VIDEO – [Durasi 1j 15m 06s] – Sesi 74 – Usul No 17 -Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/9iF4vpanHMI ]
TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN
1- 01:14 : Jumlah Ayat-Ayat Al-Quran Yang Dimansukhkan Menurut Kaedah Ulamak’ Muta’akhkhirin, Contoh Yang Ke Sebelas, Surah al-Maa’idah ayat 2 Dengan Surah at-Taubah Ayat 5, Tentang Ayat Jangan Melanggar Kehormatan Bulan-Bulan Haram
2- 21:21 : Kesimpulan Ayat 2 Surah Al-Maa’idah
3- 24:10 : Berhati-hati Dengan Perbezaan Istilah
4- 26:24 : Antara Ulama’ Yang Mengatakan Ayat Ini Tidak Mansukh
5- 43:36 : Contoh yang Kedua Belas, Surah al-Maa’idah ayat 42 Dengan ayat 49
6- 48:20 : Antara Ulama’ Yang Mengatakan Ayat ini Mansukh
NOTA KULIAH
(sambungan) USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN
(11) Daripada Surah al-Maa’idah firman Allah yang bergaris di bawahnya nanti dikatakan telah mansukh:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعَائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلَا الْهَدْيَ وَلَا الْقَلَائِدَ وَلَا آمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنْ رَبِّهِمْ وَرِضْوَانًا وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَنْ صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَنْ تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (2)
Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syiar Allah, dan janganlah melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (menganggu) binatang-binatang hadyu (yang dibawa ke Mekah untuk dikorbankan), dan binatang-binatang qalaa’id (dikalungkan sebagai tanda ia adalah hadyu), dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian (mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidil haram itu, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (al-Maa’idah:2).
Yang dikatakan telah mansukh hanyalah bahagian yang bergaris di bawahnya itu sahaja. Di dalam ayat di atas Allah telah melarang orang-orang yang beriman daripada melanggar dan menceroboh lima perkara. Salah satu daripadanya ialah melanggar kehormatan bulan-bulan haram iaitu bulan Rajab, Dzul qa’dah, Dzul Hijjah dan Muharram. Menurut jumhur mufassirin, maksud melangar dan menceroboh bulan-bulan haram ialah berperang dengan orang-orang musyrikin di bulan-bulan itu. Demikianlah diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, Qataadah (bin Di’aamah m.107H) dan lain-lain. (Lihat al-Aalusi – Ruuh al-Ma’ani j.6 m/s 53, an-Nahhaas – Kitab an-Naasikh wa al-Mansukh m/s 115)
Berdasarkan tafsiran inilah ayat 2 Surah al-Maa’idah itu dikatakan telah mansukh. ‘Abd Bin Humaid, Abu Daud, ibnu Jarir dan Ibnu al-Mundzir meriwayatkan daripada Sya’bi (‘Aamir Bin Syuraahil m.114H) bahawa beliau berkata: “Di dalam Surah al-Maa’idah hanya ayat ini sahaja dimansukhkan.”
Yang memansukhkannya (nasikhnya) ialah semua firman Allah yang memerintahkan orang-orang Islam memerangi dan membunuh orang-orang musyrikin tidak kira di mana mereka berada dan bila mereka ditemui. Seperti ayat-ayat berikut:
فَإِذَا انْسَلَخَ الْأَشْهُرُ الْحُرُمُ فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ وَخُذُوهُمْ وَاحْصُرُوهُمْ وَاقْعُدُوا لَهُمْ كُلَّ مَرْصَدٍ فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ فَخَلُّوا سَبِيلَهُمْ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (5)
Bermaksud: Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu, maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana saja kamu menemuinya dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tungggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (at-Taubat:5)
وَدُّوا لَوْ تَكْفُرُونَ كَمَا كَفَرُوا فَتَكُونُونَ سَوَاءً فَلَا تَتَّخِذُوا مِنْهُمْ أَوْلِيَاءَ حَتَّى يُهَاجِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَخُذُوهُمْ وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ وَلَا تَتَّخِذُوا مِنْهُمْ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا (89)
Bermaksud: Mereka suka sekali kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) diantara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) diantara mereka menjadi teman rapat atau penolong. (an-Nisaa’:89)
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ (36)
Bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, diantaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa. (at-Taubah:36)
Kesimpulannya ialah Ibnu ‘Abbaas, Qataadah, Mujahid dan asy-Sya’ni mengatakan sebahagian daripada ayat 2 Surah al-Maa’idah itu mansukh, iaitu وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ
Ramai ahli Tafsir memlih pendapat ini. Ibnu Katsir bahkan mengatakan ia adalah pendapat jumhur mufassirin. (Lihat Tafsir Ibnu Katsir j.2 m/s 7).
