Usul Tafsir al-Quran – Sesi 78 – (Sambungan) Usul No 17 – Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat Yang Dimansuhkan

VIDEO – [Durasi 1j 14m 42s] – Sesi 78- Usul No 17 -Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube https://youtu.be/t6kFss-VUnE ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:00:30 : Ayat 3 surah an-Nuur yang dikatakan mansukh, tentang lelaki yang berzina tidak boleh mengahwini melainkan perempuan yang berzina

2- 00:05:25 : Dua Alasan Shah Waliyullah yang tidak menerima ayat ini mansukh

3- 00:17:06 : Para ulama’ tafsir berbeza pendapat tentang maksud ayat 3 surah an-Nuur

4- 00:18:32 : Perkataan “Layankihu”

5- 00:21:53 : Beberapa pendapat ulama’ tetang ayat 3 surah an-Nuur ini

6- 01:03:46 : Antara hadits yang menyebutkan latar belakang turunnya ayat 3 surah an-Nuur

USUL TAFSIR AL-QURA
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk
Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(sambungan) USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN

NOTA KULIAH

Para ‘ulama’ Tafsir berbeda pendapat tentang maksud firman Allah dalam ayat 3 Surah an-Nuur itu. Kerana perbedaan pendapat merekalah anda akan dapati terjemahan yang dipilih penterjemah-penterjemah al-Qur’an sedikit sebanyak berbeda antara satu dari yang lain. Perkataan لا ينكح sahaja sudah ada beberapa terjemahan: (a) tidak boleh (b) tidak akan (c) tidak mahu (d) tidak layak (e) janganlah.

Begitu juga dengan perkataan لا ينكحها selepasnya. Di bawah ini dikemukakan sebahagian daripada pendapat ‘ulama’ tentangnya:

(1) Terjemahan yang diberikan di atas adalah berdasarkan pendapat golongan yang mengatakan perkahwinan seseorang muslim yang memelihara dirinya dengan penzina yang tidak bertaubat dari perzinaannya adalah tidak harus, haram dan tidak sah. Penafian Allah di situ dipakai dengan erti penafian keharusan. Dan مشار إليه (apa yang diisyaratkan) bagi ذلك dalam firman Allah وحرم ذلك على المؤمنين di akhir ayat itu pula adalah perbuatan berkahwin dengan penzina dan orang musyrik. Antara tokoh ‘ulama’ yang berpendapat demikian ialah Imam Ahmad bin Hambal.

(2) Sesetengah ‘ulama’ berpendapat, penafian Allah di dalam ayat ke-3 Surah an-Nuur itu bukannya bererti penafian keharusan, ia bahkan bererti penafian kelayakan dan kesekufuan semata-mata. Oleh kerana penzina, baik laki-laki mahupun perempuan telah melakukan dosa besar dan telah menjadi fasiq dengan sebab perzinaannya, maka hilanglah kelayakannya untuk berkahwin dengan orang-orang yang memelihara dirinya daripada perbuatan terkutuk itu. Ia hanya layak dan sekufu dengan orang yang sepertinya juga. Dan مشار إليه (apa yang diisyaratkan) bagi ذلك dalam firman Allah وحرم ذلك على المؤمنين di akhir ayat itu pula bukan perbuatan berkahwin dengan penzina, tetapi perbuatan zina dan syirik itulah yang diharamkan oleh Allah atas orang-orang yang beriman. Kalau begitu untuk apa ayat ke-3 Surah an-Nuur itu dikatakan telah mansukh dengan ayat ke-32 Surah an-Nuur? Memang tidak diharamkan pun berkahwin dengan penzina. Apa yang disebutkan Allah hanyalah tidak layak dan sekufunya penzina atau orang musyrik dengan orang-orang beriman yang bukan penzina.

Mafhum ayat ke-3 Surah an-Nuur ini bagi mereka sama saja dengan mafhum firman Allah di dalam ayat ke-26 Surah yang sama berikut:

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُولَئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ (26)

Bermaksud: Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka pengampunan dan pengurniaan yang mulia (syurga).(an-Nuur:26)

(3) Menurut sesetengah ‘ulama’ pula, ayat itu hanya menganjurkan apa yang terbaik untuk orang-orang yang beriman dalam hal mencari jodoh dan pasangan hidup. Orang mu’min yang memelihara dirinya daripada melakukan dosa-dosa besar seperti zina dan syirik seeloknya tidak berminat kecuali kepada orang sepertinya. Orang mukmin yang telah melakukan perzinaan pula sepatutnya menginsafi diri dan tidak mencari pasangan yang terbaik dan terpilih untuk dirinya. Ia seharusnya sudi menerima sebagai pasangan, orang yang pernah terjebak dalam perzinaan sepertinya. Kalau ia boleh insaf dan bertaubat setelah melakukan perbuatan keji itu, tidak boleh dan tidak mungkinkah orang yang akan dijadikan pasangannya juga insaf dan bertaubat sepertinya?

