Usul Tafsir al-Quran – Sesi 4 – USUL No 3 -Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat-pendapat Sahabat & USUL No 4- Tafsir A-Qur’an Dengan Pendapat-Pendapat Tabi’in & USUL No 5 – Tafsir Al-Qur’an Berdasarkan Pendapat-Pendapat Yang Bersesuaian Dengan kaedah-kaedah Bahasa ‘Arab

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 1j 17m 49s] – Sesi 4 – Usul 3,4&5 -Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat-pendapat Sahabat, Tabiin

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  https://youtu.be/W6vSnn6Y-ZI ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:00:17 : Usul Tafsir Ke 3 – Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat-pendapat Sahabat Nabi s.a.w.

2- 00:06:45 : Jalan Penyelesaian Jika Berlaku Perselisihan Pendapat Di Kalangan Sahabat Dalam Mentafsirkan Al-Quran Ialah Dengan Memilih Dan Mentarjihkan Pendapat Yang Lebih Kuat

3- 00:09:00 : Rujukan Utama Di Kalangan Sahabat Bagi Mazhab Syafi’ie Ialah Ibnu Abbas r.a.

4- 00:15:25 : Rujukan Utama Dari Kalangan Sahabat Bagi Mazhab Hanafi Ialah Ibnu Mas’ud r.a.

5- 00:20:13 : Rujukan Utama Dari Kalangan Sahabat Bagi Mazhab Maliki Ialah Ibnu Umar r.a.

6- 00:23:03 : Rujukan Utama Dari Kalangan Sahabat Bagi Mazhab Ahmad Ialah Abdullah Bin Amr Bin Al-Ash r.a

7- 00:26:50 : Contoh Perbezaan Pendapat Sahabat, Tentang Ayat “Aula Mastumun Nisaa’ ”

8- 00:36:33 : Antara Contoh Tafsir Al-Quran Dengan Atsar Sahabat

9- 00:42:30 : Usul Tafsir Ke 4 – Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat Tabi’in ​

10- 00:53:00 : Contoh Tafsir Al-Quran Dengan Atsar Tabi’in

11- 00:56:37 :Usul Tafsir Ke 5 – Tafsir Al-Quran Berdasarkan Pendapat-pendapat Yang Bersesuaian Dengan Kaedah-Kaedah Bahasa Arab

12- 01:08:18 : Al-Quran Diturunkan Dengan Bahasa Arab. Tanpa Penguasaan Bahasa Arab Seseorang Tidak Mungkin Dapat Memahami Al-Quran, Hadith-Hadith Nabi s.a.w Juga Dalam Bahasa Arab, Baginda Bahkan Merupakan Orang Arab Yang Paling Fasih, Oleh Itu Seseorang Yang Hendak Mentafsir Al-Quran Mestilah Mengetahui Selok-belok Bahasa Arab Fushah Yang Digunakan Di Zaman Nabi s.a.w

13- 01:10:40 : Syair-syair Arab Jahiliyah Juga Mestilah Menjadi Rujukan Kerana Ianya Merupakan Contoh Penggunaan Bahasa Arab Mushaf Yang Tulen

14- 01:12:32 : Contoh Golongan Anti Hadith Menterjemahkan Firman Allah s.w.t.

15- 01:15:02 : Contoh Seorang Sufi Sesat Mentafsirkan Firman Allah s.w.t.

NOTA RINGKAS

NOTA KULIAH: 3. Tafsir Al-Qur’an Dengan Atsar Sahabat

Usul ketiga ialah mentafsir al-Qur’an dengan atsar atau pendapat-pendapat Sahabat khususnya “Abdullah bin Mas’ud r.a (m.32H) dan ‘Abdullah bin ‘Abbaas r.a (m.68H). Sebelum mentafsirkan al-Qur’an dengan pendapat-pendapat Sahabat, seseorang pentafsir hendaklah terlebih dahulu melihat al-Qur’an itu sendiri, apakah ada tafsiran terhadap sesuatu yang hendak ditafsirkan di dalamnya atau tiada. Kalau ada, maka tafsiran al-Qur’anlah yang seharusnya dipakai. Kalau tidak ada, maka perlu pula dicari tafsirannya di dalam hadits. Kalau ada tafsirannya di dalam hadits, maka itulah seharusnya dipakai. Setelah tidak didapati tafsirannya di dalam hadits, barulah dicari tafsirannya di dalam atsar (kata-kata atau pendapat-pendapat) Sahabat. Demikianlah tertib yang betul dalam pentafsiran al-Qur’an.

