VIDEO – [Durasi 1j 11m 14s] – Sesi 85 – Usul No 17 – Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/wYbJOe6kIow ]
TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN
1- 00:27 : Bantahan Golongan Ketiga Terhadap Dalil-Dalil yang Dipegang Oleh Golongan Muta’khirin yang Menerima Konsep Nasakh
2- 09:15 : Dalil Pertama Surah al-Baqarah ayat 106
3- 19:48 : Bantahan Terhadap Dalil Pertama
NOTA KULIAH
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
=Bantahan Golongan Ketiga Terhadap Dalil-Dalil Yang Dipegang Oleh Golongan Muta’kkhirin Yang Menerima Konsep Nasakh.
Terdapat tiga golongan ahli tafsir di kalangan para ‘ulama’ ahli as-Sunnah Wa al-Jama’ah yang berbeda pandangan tentang konsep nasakh di dalam al-Qur’an. Pertama ialah golongan mutaqaddimin. Kedua ialah golongan muta’kkhirin. Dan ketiga ialah golongan معاصرين atau ‘ulama’ yang kebanyakannya muncul di zaman mutakkhir. Mereka ialah orang-orang yang tidak menerima langsung konsep nasakh yang diterima oleh golongan kedua atau golongan muta’kkhirin. Konsep nasakh yang diterima oleh golongan mutaqaddimin diterima juga oleh mereka secara ‘amnya, cuma apa yang tidak diterima oleh mereka hanyalah konsep nasakh menurut istilah muta’kkhirin dan juga istilah nasakh di sisi golongan mutaqaddimin yang amat luas rangkumannya. Mereka hanyalah tidak menerima berlakunya nasakh di dalam al-Qur’an sahaja. Adapun dalam hadiths-hadiths Nabi, mereka juga seperti orang-orang lain tetap menerima kewujudannya. Bahkan adanya nasakh dalam hadiths-hadiths merupakan suatu perkara yang diijma’kan di kalangan kaum muslimin tanpa kecuali dari dahulu hingga sekarang.
Sebelum ini telah pun dibincangkan tentang perbedaan konsep nasakh di antara mutaqaddimin dan muta’kkhirin. Orang-orang yang menerima konsep nasakh, baik dari kalangan mutaqaddimin mahupun muta’kkhirin berpegang dengan dalil-dalil tertentu. Ia dapat dibahagikan kepada dua bentuk. Pertama, dalil-dalil naqli. Dan kedua, dalil-dalil ‘Aqli. Di dalam nota ke-12 yang lalu telah pun dikemukakan secara ringkas dalil-dalil naqli yang menjadi pegangan golongan yang menerima konsep nasakh itu. Ia terdiri daripada beberapa ayat al-Qur’an dan beberapa hadith Rasulullah s.a.w.
Dalil pertama ialah firman Allah berikut:
مَا نَنْسَخْ مِنْ آيَةٍ أَوْ نُنْسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍ مِنْهَا أَوْ مِثْلِهَا أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (106)
Bermaksud: Ayat mana saja yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu? (al-Baqarah:106).
Kata golongan kedua iaitu golongan muta’kkhirin, firman Allah ini menunjukkan adanya ayat al-Qur’an tertentu yang dimansukhkan. Maka tentulah ada pula naasikhnya. Allah sendiri mengatakan “Tidak ada satu pun ayat yang Kami nasakhkan atau Kami lupakan manusia terhadapnya melainkan Kami akan bawakan (ayat) yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya”.
Ayat ini kata mereka menunjukkan beberapa perkara:
(a) Adanya ayat al-Qur’an yang dimansukhkan oleh Allah.
(b) Adanya ayat al-Qur’an yang Allah lupakan manusia terhadapnya.
(c) Apabila Allah menasakhkan sesuatu ayat al-Qur’an, ia pasti diganti-Nya dengan ayat yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya.
(d) ayat Naasikh (yang memansukhkan) lebih baik dariapda ayat Mansukh atau setidak-tidaknya ia mesti sebanding dengannya.
Ayat 106 dari Surah al-Baqarah itu menurut mereka menunjukkan adanya ayat-ayat al-Qur’an yang mansukh hukum atau bacaannya, atau mansukh kedua-duanya sekali dan diganti dengan yang lebih baik daripadanya atau seumpamanya.
Bantahan Terhadap Dalil Pertama.
