Usul Tafsir al-Quran – Sesi 64 – Usul No 17 – Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat Yang Dimansuhkan

VIDEO – [Durasi 49m 49s] – Sesi 64 -Usul No 17 -Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/vHWVmyMI5RU ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:21 : Mengetahui Ayat-ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat-ayat Yang Dimansukhkan

2- 02:24 : Nasakh Mengikut Ulama’ Mutaqaddimin

3- 14:17 : Mengetahui Ayat-ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat-ayat Yang Dimansukhkan Menurut Ahli-Ahli Tafsir Mutaqaddimin Dan Muta’akhkhirin

4- 32:12 : Pengertian Nasakh Mengikut Bahasa

5- 33:34 : Nasakh Menurut Istilah Ulama’ Muta’akhkhirin

6- 37:48 : Dalil Berlaku Nasakh Menurut Muta’akhkhirin

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

USUL KE 17 – Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat Yang Dimansuhkan

NOTA KULIAH

(17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN

MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN

Sebelum membincangkan secara terperinci tentang ayat-ayat yang menasakhkan dan ayat-ayat yang dimansukhkan, perlulah diketahui terlebih dahulu apakah erti nasakh. Kerana daripadanyalah lahir apa yang dikatakan nasikh dan mansukh ini.

AN-NASKHU

Para ulama’ mengatakan, pada dasarnya konsep nasakh memang terdapat di dalam riwayat yang menyatakan sebab turun bagi ayat 106 Surah al-Baqarah. Di dalamnya tersebut bahawa pada zaman Nabi s.a.w orang-orang Yahudi saling berkata-kata sesama mereka: “Kamu tidak nampak pelik dan anehkah tentang tingkah laku Muhammad! Di mana pada hari ini dia menyuruh sahabatnya melakukan sesuatu, pada masa lain melarangnya. Nampaknya tidak syak lagi al-Qur’an itu adalah kata dan ciptaan Muhammad sendiri.” Dengan sebab itu turunlah ayat al-Nasakh tersebut, di mana Allah berfirman, bermaksud, “Ayat mana saja yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu? (al-Baqarah: 106)

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa dalam syari`at Islam memang ada konsep Nasikh dan Mansukh dalam bab hukum-hakam. Walaupun konsep nasikh dan mansukh berlaku, namun jumhur ulama’ sepakat mengatakan hanya beberapa ayat dan surah-surah tertentu sahaja yang terlibat dengan nasakh. Ia tidak berlaku pada semua bahagian al-Qur’an.

Para ulama’ bagaimanapun masih berbeda pendapat tentang mafhum dan perinciannya.

PENGERTIAN NASAKH

Pengertian Nasakh dapat dibahagikan kepada dua:

1. Pengertian Bahasa.

2. Pengertian Istilah.

DALIL BERLAKU NASAKH MENURUT MEREKA

Bagi mereka, Nasakh memang berlaku di dalam al-Qur’an berdasarkan dalil, antaranya ialah:

1.  Firman Allah s.w.t berikut, bermaksud, “Ayat mana saja yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu?” (al-Baqarah : 106)

2. Firman Allah s.w.t, bermaksud, “Dan apabila kamu tukarkan satu ayat untuk menggantikan ayat yang lain dan Allah memang mengetahui akan apa yang Dia turunkan, – berkatalah mereka (yang kafir): Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta; (Padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.” (an-Nahl : 101)

3. Hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud, “Sesungguhnya Nabi pernah mengadap ke arah Baitul Maqdis sebagai qiblat ketika sembahyang selama 16 bulan, selepas itu hukum itu dinasakhkan dan Nabi diarahkan menukar qiblat ke Ka’bah pula”.

Dalil berupa nas-nas tersebut menunjukkan dan menjelaskan memang berlaku perubahan dan pertukaran dalam hukum yang diturunkan dari masa ke semasa. Oleh itu perkataan badal  dan nasakh dalam ayat tersebut membawa maksud: Penghapusan dan Pertukaran.

Justeru itu, jumhur `ulama’ muta’akkhirin berpendapat bahawa konsep nasikh dan mansukh, dalam bab hukum-hakam adalah harus berlaku. Tambahan pula, konsep kenabian dan kerasulan Muhammad diutuskan untuk menasakhkan sebahagian syari’at nabi sebelumnya.

Di bawah ini dikemukakan beberapa contoh ayat yang menunjukkan berlakunya nasakh dan pertukaran dalam hukum, antaranya ialah:

a. Firman Allah mengenai perubahan masa `iddah perempuan yang kematian suami sebagaimana firman Allah, bermaksud: “Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antaramu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang ma’ruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (al-Baqarah : 240).

Ayat di atas telah dinasakhkan (dimansukhkan) oleh ayat berikut, “234. Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber`iddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis `iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.

b. Nasakh juga telah berlaku semenjak zaman nabi sebelum Muhammad lagi. Contohnya ialah nasakh yang berlaku terhadap syari`at Nabi Musa. Di mana umatnya dilarang menangkap ikan pada hari Sabtu, tetapi perbuatan tersebut diharuskan kepada umat Muhammad.

c. Di dalam kitab Taurat ada kenyataan bahawa, Nabi Adam menjodohkan anak lelakinya dengan anak perempuannya. Tetapi umat Nabi Muhammad sekarang perkahwinan antara adik-beradik begitu diharamkan.

d. Selain itu juga Allah menegaskan Islam adalah agama terakhir yang memansukhkan semua agama sebelumnya. Sebagaimana firman-Nya, bermaksud, “Sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuklah orang-orang yang rugi.” (Aali `Imraan : 85).

SYARAT-SYARAT NASAKH MENURUT MEREKA

Nasakh mestilah dengan memenuhi syarat-syarat tertentu. Syarat-syarat nasakh itu adalah seperti berikut:

1. Hukum yang dinasakhkan (dimansukhkan) itu adalah hukum syara` yang bukan ditetapkan atau bukan diwajibkan kerana zatnya. Contohnya, perkara yang berkaitan dengan akidah dan iman. Selain dari itu ia bukan perkara yang dilarang kerana zatnya. Contohnya, kufur.

Begitu juga mengenai hukum akal yang telah tetap. Contohnya, setiap yang hidup pasti akan mati.  Semua yang tersebut di atas tidak mungkin dapat dinasakhkan lagi.

2. Hukum yang memansukhkannya, iaitu al-Nasikh mestilah datang kemudian dan berasingan daripada hukum yang dinasakhkan atau al-Mansukh.

3. Hukum yang dinasakhkan adalah tsabit dengan nas dan tidak ditentukan penggunaannya pada masa-masa tertentu sahaja, serta tidak dikekalkan untuk selama-lamanya.

4. Cara nasakh mestilah berdasarkan syara` dan dengan hukum syara`.

5. Konsep nasakh dan mansukh hanya berlaku sewaktu Nabi masih hidup sahaja.

6. Hukum yang dinasakhkan mestilah hukum yang berbentuk amali.

7.  Hukum yang dinasakhkan tidak berbentuk menyeluruh atau kulli.

8.     Dalil yang memansukhkan adalah sama kuat atau lebih kuat daripada dalil dinasakhkan dari sudut kekuatan tsabit dan dalalahnya.

9.     Menurut pendapat Syafi’e dan Ahmad, hukum yang menasakhkan adalah bertentangan dengan hukum yang dinasakhkan ataupun ia berlawanan dengannya, tetapi sama di segi jenis.

10.  Hukum yang dinasakhkan itu hendaklah berkenaan dengan mereka yang mempunyai keahlian taklif, supaya hukum yang dimansukhkan itu dapat dilaksanakan, di samping menasakhkan hukum sebelumnya.  

CARA MENGETAHUI NASAKH

Nas Nasikh dan Mansukh merupakan nas yang bertentangan, ia dapat diketahui melalui salah satu daripada cara berikut:

1.  Penegasan berbentuk lafaz yang memang menunjukkan nasakh. Sebagaimana firman Allah, bermaksud,  “Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar.” (al-Anfaal : 66)

Ayat ini merupakan ayat yang menasakhkan atau menjadi nasikh terhadap penetapan hukum terhadap orang Islam yang mesti menentang atau melawan orang kafir yang nisbahnya 1:10.  Ayat yang dinasakhkan itu ialah firman Allah, bermaksud, “Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mu’min untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti”. (al-Anfaal : 65)

2. Daripada dua nas nasikh dan mansukh, terbukti nasikh datangnya terkemudian daripada mansukh melalui kenyataan yang dibuat oleh Nabi, sebagaimana terdapat di dalam Hadits berikut, bermaksud, “Dahulu aku menegahkan kamu daripada menziarahi kubur, sekarang ziarahilah. (Hadits riwayat an-Nasaa’i, Ibnu Hibbaan, al-Hakim dan lain-lain)

3. Penegasan melalui ijma’ `ulama’ bahawa nas nasikh memang datang kemudian daripada nas mansukh.

4. Melalui perbuatan dan amalan Nabi. Contohnya ialah, perbuatan Nabi yang merejam Ma’iz al-Aslami tanpa menyebat 100 kali telah menasakhkan hukum mengenai lelaki dan perempuan yang telah berkahwin yang berzina. Nas yang dinasakhkan itu ialah Hadits yang diriwayatkan oleh Muslim, bermaksud,  “Sebatan 100 kali dan rejam.”

