Usul Tafsir al-Quran – Sesi 77 – (Sambungan) Usul No 17 – Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat Yang Dimansuhkan

VIDEO – [Durasi 1j 13m 56s] – Sesi 77 – Usul No 17 – Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/aqEzUNyT-RY ]

                                     TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 00:00:41 : Contoh Kelimabelas – Ayat 41, Surah at-Taubah

02- 00:07:13 : Ayat 41 dari surah at-Taubah dikatakan dimansukhkan oleh beberapa ayat

03- 00:11:57 : Maksud “Khifafan” dan “Siqalan” Menurut Ulama’

04- 00:22:12 : Pendapat Shah Waliyullah mengenai ayat 41 dari surah at-Taubah

05- 00:33:20 : Orang-orang yang uzur dari berjihad

06- 00:39:10 : Pendapat Ulama’ salaf mengenai ayat 41 dari surah at-Taubah

07- 00:41:40 : Kesimpulan mengenai ayat 41 dari surah at-Taubah ini

08- 00:43:25 : Contoh Keenambelas – Ayat 3 Surah an-Nuur yang dikatakan mansukh iaitu tentang lelaki yang berzina tidak boleh mengawini melainkan perempuan yang berzina

09- 00:56:56 : Shah Waliyullah berpendapat bahawa Ayat 3 surah an-Nuur tidak mansukh

10- 01:06:48 : Ayat 3 surah an-Nuur adalah Ayat “Khabariyah”

NOTA KULIAH 

USUL TAFSIR AL-QURAN
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk
Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(sambungan) USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN

15) Ayat ke-41 dari Surah at-Taubah juga dikatakan Mansukh oleh ramai ulama. Lihat ayat berkenaan di bawah ini:

انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (41)

Bermaksud: Berangkatlah kamu (untuk berperang pada jalan Allah), baik dalam keadaan kamu berasa ringan ataupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (at-Taubah:41)

Ia menurut Imam Ibnul ‘Arabi, as-Suyuthi dan lain-lain, dimansukhkan dengan آيات العذر (ayat-ayat yang menyatakan orang-orang uzur yang dibenarkan tidak menyertai perang) dalam Surah al-Fath dan juga at-Taubah. Berikut dikemukakan ayat-ayat yang dimaksudkan itu:

لَيْسَ عَلَى الْأَعْمَى حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْأَعْرَجِ حَرَجٌ وَلَا عَلَى الْمَرِيضِ حَرَجٌ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَنْ يَتَوَلَّ يُعَذِّبْهُ عَذَابًا أَلِيمًا (17)

Bermaksud: Tiada dosa atas orang buta, orang pincang dan orang sakit (apabila tidak ikut berperang). Sesiapa yang ta’at kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan sesiapa yang berpaling, niscaya akan diazab-Nya dengan azab yang pedih. (al-Fath:17).

لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلَا عَلَى الْمَرْضَى وَلَا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِنْ سَبِيلٍ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (91) وَلَا عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوْا وَأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا مَا يُنْفِقُونَ (92)

Bermaksud: Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan atas orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka belanjakan apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuaat baik. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (91) Dan tiada (pula) dosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kenderaan, kamu berkata: “Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu”. Lalu mereka kembali, sedang mata merekaa bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran tidak memperoleh apa yang akan dibelanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah). (92). (at-Taubah:91-92).

Ayat ke-122 di dalam surah at-Taubah juga merupakan naasikh (ayat yang menerimanya sebagai ayat yang dimansukhkan). Lihatlah pula ayat ke-122 di dalam Surah at-Taubah berkenaan:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ (122)

Bermaksud: Tidak sepatutnya orang-orang yang beriman keluar semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu berwaspada. (at-Taubaah:122).

Perkataan خففا dan ثقالا adalah dua perkataan yang berlawanan ertinya. Pada asalnya perkataan خففا bererti dalam keadaan kamu ringan dan perkataan ثقالا pula bererti dalam keadaan kamu berat. Beberapa tafsiran telah dinukilkan oleh Ibnu Jarir at-Thabari daripada ahli-ahli taafsir Salaf tentang ma’na sebenar yang dikehendaki daripada dua perkataan itu. Sebaagai contohnya “sama ada kamu muda atau tua”, خِفَّة dipakai dengan erti muda dan ثِقَل dipakai dengan erti tua. Antara tokoh tafsir Salaf yang berpendapat demikian ialah Hasan al-Bashri, Mujahid, Ikrimah, Muqatil dan lain-lain. Ada yang memakainya dengan erti, “Dalam keadaan kamu sibuk atau lapang dan senang”. Perkataan خفة dipakai mereka dengan erti kelapangan dan ketiadaan kerja.