(1) Sesetengah ‘ulama’ berpendapat, ayat ke-3 Surah an-Nuur itu sekadar menceritakan tanda-tanda orang yang tidak ikhlas taubatnya, baik daripada perzinaan, kesyirikan atau lain-lain perkara yang jelik dan keji. Ia juga menunjukkan betapa jelik dan kejinya perzinaan dan kesyirikan pada pandangan Islam. Seseorang yang telah memeluk agama Islam tetapi masih berminat dan gemar kepada penzina dan musyrik, sehingga kalau hendak berkahwin, dia tidak kisah pun berkahwin dengan penzina atau musyrik, malah itulah yang lebih disukainya, maka sikapnya itu menunjukkan dia sebenarnya belum lagi menjadi muslim dan mu’min sejati. Seseorang yang masih gemar dan sukakan perkara-perkara yang mempunyai unsur-unsur kesyirikan sehingga berkahwin dengan orang musyrik bukan suatu halangan baginya, orang seperti itu sebenarnya belum lagi menjadi muslim dan mu’min sejati. Islamnya tidak lebih daripada tempelan dan nama semata-mata. Memeluk agama Islam pula bukanlah merupakan taubat nasuhanya daripada kesyirikan. Kerana perasaan gemar dan minat kepada perkara-perkara keji seperti perzinaan dan kesyirikan serta orang-orang yang masih terlibat dengannya, setelah beragama Islam adalah suatu yang langsung tidak akan didapati pada orang-orang mu’min dan muslim sejati.

Perkataan وَحُرِّمَ (diharamkan) dalam firman Allah diakhir ayat ke-3 Surah an-Nuur itu tidak bererti haram di segi hukum syara’, tetapi ia seharusnya dipakai dengan erti yang terpakai dalam
firman Allah dalam dua ayat di bawah ini.

وَحَرَامٌ عَلَى قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا أَنَّهُمْ لَا يَرْجِعُونَ (95)

Bermaksud: Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan di akhirat kelak). (al-Anbiyaa’:95)

وَحَرَّمْنَا عَلَيْهِ الْمَرَاضِعَ مِنْ قَبْلُ فَقَالَتْ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى أَهْلِ بَيْتٍ يَكْفُلُونَهُ لَكُمْ وَهُمْ لَهُ نَاصِحُونَ (12)

Bermaksud: Dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) sebelum itu; maka berkatalah kakaknya: “Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu ahlul bait (penduduk sebuah rumah) yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?” (al-Qashash:12)

Perkataan وَحَرَامٌ dalam ayat 95 Surah al-Anbiyaa’ itu bererti mustahil atau tidak mungkin. Dan perkataan وَحَرَّمْنَا di permulaan ayat ke-12 Surah al-Qashash itu pula bererti Kami cegah atau Kami jadikan dia enggan (menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusuinya sebelum itu).

Demikianlah juga dengan perkataan وَحُرِّمَ di akhir ayat ke-3 Surah an-Nuur, ia seharusnya tidak dipakai dengan erti haram menurut syara’ (حرام شرعي) , sebaliknya dipakai dengan erti haram menurut sunnatullah (حرام كوني), iaitu perzinaan dan kesyirikan adalah dua perkara yang mustahil dan tidak mungkin dilakukan oleh orang-orang mu’min sejati. Perbuatan berkahwin dengan penzina dan orang musyrik juga mustahil dan tidak mungkin berlaku kepada orang-orang mu’min sejati. Kebencian kepada kedua-duanya semacam telah menjadi naluri mereka.

Pendapat golongan pentafsir ini nampaknya bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w. berikut:

لَا يَزنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلاَ يَسْرِقُ حِينَ يَسْرَقُ وهُوَ مُؤْمِنٌ ولاَ يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُها وَهُوَ مُؤْمِنٌ والتَّوبَةُ مَعْرُوضَةٌ بَعْدُ

Bermaksud: “Tidak berzina seseorang yang berzina dalam keadaan dia mu’min (sejati) ketikaberzina. Tidak mencuri seseorang pencuri dalam keadaan dia mu’min (sejati) ketika mencuri. Dan tidak minum arak seseorang peminum arak dalam keadaan dia mu’min (sejati) ketika sedang meminumnya; bagaimanapun pintu taubat sentiasa terbuka sesudah itu.