NASAKH SECARA TERANG DAN SHAREH

Nasakh bahagian ini bermaksud, syara` menjelaskan dan menyatakan secara terang bahawa syari`at kemudian membatalkan atau menasakhkan syari`at terdahulu. Contohnya firman Allah, bermaksud, “Wahai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh orang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu) dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. (65) Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya kamu dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar (66)” (al-Anfaal : 65-66).

Dalam ayat 65 Allah mewajibkan orang Islam melawan musuh apabila orang Islam seramai 20 orang dan musuh seramai 200 orang. Iaitu dalam nisbah 1:10. Hukum tersebut kemudiannya dimansukhkan secara terang dan shareh dengan ayat berikutnya, iaitu ayat 66 dalam surah yang sama, iaitu wajib menghadapi musuh apabila mereka berjumlah 100 orang dan musuh 200 orang, nisbah 1:2.

BAHAGIAN-BAHAGIAN NASAKH

Nasakh dapat dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu:

1. Nasakh secara terang atau shareh

2. Nasakh secara kandungan atau dhimni

3. Nasakh keseluruhan atau Kulli

4. Nasakh sebahagian atau juz’i

NASAKH SECARA TERANG DAN SHAREH

Nasakh bahagian ini bermaksud, syara` menjelaskan dan menyatakan secara terang bahawa syari`at kemudian membatalkan atau menasakhkan syari`at terdahulu. Contohnya firman Allah, bermaksud, “Wahai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh orang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu) dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. (65) Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya kamu dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar (66)” (al-Anfaal : 65-66).

Dalam ayat 65 Allah mewajibkan orang Islam melawan musuh apabila orang Islam seramai 20 orang dan musuh seramai 200 orang. Iaitu dalam nisbah 1:10. Hukum tersebut kemudiannya dimansukhkan secara terang dan shareh dengan ayat berikutnya, iaitu ayat 66 dalam surah yang sama, iaitu wajib menghadapi musuh apabila mereka berjumlah 100 orang dan musuh 200 orang, nisbah 1:2.

NASAKH SECARA KANDUNGAN ATAU DHIMNI

Ia membawa maksud syara` mensyari`atkan satu hukum yang bertentangan dengan hukum terdahulu, sehingga tidak mungkin disatukan kedua-dua hukum tersebut, melainkan dengan dibatalkan salah satu daripadanya. Lantaran itu, hukum terkemudian dianggap menasakhkan hukum terdahulu, walaupun ia tidak dinyatakan secara terang bahawa hukum terkemudian menasakhkan hukum terdahulu.  Contohnya ialah firman Allah berikut, bermaksud, “Diwajibkan atas kamu, apabila di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan karib kerabatnya secara ma’ruf, (Ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.”

Melalui ayat ini, Allah mewajibkan orang yang hampir mati berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya, kemudian Dia mensyari`atkan hukum yang bertentangan dengan hukum di dalam ayat itu, dengan menghukumkan pembahagian harta peninggalan mengikut cara yang diterangkan di dalam ayat mengenai pembahagian pusaka. Sebagaimana firman Allah, bermaksud, “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: Satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepadamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) Ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana, (an-Nisaa’ : 11)

Di dalam ayat ke-11 di atas dan ayat seterusnya diterangkan dengan jelas tentang pembahagian pusaka kepada anak-anak dan juga kepada selain anak-anak. Dari situ kita dapati bahawa hukum yang kedua telah mentakhsiskan hukum pertama secara kandungan atau dhimni. Iaitu nasakh secara tidak langsung, kerana tidak mungkin digabungkan kedua-dua ayat tersebut, kecuali ayat di dalam surah al-Baqarah termansukh dengan turunnya ayat pusaka surah al-Nisaa’ ayat 11 dan berikutnya dengan sabda Baginda, terjemahan, “Sesungguhnya Allah telah memberi kepada tiap-tiap yang berhak akan haknya, maka tiada lagi wasiat untuk waris. (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Tirmidzi, Nasaa’i, dan ad-Daaraquthni).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 64 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 12)  

Usul Tafsir al-Quran – Sesi 63 – (Sambungan) Usul No 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 27m 56s] – Sesi 63 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/hIZWCi1_bck ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 00:00:20 : Beberapa Peringatan Berhubung Dengan Sebab Nuzul

02- 00:04:44 : Ayat-ayat Yang Turun Khusus Berkenaan Dengan Orang Tertentu (Namanya Bahkan Disebutkan ); Ayat-ayat Seperti Ini Berdasarkan Ijmak Ulama’

03- 00:06:33 : Ayat Tentang Abu Lahab

04- 00:14:21 : Ayat Yang Sebut Nama Zaid Bin Harithah Tentang Boleh Berkahwin Dengan Anak Angkat

05- 00:25:11 : Ayat Yang Khusus Kepada Nabi s.a.w Dalam Surah Ad-Dhuha Dan Beberapa Ayat Di Permulaan Surah An-Najm

06- 00:34:30 : Ayat-Ayat Yang Tersebut Di Dalamnya Ciri-ciri Dan Sifat-sifat Khusus Bagi Seseorang, Satu Kumpulan Atau Perkara Tertentu Tanpa Disebut Namanya Dengan Terang. Bagaimanapun Ada Tanda-tanda Dan Petunjuk Yang Mengisyaratkan Kepada Orang, Kumpulan Atau Perkara Tertentu, Maka Ayat-ayat Seperti Itu Dikira Khusus Dengan Orang, Kumpulan Atau Perkara Berkenaan Sahaja. Menurut Ijmak Ulamak Ia Tidak Merangkumi Orang-orang Lain Meskipun Mereka Juga Mempunyai Ciri-ciri Dan Sifat-sifat Khusus Yang Sama Dengan Orang, Kumpulan Atau Perkara Yang Sememangnya Dimaksudkan.

07- 00:44:33 : Golongan Yang Beriman Disebut Di Dalam Al-Quran

08- 00:53:56 : Antara Ayat-Ayat Yang Turun Dengan Sesuatu Peristiwa Yang Tertentu Tetapi Lafaznya Memberi Erti Umum, Seperti Ayat Zihar

09- 01:09:03 : Ayat Tentang Hukum Li’an

10- 01:18:38 : Ayat-ayat Yang Ada Sebab Turunnya Yang Khusus, Atau Ia Turun Bersempena Dengan Peristiwa-peristiwa Tertentu Tetapi Lafaznya Memberi Erti Umum, Tidak Ada Pula Perkara Yang Memalingkannya Daripada Erti Umumnya; Maka Berhubung Dengan Ayat-Ayat Seperti Ini Terdapat Perbezaan Pendapat Dari Kalangan Ahli Ilmu.

11- 01:20:11 : Peristiwa Perjanjian Damai Di Antara Nabi s.a.w Dengan Golongan Quraisy

 

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

NOTA KULIAH:

BEBERAPA PERINGATAN BERHUBUNG DENGAN SEBAB NUZUL

(2) Adakah umum lafaz yang diambil kira atau khusus sebabnya? Pandangan para ulama’ usul berbeza-beza dalam masalah ini. Mereka terbahagi kepada tiga golongan.

(i) Golongan Jumhur. Mereka berpendapat yang diambil kira ialah umum lafaz.

(ii) Yang diambil kira ialah khusus sebabnya.

(iii) Perlukan perincian.

Secara ringkasnya dapatlah dikatakan ayat-ayat yang diturunkan berhubung dengan sesuatu peristiwa dan ada sebabnya terbahagi daripada segi umum dan khususnya kepada empat bahagian berikut:

(i) Ayat-ayat yang turun khusus berkenaan dengan orang tertentu. Namanya bahkan disebutkan. Ayat-ayat seperti ini berdasarkan ijma’ ulama’ memang khusus dengan orang berkenaan. Ia tidak melarat (diperluaskan) kepada orang-orang lain. Contohnya ialah firman Allah ini yang bermaksud: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama ..”(al-Masad:1).

Ayat ini sememangnya turun khusus berkenaan Abu Lahab. Di dalamnya tersebut ancaman yang dahsyat kepadanya. Namanya juga disebut dengan jelas. Oleh itu orang-orang lain tidak termasuk di bawah ayat-ayat ini.

(ii) Ayat-ayat yang tersebut di dalamnya ciri-ciri dan sifat-sifat khusus bagi seseorang, satu kumpulan atau perkara tertentu tanpa disebut namanya dengan terang. Bagaimanapun ada tanda-tanda dan petunjuk-petunjuk yang mengisyaratkan kepada orang, kumpulan atau perkara tertentu, maka ayat-ayat seperti ini juga dikira khusus dengan orang, kumpulan atau perkara berkenaan sahaja menurut ijma’ulama’. Ia tidak merangkumi orang-orang lain, meskipun mereka juga mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat khusus yang sama dengan orang, kumpulan atau perkara yang sememangnya dimaksudkan.

