“DAN ALLAH LEBIH MENGETAHUI (DARIPADA KAMU) TENTANG MUSUH-MUSUHMU” (SURAH AN-NISAA’, AYAT 45)
EKSTRAKS DARI VIDEO
“Dan Allah lebih mengetahui (daripada kamu) tentang musuh-musuhmu”.
Sebagai orang Islam, kita perlu kepada panduan ini. Kita beruntung kerana Allah sendiri yang memberitahu siapa musuh kita supaya kita dapat berjaga-jaga.
Di antara musuh kita ialah syaitan. Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata, oleh itu hendaklah kamu anggapnya sebagai musuh”.
Syaitan, musuh yang tersembunyi yang melemparkan bisikan yang jahat ke dalam hati manusia.
Syaitan adalah musuh dari mula hingga akhir yang sukar untuk kita hadapi kerana kita tidak dapat melihatnya.
Allah mengajarkan kita untuk menghadapi syaitan dengan membaca surah-surah tertentu contohnya surah al-Baqarah dan ayatul Kursyi.
Dari pengalaman Maulana Asri sendiri, syaitan takut pada al-Quran sama ada yang dihafal dalam dada atau dalam bentuk mushaf.
Selain dari itu, secara umumnya orang kafir adalah musuh orang Islam.
Allah bagi peringatan supaya kita berjaga-jaga dengan orang kafir, terutamanya kafir harbi.
Boleh jadi mereka akan melakukan apa-apa perkara yang tidak baik kepada kita.
Orang munafik juga adalah musuh kita dan kita juga perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa mereka.
Kerana kita tidak tahu semua siapa musuh kita, kita hendaklah sentiasa berharap dan bergantung kepada Allah untuk menyelamatkan kita.
Kita tidak mampu untuk tahu siapa musuh kita semuanya dan bagaimana untuk menghadapinya. Oleh itu rujuklah kepada Allah dan berharap kepada-Nya untuk menyelamatkan kita.
“DAN MASUKLAH KE RUMAH-RUMAH ITU DARI PINTUNYA” (SURAH AL-BAQARAH, AYAT 189)
EKSTRAKS DARI VIDEO
Asalnya cerita ini adalah berkenaan orang Quraisy yang ber”ihram” masuk ke rumah mereka melalui pintu belakang atau dari atas kerana mereka percaya itu adalah amalan yang baik yang dituntut agama. Sebenarnya, mereka silap.
Ayat ini bermaksud, untuk melakukan sesuatu perkara hendaklah mengikut prosidur dan syarat-syarat yang betul.
Jika ingin masuk ke rumah orang hendaklah dari pintu depan; kalau ingin memperolehi ilmu hendaklah rajin belajar (ibarat kepada “pintu depan”). Kalau masuk melalui pintu yang salah, kita tidak akan mendapat hasilnya.
Untuk mendapat hasil yang memuaskan, kita hendaklah mengikut cara yang betul, contohnya dalam bercucuk tanam perlu tahu cara menyiram, membaja dan sebagainya.
Dalam kehidupan seharian dan bermasyarakat, kita perlu tahu amalan dan adat kebiasaan masyarakat. Jika ingin bertarung kita perlu berlawan berdepan dan jangan pukul curi dari belakang!
Panduan ini juga bermaksud, sesuatu urusan hendaklah mengikut cara dan jalan yang sah dan diterima dan bukan dengan cara yang salah.
Kaedah ini hendaklah diamalkan dalam seluruh kehidupan kita, baik di bidang kerjaya atau urusan-urusan peribadi.
Dengan mempraktikkan panduan ini kita akan berjaya dan akan diterima baik oleh mereka yang di sekeliling kita dan yang berurusan dengan kita. Kita sendiripun berharap supaya kita diperlakukan sebagaimana itu.
Semuanya akan diterima baik dan hidup akan tenang, tiada pergaduhan, permusuhan, benci membenci dan sangka buruk.
