمَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ تَوَّابًا رَحِيمًا (16)

Bermaksud: Dan sesiapa melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki diantara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah sampai mereka menemui ajal atau sampai Allah memberi jalan lain kepadanya. (15) dan (mana-mana) dua orang lelaki diantara kamu yang melakukan perbuatan keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa menerima taubat, lagi Maha luas rahmatNya. (16). (an-Nisaa’).

Menurut kebanyakan ‘ulama’, 2 ayat di atas telah dimansukhkan dengan ayat 2 Surah an-Nuur berikut:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (2)

Bermaksud: Perempuan yang berzina dan lelaki ang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (an-Nuur:2)

Pada pandangan mereka, hukum untuk penzina wanita dan lelaki asalnya ialah seperti tersebut di dalam dua ayat berkenaan.

Kemudian setelah ayat 2 surah an-Nuur diturunkan, Nabi s.a.w. bersabda

خُذُواعَنِّي خُذُوا عَنِّي قَدْ جَعَلَ الّلهُ لَهُنَّ سَبِيلًا الْبِكْرُ بِالْبِكْرِجَلْدُ مِائَةٍ وَنَفْيُ سَنَةٍ وَالثَّيِّبُ بِلثَّيِّبِ جَلْدُ مِائَةٍوَالرَّجْمُ

Bermaksud: Ambillah (terimalah) daripadaku, Ambillah (terimalah) daripadaku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan lain kepada mereka. Anak dara yang berzina dengan anak dara hendaklah disebat seratus sebatan dan dibuang negeri selama setahun. Janda yang berzina hendaklah disebat seratus sebatan dan direjam. (hadits riwayat Muslim. Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibbaan, Ahmad, an-Nasaa’i, ad-Daarimi dan lain-lain)

Menurut Shah Waliyyullah pula, tidak ada hukum yang dinasakhkan di sini. Apa yang berlaku ialah tempoh hukum yang tersebut di dalamnya telah tamat setelah berlalu sekian lama masa. Selepas itu datanglah pula hukum lain untuk kesalahan yang sama. Ini kerana nasakh dalam istilah muta’akkhirin ialah menamatkan hukum sebelumnya dilaksanakan hingga ke suatu tempoh yang tertentu, tidaklah ia mansukh dengan hukum yang datang kemudian. Di dalam kitab usul Fiqh mazhab Hanafi yang terkenal bernama “Nurul Anwar” tersebut begini:

إذاالتحق به التوقيت لا ينسخ قبل ذلك الوقت وبعده لا يطلق عليه اسم النسخ

Bermaksud: Apabila sesuatu hukum terikat dengan waktu, maka ia tidak boleh dinasakhkan sebelum habis waktunya. Setelah habis waktunya pula ia tidak boleh dikatakan mansukh. (Lihat Nurul Anwar m/s 209)

Perkataan سبيلا yang tersebut di akhir ayat 15 Surah an-Nisaa’ itu merupakan suatu yang mujmal. Ayat 2 Surah an-Nuur dan hadits yang dikemukakan di atas tidak lebih daripada bayan (keterangan) bagi perkataan سبيلا itu. Ia bukan nasikhnya, tetapi bayan baginya. Perintah Allah supaya menyakiti dua orang yang melakukan perbuatan keji (zina) di dalam ayat 16 Surah an-Nisaa’ juga mujmal, kerana tidak jelas bentuk dan kadarnya. Ayat 2 Surah an-Nuur dan hadits yang dikemukakan di atas juga menjadi bayan atau mubayyin (penjelas) dan mufasshal (keterangan terperinci) kepada apa yang mujmal itu . Namun ia tetap tidak dimansukhkannya.

Syeikhul Hadits Darul Uloom Deoband, Maulana Sa’id Ahmad Palanpuri pula berpendapat, ayat 15 dan 16 itulah seharusnya dipakai dalam keadaan hukum hudud berdasarkan ayat 2 Surah an-Nuur tidak dilaksanakan di sesebuah negara. Dalam keadaan negara betul-betul merdeka dan berdaulat pula ayat 2 Surah an-Nuur itulah seharusnya dikuatkuasakan. Ayat 15 dan 16 Surah an-Nisaa’ muhkam seperti ayat 2 Surah an-Nuur juga. Tidak ada mana-mana daripadanya dimansukhkan, cuma masing-masing daripadanya haruslah digunakan dalam keadaan-keadaan yang sesuai.

Sebilangan ‘ulama’ tafsir, termasuk juga sekumpulan ‘ulama’ tafsir al-Azhar seperti al-Imam al-Ustaz Muhammad ‘Abduh, Rasyid Ridha, ‘Abdul Jalil ‘Isa dan lain-lain berpendapat ayat 15 dan 16 Surah an-Nisaa’ tidak dimansukhkan, baik dengan ayat 2 Surah an-Nuur atau hadits yang dikemukakan diatas. Bagi mereka, ayat 15 Surah an-Nisaa’ berkenaan dengan hukuman kepada wanita-wanita yang terlibat dengan amalan seks sumbang sesama jenis (lesbianisme). Sementara ayat 16 pula berkenaan dengan hukuman terhadap penzina lelaki dan wanita. Demikian juga dengan hadits di atas. Ia memperincikan lagi hukuman terhadap penzina. Antara tokoh tafsir yang berpendapat demikian dari kalangan Salaf ialah Mujahid.

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 73 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul  17 (Nota 14) 

Leave a comment