Antara contohnya ialah firman Allah berikut:

Bermaksud:” Dan (sebaliknya) akan dijauhkan neraka itu daripada orang yang paling bertaqwa; (17) Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya” (18). (al-Lail:17-18)

(iv) Ayat-ayat yang ada sebab turunnya yang khusus, atau ia turun bersempena dengan peristiwa-peristiwa tertentu, tetapi lafaznya memberi erti umum. Tidak ada pula perkara yang memalingkan daripada erti umumnya, maka berhubung dengan ayat-ayat seperti ini terdapat perbedaan pendapat di kalangan ahli ilmu. Ada yang menyatakan yang diambil kira ialah sebabnya yang khusus, bukan lafaznya yang umum. Maksudnya ialah lafaz ayat diikat mereka dengan peristiwa yang menyebabkan ia turun. Adapun perkara-perkara lain seumpamanya, maka hukumnya tidaklah diketahui daripada daripada ayat berkenaan, sebaliknya ia diketahui melalui dalil-dalil yang lain. Jumhur ulama’ pula mengatakan, yang diambil kira ialah lafaznya yang umum. Hukum yang terdapat di dalamnya merangkumi semua orang yang mempunyai kriteria yang sama dengan orang yang terlibat dalam peristiwa asal yang merupakan sebab bagi turunnya ayat berkenaan. Ringkasnya bagi mereka, ayat yang sama juga merupakan sumber hukum untuk orang-orang lain. Hukum untuk mereka tidak perlu dicari dari sumber-sumber yang lain lagi. Kalau ada pun dalil yang lain, maka ia tidak lebih daripada penguat dan penyokong kepada dalil yang sudah sedia ada di dalam al-Quran itu.

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 63 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 11)

Usul Tafsir Al-Quran – Sesi 62 – (Sambungan) Usul No 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 20m 56s] – Sesi 62 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/wQVYrPeFgI0 ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 00:00:47 : Beberapa Peringatan Berhubung Dengan Sebab Nuzul

02- 00:04:47 : Ilmu Usul Tafsir

03- 00:14:25 : Orang Mati Diseksa Dengan Sebab Tangisan Keluarganya

04- 00:16:00 : Kenapa Imam as-Syafi’i Utamakan Pendapat Ibnu Abbas r.a?

05- 00:17:55 : Pendapat Aisyah r.ha Berkenaan Dengan Orang Mati Diseksa Dengan Sebab Tangisan Keluarganya

06- 00:26:46 : Manusia Tidak Akan Menanggung Dosa Orang Lain

07- 00:28:45 : Allah Melaknat Orang Yang Mengubah Kejadiannya (Dan Juga Dan Pembuatnya) Seperti Membuat Tatu, Mencukur Kening, Menjarangkan Gigi dsb

08- 00:34:20 : Nabi s.a.w Melarang Ummah Dari Menjadi Saksi Palsu

09- 00:38:50 : Balasan Bagi Orang Yang Tidak Mengeluarkan Zakat

10- 00:44:58 : Kebenaran Tidak Ditentukan Oleh Majoriti (Suara Terbanyak)

11- 00:48:40 : Meriwayatkan Hadith Yang Bertepatan Maksudnya Dengan Maksud Ayat Al-Qur’an

12- 00:55:20 : Ibnu Mas’ud r.a Bertanya Kepada Nabi s.a.w Tentang Apakah Dosa Yang Paling Besar?

13- 01:00:10 : Ibnu Abbas r.a Meramal Saidina Muawiyah Akan Menjadi Pemerintah Apabila Berlaku Krisis Antara Saidina Ali r.a Disebabkan Saidina Ali Seolah-olah Berpihak Kepada Pihak Yang Membunuh Saidina Ustman

14- 01:05:28 : Penentuan Tempat Turun Ayat

15- 01:07:58 : Penentuan Nama-nama Orang Yang Tersebut Di Dalam Ayat Secara Samar Dan Tidak Jelas

16- 01:12:06 : Cara-cara Menyebut Perkataan Yang Tersebut Di Dalam Ayat-Ayat Al-Quran Yang Tertentu

17- 01:14:00 : Kelebihan Surah-surah Dan Ayat-ayat Tertentu

 

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

NOTA KULIAH:

BEBERAPA PERINGATAN BERHUBUNG DENGAN SEBAB NUZUL

(1) Sesetengah pelajar dan pembaca Tafsir terpedaya apabila melihat para mufassirin mengemukakan kisah atau peristiwa tertentu di bawah setiap ayat hukum dan jadal. Ia menyamgka kisah dan peristiwa yang disebutkan itu memang merupakan sebab sebenar bagi turunnya ayat-ayat berkenaan. Padahal bukan begitu keadaannya. Para ahli Tafsir kadang-kadang menyebutkan sesuatu kisah atau peristiwa semata-mata kerana ada sedikit sahaja perkaitan dan kesesuaiannya dengan ayat-ayat tertentu. Berkata al-Imam as-Shah Waliyyullah ad-Dihliwi r.a.: “Para ulama’ hadith banyak sekali menyebutkan perkara-perkara yang sebenar bukan merupakan sebab nuzul bagi ayat al-Quran. Ia tidak lebih daripada

(i) Istisyhad (dalil yang dikemukakan) para sahabat dalam perbincangan dan perdebatan mereka.

(ii) Contoh yang diberi atau perumpamaan yang dibuat mereka.

(iii) Sebagai dalil penguat bagi percakapannya semata-mata.

(iv) Meriwayatkan hadith yang bertepatan maksudnya dengan maksud ayat al-Quran.

(v) Penentuan tempat turun ayat.

(vi) Penentuan nama-nama orang yang tersebut di dalam ayat secara samar dan tidak jelas.

(vii) Menyatakan cara-cara menyebut perkataan yang tersebut di dalam ayat-ayat al-Quran yang tertentu.

(viii) menyatakan kelebihan surah-surah dan ayat-ayat tertentu.

(ix) Menyatakan cara-cara bagaimana mengamal dan mempraktikkan perintah Allah di dalam al-Quran. Semua itu pada hakikatnya bukanlah merupakan sebab turun ayat-ayat yang sebenar. (Lihat al-Fauzul Kabir m/s 61).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 62 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 11)

Usul Tafsir Al-Quran – Sesi 61 – (Sambungan) Usul No 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 24m 09s] – Sesi 61 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/MMREF_4SEZM ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:00:50 : Sebab Turun Ayat Hanya Satu, Tetapi Ayat Yang Turun Kerananya Pula Ada Beberapa

2- 00:15:34 : Sebab Turun Ayat Dengan Sebab Pertanyaan, Allah Tidak Akan Sia-siakan Amalan Manusia Lelaki Ataupun Perempuan

3- 00:28:13 : Sebab Turun Ayat Hanya Satu, Tetapi Ayat Yang Turun Kerananya Pula Ada Beberapa

4- 00:57:00 : Hakikat Seorang Yang Mendakwa Sebagai Seorang Nabi Pada Zaman Ini

5- 01:00:47 : Perbezaan Ilmu “Ulumul Quran” Dengan “Usul Tafsir” Dan “Usul Hadith” Dengan “Mustholah Hadith”

6- 01:04:57 : Soalan Ummu Salamah Tentang Kenapa Orang Lelaki Sahaja Boleh Berperang Dan Kenapa Orang Perempuan Mendapat Harta Pusaka Separuh.

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

NOTA KULIAH:

SEBAB TURUN AYAT HANYA SATU, TETAPI AYAT YANG TURUN KERANANYA PULA ADA BEBERAPA

Sebab turun ayat kadang-kadang ada satu sahaja, sedangkan ayat-ayat yang turun kerananya pula ada beberapa. Keadaan seperti ini juga ada berlaku. Ia merupakan kebalikan bab sebelum ini. Tujuannya boleh jadi untuk memuaskan hati manusia, boleh jadi juga kerana diperlukan untuk tujuan membimbing mereka, dan boleh jadi juga untuk menyatakan kebenaran dengan lebih jelas lagi pada ketika-ketika diperlukan.

Antara contoh bagi bab ini ialah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, at-Thabaraani dan lain-lain daripada Ibnu Abbas, kata beliau, “Pernah Rasulullah s.a.w duduk di bawah naungan rumahnya, tiba-tiba Baginda bersabda, “Nanti akan datang kepadamu orang yang akan melihatmu dengan dua mata syaitan. Bila ia datang, jangan kamu bercakap dengannya. Tidak lama kemudian datanglah seorang lelaki yang biru warna dua matanya. Rasulullah s.a.w. terus memanggilnya dan bertanya, “Kenapa engkau dan kawan-kawanmu mencerca aku?” Orang itu pergi lalu membawa dayang kawan-kawannya. Mereka lantas bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak berkata begitu, sehingga akhirnya Nabi s.a.w. memaafkan mereka. Maka Allah menurunkan firmanNya yang bermaksud, “Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak menyatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah menyatakan perkataan kufur dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu) dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.” (at-Taubah:74). (Hadith riwayat at-Thabaraani, Ahmad dan al-Maqdisi di dalam al-Ahaaditsul Mukhtarah).

Ahmad, at-Thabaraani dan al-Haakim juga mengemukakan hadith di atas, tetapi ayat al-Quran yang disebut mereka sebagai diturunkan kerananya bukanlah ayat 74 Surah at-Taubah, sebaliknya dua ayat berikut, yang bermaksud, “(Setelah nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikin) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta. (18) Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi (19)”. (al-Mujaadilah:18-19). (Hadith riwayat Ahmad, at-Thabaraani dan al-Haakim).