Atsar Sahabat diguna pakai dalam mentafisr al-Qur’an kerana sebab-sebab berikut:

(a) Bahasa al-Qur’an adalah bahasa mereka.

(b) Mereka mengetahui dan memahami latar belakang ayat-ayat al-Qur’an yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.

(c) Mereka mempelajari al-Qur’an dan ma’na-ma’nanya dengan Rasulullah s.a.w sendiri.

(d) Mereka sangat cermat dalam mentafsir al-Qur’an. Perbezaan pendapat dalam mentafsir sesuatu ayat berlaku juga di kalangan Sahabat, tetapi biasanya hanya pada lafaz sahaja. Adapun perbezaan pada ma’na, maka itu sesuatu yang jarang berlaku.

(e) Ada jalan penyelesaian yang terang jika berlaku perselisihan pendapat dikalangan Sahabat dalam mentafsir al-Qur’an. Dalam keadaan itu pendapat yang lebih kuat harus dipilih dan ditarjihkan. Dimaksudkan dengan pendapat yang lebih kuat ialah yang lebih dekat dan sesuai dengan al-Qur’an dan hadits yang dinukilkan dengan sanad yang lebih sahih.

(f) Ijma’ mereka merupakan hujah dalam syar’at.

Antara peribadi yang terkenal sebagai imam dalam tafsir al-Qur’an di kalangan Sahabat ialah 10 orang berikut :

(1.) Saiyyidina Abu Bakar as-Shiddiq r.a

(2.) Saiyyidina ‘Umar r.a.

(3.) Saiyyidina ‘Utsman r.a.

(4.) Saiyyidina ‘Ali r.a.

(5.) Saiyyidina ‘Abdullah Bin Ma’sud r.a.

(6.) Saiyyidina ‘Abdulhah bin ‘Abbaas r.a

(7.) Saiyyidina Ubai bin Ka’ab r.a

(8.) Saiyyidina Zaid bin Tsabit r.a.

(9.) Saiyyidina Abu Musa al-Asy’ari r.a.

(10.) Saiyyidina ‘Abdullah Bin Zubair r.a.

Antara contoh tafsir al-Qur’an dengan atsar Sahabat ialah tafsiran Ibnu Mas’ud terhadap rangkai kata yang tersebut di dalam ayat 6 Surah Luqman. Untuk menguatkan pendapat beliau, sebanyak tiga kali diulanginya kata-kata, bermaksud:

“Ia demi Allah adalah lagu-lagu”. (Atsar riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ibnu Jarir, Haakim dan Baihaqi).

4. Tafsir Al-Qur’an Dengan Atsar Tabi’in

Sumber keempat tafsir Qur’an ialah Tabi’in dan pendapat-pendapat mereka, dengan syarat ia sampai kepada kita (umat) melalui saluran nukilan yang sahih. Terutamanya atsar tabi’in dari kalangan murid-murid Ibnu ‘Abbaas r.a. seperti Mujahid, ‘Ikrimah, Qataadah, Hasan Bashri, Ibnu Sirin dan lain-lain. Tabi’in ialah generasi umat islam yang merupakan pelapis kepada generasi para sahabat. Ramai daripada mereka merupakan murid-murid sahabat. Mereka menerima ilmu agama Islam daripada Sahabat Nabi s.a.w sendiri. Mereka dinamakan Tabi’in kerana telah betul-betul mengikut Sunnah Nabi s.a.w dan menurut jejak langkah para sahabat Baginda s.a.w. Allah di dalam al-Qur’an menyebutkan mereka sebagai “والذين اتبعوهم باحسان.(dan orang-orang yang menurut [jejak langkah) mereka [sahabat muhajirin dan anshar] dengan baik”. (at-Taubah:100).

Oleh kerana kalangan Tabi’in yang utama telah menerima tafsiran al-Qur’an daripada para sahabat yang memang mahir dan ahli dalam bidang tafsir, kata-kata dan pendapat-pendapat mereka juga perlu diletakkan di hadapan apabila anda hendak mentafsir al-Qur’an. Walau bagaimanapun beberapa perkara di bawah ini perlulah sentiasa diingat:

(a) Apa yang diperselisihkan di kalangan Tabi’in bukan merupakan hujah dalam agama. Tetapi apa-apa yang diijma’kan mereka merupakan hujah menurut kebanyakan ulama.