(2) Ada juga ‘ulama’ berpendapat, ayat ke-3 Surah an-Nuur itu khusus dengan sahabat-sahabat tertentu yang menjadi sebab bagi turunnya. Ia tidak umum untuk semua orang-orang mu’min. Dalam keadaan ini tiada alasan juga untuk dikatakan ayat berkenaan mansukh. Antara hadits yang menyebut latar belakang bagi turunnya ayat itu ialah:

(a) Hadits riwayat ‘Amar bin Syu’iab daripada ayahnya daripada datuknya, kata beliau:

Ada seorang laki-laki bernama Martsad bin Abi Martsad. Kerjanya ialah melarikan tawanan-tawanan (Islam) dari Mekah ke Madinah. Di Mekah ada seorang wanita pelacur bernama ‘Anaaq yang pernah menjadi temannya. Martsad telah berjanji akan melarikan salah seorang tawanan yang berada di Mekah (untuk dibawanya ke Madinah). Kata Martsad, ”Aku pun datang, sehingga sampai ke salah satu bayangan dinding di Mekah pada suatu malam yang terang bulannya. ‘Anaaq kemudian datang, dia melihat hitam bayanganku dekat dinding. Ketika ia sampai kepadaku, ia pun mengenaliku dan berkata, “Martsad?” Aku menjawab, “Martsad”. Ia berkata, “Selamat datang, bermalamlah dengan kami malam ini. “ Aku berkata, “Wahai ‘Anaaq, Allah mengharamkan zina.” Maka ‘Anaaq berkata, “Wahai penghuni khemah! Inilah orang yang akan melarikan para tawananmu.” Maka aku dikejar oleh lapan orang, dan aku pun menempuh jalan Khandamah hingga aku sampai ke sebuah gua dan masuk ke dalamnya. Mereka pun datang sampai berdiri di atas kepalaku lalu buang air kecil sehinga menimpa kepalaku, namun Allah membutakan mereka sehingga tidak nampak aku. Mereka pun balik dan aku kembali kepada kawanku dan membawanya, sedangkan dia adalah seorang yang cukup berat hingga aku sampai ke rerumputan idzkhir, lalu aku lepas rantainya, aku pun membawanya dan ia cukup memberatkanku sehingga aku sampai ke Madinah. Aku pun datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya sebanyak dua kali, “Wahai Rasulullah, bolehkah aku mengahwini ‘Anaaq?”

Rasulullah s.a.w. diam, tidak menjawab apa-apa kepadaku sehingga turun ayat, “Penzina laki-laki tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina perempuan, atau dengan perempuan musyrik; dan penzina perempuan tidak boleh berkahwin kecuali kepada penzina laki-laki atau laki-laki musyrik.” Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Wahai Martsad, penzina laki-laki tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina perempuan, atau dengan perempuan musyrik; dan penzina perempuan tidak boleh berkahwin kecuali kepada penzina laki-laki atau laki-laki musyrik. Maka janganlah engkau mengahwininya.” Tirmidzi berkata, ”Hadits ini hasan gharib, ia tidak diketahui kecuali melalui saluran riwayat ini. Hadits ini turut diriwayatkan oleh Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Jarir dan lain-lain. Hakim secara singkat berkata, ”Sahih isnadnya.” Adz-Dzhabi pula tidak membuat apa-apa komentar terhadapnya.

(b) Ahmad, at-Thabaraani, al-Baihaqi, at-Thahaawi, al-Haakim, at-Thabari dan lain-lain meriwayatkan daripada al-Qasim bin Muhammad daripada ‘Abdullah bin ‘Amar bin al-‘Aash bahawa beliau berkata, ”Ada seorang perempuan tinggal di Ajyaad, ia dikenali dengan (nama panggilan) Ummu Mahzul, pekerjaannya ialah melacur. Dia berjanji untuk menanggung nafqah sesiapa yang ingin mengahwininya dengan syarat membenarkannya terus menjadi pelacur. Lalu ada seorang laki-laki meminta izin kepada Rasulullah s.a.w. untuk mengahwininya. Maka Rasulullah s.a.w. membacakan firman Allah ini kepadanya atau (syak perawi) Maka turunlah firman Allah ini.

الزَّانِي لَا يَنْكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنْكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ (3)

Bermaksud : Penzina laki-laki tidak boleh berkahwin kecuali dengan penzina perempuan, atau dengan perempuan musyrik; dan penzina perempuan tidak boleh berkahwin kecuali kepada penzina laki-laki atau laki-laki musyrik, dan yang demikian diharamkan kepada orang yang beriman. (an-Nuur: 3).

(c) Ibnu Abi Haatim, Ats-Tsa’labi dan at-Thabari dengan sanad mereka meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbaas bahawa beliau berkata, “Semasa jahiliah terdapat rumah-rumah yang dipanggil “mawakhir” (rumah pelacur). Pemilik-pemiliknya menyewakan anak-anak gadis dan perempuan-perempuan mereka. Ia sememangnya terkenal sebagai tempat perzinaan. Tempat-tempat itu tidak dikunjungi lagi kecuali oleh penzina dari kalangan Ahli Qiblat (orang-orang Islam) atau orang-orang musyrik yang menyembah berhala. Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam ayat ke-3 Surah an-Nuur untuk mengharamkan perbuatan tersebut.

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 78– Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 16)

Leave a comment