Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 19 – “Sesungguhnya Sebaik-baik Orang Yang Kamu Ambil Bekerja Ialah Orang Yang Kuat, Lagi Amanah” (Surah al-Qashash, Ayat 26)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 11m 5s]- MUTIARA AL-QURAN -Sebaik-baik Orang Yang Kamu Ambil Bekerja Ialah Orang Yang Kuat, Lagi Amanah

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  – https://youtu.be/HqyVyQGS92k ]

“SESUNGGUHNYA SEBAIK-BAIK ORANG YANG KAMU AMBIL BEKERJA IALAH ORANG YANG KUAT, LAGI AMANAH” (SURAH AL-QASHASH, AYAT 26)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Panduan ini amat baik untuk diterapkan dalam kehidupan terutamanya yang melibatkan aktiviti pekerjaan. Ianya adalah resepi kejayaan.
  2. “Sebaik-baik orang yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.
  3. “Kuat” bukan hanya gagah (kekuatan fizikal) sahaja tetapi kekuatan yang sesuai dengan tuntutan pekerjaan tersebut. Ianya bermaksud kepandaian atau kepakaran.
  4. Contohnya, sebagai tukang masak, yang diperlukan ialah kepakaran memasak bukan kekuatan fizikal seperti ahli gusti.
  5. Kriteria kedua ialah “al-Amin”, amanah.
  6. Contohnya, seseorang Raja, hendaklah memilih Perdana Menteri yang sesuai untuk mentadbir negara iaitu yang pandai memimpin dan amanah (jujur dan boleh diharap).
  7. Ayat al-Quran ini asalnya adalah berkenaan kisah Nabi Musa yang membantu anak-anak perempuan Nabi Syuaib. Anak-anak perempuan Nabi Syuaib mencadangkan kepada ayahnya supaya mengambil kerja Nabi Musa kerana dia seorang yang “kuat lagi amanah”.
  8. Kaedah dari al-Quran hendaklah diambil berdasarkan lafaz umumnya walaupun ianya mempunyai latar belakang yang khusus.
  9. Kita hendaklah terapkan kaedah ini sesuai dengan aktiviti atau pekerjaan, terutamanya tentang sifat “kuat” tersebut.
  10. Contohnya, dalam perniagaan restoran, tukang masaknya hendaklah yang pandai memasak di samping jujur dalam pekerjaannya (seperti tidak membazir atau mencuri makanan).
  11. Dalam apa-apa bidang, gabungan dua sifat ini adalah penting untuk menjamin kejayaan.
  12. Ianya tidak terhad dalam bidang pekerjaan sahaja tetapi penting juga dalam kehidupan contohnya, seperti memilih calon menantu, perlu yang “kuat” dan “amanah”.
  13. Kedua-dua sifat ini perlu ada pada seseorang, tidak cukup dengan hanya satu sifat sahaja. Ianya penting untuk sesiapa pun dan dalam bidang apa pun.
  14. Di dalam al-Quran banyak disebut tentang pentingnya sifat ini. Contohnya, Jibril yang ditugaskan membawa wahyu mempunyai sifat “kuat dan amanah” untuk memastikan bahawa wahyu yang dibawanya terjamin selamat.
  15. Dakwaan Syiah yang Jibril sepatutnya membawa wahyu kepada Sayyidina Ali tetapi memberinya kepada Nabi s.a.w adalah tidak benar kerana menggambarkan Jibril sebagai seorang yang tidak amanah.
  16. Kita yakin dengan wahyu dari Allah kerana yang membawanya iaitu Jibril adalah “kuat dan amanah” dan yang menerimanya iaitu Nabi s.a.w juga “kuat dan amanah”.
  17. Gunakalah kaedah ini dalam urusan seharian kita.

Dua kriteria utama untuk kejayaan dalam urusan-urusan kehidupan ialah “kuat” (pandai atau pakar) dan “amanah”.