(b) Riwayat-riwayat berhubung dengan tafsir dinukilkan dengan dua cara. Pertama dengan bersanad. Kedua tanpa sanad. Atsar Sahabat dan Tabi’in yang dinukilkan dengan sanad yang kuat sahaja diterima. Riwayat-riwayat Sirah dan Maghazi yang tidak sahih tidak seharusnya digunakan untuk mentafsir al-Qur’an. Imam Ahmad berkata “Ada tiga perkara (kebanyakannya) tidak bersanad; tafsir, malahim (cerita-cerita peperangan) dan maghazi (sirah Nabi s.a.w.)”. Sebabnya Imam Ahmad berkata begitu kerana kebanyakan riwayat berhubung dengannya kalau ada pun sanadnya, ianya samaada munqathi’ atau mursal.

Di bawah ini dikemukakan dua contoh tafsir dengan atsar Tabi’in. Dalam mentafsirkan firman Allah yang terdapat di dalam ayat 31 Surah an-Nur iaitu bermaksud : “atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita”. Qataadah (m.118H) seorang Tabi’i yang terkenal berpendapat, ia bererti orang-orang yang bergantung hidupnya kepada seseorang untuk mendapat makanan dan minumannya. Mereka pula telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan.

Menurut Mujahid (m.107H) pula ia adalah laki-laki bodoh yang langsung tidak ada keinginan kepada wanita.

5. Tafsir Al-Qur’an berpandukan Qaedah-Qaedah Bahasa Arab

Usul kelima ialah mentafsir al-Qur’an berpandukan qaedah-qaedah bahasa ‘Arab. Usul ini tidak kurang pentingnya daripada usul-usul yang tersebut sebelumnya.

Pentafsir mestilah seorang yang mempunyai latar belakang yang kukuh dalam bahasa ‘Arab. Ia mestilah mahir dalam ilmu Nahu, Sharaf, bahasa ‘Arab dan Balaghah dengan segala cabang-cabangnya. Ia mestilah mengetahui semua bentuk tasybih, isti’arah, kinayah dan sebab-sebab ijaaz serta ithnaab, selain mampu mengesan sesuatu yang mahzuf (dibuang) di dalam sesuatu ayat, dan lain-lain perbahasan yang termasuk di bawah ilmu Bayan, Ma’ani dan Badi’ yang merupakan cabang-cabang ilmu Balaghah. Al-Quran diturunkan dalam bahasa ‘Arab. Tanpa penguasaan bahasa ’ Arab seseorang tidak mungkin dapat memahami al-Qur’an. Hadits-Hadits Rasulullah s.a.w juga dalam bahasa ‘Arab. Baginda s.a.w bahkan merupakan orang ‘Arab yang paling fasih. Oleh itu seseorang yang hendak mentafsir al-Qur’an mestilah mengetahui selok-belok bahasa ‘Arab fusha yang digunakan di zaman Nabi s.a.w. Sya’ir-sya’ir ‘Arab jahiliah juga mestilah dijadikan rujukan, kerana ia merupakan contoh penggunaan bahasa ‘Arab fusha (standard) yang tulen. Itulah sebabnya Ibnu ‘Abbaas berkata, اذا أشكل عليكم شيء من كتاب الله فالتمسوه في الشعر فان الشعر ديوان العرب bermaksud: Jika timbul apa-apa kemusykilan (berhubung dengan bahasa ‘Arab) kepadamu, carilah jawapannya di dalam Sya’ir (‘Arab jahiliah). Kerana Sya’ir (‘Arab jahiliah) itu adalah kamus bahasa ‘Arab. Di bawah nanti akan dikemukakan dua contoh penyelewengan dalam tafsir akibat mengabaikan usul kelima.

(a) Ada golongan anti hadits yang tidak mengerti bahsa ‘Arab menterjemahkan firman Allah: اضرب بعصاك الحجرyang sebenarnya bererti: “pukulllah batu itu dengan tongkatmu” dengan “bawalah pengikutmu berjalan di bukit”. Perterjemah anti-hadits itu tidak mengetahui bahawa ضرب yang “muta’addi bi nafsih “bererti pukul atau memukul. Perkataan في yang muta’addi dengan “fi” saja bererti berjalan, berpergian atau bersiar-siar.

