Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
Uusl 17 – Mengetahui Ayat-ayat yang Menasakhkan Dan Ayat-ayat Yang Dimansukhkan
Dalil kedua mereka ialah firman Allah berikut:
Bermaksud: Dan apabila Kami tukarkan satu ayat menggantikan ayat yang lain dan Allah memang mengetahui akan apa yang Dia turunkan, – berkatalah mereka (yang kafir): Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya. (an-Nahl:101).
Kata orang-orang yang menerima konsep nasakh ayat hukum di dalam al-Qur’an, ayat 101 Surah an-Nahl ini jelas menunjukkan adanya penukaran satu ayat dengan ayat yang lain. Itulah sebenarnya yang dikatakan nasakh. Antara bukti yang menunjukkan perkataan آية yang tersebut di dalam ayat ini ialah ayat al-Qur’an, bukan mu’jizat atau syari’at yang lalu ialah firman Allah di dalamnya bahawa: والله أعلم بما ينزل Bermaksud: “Dan Allah memang mengetahui akan apa yang Dia turunkan”. Tentulah apa yang diturunkan oleh Allah itu berupa ayat-ayat al-Qur’an, kerana ayat-ayat al-Qur’anlah yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Ayat seterusnya membuktikan apa yang diturunkan oleh Allah seperti tersebut di dalam ayat 101 itu ialah ayat-ayat al-Qur’an. Lihat ayat berkenaan di bawah ini:
Bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan al-Qur’an itu dari Tuhanmu dengan benar, untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang telah beriman, dan untuk menjadi petunjuk serta berita gembira bagi orang-orang Islam.” (an-Nahl:102).
Bukankah Jibril menurunkan al-Qur’an dalam bentuk ayat-ayat kepada Rasulullah s.a.w.? Nah! Itulah bukti ayat yang ditukar oleh Allah sebagai ganti kepada ayat yang lain itu bermaksud ayat al-Qur’an, bukan mu’jizat atau syari’at nabi-nabi dan rasul-rasul yang lalu.
BANTAHAN TERHADAP DALIL KEDUA
Dalil kedua ini dipertikaikan juga oleh golongan ketiga. Bagi mereka, tidak ada petunjuk jelas di dalam ayat 101 dan 102 Surah an-Nahl itu yang menunjukkan sesuatu ayat hukum apabila dimansukhkan oleh Allah, ia diganti dengan ayat hukum yang lain pula olehNya!
Di bawah ini dikemukakan beberapa alasan golongan ketiga dalam menolak pemahaman golongan kedua terhadap ayat berkenaan:
(a) Ketika membincangkan dalil pertama sebelum ini telah pun disebutkan bahawa perkataan أية di dalam al-Qur’an tidak semestinya dipakai dengan erti ayat al-Qur’an sahaja. Ia dengan erti ayat al-Qur’an adalah salah satu istilah yang baru diperkenalkan oleh Islam. Jika dilihat kepada penggunaan perkataan itu di dalam al-Qur’an, maka lebih banyak lagi ia telah dipakai dengan erti-ertinya yang lain menurut Bahasa Arab. Dan itulah merupakan makna-makna asalnya. Salah satunya ialah tanda kebesaran Allah atau mukjizat.
Perkataan اية telah digunakan sebanyak 86 kali di dalam al-Qur’an. Yang dipertikaikan sama ada ia dipakai dengan erti ayat al-Quran atau lain-lain erti hanyalah dua ayat ini sahaja (ayat 106 Surah al-Baqarah dan ayat 101 Surah an-Nahl ini). Adapun yang lain-lain semuanya disepakati tentang ia sememangnya telah dipakai dengan erti (الاية الكونية) atau tanda-tanda kebesaran Allah pada alam semesta. Termasuk juga di dalamnya mukjizat-mukjizat yang diberikan oleh Allah kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya.
(b) Silap sekali mengatakan bahawa apabila Allah berfirman di dalam ayat 101 – 102 itu yang bermaksud, “Allah memang mengetahui apa yang Dia turunkan”, dan Ruhul Qudus (Jibril) pula yang menurunkannya, maka tentulah yang diturunkan oleh Allah itu berupa ayat-ayat al-Qur’an. Kerana Jibril hanya menurunkan ayat-ayat al-Qur’an sahaja kepada Nabi s.a.w.
Anggapan seperti itu nyata sekali silapnya, kerana Jibril bukan ditugaskan untuk menurunkan ayat-ayat al-Qur’an sahaja kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. Bukankah Jibril pernah turun kepada Nabi s.a.w sekembalinya baginda daripada berdakwah di Ta’if, dan penduduknya tidak menyambut baik dakwah yang disampaikan oleh baginda, sebaliknya mereka telah menghina dan memukul baginda? Pada ketika itu bukankah Jibril berkata kepada Baginda: “Ini malaikat yang menjaga bukit-bukau. Ia dihantar oleh Allah untukmu. “Lalu malaikat itu berkata, “Jika engkau mahu aku hempapkan saja dua buah bukit besar yang keras ini ke atas mereka, nescaya akan ku lakukan. “Tetapi Nabi s.a.w menghalangnya berbuat begitu, baginda sebaliknya berkata, “Bahkan aku berharap Allah akan mengeluarkan daripada sulbi-sulbi mereka orang-orang yang akan menyembah Allah semata-mata dalam keadaan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu yang lain.”?