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 18 – “Rencana Yang Jahat Itu Tidak Akan Menimpa Selain Orang Yang Merencanakannya Sendiri” (Surah Faatir, Ayat 43)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 4m 35s] – MUTIARA AL-QURAN – Rencana Jahat Itu Tidak Akan Menimpa Selain Orang Yang Merencanakannya Sendiri

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  – https://youtu.be/W2P3xlLPh_c ]

“RENCANA YANG JAHAT ITU TIDAK AKAN MENIMPA SELAIN ORANG YANG MERENCANAKANNYA SENDIRI” (SURAH FAATIR, AYAT 43)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Jangan kita sangka bahawa bila kita melakukan kejahatan ke atas seseorang, orang yang dianiaya itu akan ditimpa bencana.
  2. Sebenarnya, Allah akan kembalikan kejahatan itu kepada orang yang melakukannya. Oleh itu elakkanlah dari merancang untuk melakukan kejahatan terutamanya terhadap orang-orang yang baik dan soleh, orang yang dikasihi Allah.
  3. Kejahatan itu akan me”makan diri” orang yang melakukannya bila dilakukan ke atas orang yang tidak sepatutnya.
  4. Sejarah mencatatkan bagaimana orang kafir Quraisy yang melakukan kejahatan kepada Nabi telah dihukum oleh Allah dan kedudukan Nabi tidak terjejas akibat perbuatan jahat tersebut malah terus mulia. Lihatlah perancangan jahat itu terkena kepada siapa? Ianya akan terkena kepada golongan yang merancang.
  5. Fir’aun yang merasa dirinya hebat telah menganiaya Bani Israel tetapi akhirnya kecundang. Rancangannya untuk mengekalkan kekuasaannya dengan membunuh semua anak lelaki Bani Israel digagalkan oleh Nabi Musa yang dibesarkan dalam istananya sendiri.
  6. Allah akan balas kejahatan yang kita lakukan. Ada satu kisah benar, seorang pelajar yang baik difitnah sehingga dipenjara. Akhirnya orang yang memfitnah terlibat dalam kemalangan dan lumpuh sehingga akhirnya datang meminta maaf.
  7. Sesuatu kejahatan akan dibalas Allah, dan kita tidak akan tertanggung akibatnya.
  8. Oleh itu jangan aniayai orang lain kerana kalau tidak di dunia, di akhirat nanti pasti Allah akan balas.

Jangan sekali-sekali merancang untuk melakukan apa-apa kejahahan terhadap seseorang terutama terhadap orang yang baik-baik kerana akibatnya akan kembali kepada orang yang melakukan penganiayaan.

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 17 – “Dan (Ingatlah) Sesiapa Yang Dihinakan Oleh Allah, Maka Tidak Akan Sesiapapun Yang Dapat Memuliakannya” (Surah Al-Hajj, Ayat 18)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 7m 44s] – MUTIARA AL-QURAN – Sesiapa Dihinakan Allah, Maka Tidak Akan Sesiapapun Yang Dapat Memuliakannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  – https://youtu.be/tfQZV9MuTkk ]

DAN (INGATLAH) SESIAPA YANG DIHINAKAN OLEH ALLAH, MAKA TIDAK AKAN SESIAPAPUN YANG DAPAT MEMULIAKANNYA” (SURAH AL-HAJJ, AYAT 18)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Orang yang Allah taala hendak menghinanya, tidak ada sesiapa yang dapat memuliakannya. Contohnya, Abu Jahal, akan tetap dipandang hina, walaupun jika Nabi sendiripun ingin membantunya di akhirat nanti.
  2. Ini menggambarkan betapa berkuasanya Allah taala.
  3. Kita tidak tahu apa rahsianya, tetapi perlu terima hakikatnya dan bersangka baik terhadap Allah.
  4. Umpama buah kelapa, apa yang kita makan ialah isinya sahaja. Sabut dan tempurungnya kita buang kerana tdak sesuai untuk dimakan. Begitulah juga dengan manusia, ada yang tidak layak untuk masuk syurga, yang hanya Allah taala sahaja yang tahu sebabnya.
  5. Tidak ada siapa yang boleh mengubah jika Allah ingin bakar dan seksa Abu Jahal. Tetapi ada sebabnya mengapa seseorang itu dihina. Al-Quran menyatakan bahawa orang yang berkelakuan seperti ahli syurga maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga dan begitulah sebaliknya.
  6. Allah tidak menzalimi sesiapa pun. Tetapi oleh kerana kita tidak mempunyai ilmu yang meliputi, kita tidak tahu hakikat sebenarnya. Mungkin seseorang yang dikatakan hina oleh semua manusia sebenarnya dia seorang yang mulia di sisi Allah.
  7. Allah akan balas di akhirat nanti sesuai dengan hakikat sebenar seseorang itu.
  8. Pernah terjadi di negara kita suatu ketika dahulu perebutan mayat seorang yang dikatakan baru memeluk Islam. Tidak kira sama ada dia dikebumikan di perkuburan Islam atau tidak, Allah akan balas sesuai dengan hakikat sebenarnya, sama ada dia Islam atau tidak.
  9. Sesetengah perkara adalah nyata dan jelas hakikatnya (sama ada mulia atau hina) tetapi ada juga yang kabur. Yang sahih ialah apa yang di sisi Allah. Apa yang manusia anggap tidak mempunyai kesan apa-apa. Tiada siapa yang boleh menghinanya sekiranya Allah memuliakannya dan begitulah sebaliknya.
  10. Apa yang kita ingini ialah Allah tidak menghina kita. Dengan itu kita berusaha dan memilih jalan yang baik, jalan Islam dengan harapan Allah tidak menghina kita di dunia dan di akhirat.
  11. Hina di dunia dan hina di mata manusia tidak bermakna hina di sisi Allah walaupun seseorang itu dituduh melakukan kejahatan dan dihukum penjara di dunia ini.
  12. Mereka yang teraniaya seharusnya tidak terkesan dengan pandangan manusia dan hendaklah yakin bahawa Allah tahu segala-galanya. Tidak perlu berdukacita di atas segala yang berlaku kerana apa yang di sisi Allah adalah mengatasi yang lain. Biasanya tidak semua orang akan sependapat dalam menganggap seseorang atau sesuatu perkara itu hina atau mulia. Kalaupun mereka sependapat ianya tidak memberi kesan apa-apa di sisi Allah.
  13. Berusahalah untuk menjadi mulia dan jauhilah sebab-sebab yang menjadikan kita hina. Sebaik-baiknya, kita mulia di sisi Allah dan mulia juga di sisi manusia. Tetapi manusia terbatas ilmunya, jadi sekiranya kita berada di jalan yang benar, maka hiburkanlah hati kita dan jangan terpengaruh dengan pandangan manusia.