(b) Seorang sufi sesat pula mentafsirkan firman Allah di dalam ayat ke 69 Surah al-‘Ankabut:وان الله لمع الحسنين yang ma’na sebenarnya ialah : “dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik”, dengan “dan sesungguhnya Allah benar-benar telah menggilap orang-orang sufi.” Si jahil ini tidak sedar bahawa لام pada perkataan لمع Bukan فاء fi’il, tetapi لام التأكيد (Lam yang merupakan kata penguat) pada khabar انّ.

NOTA KULIAH LENGKAP – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 4 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 1 hinga 6

Usul Tafsir al-Quran – Sesi 3 – Usul No 3 – Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat-pendapat Sahabat

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 44m 59s] – Sesi 3 – Usul No 3 – Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat-pendapat Sahabat

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube https://youtu.be/s4OSyIbnlVQ ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:16 : Tafsir Al-Quran Berdasarkan Pendapat-pendapat Sahabat Nabi s.a.w

2- 03:57 : Maksud Atsar Sahabat

3- 05:20 : Bahasa Al-Quran Adalah Bahasa Mereka (Sahabat-sahabat)

4- 06:04 : Sahabat-sahabat Mengetahui Dan Memahami Latar Belakang Ayat-ayat Al-Quran Yang Diturunkan Kepada Nabi s.a.w

5- 07:39 : Sahabat-sahabat Mempelajari Al-Quran Dan Makna-Maknanya Dengan Nabi s.a.w Sendiri

6- 09:01 : Sahabat-sahabat Sangat Cermat Dalam Mentafsirkan Al-Quran

7- 09:52 : Perbezaan Pendapat Dalam Mentafsirkan Sesuatu Ayat Berlaku Juga Di Kalangan Sahabat-sahabat, Tetapi Biasanya Hanya Pada Lafaz Sahaja

08- 10:58 : Jalan Penyelesaian Jika Berlaku Perselisihan Pendapat Di Kalangan Sahabat Dalam Mentafsirkan Al-Quran Ialah Dengan Memilih Dan Mentarjihkan Pendapat Yang Lebih Kuat

09- 14:36 : Ijmak Sahabat Merupakan Hujjah Dalam Syariat

10- 15:41 : Kedudukan Sahabat Nabi s.a.w Bagi Ahli Sunnah Wal Jamaah

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN – TAFSIR AL-QURAN DENGAN PENDAPAT-PENDAPAT SAHABAT

Sesi 3 – Tafsir Al-Quran Dengan Pendapat-pendapat Sahabat

3. Tafsir Al-Qur’an Dengan Atsar Sahabat

Usul ketiga ialah mentafsir al-Qur’an dengan atsar atau pendapat-pendapat Sahabat khususnya “Abdullah bin Mas’ud r.a. (m.32H) dan ‘Abdullah bin ‘Abbaas r.a (m.68H). Sebelum mentafsirkan al-Qur’an dengan pendapat-pendapat Sahabat, seseorang pentafsir hendaklah terlebih dahulu melihat al-Qur’an sendiri, apakah ada tafsiran terhadap sesuatu yang hendak ditafsirkan di dalamnya atau tiada. Kalau ada, maka tafsiran al-Qur’anlah yang seharusnya dipakai. Kalau tidak ada, maka perlu pula dicari tafsirannya di dalam hadits. Kalau ada tafsirannya di dalam hadits, maka itulah seharusnya dipakai. Setelah tidak didapati tafsirannya di dalam hadits, barulah dicari tafsirannya di dalam atsar (kata-kata atau pendapat-pendapat) Sahabat. Demikianlah tertib yang betul pentafsiran al-Qur’an.

Atsar Sahabat diguna pakai dalam mentafisr al-Qur’an kerana sebab-sebab berikut:

(a) Bahasa al-Qur’an adalah bahasa mereka.

(b) Mereka mengetahui dan memahami latar belakang ayat-ayat al-Qur’an yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.

(c) Mereka mempelajari al-Qur’an dan ma’na-ma’nanya dengan Rasulullah s.a.w sendiri.