Sementara itu Saiyyidatina ‘Aaishah, Hasan al-Bashri, Abu Maisarah ‘Amar Bin Syurahbil dan lain-lain pula berpendapat, tidak ada satu pun ayat di dalam Surah al-Maa’idah dimansukhkan. (Lihat al-Jasshaash – Ahkaam al-Qur\an j.4 m/s 161, az-Zamakhsyari – al-Kassyaaf j.1 m/s 602, Muhammad ‘Ali as-Shabuni –Tafsir Aayaat al-Ahkaam j.1 m/s 403). Demikian juga pendapat ahli-ahli Tafsir yang tidak menerima adanya nasakh di dalam al-Qur’an. Shah Waliyyullah termasuk salah seorang daripada mereka. Bagi mereka larangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram itu bererti larangan melakukan ma’shiat dan perkara-perkara haram di bulan-bulan itu. Ma’shiat dan perkara-perkara haram bukan sahaja perlu dijauhi orang-orang yang beriman pada bulan-bulan itu, di bulan-bulan lain juga perlu dijauhi. Cuma di bulan-bulan haram lebih-lebih lagilah dituntut supaya dijauhi. Termasuk juga dalam menghormati bulan-bulan haram itu ialah lebih banyak melakukan kebajikan dan ketaqwaan padanya berbanding bulan-bulan lain. Sama sekali ia tidak bererti kebajikan dan ketaqwaan hanya perlu dibuat pada bulan-bulan haram sahaja.
Shah Waliyyullah memahami firman Allah : وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ yang melarang melanggar kehormatan bulan haram itu dengan erti peperangan yang haram seperti berperang sesama Islam, memerangi kafir mu’aahid dan kafir dzimmi tanpa kebenaran dan lain-lain di bulan-bulan haram lebih keji dan lebih jelik daripada bulan-bulan lain. Itulah yang dituntut Allah supaya dijauhi sangat-sangat oleh orang-orang yang beriman. Ia tidak bererti dahulu mereka dilarang berperang pada bulan-bulan haram,
mereka memang haram berperang pada bulan-bulan itu, tetapi sekarang pula mereka dibenarkan berperang padanya.
Keadaanya sama seperti sabda Nabi s.a.w. pada haji wadaa’ bahawa:
إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ
عَلَيْكُمْ , كَحُرْمَةِ يَومِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا , في بَلَدِكُم هذا
Bermaksud: Sesungguhnya darah-darah kamu dan harta benda kamu haram kepadamu seperti haramnya harimu ini di bulanmu ini dan di negerimu ini. (Hadits riwayat Muslim, Ahmad, Ibnu Hibbaan, an-Nasaa’i, ad-Daarimi, ‘Abd bin Humaid, baihaqi dan lain-lain).
Hadits ini tidak bermaksud, darah-darah dan harta benda orang-orang Islam tidak haram kepada orang-orang Islam lain pada bulan-bulan selain bulan-bulan haram, selain di tanah haram dan sealin pada hari ke-9 Dzul Hijjah, ia bahkan bermaksud di tempat lain selain tanah haram, di hari-hari lain selain hari ke-9 Dzul Hijjah, di tanah haram danbulan-bulan haram ia lebih-lebih lagi diharamkan.