Yang paling penting ialah kita berusaha untuk menjadi mulia di sisi Allah. Kemuliaan di sisi Allah adalah kemuliaan hakiki yang tidak dapat diganggu-gugat oleh sesiapa.

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 16 – “Dan Dalam Qishash Itu Ada (Jaminan Kelangsungan) Hidup Bagimu” (Surah al-Baqarah, Ayat 179)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 4m 16s] – MUTIARA AL-QURAN – Dalam Qishash Itu Ada (Jaminan Kelangsungan) Hidup Bagimu

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  – https://youtu.be/_z9hPHX21rA ]

“DAN DALAM QISHASH ITU ADA (JAMINAN KELANGSUNGAN) HIDUP BAGIMU” (SURAH AL-BAQARAH, AYAT 179)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Jangan kita sangka bahawa bila kita bunuh seseorang (kerana kesalahan yang menyebabkan dia dibunuh) hanya “kematian” itu yang berlaku, tiada apa-apa kesan lain.
  2. Sebenarnya dengan terbunuhnya seorang (yang bersalah) itu akan terselamat nyawa orang lain.
  3. Oleh itu janganlah kita teragak-agak dalam menjalankan hukuman “qishash” dan hukuman-hukuman lain yang disyariatkan.
  4. Dengan menjalankan hukuman-hukuman ini masyarakat akan menjadi baik, walaupun pada zahirnya hukuman ini nampak tidak elok dan kejam.
  5. Hukuman penjara akan menafikan kebebasan seseorang penjenayah, tetapi jika biarkan dia hidup bebas dalam masyarakat, orang ramai pula yang akan “terpenjara” dan tidak bebas (dari perbuatan jenayahnya).
  6. Jangan teragak-agak untuk melaksanakan hukuman untuk apa-apa jenayah kepada seorang yang bersalah demi untuk keselamatan dan kebaikan masyarakat keseluruhannya.
  7. Undang-undang yang menghukum pesalah adalah untuk kebaikan walaupun kadang-kadang ianya nampak tidak baik.
  8. Lihatlah keadaan aman damai di Mekah, di mana orang ramai tidak teringin untuk melakukan jenayah.
  9. Kadang-kadang manusia perlu dididik dengan hukuman yang keras untuk mendisiplinkannya.

Terdapat hikmah di dalam hukuman-hukuman yang Allah tetapkan. Kita mungkin tidak tahu apa hikmahnya tetapi yakinlah ianya baik untuk kita dan masyarakat.