Antara contoh di bawah bab ini yang dikemukakan oleh as-Suyuti ialah hadith yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzhi dan al-Haakim daripada Ummi Salamah bahawa beliau berkata, “Wahai Rasulullah! Aku tidak ada mendengar langsung Allah menyebut orang-orang perempuan berhubung dengan hijrah, maka Allah menurunkan firmanNya ini, yang bermaksud, “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).” (Aali Imraan:195).

Haakim dan lain-lain mengemukakan juga riwayat daripada Ummi Salamah bahawa beliau berkata, pernah aku bertanya Rasulullah s.a.w. kataku, “Engkau menyebut (tentang) orang-orang lelaki (sahaja), tidak orang-orang perempuan. Maka diturunkanlah ayat ini, maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”(al-Ahzaab:35). Dan ayat di bawah ini juga diturunkan, bermaksud: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya):

” Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil)- Sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”. (Aali Imraan:195).

Tirmidzi, Abu Ya’la, Haakim dan lain-lain juga mengemukakan lagi riwayat daripada Ummi Salamah bahawa beliau berkata, “ (Kenapa) Orang-orang lelaki sahaja (boleh) berperang, orang-orang perempuan tidak. Dan kami (orang-orang perempuan) hanya mendapat pusaka separuh. Maka Allah menurunkan firmanNya, yang bermaksud, “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkam (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (kerana harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (an-Nisaa’:32). (Lihat as-Suyuti – al-Itqaan Fi Ulumil Quran jil.1 m/s 45).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 61 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 11)

Usul Tafsir al-Quran – Sesi 56 – USUL KE 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 01m 05s] – Sesi 56 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/T10ZH4WlsBE ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:31 : Faedah Mengetahui Sebab-sebab Turun Ayat-Ayat Al-Quran

2- 02:41 : Menghadap Kiblat Ketika Solat & Tidak Ada Pertentangan Di Antara Satu Ayat Al-Quran Dengan Ayat Al-Quran Yang Lain

3- 32:30 : Sahabat Nabi s.a.w Salah Faham Tentang Ayat al-Quran Tentang Arak

4- 47:17 : Cerita Nabi s.a.w Berhijrah Dengan Abu Bakar r.a

5- 50:01 : Cerita Tentang Peristiwa Perang Badar

6- 52:21 : Perintah Allah s.w.t. Supaya Maryam Goncangkan Pokok Kurma Dan Mengetahui Maksud Sebenar Ayat-ayat Berkenaan

NOTA RINGKAS

USUL 16- MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

(c) Lihat pula seterusnya firman Allah di bawah ini:

Bermaksud: “Dan kepunyaan Allahlah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadap disitulah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya) lagi Maha Mengetahui” (al-Baqarah:115).

Tanpa melihat kepada sebab turun ayat ini, seseorang yang membacanya mungkin sekali akan menyimpulkan bahawa menghadap qiblat adalah sesuatu yang tidak diperlukan untuk sembahyang. Ia boleh saja menghadap ke arah yang dikehendakinya, asalkan ia berniat menghadap Allah. Kerana Allah ada di setiap arah yang dihadapinya. Sedangkan di dalam ayat yang lain (Lihat sebagai contohnya ayat 144 surah al-Baqarah) Allah memerintahkan hamba-hambaNya, biar di mana pun mereka berada agar menghadap ke arah Masjidil Haram sebagai qiblat apabila bersembahyang. Sekali pandang dua ayat yang dikemukakan itu kelihatan bertentangan dan anda akan berada dalam kesukaran untuk memilih mana satu daripada keduanya yang harus dijadikan panduan. Tetapi jika anda mengetahui sebab turun ayat 115 yang dikemukakan itu, anda akan mendapati tidak ada sebarang pertentangan di antara keduanya. Kedua-duanya harus digunakan untuk keadaan yang berbeza sebenarnya. Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan, “Ketika dalam perjalanan dari Mekah ke Madinah nabi s.a.w. sering bersembahyang dalam keadaan berkenderaan tanpa mempedulikan sama ada baginda menghadap kearah Ka’bah (qiblat) atau pun tidak”. Kata beliau, “Berhubung dengannyalah turun ayat ini:فأَينَمَا تُوَلوا فَثَم وَجهُ الله (maka ke mana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah).(Hadith riwayat Muslim)

Hadith ini menunjukkan sebab turun ayat 115 di dalam surah ai-Baqarah itu berkaitan dengan sembahyang sunat di atas kenderaan ketika dalam perjalanan (musafir) sahaja. Ia boleh terus dikerjakan sama ada dalam keadaan seseorang itu menghadap qiblat atau pun tidak. Hukum ini tidak umum untuk semua keadaan.

Abdullah bin ‘Abbas pula berkata ketika menerangkan sebab turun ayat yang sama, “Bila qiblat orang-orang Islam dialihkan dari Baitulmaqdis ke Ka’bah, maka orang-orang Yahudi mengkritik dengan mengatakan: “Apakah sebab perubahan ini?” Maka turunlah ayat 115 yang mana kesimpulan maksudnya ialah “semua pihak atau arah itu dibuat oleh Allah dan Allah ada di pihak mana sekalipun. Oleh itu, jika Dia memerintahkan seseorang mengarahkan manusia agar menghadap ke pihak mana sekali pun, baik ke timur atau ke barat ketika sembahyang, menjadi wajiblah kepadanya menurut perintah itu”.

Walaupun terdapat beberapa riwayat tentang sebab turun ayat berkenaan di dalam kitab-kitab Tafsir, namun riwayat Ibnu Umar di atas adalah yang paling sahih berhubung dengan sebab turunnya.

(d) Akhir sekali lihatlah firman Allah di bawah ini sebagai contohnya:

Bermaksud: “Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertakwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (al-Maaidah:93).

Dengan melihat kepada zahir ayat ini mungkin boleh dikatakan bahawa tidak ada apa pun yang haram dimakan atau diminum oleh orang Islam asalkan dia beriman, takut kepada Tuhan dan mengerjakan amal soleh. Dia boleh memakan apa saja yang dikehendakinya.

Oleh kerana ayat itu disebut selepas pengharaman arak, mungkin ada orang yang menyimpulkan bahawa ayat ini membenarkan orang yang beriman dan beramal soleh meminum arak.

Apa yang penulis sebutkan ini bukan andaian dan kemungkinan semata-mata, bahkan telah ada di kalangan sahabat sendiri yang terkeliru apabila membaca ayat ini. Mereka menjadikan ayat ini sebagai dalil apabila menyatakan pendapat bahawa “peminum arak juga pada masa lalu jika seorang yang baik, tidaklah dikenakan hukuman had ke atasnya”.

Setelah Ibnu Abbas menyatakan sebab nuzul ayat ini kepada mereka, barulah hilang kekeliruan mereka.

Sebenarnya latar belakang ayat ini ialah apabila telah turun ayat yang mengharamkan arak dan judi maka sebahagian sahabat bertanya, “Bagaimana keadaan sahabat yang telah meninggal dunia sebelum turunnya hukum haramnya arak dan judi itu, sedangkan ia meminum arak dan berjudi sepanjang hayatnya?”. Maka turun ayat ini yang bermaksud: “Mana-mana orang mu’min yang minum arak atau makan harta hasil perjudian sebelum turunnya ayat tentang haram kedua-duanya, tidaklah ia berdosa dan akan diseksa dengan syarat dia adalah seorang mu’min dan patuh dengan hukum Allah s.w.t. pada masa lalu.”

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 56 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 10) 

Usul Tafsir al-Quran – Sesi 57 – (Sambungan) Usul No 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 03m 38s] – Sesi 57 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/spFyRf-TaB0 ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:06 : Cara-cara Mengetahui Sebab-Sebab Turun Ayat

2- 10:58 : Para Ulama’ Berbeza Pendapat Tentang Kata-kata Sahabat “Nazalat Fi Kaza”

3- 26:30 : Khilaf Tentang Membaca Surah al-Fatihah Dalam Solat Dan Sebab Nuzul

4- 48:53 : Ayat yang Turun Tentang Bal’am bin Ba’ura, Umayyah Bin Abi Sald, Abu Amir Ar-Rahib, Orang-Orang Yahudi Yang Munafik

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

CARA-CARA MENGETAHUI SEBAB-SEBAB NUZUL (TURUN) AYAT

Para ulama’ mengatakan, tidak ada jalan untuk mengetahui sebab-sebab turun ayat melainkan melalui nukilan riwayat yang sahih. Tidak harus seseorang memperkatakannya melainkan ia mengetahui tentangnya melalui riwayat-riwayat yang boleh dipercayai.

Kata al-Waahidi, “Tidak halal berbicara tentang sebab-sebab turun ayat-ayat al-Qur’an melainkan berasaskan riwayat dan apa yang didengari daripada orang-orang yang menyaksikan penurunannya secara langsung dan mereka sememangnya mengetahui tentang sebab-sebabnya.” (Lihat Asbabu an-Nuzul m/s 8).

Perlulah diketahui bahawa perawi adakalanya menyebutkan dengan jelas, ayat ini turun dengan sebab peristiwa sekian-sekian. Adakalanya pula ia berkata, ayat ini turun berhubung dengan sekian-sekian perkara.