Golongan ‘ulama’ dari aliran kedua ini berhujah juga dengan satu hadits Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu ‘Ubaid daripada Dhamrah bin Habib dan ‘Athiyyah bin Qais dimana Baginda bersabda:
الْمَائِدَةُ مِن آخِرِ الْقُرْآنِ تَنْزِيلاً , فَأَحِلُّوا حَلالَهَ وَحَرِّمُوا حَرَامَهَا
bermaksud: “Surah al-Maa’idah adalah antara surah-surah al-Qur’an yang terakhir diturunkan. Oleh itu, halalkan apa yang dihalalkannya dan haramkanlah apa yang diharamkannya.” Setelah mengemukakan hadits ini al-Aalusi menulis: “Sekumpulan ‘ulama’ berhujah dengan hadits ini bahawa tidak ada apa pun yang dimansukhkan di dalam Surah ini”
Ahmad, an-Nasaa’i,al-Hakim dan al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad mereka daripada ‘Aaishah, bahawa beliau
berkata:
المائدة آخر سورة نزلت, فما وجدتم فيها من حلال فاستحلوه, وما وجدتم فيها من حرام فحرموها
Bermaksud: Al-Maa’idah adalah Surah yang terakhir yang diturunkan. Apa-apa yang kamu dapati sebagai halal di dalamnya, maka terimalah ia sebagai halal dan apa-apa yang kamu dapati sebagai haram di dalamnya (pula), maka terimalah ia sebagai haram.” Al-Haakim menghukum sahih terhadap hadits ini. Dan adz-Dzahabi menyetujui al-Haakim itu.
(12) Firman Allah di dalam Surah al-Maa’idah di bawah ini juga dikatakan mansukh oleh jumhur mufassirin
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (42)
Bermaksud: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang diterangkan oleh Allah) atau berpalinglah dari mereka kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun dan jika engkau menghukum maka hukumlah diantara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ (49)
Bermaksud: Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq. (alMaa’idah:49)
Antara tokoh Salaf yang berpendapat ayat 42 Surah al-Maa’idah itu mansukh dengan ayat 49 Surah yang sama ialah Ibnu ‘Abbaas, Sa’id bin al-Musaiyyab, Mujahid, ‘Ikrimah, az-Zuhri, ’Umar bin ‘Abdul ‘Aziz dan lain-lain. Menurut al-Jasshaash, ar-Raazi dan al-Qurthubi, itulah pendapat kebanyakan Salaf. Sementara segolongan besar ahli Tafsir yang lain pula berpendapat ayat 42 Surah al-Maa’idah itu muhkam, ia tidak dimansukhkan oleh mana-mana ayat pun. Antara tokoh Salaf yang menganggap ayat itu muhkam dan tidak mansukh ialah Hasan al-Bashri, asy-Sya’bi, an-Nakha’i, Qataadah,’Athaa’ dan lain-lain (Lihat Fakruddin ar-Razi –Mafaatih al-Ghaib j.11 m/s 361). Shah Waliyyullah adalah salah seorang tokoh Tafsir Mut’akkhirin yang termasuk golongan kedua.
Menurut jumhur mufassirin, ayat 42 Surah al-Maa’idah memberi pilihan kepada Rasulullah s.a.w. sama ada mahu menghukum ahli al-Kitab yang meruju’ kepada Baginda untuk menyelesaikan kes mereka berpandukan ajaran Islam yang ada atau membiarkan mereka memilih hukum agama mereka sendiri. Pilihan seperti itu diberikan kepada Rasulullah s.a.w. untuk seketika sahaja. Panduan yang diberikan kepada Nabi s.a.w. jika Baginda hendak menyelesaikan kes mereka ialah rnempastikan hukuman dijatuhkkan dengan penuh keadilan. Setelah kedudukan agama Islam lebih kuat, tiada lagi pilihan seperti itu diberikan. Nabi s.a.w diperintah supaya melaksanakan hukum Islam yang diturunkan oleh Allah sahaja ke atas setiap ra’yat dan warganegara di bawah pemerintahan Baginda, baik ia muslim, Ahlil Kitab atau siapa saja. Perintah ini diberi Allah kepada NabiNya melalui ayat 49 Surah al-Maa’idah. Dengan itu termansukhlah pilihan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w melalui ayat 42 Surah al-Maa’idah, sama ada mahu menghukum Ahlil Kitab menurut hukum Islam atau menyerahkan kepada mereka sendiri untuk menyelesaikan apa-apa kes dan perkara yang berlaku di kalangan mereka berdasarkan peraturan dan hukum yang ada pada mereka.
Menurut Shah Waliyyullah dan ahli-ahli Tafir dari golongan kedua yang tidak menerima ayat 42 Surah al-Maa’idah dimansukhkan oleh ayat 49, mereka mengatakan ayat 49 sebenarnya hanya menjelaskan maksud ayat 42. Perkataan القسط (keadilan) yang tersebut di dalam ayat 42 itu mujmal, ma’nanya masih samar-samar.