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 15 – Kesudahan Yang Baik Adalah Bagi Orang-orang Yang Bertaqwa (Surah al-A’raaf, Ayat 128)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 6m 17s] – MUTIARA AL-QURAN – Kesudahan Yang Baik Adalah Bagi Orang-orang Yang Bertaqwa

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  – https://youtu.be/lFxsRvlvV3w

KESUDAHAN YANG BAIK ADALAH BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA (SURAH AL-A’RAAF, AYAT 128)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Kita hendaklah yakin bahawa kesudahan yang baik hanya diperolehi oleh orang-orang yang bertaqwa. Walaupun begitu, di dunia ini mungkin kita tidak dapat mengecapi kehidupan yang selesa dan baik malah ada nabi-nabi yang dibunuh.
  2. Jika nabi-nabi dibunuh, adakah mereka tidak berada di atas jalan yang benar? Yakinlah bahawa sesungguhnya mereka berada di atas jalan yang benar!
  3. Oleh itu jika seseorang itu dipenjara atau dihukum (kerana menegakkan kebenaran) kita tidak boleh kata dia tidak berjaya.
  4. Kesudahan yang baik hanyalah untuk orang yang bertaqwa sama ada kejayaannya nyata atau tidak di dalam dunia ini.
  5. Hidup kita bukan hanya di dunia ini sahaja tetapi bersambung ke akhirat.
  6. Jika tidak dapat kejayaan di dunia, sekiranya kita beriman, kita pasti akan dapat kejayaan di akhirat. Kita hendaklah yakin tentang kejayaan ini. Akibat yang baik di akhirat ialah memasuki syurga.
  7. Tiada orang Islam yang tidak masuk syurga (akhirnya). Orang Islam adalah “muttaqin” (orang yang bertaqwa)
  8. Di dalam dunia ini pun, orang yang “menjaga dirinya” (muttaqa) akan mendapat kebaikan. “Muttaqa”, jaga diri, bermaksud, melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang tidak baik, walaupun benda yang baik tersebut tiada dalam wahyu dan hanya sekadar melalui pertimbangan akal.
  9. Contohnya, bila doktor beritahu bahawa dengan menghisap rokok kita akan dapat penyakit barah, maka kita tinggalkan tabiat tersebut. Atau kita minum susu bila doktor beritahu ianya baik untuk kesihatan. Kitalah yang akan mendapat kebaikan bila kita menjaga diri kita.
  10. Berbuat perkara yang baik akan memberi kesan yang sama sama ada untuk perkara dunia atau perkara akhirat. Dengan mengamalkan yang baik kita akan selamat di dunia dan di akhirat.
  11. Hakikatnya, orang Islamlah yang sentiasa menjaga diri. Oleh itu, sepatutnya akibat baik diperolehi oleh orang Islam. Tetapi jika orang Islam tidak menjaga dirinya maka dia tidak dapat mengecapi kebaikan ini.
  12. Bertaqwa bermakna menjaga diri. Secara umumnya, amalkan perkara yang baik dan tinggalkan perkara yang tidak baik, insyaAllah seseorang akan selamat.
  13. Seorang yang kafir pun akan lebih selamat jika mereka “menjaga diri”, cuma ianya setakat di dunia ini sahaja. Contohnya, sekiranya ia menjaga kebersihan ianya terjamin di segi kesihatan.
  14. Kita ikut agama (al-Quran dan hadith), adalah kerana kita ingin kebaikan di dunia dan di akhirat.
  15. Tetapi kadang-kadang Allah beri sesuatu yang pada zahirnya nampak “kurang baik” dalam kehidupan kita di dunia. Ingatlah, kehidupan kita tidak berakhir di dunia ini. Kita pasti akan dapat balasan atau akibat baiknya kemudian, selepas kita mati.

Yakinlah dengan janji Allah, kita akan perolehi kejayaan bila kita bertaqwa. Ianya mungkin dikecapi di dunia ini, tetapi jika tidak di dunia ini, kita akan memperolehinya di akhirat kelak.