Contoh amalan yang salah, memberi rasuah untuk mendapatkan tempat di universiti walaupun sebenarnya seseorang itu tidak layak. Akan berlaku penganiayaan dan kezaliman. Orang yang tidak layak, walaupun mendapat sijil dan ijazah, tidak akan mencapai hasil yang memuaskan (dan diberkati).
Panduan ini amat luas konteknya dan kita hendaklah terapkan dalam kehidupan seharian kita.
Lakukan sesuatu tugas, amanah, kerja, amal ibadat dll mengikut cara dan prosidur yang betul. Elakkan dari penyelewengan dan cara yang salah.
“JANGANLAH KAMU MERUGIKAN MANUSIA TERHADAP HAK-HAK MEREKA “. (SURAH HUUD, AYAT 85)
EKSTRAKS DARI VIDEO
“Janganlah kamu merugikan manusia terhadap hak-hak mereka”, ataupun janganlah kamu mengurangkan hak-hak orang lain.
Jika kita melebihkan hak orang lain atau mengurangkan hak kita, itu adalah baik dan mulia.
Jangan termasuk golongan seperti yang disebut dalam ayat 3 Surah al-Al-Mutaffifiin, “Apabila dia sukat atau timbang untuk orang lain, dia mengurangkan”, tetapi apabila diminta disukat untuknya, dia minta disukat dengan tepat.
Ingatlah, hak orang lain tidak boleh dikurangi, “skop” dan makna “hak” adalah amat luas.
Jika kita jadi pemerintah, hak rakyat tidak boleh dikurangkan dan begitulah juga sekiranya kita jadi rakyat.
Ibu bapa dan anak-anak mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing yang tidak boleh dikurangkan.
Begitu juga di antara suami dan isteri, masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab. Jangan kurangkan dalam menunaikan hak kepada suami atau isteri.
Itulah tanda mukmin yang sebenarnya; yang berjaya dan beruntung.
Mereka yang dinafikan atau dikurangkan haknya boleh menuntut hak-hak mereka di dunia dan di akhirat.
Berwaspadalah tentang hak-hak yang perlu ditunaikan. Jangan dikurangkan hak orang lain tetapi adalah terpuji jika kita mengurangkan hak kita. Ingatlah, hak yang tidak ditunaikan akan dituntut sama ada di dunia ini atau sehingga hari akhirat.
“DAN SESIAPA YANG MEMBERSIHKAN DIRINYA (DARI SEGALA YANG DILARANG), MAKA SESUNGGUHNYA DIA MELAKUKAN PEMBERSIHAN ITU UNTUK KEBAIKAN DIRINYA SENDIRI” (SURAH FAATHIR, AYAT 18)
EKSTRAKS DARI VIDEO
Sesiapa yang membersihkan dirinya dari segala yang dilarang, maka sesungguhnya dia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri.
Sememangnya membersihkan diri disuruh oleh Allah tetapi adakah manfaatnya adalah untuk Allah? Allah tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada perbuatan baik makhluk-Nya. Hakikatnya, Allah taala Maha Kaya, tidak perlu kepada yang lain sedangkan semua yang lain perlu kepada Allah.
Allah suruh kita sembahyang adalah untuk membersihkan diri kita dan menyuruh kita berpuasa adalah untuk menyucikan jiwa kita. Semua manfaat sama ada di dunia atau di akhirat adalah untuk kita. Contohnya, sembuhnya penyakit kerana kita berpuasa.
“Dia sendiri yang mendapat untungnya”, bukan orang lain yang mendapat untung. Allah tidak terkesan sama sekali dengan amalan baik atau buruk kita.
Semua perintah dan ibadat yang ditentukan Allah adalah untuk manfaat kepada kita, untuk membersihkan (tazkiyah) diri kita.
Salah satu peranan Nabi s.a.w ialah membersihkan jiwa pengikut-pengikutnya.