(4) Sesetengah ‘ulama’ berpendapat, ayat ke-3 Surah an-Nuur itu sekadar menceritakan tanda-tanda orang yang tidak ikhlas taubatnya, baik daripada perzinaan, kesyirikan atau lain-lain perkara yang jelik dan keji. Ia juga menunjukkan betapa jelik dan kejinya perzinaan dan kesyirikan pada pandangan Islam. Seseorang yang telah memeluk agama Islam tetapi masih berminat dan gemar kepada penzina dan musyrik, sehingga kalau hendak berkahwin, dia tidak kisah pun berkahwin dengan penzina atau musyrik, malah itulah yang lebih disukainya, maka sikapnya itu menunjukkan dia sebenarnya belum lagi menjadi muslim dan mu’min sejati. Seseorang yang masih gemar dan sukakan perkara-perkara yang mempunyai unsur-unsur kesyirikan sehingga berkahwin dengan orang musyrik bukan suatu halangan baginya, orang seperti itu sebenarnya belum lagi menjadi muslim dan mu’min sejati. Islamnya tidak lebih daripada tempelan dan nama semata-mata. Memeluk agama Islam pula bukanlah merupakan taubat nasuhanya daripada kesyirikan. Kerana perasaan gemar dan minat kepada perkara-perkara keji seperti perzinaan dan kesyirikan serta orang-orang yang masih terlibat dengannya, setelah beragama Islam adalah suatu yang langsung tidak akan didapati pada orang-orang mu’min dan muslim sejati.

Perkataan وَحُرِّمَ (diharamkan) dalam firman Allah diakhir ayat ke-3 Surah an-Nuur itu tidak bererti haram di segi hukum syara’, tetapi ia seharusnya dipakai dengan erti yang terpakai dalam
firman Allah dalam dua ayat di bawah ini.

وَحَرَامٌ عَلَى قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا أَنَّهُمْ لَا يَرْجِعُونَ (95)

Bermaksud: Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka
tidak akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan di akhirat kelak). (al-Anbiyaa’: 95)
وَحَرَّمْنَا عَلَيْهِ الْمَرَاضِعَ مِنْ قَبْلُ فَقَالَتْ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى أَهْلِ بَيْتٍ يَكْفُلُونَهُ لَكُمْ وَهُمْ لَهُ نَاصِحُونَ (12) Bermaksud: Dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) sebelum itu; maka berkatalah kakaknya: “Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu ahlul bait (penduduk sebuah rumah) yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?” (al-Qashash:12)

Perkataan وَحَرَامٌ dalam ayat 95 Surah al-Anbiyaa’ itu bererti mustahil atau tidak mungkin. Dan perkataan وَحَرَّمْنَا di permulaan ayat ke-12 Surah al-Qashash itu pula bererti Kami cegah atau Kami jadikan dia enggan (menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusuinya sebelum itu).

Demikianlah juga dengan perkataan وَحُرِّمَ di akhir ayat ke-3 Surah an-Nuur, ia seharusnya tidak dipakai dengan erti haram menurut syara’ (حرام شرعي) , sebaliknya dipakai dengan erti haram menurut sunnatullah (حرام كوني), iaitu perzinaan dan kesyirikan adalah dua perkara yang mustahil dan tidak mungkin dilakukan oleh orang-orang mu’min sejati. Perbuatan berkahwin dengan penzina dan orang musyrik juga mustahil dan tidak mungkin berlaku kepada orang-orang mu’min sejati.

Kebencian kepada kedua-duanya semacam telah menjadi naluri mereka. Pendapat golongan pentafsir ini nampaknya bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w. berikut:

لَا يَزنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلاَ يَسْرِقُ حِينَ يَسْرَقُ وهُوَ مُؤْمِنٌ ولاَ يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُها وَهُوَ مُؤْمِنٌ والتَّوبَةُ مَعْرُوضَةٌ بَعْدُ

Bermaksud: “Tidak berzina seseorang yang berzina dalam keadaan dia mu’min (sejati) ketika berzina. Tidak mencuri seseorang pencuri dalam keadaan dia mu’min (sejati)ketika mencuri. Dan tidak minum arak seseorang peminum arak dalam keadaan diamu’min (sejati) ketika sedang meminumnya; bagaimanapun pintu taubat sentiasa terbuka sesudah itu.