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 14 – Maka jika mereka tidak dapat menerima cabaran mu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya – (Surah al-Qashash, Ayat 50)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 5m 42s] – MUTIARA AL-QURAN – Jika Mereka Tidak Dapat Menerima Cabaran Mu, Mereka Hanyalah Menurut Hawa Nafsu

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  –  https://youtu.be/D4uxLwc_7L8 ]

MAKA JIKA MEREKA TIDAK DAPAT MENERIMA CABARAN MU (WAHAI MUHAMMAD), MAKA KETAHUILAH, SESUNGGUHNYA MEREKA HANYALAH MENURUT HAWA NAFSU MEREKA DAN TIDAK ADA YANG LEBIH SESAT DARIPADA ORANG YANG MENURUT HAWA NAFSUNYA. (SURAH AL-QASHASH, AYAT 50)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Kaedah ini perlu untuk menghadapi orang-orang kafir, orang munafik dan ahli bid’ah.
  2. Jika seseorang melakukan sesuatu amalan dan dapat mengemukakan dalilnya dari Nabi, maka ianya tidak dikatakan mengikut hawa nafsu. Dia telah mengikut sunnah sebagaimana kehendak agama Islam.
  3. Tetapi jika ia tidak dapat memberikan dalil dan mengatakan amalan tersebut adalah dari nenek moyang atau amalan orang ramai, mereka adalah tergolong dalam kalangan yang mengikut hawa nafsu.
  4. Setiap amalan perlu ada rujukan dari Nabi, untuk memastikan ianya diterima. Ini adalah kerana Nabi s.a.w tidak bercakap mengikut hawa nafsu tetapi adalah berdasarkan wahyu.
  5. Hawa nafsu adalah berlawanan dengan wahyu. Lawan kepada wahyu ialah hawa nafsu.
  6. Wahyu dapat dibuktikan dari al-Quran atau hadith. Jika tidak dapat dibuktikan ianya dari wahyu, ianya adalah mengikut hawa nafsu.
  7. Dalam hal agama, orang Islam tidak mengikut hawa nafsu tetapi mengikut petunjuk dari Nabi (wahyu). Contohnya, sabda Nabi, “Kamu bersembahyanglah sebagaimana aku bersembahyang”.
  8. Apa-apa yang kita buat hendaklah boleh dirujuk daripada wahyu kerana jika tidak, kita akan termasuk dalam golongan yang mengikut hawa nafsu.
  9. Contohnya, dalam kes jenayah mencuri, al-Quran menyebut, “potonglah tangan”. Jika kita menghukum pencuri dengan hukuman penjara atau denda (yang tidak dapat dibuktikan dari wahyu) ianya bermakna kita mengikut hawa nafsu.
  10. Kita tidak boleh “memandai-mandai” (mereka-reka) dalam hal-hal agama.
  11. Tanda orang yang benar dalam beragama ialah dia dapat mengemukakan bukti dan dalil dari wahyu untuk setiap amalannya.
  12. Orang yang tidak dapat mengemukakan bukti dari wahyu (di atas amalannya) ialah orang yang mengikut hawa nafsu. Allah larang manusia dari mengikut hawa nafsunya. Setiap amalan kita perlu ada dalil dan bukti dari wahyu.
Beribadat dan beramallah berdasarkan wahyu (al-Quran dan hadith). Jauhi bid’ah dan apa-apa yang direka manusia dalam hal agama.

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 13 – “Sesungguhnya Semulia-mulia Kamu Di sisi Allah Ialah Orang Yang Lebih Taqwanya Di Antara Kamu” – (Surah Al-Hujuraat – Ayat 13)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 3m 48s] – MUTIARA AL-QURAN – Semulia-mulia Kamu Di sisi Allah Ialah Orang Yang Lebih Taqwanya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  –  https://youtu.be/1FXOTZ5n3Io ]