Sifat dan amalan yang baik adalah untuk diri kita sendiri. Dengan ini kita akan lebih bersemangat untuk beribadat dan taat kepada Allah. Semuanya adalah untuk membersihkan jiwa kita. Contohnya, zakat membersihkan dan menyucikan jiwa seseorang dengannya.
Walaupun ianya menyucikan diri kita, kita tidak boleh menganggap bahawa kita adalah suci dan lebih baik dari orang lain. “Jangan kamu membersihkan diri kamu (menganggap diri bersih dan suci)”
Kita hendaklah menganggap diri kita serba kurang dan tidak bersih. Jangan anggap kita adalah orang suci dan terpilih di sisi Allah, sehinggakan Allah terima semua amalan dan doa kita kerana kesucian kita. Dengan menganggap bahawa diri kita serba kurang, kita akan sentiasa bersemangat untuk menyucikan diri.
Sebaliknya, mereka yang menganggap diri mereka suci membuka pintu-pintu kesesatan seperti suka diagung-agungkan.
Kita sepatutnya sentiasa menyucikan diri kita. Hendahklah sentiasa ingat, kita bukan Nabi, tidak maksum dan sentiasa melakukan dosa.
Beruntunglah kita jika dapat menyucikan diri dari dosa besar dan dosa kecil. Kerana syurga itu hanya untuk orang yang suci, tidak sesuai untuk orang yang kotor kerana ianya tempat yang bersih.
Faedah terbesar dari amalan-amalan baik ini adalah kita layak untuk masuk syurga.
Perumpamaan ringkas dalam kehidupan seharian ialah dengan perbuatan mandi, kita sendiri yang bersih, tidak orang lain.
Kita sendiri sebenarnya memperolehi manfaat dari segala perbuatan baik kita. Begitu juga kita sendiri yang akan menanggung akibat dari perbuatan buruk kita, di dunia dan di akhirat.
“SEBENARNYA SESIAPA YANG BERTAQWA DAN BERSABAR, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MENGHILANGKAN PAHALA ORANG-ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN” (SURAH YUSUF, AYAT 90)
EKSTRAKS DARI VIDEO
Sesungguhnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, Allah tidak akan menghilangkan pahalanya (orang-orang yang berbuat kebaikan).
“Bertaqwa” dan “Sabar” selalu disebut bergandingan di dalam al-Quran. Ini bermaksud, Allah tidak akan menghilangkan pahala bila ada dua sifat ini dalam diri seseorang. Dan kedua-dua sifat ini sukar untuk diamalkan.
Dalam konteks ayat ini, “bertaqwa” bermaksud kita menjaga perintah Allah dan “bersabar” bermaksud menghindari dan menahan diri dari perkara-perkara yang Allah larang.
Biasanya, “taqwa” itu bermaksud membuat apa yang Allah suruh dan meniggalkan apa yang Allah larang.
Sabar dalam melaksanakan perkara yang Allah suruh, contohnya berwudhu’ di musim sejuk dan berperang di jalan Allah.
Suruhan Allah itu banyak dan berbagai-bagai. Ada suruhan bermakna wajib, sunat atau galakan.
Bila kita bersabar, kita akan mendapat hasilnya. Jika manusia tidak menghargai sikap sabar kita, jangan gusar, kerana Allah tidak akan mensia-siakan perbuatan baik kita itu. Allah menyediakan balasan yang lebih baik untuk kita di akhirat nanti.
Oleh itu jangan rasa kecewa, dukacita dan menganggap Allah tidak sayang kepada kita kerana perjalanan hidup ini akan berlanjutan hingga hari akhirat. Kita tidak patut persoalkan kenapa kita tidak mendapat hasil dari kebaikan kita semasa di dunia ini.
Allah telah berjanji akan membalasnya dan pasti kita akan mendapat hasilnya.
Pahala dan balasan di akhirat adalah lebih baik dan lebih bermakna berbanding dengan balasan yang diperolehi di dunia ini. Oleh itu, jika tidak dapat hasilnya di dunia ini sebenarnya kita tidak rugi, malah Sahabat-sahabat Nabi lebih suka jika mereka hanya mendapat balasan di akhirat sahaja.