(d) Mereka sangat cermat dalam mentafsir al-Qur’an. Perbezaan pendapat dalam mentafsir sesuatu ayat berlaku juga di kalangan Sahabat, tetapi biasanya hanya pada lafaz sahaja. Adapun perbezaan pada ma’na, maka itu sesuatu yang jarang berlaku.

(e) Ada jalan penyelesaian yang terang jika berlaku perselisihan pendapat dikalangan Sahabat dalam mentafsir al-Qur’an. Dalam keadaan itu pendapat yang lebih kuat harus dipilih dan ditarjihkan. Dimaksudkan dengan pendapat yang lebih kuat ialah yang lebih dekat dan sesuai dengan al-Qur’an dan hadits yang dinukilkan dengan sanad yang lebih sahih.

(f) Ijma’ mereka merupakan hujah dalam syar’at.

Antara peribadi yang terkenal sebagai imam dalam tafsir al-Qur’an di kalangan Sahabat ialah 10 orang berikut :

(1.) Saiyyidina Abu Bakar as-Shiddiq r.a

(2.) Saiyyidina ‘Umar r.a.

(3.) Saiyyidina ‘Utsman r.a.

(4.) Saiyyidina ‘Ali r.a.

(5.) Saiyyidina ‘Abdullah Bin Ma’sud r.a.

(6.) Saiyyidina ‘Abdulhah bin ‘Abbaas r.a

(7.) Saiyyidina Ubai bin Ka’ab r.a

(8.) Saiyyidina Zaid bin Tsabit r.a.

(9.) Saiyyidina Abu Musa al-Asy’ari r.a.

(10.) Saiyyidina ‘Abdullah Bin Zubair r.a.

Antara contoh tafsir al-Qur’an dengan atsar Sahabat ialah tafsiran Ibnu Mas’ud terhadap rangkai kata yang tersebut di dalam ayat 6 Surah Luqman. Untuk menguatkan pendapat beliau, sebanyak tiga kali diulanginya kata-kata ini: Bermaksud Ia demi Allah adalah lagu-lagu. (Atsar riwayat Ibnu Abi Syaibah, Ibnu Jarir, Haakim dan Baihaqi).

NOTA KULIAH LENGKAP – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 3 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 1 hingga 6

Usul Tafsir al-Quran – Sesi 2 – Usul No 2 – Tafsir Al-Quran Dengan Hadith Yang Sahih

[Muat Turun Artikel – Format PDF] 

VIDEO – [Durasi 1j 15m 40] – Sesi 2 – Usul No 2 – Tafsir Al-Quran Dengan Hadith Yang Sahih

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  https://youtu.be/Y-Zc-LKP1Q8 ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:00:20 : Pengenalan Usul Tafsir Al-Quran

2- 00:03:55 : Tafsir Al-Quran Dengan Hadith-Hadith Yang Sahih

3- 00:18:14 : Salah Satu Peranan Nabi s.a.w Ialah Mentafsirkan Al-Quran Dengan Menghuraikan Dan Menerangkan Maksud-maksudnya.

4- 00:20:26 : Allah Memerintahkan Nabi-Nya Muhammad Supaya Memutuskan Perkara Dan Menghukum Di Antara Manusia Dengan Berpandukan Al-Quran.

5- 00:29:27 : Banyak Sekali Perintah Allah Di Dalam Al-Quran Diberikan Secara “Ijmal” (Secara Umum)

06- 00:35:25 : Peringatan – Apabila Mentafsirkan Al-Quran Hendaklah Mengelakkan Diri Daripada Menggunakan Hadith-hadith Dhaif Atau Maudhu’.

7- 00:42:05 : Hadith-hadith Tentang Kelebihan Setiap Surah Al-Quran Yang Dimasukkan Di Dalam Kitab-Kitab Tafsir Seperti Tafsir As-Sa’labi, Al-Wakidi, Al-Zamakhsyari, Al-Baidhowi,Dan Lain-lain, Kebanyakannya Adalah Maudhu’.