SESUNGGUHNYA SEMULIA-MULIA KAMU DI SISI ALLAH IALAH ORANG YANG LEBIH TAQWANYA DI ANTARA KAMU” (SURAH AL-HUJURAAT, AYAT 13)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Jangan berbangga kerana keturunan dan bangsa kerana ianya bukan penentu kelebihan seseorang manusia.
  2. Yang menentukan seseorang itu lebih dan istimewa di sisi Allah ialah “taqwa”. Semakin tinggi taqwa seseorang, semakin tinggi kedudukannya di sisi Allah.
  3. Jangan menilai kemuliaan seseorang berdasarkan pangkat, kekayaan dan lain-lain perkara keduniaan kerana ianya palsu dan tidak kekal.
  4. Perkara-perkara keduniaan seperti pangkat dan kekayaan bukanlah penilai atau penentu sebenar kelebihan seseorang. Berwaspadalah kerana ianya boleh memperdayakan kita.
  5. Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.
  6. Semakin tinggi taqwa seseorang, semakin tinggi kedudukannya di sisi Allah.
  7. Bila seseorang tinggi kedudukannya di sisi Allah, kehinaannya di sisi manusia tidak memberi apa-apa makna dan kesan. Pandangan Allahlah yang menjadi penentunya.
  8. Lazimnya, tetapi tidak semestinya, jika seseorang mulia di sisi Allah, akan menyebabkan orang lain menerimanya dengan baik. Di dunia ini pun dia akan dipandang mulia juga.
  9. Walaupun begitu, jika di dunia ini dia tidak dipandang muila, jangan khuatir kerana dia akan tetap mulia di akhirat. Kerana kadang-kadang orang yang dimuliakan Allah, tidak begitu dipandang mulia oleh penduduk dunia.
  10. Hadith menyebut, bila Allah redha kepada seseorang, Dia jadikan malaikat suka kepadanya, dia disebut baik oleh malaikat di langit dan manusia di bumi, sehingga dia menjadi seorang yang mulia di bumi dan di langit.
  11. Walaupun begitu, kita jangan menganggap ianya adalah satu kemestian tetapi itulah kebiasaannya yang terjadi.
  12. “Orang yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa”.
  13. Ingatlah, jika kita menilai kemuliaan seseorang berdasarkan perkara selain dari taqwa, kita akan terpedaya.
  14. Ingatlah, kekayaan tidak akan kekal tetapi jika kita mengahwini seseorang kerana agamanya, ianya akan kekal.
  15. Pilihlah sesuatu yang kekal berbanding dengan yang sementara.

Kita sepatutnya berusaha untuk menjadi yang paling bertaqwa kerana itulah neraca kemuliaan seseorang, bukannya pangkat, kekayaaan atau keturunan

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 12 – Dan Tidak Akan Menang Tukang Sihir Itu, Dari Mana Saja Ia Datang” – (Surah Thaha, Ayat 69)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 8m 56s] – MUTIARA AL-QURAN – Tidak Akan Menang Tukang Sihir (Tidak Akan Menang Kebatilan)

“DAN TIDAK AKAN MENANG TUKANG SIHIR ITU, DARI MANA SAJA IA DATANG” (SURAH THAHA, AYAT 69)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Asalnya ayat ini adalah cerita tentang tukang sihir di zaman Nabi Musa.
  2. Apa-apa dan sesiapapun sekiranya ianya melawan mukjizat ianya tidak akan menang. Mukjizat di segi zahirnya nampak lebih kurang sama dengan sihir.
  3. Sebagaimana tercatit dalam al-Quran dan hadith, bila Nabi Musa berhadapan dengan tukang sihir Fir’aun, terbukti sihir tidak boleh mengalahkan mukjizat walaupun di segi luaran ianya nampak seolah-olah serupa.
  4. Mukjizat Nabi kita yang dibelah dada pada zahirnya kelihatan sama dengan pembedahan-pembedahan serupa yang dilakukan oleh doktor pada masa ini. Walaupun begitu, kemampuan membelah dada oleh doktor tidak boleh menandingi mukjizat Nabi.
  5. Doktor boleh mengeluarkan organ dalaman dari tubuh tetapi tidak boleh mengeluarkan “stesyen” syaitan dari hati kita. Jibril membuang “stesyen” tersebut, oleh itu syaitan tidak dapat mempengaruhi Nabi walaupun sedikit.
  6. Sihir atau kepakaran manusia tidak dapat menandingi mukjizat.
  7. Begitu juga mukjizat dalam peristiwa Isra’ mikraj, di mana Nabi diperjalankan sehingga tujuh petala langit sehingga “Sidratul Muntaha” dalam masa yang singkat. Peristiwa ini begitu ajaib, sehingga orang kafir mendustakannya kerana ianya tidak logik dinilai dengan pengalaman mereka. Saintis masakini pula menolaknya kerana ianya tidak selari dengan kajian sains mereka.
  8. Berbeza dengan perjalanan israk mi’raj, mereka yang pergi ke angkasa lepas tidak dapat ambil apa-apa arahan dan hukum dari Allah. Perjalanannya pun tidaklah jauh jaraknya dari bumi.
  9. Sesungguhnya kebolehan manusia tidak dapat menandingi mukjizat dari Allah.
  10. Ayat al-Quran ini, tidak terhad kepada sihir sahaja, tetapi juga merupakan isyarat tentang”pertarungan” di antara kebenaran dan kebatilan.
  11. Yang tidak benar akan sentiasa kalah dengan yang benar.
  12. “Bila datang kebenaran yang batil akan lenyap”, tidak boleh bertahan.
  13. Bacaan zikir dan ayat-ayat al-Quran tertentu mampu menyekat keberkesanan sihir dan akan mengalahkan sihir.
  14. Hakikatnya, kebatilan tidak akan dapat mengalahkan kebenaran.
Kebenaran akan sentiasa mengalahkan kebatilan. Bila datang kebenaran yang batil akan lenyap.