(c) Memang tidak dinafikan bahawa Jibrillah yang menurunkan ayat-ayat al-Qur’an kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi perkataan اية yang digunakan di dalam ayat 101 sekarang tidaklah ditujukan kepada ayat tertentu di dalam al-Qur’an, sebaliknya ia bererti al-Qur’an itu sendiri sebagai mukjizat daripada Allah yang menunjukkan kebesaranNya.
(d) Ayat ini tidak sesuai langsung untuk dikaitkan dengan ayat-ayat hukum yang dimansukhkan, kerana ia merupakan ayat Makiyyah dan sememangnya ia terletak di dala Surah an-Nahl yang merupakan salah satu surah Makiyyah. Sedangkan ayat-ayat hukum secara umumnya diturunkan di Madinah. Ia sepatutnya terdapat di dalam surah-surah Madaniyyah.
Hukum apa agaknya yang telah dimansukhkan di Mekah sehingga perlu diturunkan ayat yang bercerita tentang kewajaran pemansukhannya?!
(e) Perkataan اية yang tersebut di dalam ayat 101 Surah an-Nahl ini lebih sesuai dikaitkan dengan al-Qur’an itu sendiri sebagai mukjizat yang dipertikaikan oleh orang-orang kafir pada masa itu. Orang-orang kafir semasa menuntut dan mencabar Nabi s.a.w mengemukakan kepada mereka mukjizat-mukjizat zahir seperti yang pernah diberikan kepada Nabi Musa dan Isa dahulu, jika baginda benar-benar rasul Allah sebagaimana yang didakwa oleh baginda. Sebagai buktinya lihatlah firman Allah di bawah ini:
Bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam al-Qur’an ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam pada itu, kebanyakkan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran. (89). Dan mereka berkata: Kami tidak sesekali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi bagi Kami. (90). Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. (91). Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku) ; tau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit dan kami tidak sesekali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya. Katakanlah (wahai Muhammad): Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul? (93). Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayat petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul? (94). (al-Israa’: 89-94).
(f) Firman Allah di dalam ayat 101 Surah an-Nahl ini merupakan penolakan terhadap permintaan orang-orang kafir supaya Nabi s.a.w membawa kepada mereka Qur’an yang lain atau baginda menukarnya dengan sesuatu yang lain. Justeru itu adalah suatu yang sia-sia saja. Lihat bagaimana Allah menggambarkan permintaan mereka yang bukan-bukan itu di dalam firmanNya ini:
Bermaksud: Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): Bawalah Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, jika aku mendehaka kepada Tuhanku, akan azab hari yang besar (soal jawabnya). (Yunus:15).
(g) Sesetengah ‘ulama’ pula berpendapat, perkataan اية yang tersebut di dalam ayat 101 Surah an-Nahl itu bererti syari’at para nabi dan rasul itulah yang ditukar oleh Allah dari semasa ke semasa. Ia menggambarkan kemusykilan orang-orang kafir, khususnya Ahlil Kitab dari kalangan Yahudi yang mengamalkan hukum-hukum Kitab Taurat bahawa bagaimana Muhammad boleh menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh syariat Nabi Musa dahulu, jika baginda benar-benar rasul yang diutuskan oleh Allah. Bagaimana pula terdapat perbedaan di antara dua orang rasul yang diutuskan, sedangkan mereka membawa wahyu daripada Tuhan yang sama?
Hakikat ini dapat dilihat pada firman Allah di dalam Surah al-An’aam yang juga merupakan surah Makiyyah. Allah berfirman:
Bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah. Kemudian sesiapa yang terpaksa memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (145). Dan kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputinya pekakas dalam perutnya atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka dan sesungguhnya Kamilah yang benar. (146). Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah ruah dan azab seksaNya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa. (147). (al-An’aam:145-147).
10- 01:01:10 : Al-Qur’an Adalah Mu’jizat Yang Hidup Dan Akan Terus Kekal Walaupun Pembawanya Sudah Tiada Nanti
NOTA KULIAH
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
(SAMBUNGAN) USUL NO 17 – MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT YANG DIMANSUHKAN
(e) Jika diterima sekalipun perkataan آية di dalam ayat 106 Surah al-Baqarah itu sebagai ayat al-Qur’an sekalipun masih belum pasti ia menunjukkan bahawa sememangnya ada ayat-ayat al-Qur’an tertentu yang dimansukhkan dengan ayat lain. Apalagi untuk dikatakan ia dimansukhkan dengan hadiths, ijma’ atau dengan qias sebagaimana dengan yang dida’wa oleh golongan yang menerima adanya nasakh secara khususnya dalam bab hukum-hakam!