Golongan ketiga mengkritik dan mempertikaikan cara golongan kedua memahami ayat itu. Kesilapan golongan kedua bagi mereka terletak pada beberapa perkara:
(a) Mereka telah memakai perkataan ننسخ (Kami nasakhkan) dengan erti Kami mansukhkan atau Kami tukarkan hukum yang terdapat di dalam sesuatu ayat dengan hukum yang terdapat di dalam ayat lain yang diturunkan kemudian.
Padahal perkataan nasakh menurut bahasa ‘Arab tidak semestinya bererti begitu. Jika dilihat kepada erti nasakh yang telah diberikan sebelum ini, maka ada banyak sekali ertinya. Antaranya ialah:
(i) Nasakh dengan erti penghapusan.
(ii) Nasakh dengan erti perubahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.
(iii) Nasakh dengan erti al-Izalah atau menghilangkan.
(iv) Nasakh dengan erti an-Naqlu, iaitu pemindahan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain.
(v) Nasakh dengan erti at-Tabdil atau penukaran.
(vi) Nasakh dengan erti at-Tahwil atau pemalingan.
(vii) Nasakh dengan erti salin atau menyalin.
(viii) Dan lain-lain.
Mereka pula memakai perkataan itu menurut istilah muta’kkhirin yang diada-adakan oleh mereka sendiri, iaitu menasakhkan (menghilangkan / menukarkan / menghapuskan) suatu hukum terdahulu dengan suatu hukum lain yang datangnya terkemudian!
(b) mereka juga memakai perkataan آية yang tersebut di dalamnya dengan erti ayat al-Qur’an. Padahal perkataan آية mempunyai banyak lagi erti yang lain menurut Bahasa ‘Arab. Antara ertinya ialah:
(i) Tanda; alamat.
(ii) Bukti; dalil; hujah.
(iii) Mu’jizat.
(iv) Ayat.
(v) Hukum.
(vi) Pengajaran; teladan. (vii) Contoh. (viii) Dan lain-lain.
Golongan ketiga berpendapat perkataan آية di dalam Surah al-Baqarah, ayat 106 itu sebetulnya bererti mu’jizat. Jadi maksud firman Allah itu ialah “Tidak kami tukar (hilangkan) sesuatu mu’jizat (sesorang nabi) atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, melainkan Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu?”
Di zaman Nabi Musa a.s. sebagai contohnya, Allah telah memberikan kepada Baginda mu’jizat-mu’jizat tertentu sebagai sokongan dan bukti daripadaNya bahawa baginda adalah Rasul Allah yang sebenar. Kemudia setelah Allah mengutuskan Nabi ‘Isa a.s., Baginda diberikan mu’jizat-mu’jizat yang lain pula sebagai ganti kepada mu’jizat-mu’jizat yang pernah diberikan kepada Nabi Musa a.s. sebelumnya. Mu’jizat-mu’jizat Musa telah dilupakan oleh manusia kemudian kerana ia telah agak lama berlalu. Begitu juga dengan mu’jizat-mu’jizat yang diberikan oleh Allah kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. Ia diberikan kepada Baginda sebagai ganti kepada mu’jizat-mu’jizat yang pernah diberikan kepada Nabi Musa dan Nabi ‘Isa yang telah berlalu sebelum baginda. Mu’jizat-mu’jizat yang diberikan oleh Allah kepada seseorang nabi di amana masing-masing adalah lebih baik daripada mu’jizat yang diberikan kepada nabi sebelumnya, paling tidak pun ia adalah sebanding dan setara dengannya.
Al-Qur’an adalah salah satu mu’jizat yang diberikan sebagai ganti mu’jizat-mu’jizat yang pernah diberikan kepada nabi-nabi terdahulu. Ia tentunya lebih baik dan lebih sesuai untuk umat akhir zaman berbanding mu’jizat-mu’jizat yang pernah diberikan kepada nabi-nabi sebelum baginda. Ia bahkan lebih baik daripada kitab-kitab yang pernah diturunkan oleh Allah kepada nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum Muhammad sebagai mu’jizat. Al-Qur’an melebihi kitab Taurat dan Injil sebagai contohnya dari semua segi.