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 11 – (Tentang) Orang Tuamu Dan Anak-anakmu, Kamu Tidak Mengetahui Siapa Di Antara Mereka Yang Lebih Dekat (Banyak) Manfaatnya Bagimu – (Surah An-Nisaa’, Ayat 11)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 4m 22s] – MUTIARA AL-QURAN – Kamu Tidak Tahu Siapa Di Antara Anak Dan Ayah Yang Lebih Baik Bagi Mu

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube   https://youtu.be/Vy2dSe2-Gj8 ]

(TENTANG) ORANG TUAMU DAN ANAK-ANAKMU, KAMU TIDAK MENGETAHUI SIAPA DI ANTARA MEREKA YANG LEBIH DEKAT (BANYAK) MANFAATNYA BAGIMU (SURAH AN-NISAA’, AYAT 11)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Kita tidak tahu siapa di antara anak-anak kita atau ayah kita yang lebih baik untuk kita. Kalaulah kita tahu anak kita akan merosakkan kita suatu hari nanti, nescaya kita tidak biarkan dia hidup.
  2. Kita tidak tahu anak kita yang manakah yang paling berguna untuk kita suatu hari nanti. Oleh kerana kita tidak tahu yang mana paling baik, yang sulungkah atau yang bongsu, sayugia kita jangan memandai-mandai “merancang keluarga”.
  3. Jangan merancang untuk dapat anak lewat dengan anggapan sekiranya dapat anak di usia muda akan menyukarkan aktiviti harian kita dan akan menambah perbelanjaan keluarga. Kita tidak tahu anak manakah yang paling bermanfaat untuk kita dan ummat.
  4. Kita hendaklah redha dengan anugerah anak-anak dari Allah ini. Kita tidak tahu rezeki Allah yang mana yang lebih berkat.
    Oleh itu, Nabi ajar supaya kutip makanan yang terjatuh (dari pinggan) kerana mungkin makanan yang berkat (seperti menjadikan fikiran tajam dan hati tenang) ialah yang jatuh itu. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada anak dan ayah kita di kemudian hari.
  5. Manusia boleh berubah dari baik kepada tidak baik dan sebaliknya, ianya rahsia yang kita tidak tahu. Ingatlah, semua yang berlaku adalah dengan hikmat Allah. Oleh itu janganlah kita memandai-mandai untuk “merancang” keluarga.
  6. Terimalah rezeki (anak-anak) yang Allah beri ini dengan redha kerana kita tidak tahu yang mana paling baik dan berkat untuk kita.

Redhailah dan syukurilah setiap anugerah yang Allah kurniakan kepada kita dan berserahlah sepenuhnya kepada Allah

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup

Mutiara Al-Quran Untuk Panduan Hidup – 10 – Jika kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan kedudukanmu – (Surah Muhammad, Ayat 7)

[Muat Turun Artikel – Format PDF]

VIDEO – [Durasi – 6m 53s] – MUTIARA AL-QURAN – Jika kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube  https://youtu.be/zzdQGok-ZHc ]

JIKA KAMU MEMBELA (AGAMA) ALLAH, NESCAYA ALLAH MEMBELA KAMU DAN MENEGUHKAN KEDUDUKANMU (SURAH MUHAMMAD, AYAT 7)