Sebabnya ialah perkataan ما yang tersebut di permulaan ayat 106 adalah ما شرطية جزائية. Perkataan ننسخ adalah syaratnya. Dan rangkai kata نأت بخير منها pula adalah jawab bagi ما الشرطية di permulaan ayat berkenaan. Sebagaimana apabila engkau berkata, من جاءك فأكرمه (Sesiapa datang kepadamu, maka muliakanlah dia), maka kata-katamu itu tidaklah menunjukkan secara pasti akan berlaku kedatangan, ia paling tinggi pun menunjukkan jika diandaikan ada sesiapa datang, maka mestilah engkau muliakannya. Demikian juga dengan ayat berkenaan, ia tidak menunjukkan sememangnya ada berlaku nasakh terhadap ayat-ayat tertentu. Ia hanyalah menunjukkan jika diandaikan berlaku nasakh terhadap mana-mana ayat al-Qur’an, maka mestilah Allah akan turunkan ayat yang lebih baik daripada ayat yang dinasakhkan, atau paling tidak pun yang setara dengannya. Kesimpulannya ialah ayat itu tidak merupakan nas yang terang tentang berlakunya nasakh di dalam al-Qur’an. Malah sebaliknya ia secara tidak langsung menunjukkan tentang tidak adanya nasakh di dalam al-Qur’an.
Bermaksud: Maka jika engkau (wahai Muhammad) berasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab (yang diturunkan) sebelummu. Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka janganlah engkau sekali-kali termasuk (dalam kumpulan) orang-orang yang ragu-ragu. (Yunus:94)
Jelas sekali apa yang tersebut sebagai syarat di dalam ayat ini tidak berlaku. Memang tidak ada berlaku Nabi s.a.w. berasa ragu-ragu tentang apa yang Allah turunkan kepadanya.itu adalah suatu yang mustahil berlakunya kepada Nabi s.a.w. Oleh kerana tidak ada berlaku syaratnya, maka tidak berlakulah pula jawabnya, iaitu tidak ada berlakulah pula Nabi s.a.w. bertanya kepada orang-orang yang membaca kitab sebelumnya. Ayat itu seolah-olahnya menyatakan “Oleh kerana tidak ada sebarang keraguan dalam dirimu terhadap al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah kepadamu, maka tidak perlulah engkau bertanya Ahlil Kitab.” Itulah sebabnya Nabi s..a.w. melarang umatnya bertanya apa-apa kepada Ahlil Kitab, kerana mereka hanya akan mengacau-bilaukan ma’lumat yang sedia ada pada umat dengan memberikan ajaran agama mereka yang mengarut dan telah diselewengkan.
Penggunaan uslub (gaya bahasa) syarat yang tidak berlaku, maka tidak berlakulah pula jawabnya seperti yang terdapat dalam ayat 94 Surah Yunus itu terdapat pada beberapa tempat lagi di dlam al-Qur’an. Supaya dapat difahami dengan betul uslub itu di bawah ini dikemukakan dua lagi contohnya. Allah berfirman:
Bermaksud: Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (al-An’aam:116)
Syarat yang disebut di dalam ayat 116 Surah al-An’aam itu ialah, “Jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi”. Oleh kerana ia tidak berlaku, maka tidak berlakulah pula jawabnya, iaitu “niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah”.
Bermaksud: Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan nabi-nabi yang terdahulu daripadamu, “Demi sesungguhnya! Jika engkau mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah), niscaya akan terhapuslah amalmu dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi. (az-Zumar:65).
Syarat yang disebutkan di dalam ayat ini ialah, “jika engkau mempersekutukan (Allah)”’ ia tidak berlaku, maka tidak berlakulah juga jawabnya, iaitu “niscaya akan terhapuslah amalmu dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi”.
Begitulah juga dengan ayat 106 Surah al-Baqarah yang sedang kita bincangkan sekarang. Oleh kerana tidak ada berlaku nasakh yang merupakan syarat di dalamnya, maka tidak adalah juga jawabnya, iaitu keperluan mendatangkan ayat lain yang lebih baik daripadanya atau setara dengannya. Uslub itu seolah-olahnya menyatakan maksud Allah yang sebenarnya, bahawa tiada pemansukhan, penukaran atau tindakan melupakan (nabi atau umat terhadap) mana-mana ayat al-Qur’an berlaku. Oleh itu tidak adalah keperluan Kami mendatangkan ayat lain yang lebih baik daripadanya atau yang setara dengannya. Kerana sememangnya tidak ada yang lebih baik daripada al-Qur’an yang telah diturunkan oleh Allah kepada NabiNya Muhammad s.a.w.
Membawa ayat al-Qur’an lain sebagai ganti yang setara dengan yang sedia ada juga suatu perbuatan yang sia-sia. Kerana kalau ia sudah baik, untuk apa digantinya dengan ayat lain yang sama saja daripada segi kebaikan dengannya?