Apabila sebab nuzul diriwayatkan dengan terang daripada seorang sahabat, maka ia dikira seperti riwayat marfu’ dan musnad menurut jumhur Muhadditsin. Ada pun apabila ia berkata نزلت في كذا (ia turun berhubung/ berkaitan sekian-sekian), maka para riwayat musnad, sementara orang-orang lain tidak memasukkannya dalam riwayat musnad yang marfu’. Sebabnya ialah kata-kata seperti ini berkemungkinan menyatakan sebab. Ia juga berkemungkinan termasuk dalam bab beristidlal dengan ayat (tertentu).

Kerana sudah kebiasaan mereka mengatakan begitu untuk menyatakan hukum-hukum yang boleh termasuk di bawah ayat-ayat berkenaan.

Al-Imam Ibnu Taimiyyah di dalam Muqaddimah Tafsirnya berkata: “Kata mereka, نزلت هذه الأية في كذا (ia turun berhubung/ berkaitan dengan sekian-sekian), kadang-kadang dimaksudkan dengannya sebab turun ayat itu. Kadang-kadang pula dimaksudkan bahawa perkara tertentu juga termasuk dalam kehendak ayat, walaupun ia sebenarnya bukanlah merupakan sebab turunnya. Para ulama’ berbeda pendapat tentang kata-kata sahabat, نزلت في كذا (ia turun berhubung / berkaitan sekian-sekian); adakah ia dikira sebagai riwayat musnad sebagaimana kalau ia menyebutkan sebab sebenarnya atau ia dikira sebagai tafsiran semata-mata, bukan sebagai musnad? Imam Bukhari menganggapnya termasuk dalam riwayat musnad. Kebanyakan kitab-kitab musnad seperti Musnad Ahmad dan lain-lain mengikut qaedah kedua. Keadaan berbeza jika seseorang sahabat menyebutkan sebab sebenar bagi turunnya ayat berkenaan. Semua ulama’ bersepakat tentang cerita sahabat yang seperti itu dikira sebagai musnad. (Lihat fatwa Ibni Taimiyyah j.13 m/s 339-340).

Al-Imam az-Zarkasyi pula berkata: “Sudah menjadi adat para sahabat dan at-Tabi’in apabila seseorang daripada mereka berkata, نزلت هذهالأية في كذا (ayat ini turun berhubung/berkaitan dengan sekian-sekian), maka ertinya ialah ayat berkenaan juga mengandungi atau menunjukkan hukum yang disebut mereka. Ia tidak bererti perkara yang disebut mereka itu merupakan sebab bagi turunnya ayat berkenaan. Sekumpulan muhadditsin menganggap kata-kata seperti itu sebagai riwayat marfu’ dan musnad. Tetapi Imam Ahmad tidak menganggapnya musnad. Demikian juga Imam Muslim dan lain-lain. Mereka menganggap kata-kata sahabat dan Tabi’in yang seperti itu tidak lebih daripada ta’wilan dan tafsiran mereka sahaja. Ia bagi mereka termasuk dalam bab nukilan tentang apa yang telah berlaku. (Lihat al-Burhan j.1 m/s 32).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 57 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 10) 

NOTA USUL TAFSIR – SESI 57 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 11)

Usul Tafsir Al-Quran – Sesi 59 – (Sambungan) Usul No 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 0m 27s] – Sesi 59 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/jU7WcJMs0bI ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:35 : Sebab Turun Ayat Dan Apa Yang Bersesuaian Dengannya

2- 05:54 : Dalam Keadaan Kedua-dua Hadith Yang Menyatakan Sebab Turun Sesuatu Ayat Sama-sama Sahih, Perlulah Mencari Sebab Yang Mentarjihkan, Salah Satu Daripada Dua Sebab Tersebut Dari Luar

3- 11:14 : Orang-Orang Yahudi Bertanya Tentang Roh Kepada Nabi s.a.w

4- 24:41 : Keadaan Dimana Jika Kedua-dua Hadith Sama Daripada Segi Kesahihan Dan Tiada Apa-apa Sebab Yang Mentarjihkan Salah Satu Daripadanya, Tetapi Kedua-duanya Boleh Dijamak (Boleh Diguna Kedua-dua Hadith Tersebut) Dengan Dikatakan Tiap-tiap Satu Riwayat Merupakan Sebab Bagi Turunnya Ayat Tertentu Secara Berasingan

5- 27:02 : Cerita Tentang Li’an Iaitu Suami Menuduh Isteri Berzina)

6- 49:14 : Penzina Lelaki Tidak Akan Berkahwin Melainkan Dengan Penzina Perempuan

 

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

CARA-CARA BERINTERAKSI DENGAN BEBERAPA SEBAB TURUN AYAT – BENTUK KE EMPAT

BENTUK KEEMPAT: Dalam keadaan kedua-dua hadith yang menyatakan sebab turun sesuatu ayat sama-sama sahih, perlulah dicari sebab yang mentarjihkan salah satu daripada dua sebab tersebut dari luar, seperti

(a) Mempastikan salah satu daripada dua riwayat itu lebih sahih daripada yang satu lagi.

(b) Perawi salah satu daripada dua riwayat berkenaan terlibat secara langsung dalam peristiwa yang dikatakan sebagai sebab turun ayat.

(c) Atau lain-lain sebab dan alasan yang boleh mentarjihkan salah satu daripada dua riwayat.

Contohnya ialah hadith yang dikemukakan oleh Ibnu Mas’ud, kata beliau: “Pernah aku berjalan bersama Nabi s.a.w. di Madinah. Baginda bertongkat dengan pelepah kurma (yang tidak berdaun). Ketika kami lalu di hadapan sekumpulan orang-orang Yahudi, sebahagian mereka berkata kepada sebahagian yang lain, “Bagus juga kalau kamu bertanya dia (tentang sesuatu perkara yang agak sulit dan mencabarnya).” Lalu mereka bertanya (Nabi s.a.w.) “Ceritakanlah kepada kami tentang roh.” Nabi s.a.w. berdiri sejenak sambil mendongakkan kepalanya. Maka fahamlah aku bahawa Baginda sedang mendapat wahyu. Setelah selesai menerima wahyu Baginda membacakan ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (al-Israa’:85). (Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tarmizi dan Ahmad).

Di sana terdapat satu lagi riwayat berhubung dengan ayat yang sama. Ia dinukilkan daripada Ibnu `Abbas, kata beliau: “Orang-orang Quraisy berkata kepada orang-orang Yahudi, berilah kepada kami sesuatu yang dapat kami tanya orang ini ( Nabi Muhammad s.a.w ).” Kata orang-orang Yahudi., “Tanyalah dia tentang roh.” Orang-orang Quraisy pun bertanyalah Nabi s.a.w tentangnya. Lalu Allah menurunkan firmanNya, bermaksud: “Dan mereka bertanya bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan kecuali sedikit.” (al-Israa’:85).(Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ahmad).

Hadits Ibnu `Abbaas ini berbeza daripada hadith Ibnu Mas’ud tadi. Riwayat Ibnu Mas’ud dianggap lebih rajih (kuat) kerana dua alasan. (i) Ia lebih sahih daripada riwayat Ibnu ‘Abbaas, kerana ia terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. (ii) Ibnu Mas’ud yang meriwayatkan hadits itu terlibat secara langsung dalam peristiwa yang diriwayatkannya.

BENTUK KELIMA: Bentuk kelima ialah kedua-dua hadits sama daripada segi kesahihan, dan tiada apa-apa pula sebab yang mentarjihkan salah satu daripadanya. Tetapi kedua-duanya boleh dijama` dengan dikatakan tiap-tiap satu riwayat merupakan sebab bagi turunnya ayat tertentu secara berasingan. Ini kerana sebab bagi turunnya ayat boleh jadi berbilang ( tidak satu sahaja ). Kata Imam Ibnu Taimiyyah, “Apabila seseorang daripada mereka (sahabat atau Tabi’in) menyebutkan sesuatu sebab yang lain bagi ayat sama, maka kedua-duanya boleh jadi benar sebagai sebab turunnya, mengambil kira ayat berkenaan turun selepas berlakunya beberapa sebab yang disebut (di dalam riwayat-riwayat yang berbeza-beza itu).(Lihat Ibnu Taimiyyah – al-Fatawa al-Kubra, j.13 m/s 340).