EKSTRAKS DARI VIDEO

  1. Panduan ini nampak ringkas, tetapi besar maknanya (dan banyak manfaatnya).
  2. “Jika kamu menolong Allah nescaya Allah akan menolong kamu”. Maksud “menolong Allah” ialah membela, mempertahankan, (menyebarkan) agama-Nya. Jika kita “menolong” Allah, maka Allah taala akan membela dan menolong kita.
  3. Ini adalah jaminan dari Allah taala. Ianya merupakan syarat dan janji Allah yang pasti ditepati-Nya.
  4. Allah tidak memungkiri janji-Nya.
  5. Jika yang berlaku adalah sebaliknya, (contohnya, kita adalah orang Islam, tetapi tidak menang dalam peperangan dengan orang kafir), apakah sebabnya? Ini menunjukkan ada yang tak kena kerana pertolongan tuhan ada syarat-syaratnya. Contohnya, ada sebabnya mengapa di Perang Uhud ramai Sahabat yang mati (walaupun di satu segi, ada kelebihannya iaitu mendapat mati syahid) dan pasukan Islam dianggap “kalah” untuk seketika.
  6. Jika kita “tolong” agama Allah seperti membela, mempertahankan, menyebarkannya, belajar, mengajar, berdebat, berpolemik (dan muzakarah) dan sebagainya, Allah akan tolong kita.
  7. Dengan adanya “pertolongan” Allah, kita tidak perlu bimbang, kerana ianya adalah jaminan (kemenangan) dari Allah. Sebagaimana Allah menjamin rezeki kepada binatang yang tidak berakal, yang tiada cita-cita dan matlamat hidup seperti burung-burung dan haiwan ternakan.
  8. “Tidak ada binatang yang melata di muka bumi ini melainkan Allah sudah jamin rezekinya”.
  9. Kita yang menjalankan kerja agama, terutama pelajar-pelajar agama yang membela agama Allah ini, tidak perlu bimbang tentang rezeki, tentang peluang pekerjaan dan sebagainya. Binatang-binantang yang hina pun dijamin rezeki oleh Allah. Apatah lagi kita yang membuat kerja-kerja mulia ini hendaklah yakin bahawa Allah akan menjaga dan menolong kita.
  10. Keyakinan beginilah yang ada pada Sahabat-sahabat dan Nabi-nabi dahulu. Mereka tidak takut dan bimbang. Mereka tidak takut tentang nasib anak-anak dan keluarga mereka jika ditakdirkan mereka mati dalam perjuangan.
  11. Ingatlah bahawa anak-anak dan tanggungan kita tidak semestinya lebih baik jika di bawah jagaan kita. Kita tidak tahu nasib sebenar mereka. Serahkan segala-segalanya pada Allah (selepas berusaha). Itulah sifat orang mukmin.
  12. “Allah taala akan meneguhkan kedudukan kita”. Itulah jaminan dari Allah dan sentiasa pahatkan dalam hati kita.
  13. Buatlah kerja agama ini di peringkat masing-masing di atas kapasiti apa pun; sebagai mujahidin, guru, pendakwah atau apa saja dan hendaklah sentiasa ingat jaminan dari Allah ini.
  14. Allah akan jaga dan tolong kita dengan syarat hati kita ikhlas kerana Allah.
  15. Kalau kita di atas jalan yang benar, Allah akan tolong kita walau macam mana sekalipun.
  16. Kadang-kadang tidak terlintas di fikiran kita macamana dan dalam bentuk apa pertolongan Allah itu. Contohnya, Allah akan pertemukan kita dengan orang yang sesuai dengan kita, yang akan membantu kita di segenap segi dan masa. Ini adalah sesuatu yang kita tidak dapat fahami.
  17. Cuma, jika diperhatikan dari sirah Nabi, untuk menegakkan dan membela agama Allah ini, berapa banyak dan cubaan yang dihadapi oleh Nabi sehingga terpaksa meninggalkan tanah airnya. Sebagai iktibar, ujian-ujian ini tidak mudah tetapi kita perlu lakukannya demi untuk agama.
  18. Kejayaan yang dinilai ialah kejayaan pada akhirnya; kerana untuk mendapat kejayaan berapa banyak ujian yang perlu dihadapi Nabi sehingga terpaksa mengikat perut kerana kelaparan.
  19. Paling minima, untuk pejuang-pejuang agama, sekiranya ia tidak dapat kejayaan di dunia, Allah akan membalasnya di akhirat.
  20. Hidup di dunia ini amat pendek, tapi yang lamanya (kekal) adalah di akhirat nanti.
  21. Kejayaan yang sebenar ialah kejayaan di akhirat.

Jangan khuatir atau bimbang dalam menjalankan kerja-kerja agama. Kerja-kerja yang ikhlas kerana Allah ini, pasti mendapat pertolongan dari Allah. Yakinlah kita akan mendapat kejayaan, kalau tidak di dunia ini, di akhirat nanti kita akan mendapat balasan.

Muat Turun Atau Baca Online

E-BOOK – Koleksi Mutiara al-Quran Untuk Panduan Hidup