(f) Rangkai kata أو ننسها (atau kami melupakan manusia kepadanya) yang terdapat di dalam ayat yang sama (ayat 106 Surah al-Baqarah) juga akan menimbulkan banyak kemusykilan jika perkataan Kami “nasakhkan” yang tersebut sebelumnya dipakai dengan erti menasakhkan mana-mana ayat al-Qur’an, terutamanya ayat hukum! Manusia manakah yang Allah lupakan ayat yang dikatakan telah Mansukh itu? Kalau manusia yang dimaksudkan di situ ialah kita para umat, maka jelas sekali tidak benarnya. Kerana semua orang tahu dan ingat ayat yang dimansukhkan, seperti juga ayat yang memansukhkannya. Kalau tidak ingat bagaimana ia boleh disebutkan, malah dibincangkan?! Jika dikatakan orang yang Allah lupakan dia terhadap ayat al-Qur’an yang dimansukhkan itu ialah Rasulullah s.a.w. sendiri sebagaimana yang terdapat dalam sesetengah riwayat, maka ia juga jelas bercanggah dengan kenyataan. Kerana telah dikatakan Nabi s.a.w. sendirilah yang memberitahu tentang kemansukhannya. Kalau baginda betul-betul telah terlupa, bagaimana baginda dapat menceritakan pula kepada para sahabat?! Selain itu ia juga bercanggah dengan firman Allah yang memberi jaminan akan menjaga dan mengingatkan Nabi s.a.w. akan apa yang diwahyukan kepadanya! Lihat sebagai contohnya firman Allah berikut:
Bermaksud: Janganlah engkau (wahai Muhammad) kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). (16) Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); (17). Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; (18) Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan). (19). (al-Qiyaamah:16-19).
Jika anda memakainya dengan erti, “Kami melupakan manusia terhadap mu’jizat yang pernah diberikan kepada mana-mana nabi terdahulu”, maka dengan mudah saja ia akan dapat difahami. Kerana sudah menjadi tabi’i manusia akan terlupa kepada sesuatu yang telah lampau pada masa lalu yang agak lama. Demikian juga kalau ia dipakai dengan erti, “Kami menjadikan mu’jizat yang pernah diberikan kepada nabi terdahulu tidak begitu diperlukan kerana perubahan zaman yang telah berlaku. Manusia di zaman kemudian lebih memerlukan kepada mu’jizat lain sebagai gantinya. Dan sebaik-baik gantinya ialah al-Quran, satu mu’jizat yang hidup dan akan terus kekal walaupun pembawanya sudah tiada nanti.
Bermaksud: Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri (yang lain), sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu (al-Ahzaab): 52)
Orang-orang yang menerima mansukh mengatakan naasikhnya ialah firman Allah di bawah ini. Ia juga ayat dari Surah al-Ahzaab:
Bermaksud: Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan mas kahwinnya dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): Anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa) dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya ; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; – supaya tidak menjadi keberatan bagimu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Megasihani. (al-Ahzaab: 50)
Sebagaimana Ibnu al-`Arabi dan as-Suyuthi, Shah Waliyyullah juga menerima ayat ke-52 Surah al-Ahzaab dimansukhkan dengan ayat ke 50 dari Surah yang sama. Menurut Shah Waliyyullah, walaupun ayat ke 50 tersebut dan dibaca dahulu di dalam al-Quran yang ada pada kita sekarang, ia tetap boleh menjadi naasikh bagi ayat ke 52, kerana yang dianggap sebagai syarat oleh para `ulama’ Usul untuk sesuatu dalil menjadi naasikh ialah terkemudiannya daripada segi nuzul (turun) kepada Nabi s.a.w. bukan terkemudiannya dalam bacaan dan tertib mushaf yang ada. Ini bererti, bagi mereka ayat ke 50 Surah al-Ahzaab itu turunnya kepada Nabi s.a.w. adalah kemudian daripada ayat ke 52 Surah al-Ahzaab itu turunnya kepada Nabi s.a.w. adalah kemudian daripada ayat ke-52 Surah yang sama.
Oleh kerana ayat ke-50 turun kemudian daripada ayat ke-52, dan di dalam ayat ke-50, Allah menghalalkan 7 macam perempuan kepada NabiNya, sedangkan sebelum itu sudah terdapat larangan Allah terhadap NabiNya daripada berkahwin seterusnya setelah memunyai beberapa orang isteri, maka tidakkah terdapat pertentangan di antara dua ayat berkenaan? Untuk menghilangkan pertentangan itulah mereka mengatakan ayat yang melarang Nabi s.a.w. daripada berkahwin dengan perempuan-perempuan lain setelah isteri-isterinya yang sedia ada itu dimansukhkan. Dahulu memang pernah tidak dibenarkan Nabi s.a.w. berkahwin lagi, tetapi kemudiannya dibenarkan. Itu adalah satu bentuk kurniaan Allah kepada Nabi-Nya. Mereka juga berpegang dengan atsar `Aaishah yang menyebutkan bahawa: مَا مَاتَ رَسُولُ اللّه صلى اللّهُ عليه و سلّم حَتَّى أُحِلَّ لَهُ النِّسَاءُ سِوَاهُنَّ Bermaksud: Rasulullah s.a.w. tidak meninggal dunia sebelum dihalalkan kepadanya wanita-wanita lain selain mereka (isteri-isterinya yang sedia ada). (Atsar riwayat at-Tirmidzi, an-Nasaa’i. Ahmad, ad-Daarimi, Ibnu Hibbaan, al-Haakim, al-Baihaqi dan lain-lain). Tirmidzi menghukumnya hasan sahih. Haakim menghukumnya sahih dan az-Zahabi menyetujuinya. Kenyataan `Aaishah ini bagi mereka menunjukkan firman Allah di dalam ayat ke-52 Surah al-Ahzaab telah dimansukhkan. Ia juga secara tidak langsung menunjukkan firman Allah di dalam ayat ke-50 diturunkan kemudian, maka ia layak dijadikan sebagai naasikh bagi ayat ke-52.
