VIDEO – [Durasi 1j 06m 51s] – Sesi 82 – Usul No 17 -Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/u26oLfknO-o ]
TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN
1- 00:20 : Surah al-Ahzaab ayat 52 dan ayat 50
2- 04:44 : Jumhur ulama’ mengatakan Surah al-Ahzaab Ayat 50 dan ayat 52 ini tidak boleh dikatakan mansukh
3- 16:24 : Riwayat Ubai yang dikemukakan menunjukkan tidak ada pertentangan di antara ayat ke 50 dan ke 52
4- 22:05 : Allah s.w.t. menghalalkan kepada Nabi-Nya berkahwin 7 kategori perempuan
5- 40:07 : Mengapa Nabi s.a.w dibolehkan berkahwin ramai?
NOTA KULIAH
Ringkasan 20 U sul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
(sambungan) USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN
Demikian juga dinukilkan oleh al-Baghawi dan al-Qurthubi di dalam Tafsir mereka. Kata al-Baghawi:
وَقَالَ عِكْرِمَةُ وَالضَّحَّاكُ: مَعْنَى الْآيَةِ لَا يَحِلُّ لَكَ النِّسَاءُ إِلَّا اللَّاتِي أَحْلَلْنَا لَكَ وَهُوَ قَوْلُهُ: إِنَّا أَحْلَلْنا لَكَ أَزْواجَكَ [الأحزاب: 50] الْآيَةَ، ثُمَّ قَالَ: لَا يَحِلُّ لَكَ النِّساءُ مِنْ بَعْدُ إِلَّا الَّتِي أَحْلَلْنَا لَكَ بِالصِّفَةِ الَّتِي تَقَدَّمَ ذِكْرُهَا
Bermaksud: Kata `Ikrimah dan ad-Dhahhaak. “Makna ayat (ke 52) ialah tidak halal kepadamu perempuan-perempuan selain daripada mereka yang telah Kami halalkan untukmu, iaitu (menerusi) firmanNya dalam ayat ke-50 Surah al-Azaab. Kemudian Allah berfirman: “Tidak halal kepadamu selepas itu kecuali perempuan-perempuan yang telah Kami halalkan untukmu dengan sifat yang tersebut sebelumnya (di dalam ayat ke-50) (Lihat Tafsir al-Baghawi j.3 m/s 654).
Kata al-Qurthubi (m.s. 671H) sebagai mentafsirkan perkataan مِنْ بَعْدُ yang tersebut di dalam firman Allah
لَا يَحِلُّ لَكَ النِّساءُ مِنْ بَعْدُ أَيْ مِنْ بَعْدِ الْأَصْنَافِ الَّتِي سُمِّيَتْ، قَالَهُ أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ وَعِكْرِمَةُ وَأَبُو رَزِينٍ، وَهُوَ اخْتِيَارُ مُحَمَّدِ بْنِ جَرِيرٍ
Bermaksud: Ertinya ialah selain daripada perempuan-perempuan dengan sifat-sifat yang telah disebutkan. Itulah pendapat Ubai bin Ka’ab, `Ikrimah dan Abu Razin dan itulah pendapat pilihan Muhammad bin Jarir at-Thabari. (Lihat Tafsir al-Qurthubi j.14 m/s 220).
Riwayat Ubai yang dikemukakan di atas menunjukkan tidak ada pertentangan di antara ayat ke-50 dan ke-52, sehingga memaksa kita mengatakan salah satu daripadanya dimansuhkan. Yang tidak dihalalkan oleh Allah kepada Nabinya berkahwin menerusi ayat ke-52 hanyalah perempuan yang tidak termasuk dalam salah satu daripada 7 macam perempuan yang disebut Allah di dalam ayat ke-50. Adapun dengan mereka, maka boleh saja Baginda berkahwin, jika Baginda mahu. Baginda juga tidak dihalalkan mengahwini mana-mana perempuan yang termasuk dalam salah satu daripada 7 macam perempuan yang halal dikahwini Baginda, kalau dengan mencerai mana-mana isteri yang sedia ada dengan maksud dan tujuan menukar isteri semata-mata. Dalam keadaan tidak menceraikan mana-mana isteri yang sedia ada, sebaliknya kerana kematian, sebagai contohnya, Baginda tetap dibenarkn berkahwin dengan sesiapa sahaja daripada mereka jika Baginda mahu. Tidak ada sebarang halangan kepada Nabi s.a.w. untuk berkahwin dalam keadaan ini, walaupun dengan maksud menggantikan isterinya yang telah meninggal dunia itu.
NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
NOTA USUL TAFSIR – SESI 82 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 17)
