Usul Tafsir al-Quran – Sesi 80 – (Sambungan) Usul No 17 – Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat Yang Dimansuhkan

VIDEO – [Durasi 1j 12m 25s] – Sesi 80 – Usul No 17 – Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  https://youtu.be/on6zQFJtS-E ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 00:01:45 : Contoh Ketujuhbelas, ayat 58 dengan 59 surah Nuur – Hukum Meminta Izin

02- 00:15:12 : Sistem Hamba dalam Islam

03- 00:23:00 : Hukum meminta izin, antara Hamba, kanak-kanak yang belum baligh dan yang sudah baligh

04- 00:29:08 : Ulama’ yang berpendapat ayat 58 surah Nuur mansukh, dan istilah mansukh mengikut golongan salaf

05- 00:30:08 : Jumhur Ulama’ mengatakan ayat 58 surah Nuur tidak mansukh

06- 00:30:49 : Kenapa Islam Tidak Menghapuskan Sistem Perhambaan?

07- 00:34:21 : Antara Ulama’ Salaf yang mengatakan ayat 58 surah Nuur tidak mansukh

08- 00:38:57 : Hukum Pusaka Tidak Digunapakai Adalah Kerana Kejahilan Umat Bukan Kerana Ianya Mansukh

09- 00:45:00 : Masaalah Minta Izin

10- 00:49:16 : Surah al-Baqarah ayat 180 – Tentang Wasiat

11- 00:58:26 : Kenapa Islam Membenarkan Perhambaan?

12- 01:10:10 : Apabila ada khilaf, yang manakah yang kita perlu ambil sebagai pegangan ?

NOTA KULIAH

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(sambungan) USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN

(17) firman Allah di dalam Surah an-Nuur ini juga antara ayat yang dikatakan mansukh:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِيَسْتَأْذِنْكُمُ الَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ وَالَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا الْحُلُمَ مِنْكُمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ مِنْ قَبْلِ صَلَاةِ الْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُمْ مِنَ الظَّهِيرَةِ وَمِنْ بَعْدِ صَلَاةِ الْعِشَاءِ ثَلَاثُ عَوْرَاتٍ لَكُمْ لَيْسَ عَلَيْكُمْ وَلَا عَلَيْهِمْ جُنَاحٌ بَعْدَهُنَّ طَوَّافُونَ عَلَيْكُمْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (58)

Bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu) dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Tidak ada dosa atas mu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (an-Nuur:58)

Perintah meminta izin kepada hamba-hamba dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan keluarga muslim dan tiga masa yang tersebut di dalam ayat di atas dikatakan telah mansukh dengan ayat berikut

وَإِذَا بَلَغَ الْأَطْفَالُ مِنْكُمُ الْحُلُمَ فَلْيَسْتَأْذِنُوا كَمَا اسْتَأْذَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (59)

Bermaksud : Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelasakan hukum-hukum-Nya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (an-Nuur:59)

Antara tokoh ‘ulama’ yang dikatakan berpendapat ayat ke-58 Surah an-Nuur itu mansukh ialah Sa’id Bin Musayyab. Kebanyakan ‘ulama’ bagaiamanapun berpendapat ayat itu tidak mansukh. Ia bahkan satu ayat yang muhkam. Antara tokoh Salaf yang berpendapat ia tidak mansukh ialah al-Qasim bin Muhammad, Jabir bin Zaid, asy-Sya’bi dan lain-lain. Ibnu ‘Abbaas adalah antara sahabat Rasulullah s.a.w. yang berpendapat ayat ke-58 Surah an-Nuur itu tidak mansukh. (Lihat Ibnu al-Jauzi – Tafsir Zadul Masir j.3 m/s 305-306).

Kalau ayat ke-58 Surah an-Nuur memerintahkan supaya hamba-hamba dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan keluarga muslim meminta izin dalam tiga masa tersebut di dalam ayat itu, maka ayat ke-59 selepasnya pula memerintahkan supaya kanak-kanak yang telah baligh dari keluarga seseorang meminta izin sama seperti orang-orang yang telah cukup umur meminta izin. Tidak kira di waktu mana sekalipun mereka hendak masuk ke tempat-tempat yang agak sulit di dalam rumah, seperti bilik-bilik dan sebagainya. Ayat ke-59 pula berbicara tentang kanak-kanak yang telah baligh. Dua perkara yang berbeza. Maka tidak ada keperluan mengatakan ayat kedua menasakhkan ayat pertama.

‘Athaa’ bin Abi Rabaah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbaas bahawa beliau berkata: “Tiga ayat al-Qur’an tidak diamalkan oleh ramai orang.” Yang pertama daripadanya ialah ayat ke-58 Surah an-Nuur dan yang keduanya ialah ayat ke-13 Surah al-Hujuraat ini :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)

Bermaksud: Hai manusia. Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku kaum supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya orang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (al-Hujuraat: 13).

Ayat ke-13 Surah al-Hujuraat menjadikan ketaqwaan sebagai piawaian bagi kemuliaan dan kehormatan manusia, sedangkan masyarakat umum pula menjadikan perkara-perkara lain sebaai piawaiannya. (Lihat an-Nahaas – an-Naasikh Wa al-Mansukh m/s 197-198).

Berdasarkan riwayat al-Bukhari daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibnu ‘Abbaas, ayat ketiga yang tidak diingat oleh ‘Athaa’ bin Abi Rabaah ialah ayat berikut:

وَإِذَا حَضَرَ الْقِسْمَةَ أُولُو الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينُ فَارْزُقُوهُمْ مِنْهُ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَعْرُوفًا (8)

Bermaksud: Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka) dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah mereka sedikit daripadanya dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik. (an-Nisaa’:8)

Ibnu ‘Abbaas berkata berkenaan dengan ayat ini dan juga ayat ke-58 Surah an-Nuur yang sedang kita bincangkan sekarang, “Bahawa orang ramai menyangka ia dimansukhkan. Tidak, demi Allah tidak. Ia sebenarnya termasuk dalam ayat-ayat yang diabaikan dan tidak diamalkan oleh ramai orang. (Lihat Sahih al-Bukhari j.9 m/s 303).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 80 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 16)

Leave a comment