Walaupun Shah Waliyullah dan orang-orang yang sependapat dengan beliau mentarjih ayat ke-52 dimansukhkan oleh ayat yang terdahulu daripadanya daripada segi bacaannya, iaitu ayat ke-50, namun jumhur `ulama’ berpendapat ia tidak mansukh. Tidak juga ayat ke-50 merupakan naasikhnya. Bagi mereka, ayat ke 52 merupakan lanjutan keterangan bagi ayat ke-50 dan ke-51.
Setelah Allah memperincikan perempuan-perempuan yang dihalalkanNya untuk dikahwini NabiNya, dan sememangnya Nabi kita telah pun berkahwin dengan sebahagian daripada perempuan seperti tersebut di dalam ayat itu sebagaimana dikehendaki Allah. Lalu Allah menyebutkan pula selepasnya bahawa engkau tidak boleh lagi berkahwin dengan perempuan-perempuan lain selain isteri-isterimu yang sedia ada. Engkau juga tidak boleh menukar mereka dengan perempuan-perempan lain, sekalipun – katakanlah – engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka. Ini kerana mereka memang telah teruji dan terbukti sebagai perempuan-perempuan terbaik untuk menjadi isterimu dunia akhirat. Ini tafsir yang rajih menurut jumhur `ulama’.
Bagi jumhur `ulama’, ayat ke-52 tidak boleh dikatakan mansukh sama ada dengan ayat ke-50 atau ke 51 atau dengan lain-lain dalil berupa hadis Rasulullah s.a.w. kerana beberapa sebab berikut:
a) Riwayat-riwayat daripada Ibnu `Abbaas, Anas, Mujahid, ad-Dhahhaak, Qataadah, Ibnu Zaid, Ibnu Jarir dan lain-lain menyebutkan bahawa selepas berlakunya peristiwa takhyir kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. lalu mereka tidak memilih dunia sebaliknya memilih Allah, RasulNya dan kehidupan akhirat, maka Allah sebagai balasan dan hadiah kepada pilihan mereka telah melarang NabiNya daripada berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain setelah isteri-isteri Baginda s.a.w. yang sedia ada. Nabi s.a.w. juga dilarang menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang lain. Ini kerana mereka telah betul-betul teruji dan terbukti layak menjadi isteri-isteri Baginda bukan sahaja di dunia ini, malah hingga ke akhirat. Jadi ayat ke-52 itu bagi mereka sebenarnya merupakan balasan dan hadiah Allah kepada para isteri Rasulullah s.a.w. Dan adalah tidak wajar sama sekali mengatakan Allah menghapuskan dan menarik balik balasan dan hadiah yang pernah diberiNya kepada seseorang, (Lihat Tafsir Ruuh al-Ma’ani j.22 m/s 65, Tafsir Ibnu Katsir j.6 m/s 447, Tafsir ad-Durru al-Mantsur j.6 m/s 637, Tafsir Abi as-Sa’ud j.7 m/s 111).
Kerana itu al-Allamah Mahmud al-Aaluusi berkata: والظاهر على القول بأن الآية نزلت كرامةللمختارات وتطييبا لخواطرهن وشكرا لحسن صنيعهن عدم النسخ والله تعالى أعلم Bermaksud: Menurut pendapat orang-orang yang mengatakan ayat ini (ayat ke-52 Surah al-Ahzaab) turun sebagai penghormatan kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang diberi pilihan (sama ada hendak memilih dunia atau memilih Allah. RasulNya dan kehidupan akhirat, lalu mereka memilih yang kedua), juga sebagai penghibur hati-hati mereka dan sebagai balasan kepada pilihan yang dibuat mereka, maka zahirnya ayat itu tidak dimansukhkan والله تعالى أعلم (Lihat Tafsir Ruuh al-Ma’ani j.22 m/s 67).
b) Pendapat orang-orang yang mengatakan ayat ke-52 dimansukhkan oleh ayat ke 50 sebenarnya masih boleh dipertikaikan. Kerana ada juga riwayat daripada Ibnu `Abbaas, Qataadah dan lain-lain yang menyatakan sebaliknya, iaitu ayat ke 50 sebetulnya yang dimansukhkan oleh ayat ke 52. Tertib turunnya sama seperti tertib yang terdapat di dalam mushaf. Ayat ke 50 diturunkan dahulu, kemudian baru ayat ke 52. Tiada dalil yang kukuh di sisi orang-orang yang mengatakan ayat ke 52 boleh dimansukhkan oleh ayat ke 50, kerana walaupun ayat ke 50 tersebut dan dibaca dahulu di dalam al-Quran, tetapi ia diturunkan kemudian. Kalau ayat ke 52 diturunkan dahulu, kenapa pula ia dapat memansuhkan ayat ke 50 yang diturunkan kemudian?