Ada Sahabat Nabi yang inginkan mati syahid melebihi (malah menolak) dari mendapat “ghanimah” (harta rampasan perang).
Nabi bersabda, “Jika kamu benar, Allah akan benar juga dengan kamu” iaitu, jika kamu bercakap benar, Allah akan jadikan kenyataan apa yang kamu katakan.
Walaupun ada hadith menyatakan jika kita dapat hasilnya di dunia ini, maka balasannya akan berkurang di akhirat, sekiranya Allah beri habuan di dunia ini hendaklah kita terima dengan senang hati kerana ianya akan membuka peluang untuk berbuat kebaikan yang lain pula.
Bersabar dari melakukan perkara yang Allah larang ada ganjarannya dan tidak sia-sia.
Tanpa keyakian bahawa ada balasan dari Allah menyebabkan kita akan resah gelisah dan mungkin berubah haluan hidup, matlamat dan perjuangan. Kita tidak perlu berubah haluan sekiranya apa yang kita lakukan sememangnya berada di landasan yang benar. Yang penting, kita perlu sabar dalam apa-apa yang kita buat. Nilaikan adakah apa yang kita lakukan diredhai oleh Allah atau tidak.
Semakin tinggi kesabaran kita, semakin banyak pahala yang kita perolehi. “Sabar” ini ada banyak peringkatnya, ada manusia yang sabarnya berbolak-balik dan ada pula manusia yang sabarnya berterusan.
Di antara contoh sabar yang paling tinggi ialah dari kisah-kisah Nabi Yusuf, Nabi Yaakub dan Nabi Muhammad. Ringkasnya, orang yang berjaya di dunia dan akhirat ialah orang yang mempunyai kesabaran yang tinggi.
“Taqwa Dan Sabar” – Lakukan Apa Yang Allah Perintahkan Dan Tinggalkan Apa Yang Allah Larang. Dan Bersabarlah Melakukan Perintah Dan Meninggalkan Larangan Dengan Kesabaran Yang Tinggi
“JIKA DATANG KEPADAMU SEORANG FASIQ YANG MEMBAWA BERITA, MAKA SELIDIKILAH (UNTUK MENENTUKAN) KEBENARANNYA” (SURAH AL-HUJURAAT, AYAT 6)
EKSTRAKS DARI VIDEO
“Jika Datang Kepadamu Seorang Fasiq Yang Membawa Berita, Maka Selidikilah (Untuk Menentukan) Kebenarannya“; jangan terus terima apa-apa berita yang dibawa oleh orang fasiq.
Orang fasiq ialah orang yang tidak boleh dipercayai, sama ada orang yang tidak beragama atau jika dia beragama, dia adalah seorang ahli maksiat yang tidak takut kepada Allah dan melakukan dosa besar.
Berita-berita boleh jadi datang dari akhbar, radio, tv atau langsung dari mulut seseorang; jika berpunca dari orang fasiq, semuanya perlu diselidiki dahulu.Jika tidak ianya mengundang bencana.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berhati-hati.
Jika seseorang pembawa berita itu seorang yang dikenali baik dan dipercayai, maka berita yang dibawanya hendaklah diterima.Walaupun begitu, orang baik juga mungkin tersilap dengar atau lihat atau mungkin terlupa. Tanpa kekurangan ini, kita boleh percaya terhadap berita yang dibawanya.
Yang kita perlu berhati-hati jika orang yang membawa berita itu seorang yang fasiq.
Dengan mengikut panduan ini, insyaAllah kita akan selamat.
Oleh itu kita hendaklah kenal sifat orang yang berurusan dengan kita. Setelah mengetahui ianya seorang yang baik, maka kita sepatutnya percaya kepadanya.
Ringkasnya, kita perlu percaya kepada orang yang baik dan sangsi dengan orang yang fasiq.
Orang yang tidak boleh dipercayai ialah orang yang tidak takut kepada Allah. Untuk menilai seseorang ialah sama ada dia fasiq atau tidak ialah sama ada dia suka melakukan maksiat atau tidak.