Ayat 106 Surah al-Baqarah itu menurut mereka, diturunkan sebagai bantahan terhadap golongan Yahudi yang meminta Nabi s.a.w. mengemukakan mu’jizat kebendaan seperti yang pernah diberikan kepada Musa dan ‘Isa a.s. Apa yang disebut Allah sebagai “yang lebih baik daripadanya” itu ialah al-Qur’an. Ia merupakan mu’jizat yang lebih baik daripada mu’jizat-mu’jizat kebendaan yang mereka minta itu. Kerana zaman Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya adalah zaman ilmu pengetahuan dan penulisan, zaman sains dan kesusasteraan. Tidak seperti zaman Nabi Musa a.s. dan umatnya, ia adalah zaman berleluasanya ilmu sihir. Maka wajarlah kalau Nabi Musa a.s. diberikan mu’jizat-mu’jizat kebendaan yang sesuai dengannya. Diberikan kepadanya tongkat sakti yang dapat bertukar menjadi ular dan dapat membelah lautan. Pada lahirnya ia kelihatan seperti sihir juga, Cuma ilmu sihir lemah terus apabila berhadapan dengannya. Walaupun begitu, bukanlah bererti al-Qur’an sahaja yang diberi Allah kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. sebagai mu’jizat. Mu’jizat kebendaan yang setanding atau lebih kurang serupa dengan yang pernah diberikan kepada Nabi kita ialah keluarnya air dari celah-celah jari-jemari baginda sehingga ia mencukupi untuk berpuluh-puluh orang berwudhu’. Memasukkan kembali mata sahabat yang bernama Qataadah setelah ia tersembur keluar akibat terkena senjata musuh dan ia kembali pulih seperti sediakala, bahkan lebih baik dari sebelumnya dan lain-lain lagi.
Itulah bagi mereka maksud firman Allah di dalam ayat yang sama: “Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya.” Semua itu berkait dengan mu’jizat. Ia langsung tiada kaitan dengan memansukhkan mana-mana ayat al-Qur’an, apalagi untuk dikata ia memansukhkan ayat hukum secara khusus. Untuk maksud itu, isyarat pun tidak terdapat di dalamnya!
Perkataan آية sememangnya ada digunakan di dalam al-Qur’an dengan erti tanda kebesaran dan kekuasaan Allah atau mu’jizat pada beberapa tempat. Umpamanya di dalam dua ayat berikut:
وَالَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهَا مِنْ رُوحِنَا وَجَعَلْنَاهَا وَابْنَهَا آيَةً لِلْعَالَمِينَ (91)
Bermaksud: Dan (ingatlah kisah) Maryam yang telah memelihara kehormatannya, lalu Kami tiupkan ke dalam (tubuh)nya ruh dari Kami dan Kami jadikan dia dan anaknya tanda (kebesaran dan kekuasaan Allah) yang besar bagi semesta alam. (al-Anbiyaa’:91).
وَجَعَلْنَا ابْنَ مَرْيَمَ وَأُمَّهُ آيَةً وَآوَيْنَاهُمَا إِلَى رَبْوَةٍ ذَاتِ قَرَارٍ وَمَعِينٍ (50)
Bermaksud: Dan Kami jadikan (Nabi Isa) Ibni Mariam serta ibunya sebagai satu tanda (mu’jizat) dan Kami telah menempatkan keduanya di tanah tinggi, tempat tinggal yang ada tanaman dan mata air yang mengalir. (al-Mu’minun:50)
Selain itu ayat 106 Surah al-Baqarah juga disudahi dengan menyebutkan sifat Maha kuasa Allah atas segala sesuatu melalui firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu?” Kalaulah perkataan آية di dalamnya tidak dipakai dengan erti tanda kekuasaan dan kekuasaan Allah atau mu’jizat (آية الكرمة), niscaya tidak sesuailah sifat Maha Kuasa Allah atas segala sesuatu dijadikan sebagai penutupnya! Kalaulah perkataan آية yang tersebut di dalamnya bererti ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan hukum-hakam (آية تشريعية), niscaya sifat Allah yang sesuai dijadikan sebagai penutup ayat tersebut bukan قدير (Maha Kuasa), sebaliknya sifat عليم (Maha Mengetahui), حكيم (Maha Bijaksana) atau خبير (Maha Mendalam IlmuNya).
Semua ini menunjukkan ayat 106 yang dijadikan sebagai hujah bagi adanya nasakh di dalam al-Qur’an itu sebenarnya tidak jitu.