(2) Ada juga ‘ulama’ berpendapat, ayat ke-3 Surah an-Nuur itu khusus dengan sahabat-sahabat tertentu yang menjadi sebab bagi turunnya. Ia tidak umum untuk semua orang-orang mu’min. Dalam keadaan ini tiada alasan juga untuk dikatakan ayat berkenaan mansukh. Antara hadits yang menyebut latar belakang bagi turunnya ayat itu ialah:

(a) Hadits riwayat ‘Amar bin Syu’iab daripada ayahnya daripada datuknya, kata beliau:Ada seorang laki-laki bernama Martsad bin Abi Martsad. Kerjanya ialah melarikan tawanan-tawanan (Islam) dari Mekah ke Madinah. Di Mekah ada seorang wanita pelacur bernama ‘Anaaq yang pernah menjadi temannya. Martsad telah berjanji akan melarikan salah seorang tawanan yang berada diMekah (untuk dibawanya ke Madinah). Kata Martsad, ”Aku pun datang, sehingga sampai ke salah satu bayangan dinding di Mekah pada suatu malam yang terang bulannya. ‘Anaaq kemudian datang, dia melihat hitam bayanganku dekat dinding. Ketika ia sampai kepadaku, ia pun mengenaliku dan berkata, “Martsad?” Aku menjawab, “Martsad”. Ia berkata, “Selamat datang, bermalamlah dengan kami malam ini. “ Aku berkata, “Wahai ‘Anaaq, Allah mengharamkan zina.” Maka ‘Anaaq berkata, “Wahai penghuni khemah! Inilah orang yang akan melarikan para tawananmu.” Maka aku dikejar oleh lapan orang, dan aku pun menempuh jalan Khandamah hingga aku sampai ke sebuah gua dan masuk ke dalamnya. Mereka pun datang sampai berdiri di atas kepalaku lalu buang air kecil sehinga menimpa kepalaku, namun Allah membutakan mereka sehingga tidak nampak aku. Mereka pun balik dan aku kembali kepada kawanku dan membawanya, sedangkan dia adalah seorang yang cukup berat hingga aku sampai ke rerumputan idzkhir, lalu aku lepas rantainya, aku pun membawanya dan ia cukup memberatkanku sehingga aku sampai ke Madinah. Aku pun datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya sebanyak dua kali, “Wahai Rasulullah, bolehkah aku mengahwini ‘Anaaq?” Rasulullah s.a.w. diam, tidak menjawab apa-apa kepadaku sehingga turun ayat, “Penzina laki-laki tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina perempuan, atau dengan perempuan musyrik; dan penzina perempuan tidak boleh berkahwin kecuali kepada penzina laki-laki atau laki-laki musyrik.” Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Martsad, penzina laki-laki tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina perempuan, atau dengan perempuan musyrik; dan penzina perempuan tidak boleh berkahwin kecuali kepada penzina laki-laki atau laki-laki musyrik. Maka janganlah engkau mengahwininya.” Tirmidzi berkata, ”Hadits ini hasan gharib, ia tidak diketahui kecuali melalui saluran riwayat ini. Hadits ini turut diriwayatkan oleh Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Jarir dan lain-lain. Hakim secara singkat berkata, ”Sahih isnadnya.” Adz-Dzhabi pula tidak membuat apa-apa komentar terhadapnya.

(b) Ahmad, at-Thabaraani, al-Baihaqi, at-Thahaawi, al-Haakim, at-Thabari dan lain-lain meriwayatkan daripada al-Qasim bin Muhammad daripada ‘Abdullah bin ‘Amar bin al-‘Aash bahawa beliau berkata, ”Ada seorang perempuan tinggal di Ajyaad, ia dikenali dengan (nama panggilan) Ummu Mahzul, pekerjaannya ialah melacur. Dia berjanji untuk menanggung nafqah sesiapa yang ingin mengahwininya dengan syarat membenarkannya terus menjadi pelacur. Lalu ada seorang laki-laki meminta izin kepada Rasulullah s.a.w. untuk mengahwininya. Maka Rasulullah s.a.w. membacakan firman Allah ini kepadanya atau (syak perawi). Maka turunlah firman Allah ini.

الزَّانِي لَا يَنْكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنْكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ (3)

Bermaksud : Penzina laki-laki tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina perempuan,atau dengan perempuan musyrik; dan penzina perempuan tidak boleh berkahwin kecuali kepada penzina laki-laki atau laki-laki musyrik, dan yang demikian diharamkan kepada orang yang beriman. (an-Nuur:3).

(c) Ibnu Abi Haatim, Ats-Tsa’labi dan at-Thabari dengan sanad mereka meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbaas bahawa beliau berkata, “Semasa jahiliah terdapat rumah-rumah yang dipanggil “mawakhir” (rumah pelacur). Pemilik-pemiliknya menyewakan anak-anak gadis dan perempuan-perempuan mereka. Ia sememangnya terkenal sebagai tempat perzinaan. Tempat-tempat itu tidak dikunjungi lagi kecuali oleh penzina dari kalangan Ahli Qiblat (orang-orang Islam) atau orang-orang musyrik yang menyembah berhala. Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam ayat ke-3 Surah an-Nuur untuk mengharamkan perbuatan tersebut.

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 77 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 16)

Leave a comment