Untuk mengelakkan bencana, kita perlu perhatikan sesiapa yang di sekeliling kita. Elakkan berinteraksi dengan orang-orang fasiq. Berhati-hati dan sentiasa selidiki kebenaran apa-apa berita yang dibawa oleh mereka.
“DAN BIASANYA KAMI TIDAK MEMBERI MUKJIZAT-MUKJIZAT ITU MELAINKAN UNTUK MENJADI AMARAN (BAGI KEBINASAAN ORANG-ORANG YANG MEMINTANYA KALAU MEREKA TIDAK BERIMAN)” (SURAH AL-ISRAA’, AYAT 59)
EKSTRAKS DARI VIDEO
“Dan Biasanya Kami Tidak Memberi Mukjizat-mukjizat Itu Melainkan Untuk Menjadi Amaran (Bagi Kebinasaan Orang-orang Yang Memintanya Kalau Mereka Tidak Beriman)”.
Bila Allah beri mukjizat (sebagai tanda kebesaran Allah), ianya merupakan amaran dan akibatnya buruk jika ianya dibantah, atau ajarannya ditolak atau bertindak jahat ke atas mukjizat tersebut (seperti yang berlaku kepada kaum Nabi Saleh).
Maksud ayat al-Quran ini adalah lebih luas, kerana “al-ayaat’ boleh bermaksud apa saja tanda-tanda kebesaran Allah contohnya tsunami yang didatangkan untuk menjadi peringatan.
Apa-apa fenomena atau bencana alam yang luar biasa seperti taufan dsb merupakan amaran dari Allah supaya kita ingat kepada-Nya dan supaya kita muhasabah diri.
Kadang-kadang ujian atau bala bencana datang bukan kerana apa-apa kesalahan tetapi Allah sengaja ingin menguji kita.
Pengajaran dari ujian dan peringatan ini adalah bahawa dunia ini walaupun nampak tenang tapi bila-bila masa saja Allah boleh mengubahnya. Begitu juga walaupun masih muda jangan ingat kita tidak boleh mati!
Ini semua adalah peringatan supaya kita tidak leka.
Peringatan-peringatan dan tanda-tanda yang Allah turunkan ini adalah untuk memberi amaran kepada kita, contohnya, supaya jangan jadi seperti Fir’aun jika kita adalah seorang pemerintah.
Berwaspadalah bila ada apa-apa bencana samada besar atau kecil. Ianya adalah peringatan dari Allah supaya kita jangan leka dan segeralah bermuhasabah diri.
“DAN ORANG-ORANG YANG BERJIHAD (BERUSAHA DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH) KERANA KAMI (DEMI MEMENUHI KEHENDAK AGAMA KAMI), SESUNGGUHNYA KAMI AKAN TUNJUKKAN KEPADA MEREKA JALAN-JALAN KAMI” (SURAH AL-‘ANKABUT, AYAT 69)
EKSTRAKS DARI VIDEO
Panduan ini adalah amat penting. Sekiranya kita melakukan kerja-kerja agama dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh Allah pasti akan buka dan tunjukkan banyak jalan kepada kita.
“Tunjukkan jalan-jalan Kami”, bermaksud Allah taala akan memberi pertolongan.
Usaha untuk agama merangkumi berbagai bidang, di antaranya menuntut ilmu dan berjihad (berperang) untuk menegakkan agama Allah.
Sebelum Allah menolong kita, kita hendaklah terlebih dahulu berusaha sedaya upaya kita untuk menolong agama Allah.
Contohnya, sesiapa yang dianugerahkan ilmu “ladunni” (ilmu yang datang terus dari Allah) sebenarnya telah berusaha dengan gigih terlebih dahulu sebelum diberi ilmu tersebut..
Ulama’-ulama’ yang dianugerahkan keistimewaan terlebih dahulu diuji dengan ujian yang berat. Setelah menempuh kesukaran-kesukaran beserta keikhlasan yang tinggi barulah Allah buka pintu-pintu kebaikan kepada mereka.