Kenapa Ibnu `Abbaas berkata: ونسخ سبحانه بذلك (أي بقوله لا يحل لك النساء الخ) ما أباحه له قبل من التوسعة في جميع النساءBermaksud: “Allah s.w.t. memansuhkan dengannya (dengan firmanNya: لا يحل لك النساء dan seterusnya) apa yang telah diharuskan kepadanya (kepada NabiNya) sebelum itu berupa perkahwinan dengan semua macam perempuan (yang tersebut di dalam ayat ke 50 sebelumnya)?” Kenapa pula Mujahid dan Ibnu Jubair mentafsirkan من بعد yang tersebut di dalam ayat ke 52 dengan kata mereka من بعد اباحة النساء على العموم Bermaksud: setelah diharuskan perempuan-perempuan (kepada Nabi s.a.w., secara umum? (Lihat Tafsir Ruh al-Ma;ani j.22 m/s 65).
c) Diriwayatkan daripada sekian ramai sahabat dan tabi’iin, termasuk antara mereka Ubai bin Ka’ab, Ibnu `Abbaas, `Ikrimah, Abu Razin, ad-Dhahhaak, Qataadah, Hasan al-Bashri dan lain-lain bahawa Allah menghalalkan kepada Nabi-Nya berkahwin dengan 7 macam perempuan melalui ayat ke 50. 7 macam perempuan yang dimaksudkan itu ialah: (i) Isteri-isteri Nabi s.a.w. yang telah dikahwini Baginda dengan membayar maskahwinnya dengan sempurna. (ii) Hamba sahaya Baginda. (iii) Anak-anak perempuan bapa saudara Nabi (sebelah bapa). (iv) Anak-anak perempuan emak saudara Nabi (sebelah ibu) (v) Anak-anak perempuan emak saudara Nabi (sebelah ibu) (vi) Anak-anak perempuan emak saudara Nabi (sebelah ibu) dengan syarat semua mereka (sepupu-sepupu atau kerabat Rasulullah s.a.w. itu) juga telah berhijrah seperti Nabi . (vii) Mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin). Melalui ayat ke 52 pula Allah tidak menghalalkan NabiNya berkahwin dengan perempuan-perempuan yang tidak termasuk dalam salah satu daripada 7 macam perempuan yang telah tersebut di dalam ayat ke-50 sebelumnya. Melalui ayat ke-52 juga Allah tidak menghalalkan kepada NabiNya menggantikan isteri-isterinya yang sedia ada dengan menceraikan mereka, lalu berkahwin dengan perempuan-perempuan lain sebagai ganti mereka, walaupun ia termsuk dalam 7 macam perempuan yang dihalalkan Baginda berkahwin dengannya. Ini bererti apa yang tidak dihalalkan kepada Nabi s.a.w. ialah mengahwini perempuan-perempuan lain dengan menceraikan mana-mana isteri Baginda yang sedia ada. Kalau tanpa menceraikan mana-mana isteri yang sedia ada, boleh saja Nabi s.a.w. berkahwin dengan siapapun yang disukai Baginda, asalkan ia termasuk dari kalangan 7 macam perempuan yang dibenarkan Baginda berkahwin dengannya. Ini terbukti berdasarkan fakta sejarah yang menunjukkan Nabi s.a.w. masih lagi berkahwin selepas turun ayat ke-52 Surah al-Ahzab itu. Sebagai contohnya pada tahun ke 7 Hijrah, Rasulullah s.a.w. berkahwin lagi dengan Maimunah binti al-Haarits.
Selain itu, riwayat yang dikkemukakan oleh as-Suyuthi daripada Ziad melalui sekian ramai tokoh-tokoh hadits juga tidak menyokong ayat ke-52 dimansuhkan. Lihat riwayat berkenaan di bawah ini:
أخرج الفريابي والدارمي وابن سعد وعبد الله بن أحمد في زوائد المسند وابن جرير وابن المنذر وابن أبي حاتم وابن مردويه واضياء في المختارة عن زياد رضي الله عنه قال: قلت لبي رضي الله عنه: أرلأيت لو أن ازواج النبي صلى الله عليه وسلم متن أما يحل له أن يتزوج قال: وما يمنعه من ذلك قلت: قوله {يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ} الأحزاب الأية 50 الى قوله {وَامْرَأَةً مُؤْمِنَة} ثم قال {لا يحل لك النساء من بعد} هذه الصفة
Bermaksud: Kata Ziad, aku bertanya Ubai (bin Ka’ab r.a): “Bagaimana kalau isteri-isteri Nabi (yang sedia ada) meninggal dunia, tidak halalkah (juga) Rasulullah s.a.w. berkahwin (lagi sebagai ganti mereka)?” Jawab Ubai, “Apa yang menghalang Baginda daripadanya?”. Kataku, “Firman Allah لا يحل لك النساء من بعد (Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah isteri-isterimu yang ada itu)”. Kata Ubai, “Sebenarnya Allah telah menghalalkan kepada Baginda beberapa macam perempuan, sifat-sifatnya (juga) disebut Allah menerusi firmanNya: يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ iaitu ayat ke-50 Surah al-Ahzaab hingga firmanNya وَامْرَأَةً مُؤْمِنَةً kemudian beliau (Ubai) berkata (sebagai mentafsirkan perkataan من بعدyang tersebut di dalam firman Allah): لا يحل لك النساء من بعد bahawa ia bermaksud: Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain selain daripada yang telah disebutkan sifat-sifatnya sebelum itu (di dalam ayat ke-50) (Lihat Tafsir ad-Durru al-Mantsur j.6 m/s/636)
12- 01:22:15 : Hadits Ahad Tidak Boleh Mansukhkan Hadith Mutawatir
NOTA RINGKAS
USUL TAFSIR AL-QURAN
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN
NOTA KULIAH
NASAKH KESELURUHAN ATAU KULLI
Ia bermaksud syara` membatalkan keseluruhan hukum terdahulu dan ia merangkumi setiap mukallaf. Contohnya firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antara kamu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang ma’ruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah : 240).