Antara contoh yang dapat dikemukakan untuk bentuk kelima ini ialah hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari, Ibnu Majah dan lain-lain daripada Ibnu `Abbaas bahawa Hilal bin Umaiyyah telah menuduh isterinya bermukah (berzina) dengan Syarik bin Sahmaa’ di hadapan Nabi s.a.w. Maka Nabi s.a.w bersabda “Sama ada engkau kemukakan bukti atau belakangmu dipukul kerana menjalani hukuman had.” Kata Hilal, “Wahai Rasulullah! Apabila seseorang daripada kami melihat lelaki bersama isterinya, apakah dia perlu pergi mencari bukti?” Maka Allah s.w.t menurunkan firmanNya kepada Nabi s.a.w. , surah An-Nur:6 hingga 9. (Hadits riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad ad-Daaraquthni, al-Haakim dan lain-lain)

Di dalam riwayat Sahl bin Sa`ad terdapat satu riwayat lain tentang sebab turunnya ayat 6 hingga9 Surah an-Nur itu. Katanya, “`Uwaimir datang kepada `Aashim bin `Adi, katanya tolong tanya Rasulullah s.a.w., “Apa katamu tentang seorang laki-laki yang mendapati bersama isterinya ada laki-laki lain, apakah patut ia membunuhnya, nanti kamu membunuhnya pula, atau apa harus dia lakukan”. Maka `Aashim bertanya Rasulullah s.a.w. Rasulullah pula mencelanya yang bertanya. `Aashim memberitahu `Uwaimir tentang apa yang berlaku. Lantas `Uwaimir berkata, “Aku akan terus bertanya Rasulullah s.a.w.” Lalu dia pergi bertemu baginda dan bertanya lagi. Pada ketika itu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya al-Quran telah diturunkan tentangmu dan isterimu”. Bacalah hadits seterusnya (Hadits riwayat Bukhari, Muslim Abu Daud, Nasaa’i, Tirmidzi, Ibnu Majah, Daarimi dan Malik)

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 59 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 11)

Usul Tafsir al-Quran – Sesi 60 – (Sambungan) Usul No 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 09m 06s] – Sesi 60 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/A7r-Bj2Haiw ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 01:30 : Peristiwa Abu Thalib Ketika Hampir Meninggal Dunia Dan Hukum Minta Ampun Untuk Orang Kafir

02- 07:13 : Beberapa Bentuk Sebab Turun Ayat

03- 11:07 : Ayat Yang Sama Mungkin Turun Beberapa Kali

04- 16:30 : Peristiwa Abu Thalib Hampir Meninggal Dunia Dan Adakah Abu Thalib Mati Dalam Keadan Islam?

05- 28:23 : Hukum Minta Ampun Untuk Orang Kafir

06- 43:00 : Riwayat Hakim, Mengikut Ulama’ Hadith

07- 45:52 : Cerita Israiliyat Tentang Bal’am bin Ba’ura Dengan Nabi Musa a.s

08- 56:45 : Cerita Tentang Umayyah Bin Abi Sald

09- 58:21 : Cerita Tentang Abu Amir Ar-Rahib

10- 59:50 : Orang Yang Menghalang Orang Lain Dari Melakukan Kebaikan Adalah Orang Yang Zalim

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

CARA-CARA BERINTERAKSI DENGAN BEBERAPA SEBAB TURUN AYAT – BENTUK KE ENAM

Bentuk Keenam: Bentuk ke enam ialah keadaan di mana beberapa peristiwa tidak mungkin dijama’ sebagai sebab nuzul bagi ayat tertentu. Ini kerana jauhnya zaman masing-masing daripada peristiwa-peristiwa itu berlaku. Riwayat-riwayat yang mengemukakannya pula lebih kurang sama taraf kesahihannya. Dalam keadaan ini ayat yang dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa tertentu sebagai sebabnya hendaklah dianggap telah diturunkan beberapa kali.

Antara contohnya ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Musaiyyab, kata beliau: “Ketika Abu Thalib hampir meninggal dunia, Rasulullah s.a.w. masuk menemuinya. Pada ketika itu Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyyah ada dekat Abu Thalib. Nabi s.a.w. berkata, “Wahai Pak Cik, ucaplah لا إله إلا الله supaya dapat aku membelamu dengannya di hadapan Allah. Maka Abu Jahal dan Abdullah berkata, “Wahai Abi Talib, apakah engkau tidak suka kepada agama Abdil Mutthalib?” Mereka berdua terus bercakap-cakap dengan Abu Thalib sehinggalah dia berkata, “Aku berada di atas agama Abdil Mutthalib.” Pada waktu itu Nabi s.a.w. berkata, “Aku pasti akan beristighfar untukmu selagi aku tidak ditegah.” Maka turunlah ayat yang bermaksud: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli Neraka. (at-Taubah:113). (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Nasaa’i, Ahmad, Haakim dan lain-lain).

Di dalam riwayat-riwayat lain pula tersebut dua lagi sebab bagi turunnya ayat 113 Surah at-Taubah tadi.

(i) Hadith yang dikemukakan oleh at-Tirmizi dan lain-lain daripada Ali. At-Tirmidzi menghasankannya. Kata Ali, “Pernah aku mendengar seseorang beristigfar untuk kedua ibu bapanya yang musyrik.” Terus aku bertanya, “Engkau beristigfar untuk kedua ibu bapamu yang musyrik?” Orang itu berkata, “Ibrahim juga telah beristighfar untuk bapanya yang musyrik.” Maka aku sebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w. Lalu turunlah ayat itu (ayat 113 Surah at-Taubah). (Hadith riwayat at-Tarmidzi, an-Nasaa’i, Ahmad, Haakim dan lain-lain).

(ii) Hadith yang dikemukakan oleh Haakim dan lain-lain daripada Ibnu Mas’ud. Kata beliau, “Pernah pada suatu hari Nabi s.a.w. pergi ke perkuburan. Lalu baginda duduk dekat salah satu kubur di perkuburan itu.” Lamalah baginda mengadu hal kepadaNya, kemudian menangis. Selepas itu Rasulullah s.a.w. bercerita, “Sesungguhnya kubur yang aku duduk dekat dengannya tadi adalah kubur ibuku. Sesungguhnya aku meminta izin kepada Tuhanku untuk mendoakannya, tetapi Tuhan tidak mengizinkanku. Lalu Allah menurunkan kepadaku, ayat berikut yang bermaksud, “Tidaklah dibenarkan oleh Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli Neraka. (at-Taubah:113). (Hadith riwayat al-Haakim dan Abdur Razzaaq di dalam Mushannafnya)

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 60 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 11)

Usul Tafsir al-Quran – Sesi 58 – (Sambungan) Usul No 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 10m 23s] – Sesi 58 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:29 : Sebab Turun Ayat Dan Apa Yang Bersesuaian Dengannya

2- 06:00 : Apabila Seseorang Perawi Berkata “Nazalat Fi Kaza”, Maksudnya, “Ayat Ini Turun Berkenaan Dengan Sekian” Dan Perawi Lain Juga Menggunakan Ungkapan Yang Sama, Cuma Masing-masing Menyebutkan Perkara Yang Berbeza

3- 10:08 : Apabila Dibacakan Al-Quran Dengarlah Baik-baik, Diam Dan Perhatikan Dengan Tenang Apa Yang Dibaca Itu Agar Kamu Mendapat Rahmat

4- 29:47 : Adapun Sebab Sebenar Turun Ayat Dan Al-Quran Adalah Mukjizat

5- 40:42 : Apabila Seseorang Perawi Dari Kalangan Sahabat Atau Tabi’in Menyebutkan Sesuatu Perkara Sebagai Sebab Yang Jelas Bagi Turunnya Sesuatu Ayat, Sedangkan Ada Pula Perawi Yang Menyebutkan Perkara Lain Sebagai Sebabnya Dengan Ungkapan “Nazalatil Ayah Fi Kaza” ayat Ini Turun Berkenaan Sekian-sekian Atau “Nazalatil Ayah, Unzilatil Ayah Fi Kaza” Maka Yang Harus Dipegang Dan Diambil Kira Sebagai Sebab Sebenarnya Ialah Riwayat Perawi Yang Pertama, Riwayat Kedua Harus Diterima Sebagai Kesimpulan Yang Dibuat Perawi Daripada Ayat Berkenaan Sahaja

6- 42:54 : Maksud Ayat al-Quran Yang Mafhumnya, “Isteri-Isteri Kamu Adalah Ladang-Ladang Kamu”

7- 50:53 : Beberapa Orang Perawi Menyebutkan Sebab Nuzul Bagi Sesuatu Ayat Tetapi Menyebutkan Sebab Yang Berbeza, Dan Isnad Salah Satu Daripadanya Sahih Sedangkan Yang Lain Tidak Sahih, Maka Yang Harus Diterima Riwayat Yang Sahih Isnadnya

8- 51:26 : Cerita Anak Anjing Yang Mati Di Bawah Katil Nabi s.a.w

 

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

CARA BERINTERAKSI DENGAN BEBERAPA SEBAB TURUN AYAT

Para ulama’ Tafsir seringkali menyebutkan beberapa sebab bagi turunnya sesuatu ayat. Dalam keadaan ini para pembaca akan mengalami sedikit kesukaran dan kesulitan untuk menentukan mana satu daripadanya sebagai sebab sebenar. Keadaan ini tidak sepatutnya dianggap sebagai suatu pertentangan yang menimbulkan kemusykilan. Apa yang perlu dilakukan oleh seseorang pelajar tafsir ialah mengetahui bentuk-bentuknya dan kemudian mengetahui pula cara-cara berinteraksi dengannya.