8- 00:43:56 : Contoh Mentafsirkan Al-Quran Dengan Hadith-hadith Sahih

9- 00:52:10 : Berdasarkan Hadith Sahih Rangkai Kata “Sab’an Minal Masani” Bermaksud Surah Al-Fatihah

10- 01:03:29 : Hukum Orang Yang Simpan Emas Dan Perak

11- 01:07:12 : Hukum Tidak Boleh Berkahwin Dengan Emak Saudara Dan Begitu Juga Menghimpunkan (Berkahwin) Adik-beradik Di Dalam Satu Masa

12- 01:11:30 : Selingan – Perbezaan Di antara Hadith Dengan Sunnah

NOTA RINGKAS

USUL ke 2 – TAFSIR AL-QURAN DENGAN HADITH-HADITH SAHIH

Usul kedua ialah mentafsir al-Qur’an dengan hadits-hadits sahih. Tafsir al-Qur’an dengan hadith-hadith sahih bererti mentafsirnya dengan wahyu. Dalam usaha memahami dan memahamkan al-Qur’an ia merupakan sumber kedua dari langit.

Hadits-hadits Rasulullah s.a.w sama ada berupa ucapan, perbuatan atau pengesahan Baginda yang sampai kepada kita menerusi rantaian (sanad) perawi-perawi yang dipercayai dan boleh dijadikan hujah di sisi para ulama hadits merupakan saluran kedua yang harus diikuti dan dijadikan pegangan dalam pemahaman al-Qur’an. Ini kerana ia juga merupakan sumber mu’tabar kepada umat.

Menurut Ahli as-Sunnah Wa al-Jama’ah, tafsiran al-Qur’an yang bercanggah dengan hadits-hadits yang sahih dan tidak mansukh adalah satu bentuk tahrif (penyelewengan ma’na) al-Qur’an.

Tafsir al-Qur’an dengan hadits-hadits yang sahih juga perlu kerana beberapa sebab berikut :

(a) Salah satu peranan dan kerja Nabi s.a.w ialah mentafsir al-Qur’an dengan menghurai dan menerangkan maksud-maksudnya.

(b) Allah memerintahkan Nabinya Muhamad s.a.w. supaya memutuskan perkara dan menghukum antara manusia dengan berpandukan al-Qur’an.

(c) Al-Qur’an sampai kepada kita (umat) menerusi Nabi s.a.w.

(d) Banyak sekali perintah Allah di dalam al-Qur’an diberikan secara ijmal (umum). Hadith-hadith Rasulullahlah yang mentafshilkannya (memperincikannya). Seperti perintah bersembahyang, memberi zakat, memotong tangan pencuri dan lain-lain.

(a) Perkataan “zalim” biasanya memberi erti kezaliman atau ketidakadilan. Tetapi di dalam al-Qur’an ia dipakai juga dengan erti yang lain.

(b) Berdasarkan hadith sahih, rangkai kata yang tersebut di dalam firman Allah di dalam Surah al-Hijr

NOTA KULIAH LENGKAP– MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 2 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 1 hingga 6

Usul Tafsir al-Quran – Sesi 1 – Pengenalan 20 Usul Tafsir Al-Quran & Usul Pertama – Tafsir Al-Quran Dengan Al-Quran

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi 59m 42s] – Sesi 1 – Pengenalan (Usul Tafsir Quran) & Usul 1- Tafsir Quran Dengan al-Quran

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/KookeqAVcas ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:19 : Pengenalan Usul Tafsir Al-Quran

2- 15:08 : Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran

3- 42:04 : Maksud Tafsir Al-Quran Dengan Al-Quran Dan Antara Sebab Usul Ini Perlu Dipakai.

4- 49:10 : Al-Quran Kadang-kadang Menyebutkan Sesuatu Secara “Ijmal” (Umum), Dan Kadang-kadang Secara “Tafsil” (Terperinci)

5- 51:13 : Tidak Ada Pertentangan Dalam Al-Quran Sama Ada Antara Perkataan-perkataannya Atau Antara Ayat-ayatnya. Ayat-ayat Al-Quran Adalah Kalam Allah Yang Benar Dan Menguatkan Satu Sama Lain. Ia Juga Menjelaskan Satu Sama Lain.

6- 54:14 : Surah Ad-Dukhan Ayat 3 – Allah Menceritakan Bahawa Dia Menurunkan Al-Quran Pada Satu Malam Yang Diberkati.