Hukum ber`iddah bagi perempuan yang kematian suami selama setahun yang dapat difahami daripada ayat tersebut telah dinasakhkan dengan ayat 234 surah al-Baqarah juga. DI dalam ayat 234 dijelaskan masa ber`iddah bagi perempuan yang kematian suami ialah selama empat bulan sepuluh hari sahaja. Di bawah ini dikemukakan ayat 234 surah al-Baqarah berkenaan, yang bermaksud:
“Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber`iddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis `iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.” (al-Baqarah : 234)
Hukum dalam ayat ini menasakhkan hukum terdahulu dalam ayat 240 surah al-Baqarah yang disyari`atkan kepada semua isteri-isteri. Nasakh seperti inilah yang dinamakan nasakh secara keseluruhan atau kulli.
NASAKH SEBAHGAIAN ATAU JUZ’I
Ia membawa maksud syara` telah mensyari`atkan hukum secara umum yang merangkumi setiap mukallaf, kemudiannya telah membatalkan hukum itu untuk sebahagian mukallaf sahaja.
Contohnya firman Allah yang bermaksud:
”Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menagguhkan dirinya (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis ‘iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.” (al-Baqarah : 234)
Oleh kerana ayat ini diturunkan secara umum menyatakan `iddah perempuan atau isteri yang kematian suami, sama ada ketika itu ia sedang mengandung atau tidak mengandung ialah selama empat bulan sepuluh hari. Maka kemudiannya turunlah pula firman Allah yang lain, bermaksud,
“Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haidh, jika kamu menurut syak (terhadap tempoh `iddah mereka), maka `iddahnya ialah tiga bulan dan (demikian) juga `iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaidh. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh `iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya dan (ingatlah), sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusan. (at-Talaaq : 4)
Ayat ini menerangkan bahawa perempuan mengandung, sama ada yang diceraikan atau pun kematian suami, `iddahnya ialah melahirkan anak kandungannya. Oleh sebab itu ayat ini telah menasakhkan ayat 234 Surah al-Baqarah di atas secara sebahagian. Hal itu kerana hukum `iddah perempuan yang tidak mengandung dan kematian suami, masih dikekalkan berdasarkan kehendak ayat 234 Surah al-Baqarah itu, iaitu selama empat bulan sepuluh hari.
CARA-CARA BERLAKU NASAKH
Cara-cara berlaku nasakh dapat dibahagikan kepada dua bahagian umum, iaitu:
1. Nasakh Ada Ganti.
2. Nasakh Tiada Ganti.
NASAKH ADA GANTI
Nasakh cara ini ialah dengan menasakhkan hukum terdahulu, kemudian digantikan dengan hukum baharu. Cara nasakh ini dapat dipecahkan pula kepada tiga bahagian, iaitu:
a. Ganti hukum sama dengan yang dinasakhkan.
b. Ganti hukum lebih ringan daripada yang dinsakhkan.
c. Gant hukum lebih berat daripada yang dinasakhkan.
GANTI HUKUM SAMA DENGAN YANG DINASAKHKAN
Nasakh bentuk ini berlaku dengan dinasakhkan hukum mengadap qiblat ke Baitul Maqdis misalnya dan digantikan dengan mengadap qiblat ke Baitullah (Ka’bah) ketika sembahyang. Ia terdapat dalam firman Allah berikut, yang bermaksud:
“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al-Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari tuhannya; dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan.” (al-Baqarah : 144)
GANTI HUKUM LEBIH RINGAN DARIPADA YANG DINASAKHKAN
Nasakh bentuk ini ialah dengan dinasakhkan hukum awal dan dahulu yang memang ada dalam nas al-Qur’an. Contoh ayat yang menyatakan berlaku nasakh jenis ini firman Allah di bawah ini yang bermaksud:
“Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mu’min untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan seribu orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.” (al-Anfal : 65)
Dalam ayat ini Allah mewajibkan orang Islam melawan musuh dan tidak boleh meninggalkan medan peperangan apabila orang Islam 20 orang dan musuh pula 200 orang.