Di bawah ini dikemukakan beberapa bentuk sebab turun sesuatu ayat:

Bentuk Pertama: Apabila seseorang perawi berkata, نزلت في كذا (ayat ini turun berkenaan Dengan sekian), dan perawi lain juga menggunakan ungkapan yang sama (نزلت في كذا) , cuma masing-masing daripada mereka menyebutkan perkara yang berbeza. Dalam keadaan ini, tidak ada pertentangan sebenarnya, kerana ia adalah suatu istilah yang digunakan oleh salaf untuk mengatakan apa yang tersebut di dalam riwayatnya tepat juga dengan ayat berkenaan. Maksud ayat berkenaan begitu luas sehingga ia boleh merangkumi kedua-dua perkara atau mungkin lebih lagi daripada dua perkara yang tersebut di dalam riwayat-riwayat. Ungkapan itu tidak semestinya bererti apa yang tersebut di dalam riwayat yang dikemukakan oleh seseorang adalah sebab sebenar bagi turunnya ayat.

Firman Allah di dalam Surah al-A’raaf ini adalah sebaik-baik contohnya:

Bermaksud: Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat. (al-A’raaf:20).

Di dalam Tafsir at-Thabari tersebut beberapa riwayat daripada sahabat dan Tabi’in yang mengatakan ayat ini turun berkenaan dengan shalat, di mana para ma’mum diperintahkan agar diam dan mendengar betul-betul apa yang dibaca oleh imam. Sementara di dalam beberapa riwayat yang lain pula, ia juga daripada sahabat dan Tabi’in, tersebut ia berkenaan dengan khutbah Jumaat dan khutbah dua hari raya.

Ketika mendengar khatib berkhutbah -yang tentunya ada mengandungi ayat-ayat al-Quran – orang ramai diperintahkan agar diam dan mendengarnya dengan tenang. Tidak dinafikan ada sebahagian daripada riwayat yang dikemukakan oleh at-Thabari itu dhaif sanadnya, tetapi bukan semuanya dhaif.

Firman Allah di dalam Surah al-A’raaf ini adalah sebaik-baik contohnya:

Bermaksud: Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat. (al-A’raaf:20). Di dalam Tafsir at-Thabari tersebut beberapa riwayat daripada sahabat dan Tabi’in yang mengatakan ayat ini turun berkenaan dengan shalat, di mana para ma’mum diperintahkan agar diam dan mendengar betul-betul apa yang dibaca oleh imam. Sementara di dalam beberapa riwayat yang lain pula, ia juga daripada sahabat dan Tabi’in, tersebut ia berkenaan dengan khutbah Jumaat dan khutbah dua hari raya. Ketika mendengar khatib berkhutbah -yang tentunya ada mengandungi ayat-ayat al-Quran – orang ramai diperintahkan agar diam dan mendengarnya dengan tenang. Tidak dinafikan ada sebahagian daripada riwayat yang dikemukakan oleh at-Thabari itu dhaif sanadnya, tetapi bukan semuanya dhaif.

Orang-orang  yang  mengetahui  istilah salaf  berhubung  dengan  perkara ini  pula  akan  menghadapinya dengan  tenang  saja, kerana  ia  sedar  bahawa  semua  yang  tersebut  di       dalam  riwayat-riwayat  itu  merupakan  “Mashadaqaat”  atau  perkara-perkara  yang  boleh  termasuk  di  bawah mahfum  ayat  204  Surah Al-A’raf  itu,  dengan  erti  ia  juga  bertepatan dengan  kehendaknya.  Meskipun  ia  bukan  merupakan  sebab  asal  bagi  turunnya  ayat  tersebut. Mafhumnya bahkan  boleh  juga  merangkumi orang-orang  tidak   sedang   bersembahyang atau  mendengar  khutbah  Jumaat  dan  khutbah  dua  hari  raya. Orang-orang  yang  tidak berada  dalam  keadaan  itu  juga  tentunya  boleh mendapat  rahmat  jika  diam  dan  mendengar  dengan  baik  apabila  al-Quran  dibacakan.

Adapun  sebab  sebenar bagi  turunnya  ayat  204  Surah  al-A’raf  itu, maka dengan  mudah    saja  dapat  dikesan apabila  anda  merenungi  siyaq  dan  sibaqnya.  Ayat  203  sebelumnya  itulah sebenarnya  sebab  turun  bagi  ayat  204.  Anda  dapat  mengesannya  tanpa keluar  daripada  al-Quran  dan  tanpa  memerlukan  riwayat-riwayat berupa  hadith  atau  atsar.  Apa yang tersebut  di  dalam  hadith  dan  atsar,  maka  itu  tidak  lebih daripada  penjelasan    tambahan  tentang  perkara-perkara  yang  boleh  juga  termasuk  di  bawah  mafhum  ayat  berkenaan.  Perihatikan  ayat  203  yang  merupakan sebab  sebenar  bagi  turunnya ayat  204  selepasnya.  Allah  berfirman, bermaksud, “Dan  apabila kamu  tidak  membawa  suatu  mu’jizat  kepada  mereka,  mereka  berkata:  “Mengapa  kamu  tidak  memilih  mu’jizat itu?”  Katakanlah:  “Sesungguhnya  aku  hanya  mengikut  apa  yang  diwahyukan  dari Tuhanku  kepadaku.  Al-Quran ini  adalah bukti-bukti  yang  nyata  dari Tuhanmu,  petunjuk  dan  rahmat bagi  orang-orang  yang  beriman.” (al-A’raaf:203).

Ayat 203  ini  menyatakan soalan  orang-orang  kafir  Mekah  yang  penuh  dengan ejekan  dan  kedegilan.  Mereka memerli  Nabi s.a.w  dengan  berkata, “Bukankah engkau  menda’wa dirimu  sebagai  seorang dan  utusan  Allah?  Kalau engkau  benar-benar  nabi  dan    utusan  Allah,  tentu  engkau dapat  mengemukakan  mu’jizat  yang  kami  minta  supaya  ditunjukkan.  Tentu  engkau  dapat memilih  mana-mana  satu  daripadanya! Tetapi jelas  engkau  tidak  dapat  mengemukakan setiap  mu’jizat  yang  kami minta.  Sebagai  membalas  soalan mereka  yang  penuh  dengan  ejekan  dan  cemuhan  itu  Allah  menyuruh  NabiNya Muhammad s.a.w. berkata,  al-Quran  itulah  mu’jizat yang  terbesar  bagimu.  Ia  mengemukakan bukti-bukti  yang  nyata  dari tuhanmu,  ia  juga  merupakan petunjuk  dan  rahmat  bagi orang-orang  yang  beriman.  Jika  kamu hendak  dapat  manafaat  daripada bukti-bukti  yang  terkandung  di dalamnya  dan  hendak  mendapat petunjuk  dan  rahmat daripadanya,  maka kamu  hendaklah dengar  baik-baik  dan  diam apabila  ia  dibacakan  di hadapanmu,  jangan  pula  kamu  tidak  mahu  mendengar,  sebaliknya  membuat  bising.

Apa  yang  terkandung di  dalam  ayat  ke-203 itulah  sebab  sebenar  bagi  ayat  ke-204  Surah al-A’raaf.

Bentuk Kedua:  Apabila  seseorang perawi  dari  kalangan  sahabat atau Tabi’in   menyebutkan  sesuatu  perkara  sebagai  sebab  yang  jelas  bagi  turunnya  sesuatu  ayat,   Sedangkan  ada  pula  perawi  yang  menyebutkan perkara  lain  sebagai  sebabnya dengan  ungkapan  نزلت الآية في كذا  (ayat  ini  turun  berkenaan  dengan sekian-sekian)  atau  انزلت الآية في كذا  (ayat  ini diturunkan  berkenaan  dengan  sekian-sekian), maka yang  harus  dipegang dan diambil  kira  sebagai sebab  sebenarnya  ialah  riwayat  perawi  yang  pertama. Riwayat kedua haruslah  diterima sebagai  kesimpulan  yang  dibuat perawi  daripada  ayat  berkenaan sahaja atau ia  hanya  merupakan  apa  yang  difahami  perawi  sebagai  perkara  yang  juga termasuk  di  bawah  ayat  berkenaan  sahaja.

Contohnya  ialah  riwayat Ibnu  Umar,  kata  beliau, “Firman Allah  (نسائكم  حرث  لكم)  diturunkan  berkenaan  dengan  menyetubuhi isteri-isteri  pada  dubur-dubur  mereka. (Atsar riwayat Bukhari).  Sedangkan riwayat  Jaabir  menyebutkan  dengan terang  bahawa   orang-orang  Yahudi  berkata, “Anak  hasil  persetubuhan  pada  qubul isteri  melalui  duburnya  akan menjadi  juling.”  Maka Allah  menurunkan  firmanNya:  (نسلئكم  حرث  لكم)  (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Daarimi dan lain-lain)

Yang harus diterima  sebagai  sebab  sebenar  bagi  ayat  itu  ialah  apa  yang  terkandung di dalam  riwayat  Jabir. Apa  yang  tersebut  di  dalam atsar  Ibnu ‘Umar  itu pula haruslah diterima sebagai kesimpulan yang difahaminya daripada ayat berkenaan sahaja.