Dalam sejarah tercatit, Hafiz Ibnu Hajar, As-Suyuti dll dapat menghasilkan karya-karya yang luar biasa kualiti dan kuantitinya walaupun umur mereka pendek. Sehinggakan sampai hari ini, hasil kerja mereka tidak dapat ditandingi walaupun dengan adanya kemudahan dan teknologi yang canggih.
Mereka mencapai tahap kemuncak ini kerana berjaya dalam bermujahadah dan benar-benar ikhlas kerana Allah.
Untuk berjaya, adalah amat penting “jalan” yang dilalui adalah betul, contohnya nafkah dan makanan yang diperolehi perlulah benar-benar bersih. Kita perlu perhatikan semua faktor ini (iatu hati yang ikhlas dan makanan yang halal dan bersih) untuk mencapai hasil ini.
Allah berjanji untuk memberi kemudahan dan pertolongan kepada mereka yang bermujahadah untuk menegakkan agama Allah; tidak kira bidang apa yang diceburinya.
“Mujahadah” bermaksud, “Berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam keadaan benar-benar ikhlas kerana Allah”. Terutamanya untuk hal-hal berkaitan agama, “mujahadah” perlu disertai dengan sifat ikhlas yang tinggi.
Dalam perkara-perkara keduniaan pun perlu kepada mujahadah untuk berjaya. Kejayaan akan datang selepas seseorang itu melalui ujian dan kesukaran.
Tanpa mujahadah yang tinggi kita mungkin juga mendapat hasil tetapi atas kadar biasa, tidak luar biasa sebagaimana yang disebut dalam ayat al-Quran ini.
Setiap orang perlu menilai setakat mana usaha yang dibuat sebelum mengharapkan anugerah istimewa dari Allah ini. Di dalam menuntut ilmu agama kita perlu bertanya kepada diri sendiri setakat mana bersungguhnya kita berusaha dan untuk tujuan apa (niat) ianya dilakukan.
Selepas memenuhi syarat tersebut (mujahadah dan benar-benar ikhlas), Allah menegaskan, “Pasti Kami (Allah) akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami”.
Dalam hal-hal agama, ditekankan sekali lagi, perlu ada mujahadah (usaha yang gigih, bersungguh-sungguh dan tidak mengenal penat) dan juga keikhlasan yang tidak berbelah bagi.
Contohnya dalam menuntut ilmu kita utamakan belanja untuk membeli buku dari pakaian (yang lebih dari keperluan), malah dari makanan (yang berlebihan). Jika perlu, kita sanggup menempuhi perjalanan yang jauh dan memenatkan demi untuk mendapat ilmu.
Ibnu Hajar al-Haithami pada mulanya seorang yang tidak begitu cerdas. Tapi berkat doa dan usahanya Allah telah membuka jalan kepadanya dan menjadi seorang alim besar.
Kisah hampir serupa berlaku kepada seorang lagi ulama’ besar, Sheikh Muhammad Abduh.
Perlu kesabaran dan mujahadah yang tinggi, barulah Allah taala memberi kemenangan.
Kita patut ambil iktibar dari perjuangan Nabi s.a.w. Walaupun Baginda kekasih dan makhluk kesayangan Allah, Baginda tidak berhenti-henti berjuang dan bersungguh-sungguh dalam menunaikan semua perintah Allah.
Kejayaan tidak datang bergolek, lebih-lebih lagi dalam hal-hal agama. Allah berjanji akan memberi pertolongan kepada mereka yang bermujahadah dan ikhlas berusaha menegakkan agama-Nya.
“WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH DAN HENDAKLAH KAMU BERADA BERSAMA-SAMA ORANG-ORANG YANG BENAR” (SURAH AT-TAUBAH, AYAT 119)
EKSTRAKS DARI VIDEO
Allah berpesan kepada orang yang beriman dua perkara, iaitu bertaqwa kepada Allah (jaga diri kita daripada apa yang Allah tidak suka, jauhkah dari perkara yang Allah larang, lakukan apa yang Allah suka) dan hendaklah bersama dengan orang-orang yang benar (dan jangan bersama orang yang dusta, orang yang tidak benar aqidahnya dll)
Kalau tidak, akibatnya amat buruk. Kalau bersama dengan orang yang tidak benar (jahat dsb) kita pun akan terpalit sama dengan kejahatan dan keburukannya.
Kadang-kadang kita sendiri pun tidak begitu baik dan tidak sempurna tetapi dengan mendampingi orang yang benar kita akan mendapat kebaikan dan keuntungan.
Contoh mudah, dalam arena politik, kalau kita bersama parti yang salah (tidak benar), walaupun kita baik, kita akan terhumban sama jika parti politik (yang berbuat salah) yang kita sokong itu jatuh atau kalah.
Walaupun kita baik, tetapi dengan duduk bersama dengan orang yang tidak baik kita pun akan terkena kesannya dan begitulah sebaliknya.
Yang paling penting, kita perlu menilai menurut neraca akhirat. Kita hendaklah pastikan seseorang atau kumpulan yang kita duduk bersama benar aqidahnya.
Kita tidak mahu hanya selamat di dunia tetapi yang pentingnya selamat juga di akhirat. Perhatikan dalam kehidupan dunia, orang kafir musyrik mungkin hidup lebih mewah dan selesa dari kita tetapi mereka tidak selamat di akhirat.
Kita perlu bersama orang yang benar di segi aqidah, percakapan, ajaran, nescaya kita akan selamat.
Bersamalah dengan orang yang benar di segi akidah dan akhlaknya dan kita sendiri hendaklah sentiasa bertaqwa.
TIDAK SAMA YANG BURUK DENGAN YANG BAIK (SURAH AL-MAA’IDAH, AYAT 100)
EKSTRAKS DARI VIDEO
Semua orang tahu bahawa yang buruk tidak sama dengan yang baik; yang rendah kualitinya tidak sama berbanding dengan yang bermutu.
Oleh itu, contohnya, jika ingin bersedekah, berilah yang baik dan bermutu.
Ayat al-Quran ini (Surah al-Maa’idah, Ayat100) ada sambungannya yang bermaksud, “Walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu”.
Yang buruk ini walaupun banyak adalah tidak berguna. Yang bernilai adalah yang baik, walaupun sedikit. Kita hendaklah lebih utamakan kualiti (nilai) berbanding kuantiti.
Allah tidak terima sesuatu yang tidak baik, contohnya sedekah dari harta yang dicuri. Malah, niat untuk bersedekah dari harta yang dicuri akan mengundang dosa.
“Jangan kamu pilih sesuatu yang buruk untuk disedekahkan kepada orang lain”.
“Kamu tidak akan mencapai darjat yang sebenar sehingga kamu membelanjakan apa yang kamu sayangi”.
Sekiranya ingin buat kebajikan, hendaklah beri yang baik. Jangan cari duit yang haram untuk buat ibadat, contohnya, mengerjakan haji dengan pendapatan yang haram.
Untuk mendapatkan yang baik, kita perlu tahu apa yang buruk; buruk di sudut aqidah, dalam pergaulan masyarakat, dalam urusan jual beli, dalam akhlak dan sebagainya.
Semua manusia, hatta orang kafir sekalipun, tetap tahu menilai mana yang baik dan mana yang buruk.
Carilah yang baik, buatlah amalan yang baik, belajarlah ilmu yang baik, makanlah makanan yang baik, hidup berkeluarga dengan cara yang baik. Kerana, “Tidak sama yang buruk dengan yang baik”, dan ingatlah kesannya adalah sehingga jari akhirat.
Carilah yang baik, buatlah amalan yang baik, belajarlah ilmu yang baik, makanlah makanan yang baik, hidup berkeluarga dengan cara yang baik.