NOTA RINGKAS

RINGKASAN 20 USUL TAFSIR AL-QURAN

(Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat)

1. Tafsir Al-Qur’an dengan Al-Quran

2. Tafsir Al-Qur’an dengan Hadits-hadits Sahih

3. Tafsir A-Qur’an Dengan Pendapat-Pendapat Sahabat

4. Tafsir A-Qur’an Dengan Pendapat-Pendapat Tabi’in

5. Tafsir Al-Qur’an Berdasarkan Pendapat-Pendapat Yang Bersesuaian Dengan Qaedah-Qaedah Bahasa ‘Arab

6. Tafsir Al-Qur’an Menggunakan Fikiran

7. Tafsir Al-Qur’an Berpandukan Ayat Sebelum Dan Selepas

8. Memahami Al-Qur’an Berdasarkan Tertib Turun Ayat

9. Memahami Al-Qur’an Berdasarkan Tertib Yang Ada

10. Mengetahui Struktur Makro (Topik Umum) Setiap Surah

11. Mengetahui Tajuk Perbincangan Khusus Setiap Surah

12. Mengetahui Struktur Mikro Dalam Setiap Ayat Al-Qur’an

13. Mengetahui Kata Kunci Di Dalam Setiap Surah

14. Mengetahui Kesinambungan Antara Dalil Dan Madlul Dalam Sumpah-Sumpah

15. Mengelak Diri Daripada Menta’wilkan Ayat-Ayat Mutasyabihat

16. Mengetahui Sebab Turun Ayat Dan Apa-Apa Yang Bersesuaian Dengannya

17. Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat-Ayat Yang Dimansukhkan

18. Mengelak Diri Daripada Tafsir Golongan-Golongan Yang Sesat

19. Mengelak Diri Daripada Riwayat-Riwayat Israiliyat Dalam Penafsiran Al-Qur’an

20. Bercermat Dalam Tafsir Al-Qur’an Menggunakan Sains Moden

PERINCIAN:

1. TAFSIR AL-QURAN DENGAN AL-QURAN

Usul pertama yang perlu dipakai dalam mentafsir al-Qur’an untuk mendapat kefahaman yang betul dan selamat ialah mentafsir al-Qur’an sendiri.

Antara sebab kenapa usul ini perlu dipakai ialah kerana:

(a) Orang yang bercakap lebih mengetahui tentang apa yang dikehendakinya dengan percakapannya. Dialah yang orang paling patut diutamakan untuk anda mengetahui maksud percakapannya.

(b) Al-Qur’an kadang-kadang menyebutkan sesuatu secara ijmal. Kadang-kadang pula secara tafshil.

(c) Tidak ada sebarang pertentangan di dalam al-Qur’an, sama ada antara perkataan-perkataannya atau antara ayat-ayatnya. Al-Quran ialah kalam Allah. Ia membenar dan menguatkan satu sama lain. Ia juga mentafsir, menghurai dan menjelaskan satu sama lain.

Ribuan contoh terdapat di dalam al-Qur’an. Sebagai panduan ambil saja dua daripadanya;

(a) Di dalam ad-Dukhan ayat 3, Allah menceritakn bahawa Dia menurunkan al-Qu’ran pada satu malam yang diberkati. Apakah malam itu? Ia ialah malam Qadar. (lihat ayat 1 Surah al-Qadr). Malam Qadr itu terletak dalam bulan apa pula? Jawabnya di bulan Ramadhan. (lihat ayat 185, Surah al-Baqarah).

(b) Al-Qur’an beberapa kali menyebutkan manusia akan mendapat balasan dan ganjaran bagi segala usahanya. Kalau dia mahu dunia, dia akan mendapat dunia. Kalau dia mahu akhirat, dia juga akan mendapatnya. Orang-orang Islam diajar supaya meminta dunia dan akhirat, kedua-dua sekali. Sesiapa yang mencari dan meminta dunia sahaja, dia tidak akan mendapat apa-apa di akhirat nanti. Pada Allah ada dunia dan akhirat. Untuk mendapat apa-apa, sama ada di dunia atau akhirat, perlu ada usaha. Al-Qur’an menggunakan perkataan untuk usaha pencarian dunia dan akhirat. Perkataan ‘al-Harts’ baru dapat difahami dengan betul dan lengkap maksudnya apabila anda mengaitkannya juga dengan ayat 223 di dalam Surah al-Baqarah, ayat 134 di dalam Surah an-Nisaa’ dan ayat 20 di dalam Surah as-Syura.

NOTA KULIAH LENGKAP– MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 1 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 1 hingga 6