BENTUK KETIGA: Beberapa orang  perawi  menyebutkan sebab  nuzul  bagi sesuatu ayat atau ayat-ayat  tertentu, tetapi  masing-masing  mereka menyebutkan  sebab  yang  berbeza. Isnad salah satu daripadanya  sahih, sedang  yang lain tidak  sahih,  maka  yang  harus  diterima     ialah riwayat  yang  sahih. Contohnya  ialah  satu  riwayat yang  dinukilkan  daripada  Jundab bin Sufyan, kata beliau: “Nabi  s.a.w  jatuh  sakit. Beliau s.a.w  tidak  dapat  bangun  (beribadat) selama satu malam atau dua malam. Tiba-tiba datang seorang wanita, lantas dia berkata, “Wahai Muhammad! Aku rasa Syaitanmu  memang  telah meninggalkanmu.  Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya:

وَالضُّحَى (1) وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى (2) مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى (3)

Bermaksud: Demi waktu matahari sepenggalahan naik (1) dan demi malam apabila telah      sunyi (gelap) (2) Tuhanmu tiada meninggalkanmu dan tiada (pula) benci kepadamu (3)           (ad-Dhuha:1-3). (Atsar riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Di sana terdapat satu lagi riwayat yang menyebut tentang sebab nuzul ayat-ayat itu. at-Thabaraani, Abu Nu’aim dan Ibnu Abi ‘Aashim menukilkan satu riwayat daripada Hafsh bin Sa’id al-Qurasyi, katanya: Ibuku menceritakan kepadaku daripada ibunya, ibunya perrnah berkhidmat kepada Nabi s.a.w., katanya: “Seekor anak anjing masuk ke dalam rumah Nabi s.a.w. Ia kemudiannya mati di bawah katil. Selama empat hari Nabi s.a.w   berada dalalm keadaan tidak menerima apa-apa wahyu. Maka Beliau s.a.w. bersabda, “Wahai Khaulah! Apakah yang berlaku di dalam rumah Rasulullah (s.a.w.)? Jibril tidak datang kepadaku.” Jawabnya, “Wahai Rasulullah, tidak ada hari sebaik hari ini.” Lalu   Beliau s.a.w. memakai selimut dan keluar dari rumah. Aku terus terfikir untuk menyapu  dan membersihkan rumah. Apabila aku menghulurkan penyapu di bawah katil, tiba-tiba aku berasa semacam ada sesuatu benda berat. Aku pun mengheretnya keluar, rupa-rupanya ia seekor anak anjing yang mati di bawah katil. Aku membuangnya di belakang rumah.     Apabila Nabi s.a.w. datang, terus janggut Beliau menggeletar. Beliau s.a.w. biasanya akan menggeletar bila mendapat wahyu. Pada ketika itu Allah menurunkan firmanNya:

وَالضُّحَى (1) وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَى (2) مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَى (3)

(Hadith riwayat at-Thabaraani di dalam al-Mu’jam al-Kabir j.2 m/s 249, Abu Nu’aim di dalam Ma’rifatu as-Sahabah j.23 m/s 97, Ibnu Abi ‘Aashim – al-Aahaad Waal-Matsaani j.6 ms 211).

Di dalam sanad hadith ini terdapat perawi majhul iaitu Abu Hafsh bin Sa’id al-Qurasyi. Kata al-Haitsami, “Di dalam sanadnya ada orang yang aku tak kenal.” Selain itu ia juga bercanggah dengan hadith sahih. Kata Hafiz Ibnu Hajar, “Ia terdapat di dalam at-Thabaraani dengan isnad daripada perawi yang tidak dikenali (majhul), bahawa sebab nuzulnya ialah adanya anak anjing di bawah beliau tanpa disedari beliau. Kerana  itulah Jibril tidak datang selama beberapa hari. Kisah lambat datangnya jibril kepada   Nabi s.a.w. kerana adanya anak anjing (yang mati) di bawah katil Nabi s.a.w. adalah suatu kisah yang masyhur, tetapi ia yang menjadi sebab kepada turunnya ayat-ayat itu       (3 ayat di permulaan Surah ad-Dhuha) adalah ganjil (غريب), bahkan ia syadz dan tertolak      dengan hadith sahih (yang tersebut tadi). (Lihat Fathul Baari j8 m/s 710).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 58 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 11)

Usul Tafsir al-Quran – Sesi 55 – (Sambungan) Usul No 16- Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 09m 50s] – Sesi 55 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/qNJbVF3lUok ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 00:00:27 : Sebab Nuzul Yang Khusus

02- 00:01:26 : Salah Faham Yang Telah Berlaku Kepada Orang-orang Atau Golongan Tertentu; Untuk Menghilangkan Salah Faham itu Ayat-ayat Berkaitan Dengannya Diturunkan

03- 00:02:03 : Salah Faham Tentang Sa’ir, Safa Dan Marwah

04- 00:14:26 : Soalan-soalan Yang Dikemukakan Kepada Nabi s.a.w Juga Menjadi Punca Atau Sebab Kepada Turunnya Sesuatu Ayat

05- 00:17:11 : Antara Contoh Soalan Bagi Peristiwa Yang Telah Berlaku: Tentang Peristiwa Zulqarnain Dan Nabi Sulaiman a.s

06- 00:20:21 : Antara Contoh Soalan Bagi Peristiwa Semasa

07- 00:22:50 : Siapakah Yang Dimaksudkan “Ibnus Sabil” ?

08- 00:30:45 : Antara Contoh Soalan Bagi Peristiwa Yang Akan Berlaku

09- 00:31:47 : Faedah Mengetahui Sebab-sebab Turun Ayat-Ayat Al-Quran

10- 00:33:01 : Dapat Mengetahui Maksud Sebenar Bagi Ayat-Ayat Berkenaan

11- 00:43:46 : Ada Khilaf Di Kalangan Ulama’ Tentang Sebab Nuzul Sesuatu Ayat

 

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

USUL KE 16- MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

(4) Salah faham yang telah berlaku kepada orang-orang atau golongan tertentu. Untuk menghilangkan salah faham itu ayat-ayat berkaitan dengannya diturunkan. Sebagai contoh ayat di bawah ini :

Bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syi’ar Allah. Maka barang siapa yang beribadah haji ke Baitullah atau ber’umrah, maka tidak ada dosa baginya mengerjakan sa’i antara keduanya. Dan barang siapa yang mengerjakan suatu kebajikan dengan kerelaaan hati, maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah : 158).

Ayat ini turun berkaitan dengan segolongan sahabat yang berasa berdosa kalau bersa’i antara Safa dan Marwah. Ini kerana mereka menganggapnya sebagai amalan jahiliah. Maka untuk menghilangkan salah faham mereka itulah Allah menurunkan ayat 158 di dalam Surah al-Baqarah tersebut.

Soaalan-soalan yang dikemukakan kepada Nabi s.a.w pula adakalanya berkaitan dengan peristiwa yang telah berlalu. Adakalanya berkaitan dengan peristiwa semasa dan adakalanya berkaitan dengan peristiwa yang akan berlaku. Antara contoh soalan bagi peristiwa yang telah berlalu ialah firman Allah:

Bermaksud: Dan mereka akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zul Qarnain. Katakanlah: Aku akan baca kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya. (al-Kahfi: 83)

Antara contoh soalan bagi peristiwa semasa ialah firman Allah: Bermaksud: Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: “Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan.” Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya. (al-Baqarah: 215)

Dan antara contoh soalan bagi peristiwa yang akan berlaku pula ialah firman Allah s.w.t. berikut: Bermaksud: Mereka (yang ingkar) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: bilakah masa datangnya? (an-Naazi’at: 42)

FAEDAH MENGETAHUI SEBAB-SEBAB TURUN AYAT-AYAT AL-QURAN

Kefahaman yang tepat dan lengkap tentang ayat-ayat tertentu di dalam al-Qur’an sangat bergantung kepada pengetahuan tentang sebab-sebab turunnya. Oleh itu perlu sekali ia dikuasai. Silap teruk orang-orang yang menganggap pengetahuan tentang sebab-sebab turun ayat al-Qur’an itu tidak lebih daripada pengetahuan sejarahnya semata-mata.

Para ‘ulama’ telah menyebutkan banyak faedahnya mengetahui sebab-sebab turun ayat-ayat al-Qur’an yang tertentu. Di bawah ini dikemukakan beberapa yang terpenting sahaja daripadanya:

1) Dapat mengetahui maksud sebenar bagi ayat-ayat berkenaan. Kata al-Waahidi, “Tafsiran sebenar sesetengah ayat tidak mungkin diketahui tanpa terlebih dahulu mengetahui kisah atau sebab kenapa ia diturunkan.” Ibnu Daqiqil ‘Iid berkata, “Pengetahuan tentang sebab turun sesuatu ayat merupakan saluran yang kuat untuk memahami ma’na al-Qur’an.” Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata, “Pengetahuan tentang sebab turun sesuatu ayat membantu anda memahaminya. Ini kerana pengetahuan tentang sebab sesuatu akan membawa kepada pengetahuan tentang musabbabnya.” As-Suyuthi di dalam Lubaab an-Nuqulnya pula berkata, “Makna sekian banyak ayat-ayat al-Qur’an pernah tidak dapat difahami dengan pasti oleh sekumpulan ‘ulama’ salaf. Setelah mereka mengetahui sebab-sebab turunnya, barulah hilang segala kekeliruan mereka.”

Di bawah ini dikemukakan beberapa contoh yang membenarkan kata-kata para ‘ulama’ yang dinukilkan tadi tentang betapa pentingnya mengetahui sebab-sebab turun ayat dan betapa ia dapat membantu anda memahami maksud sebenarnya.

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 55 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 10)