(c) Siyaq (ayat selepas) dan sibaq (ayat sebelum) bagi ayat 106 juga tidak menyokong pendapat golongan
kedua, kerana ayat sebelumnya jelas berbicara tentang Kitab dan mu’jizat yang diturunkan Allah kepada nabi-nabiNya. Allah berfirman:
مَا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَلَا الْمُشْرِكِينَ أَنْ يُنَزَّلَ عَلَيْكُمْ مِنْ خَيْرٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَاللَّهُ يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ (105)
Bermaksud: Orang-orang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik tiada menginginkan diturunkannya sesuatu kebaikan kepadamu dari Tuhanmu. Dan Allah menentukan siapa yang dikehendaki-Nya (untuk diberi) rahmat-Nya (kenabian); dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (al-Baqarah:105).
Demikian juga dengan ayat 108 selepasnya. Lihat firman Allah berkenaan:
أَمْ تُرِيدُونَ أَنْ تَسْأَلُوا رَسُولَكُمْ كَمَا سُئِلَ مُوسَى مِنْ قَبْلُ وَمَنْ يَتَبَدَّلِ الْكُفْرَ بِالْإِيمَانِ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ (108)
Bermaksud: Apakah kamu hendak meminta kepada Rasulmu seperti Bani Israel meminta kepada Musa pada zaman dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan kekufuran, maka sesungguhnya dia telah sesat dari jalan yang lurus. (al-Baqarah:108).
Melalui ayat ini Allah menempelak orang-orang yang mahukan mu’jizat daripada Rasulullah seperti mu’jizat-mu’jizat yang pernah diberikan kepada Musa dahulu. Padahal Allah menghendaki mu’jizat al-Qur’an untuk umat ini sebagai ganti mu’jizat-mu’jizat seperti yang pernah diberikan kepada Musa, iaitu mu’jizat-mu’jizat yang bersifat sementara waktu, mu’jizat-mt yang lenyap dengan wafatnya rasul Allah.
Senggang empat selepas ayat 108 ini Allah mendedahkan perihal orang-orang Yahudi dan Nashara yang saling menyesatkan satu sama lain. Padahal masing-masing daripada mereka mempunyai kitab (suci dari langit). Tetapi, oleh kerana mereka berpegang dengan kitab yang sudah mansukh dan telah luput tarikh penggunannya, maka mereka tidak dapat bersatu padu, sebaliknya berpecah belah. Masing-masing menda’wa merekalah ahli syurga. Hanya mereka sahaja yang benar, kerana itu mereka sahajalah yang layak masuk syurga! Lihat firman Allah berkenaan:
وَقَالَتِ الْيَهُودُ لَيْسَتِ النَّصَارَى عَلَى شَيْءٍ وَقَالَتِ النَّصَارَى لَيْسَتِ الْيَهُودُ عَلَى شَيْءٍ وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ كَذَلِكَ قَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ مِثْلَ قَوْلِهِمْ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ (113)
Bermaksud: Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai pegangan (agama yang benar)”. Dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai pegangan (agama yang benar)”’ padahal mereka (sama-sama) membaca al-Kitab (masing-masing). Demikian pula orang-orang yang tidak mengetahui, mengaktakan seperti ucapan mereka itu. Maka Allah akan mengadili di antara mereka pada hari kiamat mengenai perselisihan mereka. (al-Baqarah:113).
(d) Sesetengah ‘ulama’ dari kalangan golongan ketiga pula memakai perkataan آية di dalam firman Allah ayat ke-106 Surah al-Baqarah itu dengan erti syari’at-syari’at yang lalu. Maksudnya ialah: “Tidak Kami mansukhkan mana-mana syari’at nabi terdahulu atau Kami melupakannya melainkan Kami datangkan syari’at lain yang lebih baik daripadanya sebagai ganti. Paling tidak pun Kami datangkan syari’at yang sebanding dengannya.”
Ayat ini bagi mereka menunjukkan syari’at nabi terdahulu termansukh semuanya atau sebahagian daripadanya dengan syari’at yang dibawa oleh nabi selepasnya. Ini adalah suatu perkara yang disepakati oleh semua pihak. Tiada siapa pun yang mempertikaikan hakikat ini termasuk juga golongan ketiga.
NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
NOTA USUL TAFSIR – SESI 85 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 18)