Ayat 49 menjelaskannya ayat 49 menjadi mubayyin dan mufasshil bagi ayat 42.
Perkataan القسط (keadilan) yang tersebut di dalam ayat 42 itu tidak lain dan tidak bukan ialah “apa yang diturunkan oleh Allah”. Perintah Allah di dalam ayat 42 supaya NabiNya menghukum di antara mereka
dengan adil itu ialah menghukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah. Ini kerana keadilan yang betul-betul terjamin kebenarannya hanyalah yang datang dari Allah. Soal pilihan yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w. melalui ayat 42 itu, ia tetap diberikan kepada Baginda khususnya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang kekeluargaan, adat resam dan sebagainya. Ra’yat bukan muslim di dalam negara Islam dibenarkan rneruju’ dalam perkara itu kepada pendeta-pendeta atau ketua-ketua mereka sendiri. Kalau ada pun kes-kes jenayah yang diminta mereka supaya Nabi s.a.w. menyelesaikannya dan Nabi s.a.w. pula menyuruh meruju’ kepada hukum yang terdapat di dalam agama mereka, tentulah ia yang tidak bercanggah dengan apa yang diturunkan oleh Allah juga. Sebagai contohnya hukuman ke atas penzina muhshan. Hukuman ke atas penzina muhshan yang terdapat di dalam Kitab Taurat yang ada di zaman Nabi s.a.w juga sama dengan hukuman menurut hukum Islam iaitu rejam. Jadi menyuruh mereka meruju’ kepada kitab suci mereka dalam kes-kes jenayah sama sekali bukan untuk mendaulatkan hukum bukan Islam. Sebaliknya untuk mencelikkan mata mereka terhadap keadilan hukum Islam. Dengan menyuruh mereka meruju’ kepada Bible, Nabi s.a.w. seolah-olahnya hendak membuktikan kebenaran hukum rejam yang terdapat dalam Islam, kerana ia juga terdapat di dalam Bible (Lihat Sifir Istitsna’ Bab 22 Ayat 23-24), kitab suci mereka. Jadi apa lagi alasan mereka untuk menolak hukuman had yang terdapat dalam Islam?
Sesetengah ‘ulama’ yang tidak menerima ayat 42 dimansukhkan oleh ayat 49 berpendapat, ayat 42 yang memberi pilihan kepada Nabi s.a.w. sama ada hendak menghukum di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah) atau berpaling dari mereka, dan apa yang ditekankan oleh Allah ialah menghukum di antara mereka dengan adil itu berkaitan dengan orang-orang kafir mu’aahad. Tidak menjadi tanggungjawab Rasulullah sebagai ketua negara Islam menyelesaikan kesyang berlaku di antara mereka di negeri mereka sendiri. Terpulanglah kepada Rasulullah s.a.w. sama ada hendak menyelesaikan kes yang dikemukakan oleh mereka kepada Baginda atau tidak.
Sementara ayat 49 pula berkenaan dengan kaflr dzimmi. Mereka juga terikat dengan sebahagian hukum-hakam Islam, baik dalam kes-kes sivil, pusaka, jual beli, jenayah dan lain-lain. Dalam kes jual beli arak, babi dan sebagainya, mereka tidak terikat dengan hukum Islam. Demikian juga dalam kesjenayah perzinaan misalnya, meskipun mereka juga ditegah melakukannya dan boleh dikenakan hukurnan-hukuman tertentu apabila terbukti telah rnelakukannya, namun mereka tidak akan direjam.
Kerana menurut sesetengah ‘ulama’ (seperti Imam Abu Hanifah, Malik dan lain-lain) salah satu syarat untuk dilaksanakan hukuman rejam ialah Islam. Pelakunya mestilah seorang muslim. (Lihat Ahmad bin Mustafa al-Maraghi – Tatsir al-Maraghi j.6 rn/s 121, Muhammad Rasyid Ridha – Tafsir al-Manaar. J.6 m/s 325-326, Dr Wahbah az-Zuhaili – at-Tafsir al-Munir j.6 m/s 196-197.
NOTA KULIAH LENGKAP– MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
NOTA USUL TAFSIR – SESI 74 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 15)