Ia membawa maksud, orang-orang Islam tidak boleh lari daripada medan peperangan sekiranya tentera Islam dalam keadaan nisbah 1:10. Hukum dalam ayat tersebut kemudiannya dimansukhkan dengan hukum yang lebih ringan, iaitu dengan turunnya ayat lain berupa firman Allah juga, yang bermaksud,
“Sekarang Allah telah meringankan kepadamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar.” (al-Anfal : 66)
Di dalam ayat ini, hukum wajib menghadapi musuh yang berjumlah 200 orang dan tentera Islam 20 orang dimansukhkan serta digantikan dengan hukum baharu yang lebih ringan, iaitu tentera Islam wajib menghadapi musuh dan tidak boleh meninggalkan medan peperangan apabila mereka berjumlah 100 orang dan musuh 200 orang. Dengan nisbah 1:2.
GANTI HUKUM LEBIH BERAT DARIPADA YANG DINASAKHKAN
Nasakh bentuk ini berlaku sebagaimana firman Allah tentang hukum pengharaman arak. Ia diturunkan dalam tiga peringkat.
Peringkat Pertama: Arak tidak diharamkan secara pasti lagi, namun sudah dinyatakan bahawa bahayanya lebih besar daripada faedahnya. Ia tersebut dalam firman Allah berikut, yang bermaksud,
“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. Dan mereka bertanya kepadamu (tentang) apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: “Yang Lebih dari keperluan”. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir. “(al-Baqarah : 219)
Peringkat Kedua: Arak ditegah meminumnya ketika hendak mengerjakan sembahyang. Hal itu kerana ada sahabat yang menunaikan sembahyang dalam keadaan mabuk, menyebabkan bacaan ayat al-Qur’an tersilap. Tegahan Allah itu di dalam firmanNya ini, yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar apa yang kamu ucapkan, juga dalam keadaan berjunub (janganlah kamu menghampiri sembahyang), sebelum kamu mandi, kecuali kamu bermusafir. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersetubuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapati air (untuk mandi atau berwudhu’), maka hendaklah kamu bertayammu m dengan muka bumi yang suci, iaitu sapukanlah ke mukamu dan kedua tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” (An-Nisaa’ : 43)
Peringkat ketiga: Arak diharamkan terus. Ia terdapat di dalam firman Allah ini, yang maksudnya,
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (al-Maa’idah : 90)
NASAKH TIADA GANTI
Nasakh yang tidak ada ganti ialah ayat-ayat atau nas yang telah dimansukhkan di segi hukumnya, tetapi ia tidak diganti dengan hukum baharu. Contohnya ialah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
” Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu mengadapnya; (pemberian sedekah) itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih bersih. Dalam pada itu, kalau kamu tidak ada benda yang hendak disedekahkan, (kamu dibenarkan juga mengadapnya mengenai perkara yang tak dapat dielak), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Mujadilah : 12)
Di dalam ayat ini Allah menyebut hukum bagi sahabat hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, mereka perlulah bersedekah (kepada fakir miskin) terlebih dahulu. Perintah Allah yang tersebut di dalam ayat ini dimansukhkan melalui ayat berikutnya, iaitu, yang maksudnya,
“Adakah kamu takut (akan kemiskinan) kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu mengadap? Kalau kamu tidak melakukan (perintah) itu dan Allah pun memaafkan kamu (kerana kamu tidak mampu), maka dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat (sebagaimana yang sewajibnya), serta taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), Allah maha Mendalam PengetahuanNya akan segala amalan yang kamu lakukan (al-Mujadilah : 13)
Menerusi ayat ini Allah menyatakan mereka yang ingin mengadap Rasulullah tidak perlu bersedekah (kepada fakir miskin) terlebih dahulu. Hukum di dalam ayat sebelumnya dinasakhkan tanpa sebarang gantian dengan hukum lain.
MASA BERLAKU NASAKH
Jumhur `ulama’ sepakat mengatakan nasakh hanya berlaku semasa Nabi masih hidup sahaja. Hal tersebut kerana nasakh tidak berlaku, kecuali melalui wahyu sahaja dan wahyu berkemungkinan turun pada masa hayat Nabi sahaja.
Selepas kewafatan Nabi, penasakhan hukum tidak berlaku sama sekali, kerana wahyu tiada lagi. Justeru itu, semua hukum yang diamalkan pada masa hayat Nabi dan tidak pula lahir daripada Baginda sesuatu yang menasakhkannya, maka hukum itu adalah tetap, walaupun selepas kewafatan Baginda. Hal itu kerana Baginda adalah rasul terakhir, sebagaimana firman Allah bermaksud,
“Bukanlah (Nabi) Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup sekalian nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (al-Ahzaab : 40).
DALIL-DALIL YANG MENASAKHKAN
Berdasarkan kaedah umum syari`at Islam, sesuatu dalil tidak boleh dinasakhkan kecuali dengan dalil yang sama kuat atau lebih kuat daripadanya. Berdasarkan kaedah umum itu, di sini dijelaskan dalil-dalil yang menasakhkan serta pendapat `ulama’ mengenainya. Ia adalah sebagaimana berikut:
1. Nasakh al-Qur’an dengan al-Qur’an atau Hadis
2. Nasakh Hadits dengan Hadits.
3. Nasakh Hadits dengan al-Qur’an.
4. Nasakh dengan Ijma`.
5. Nasakh Ijma` dengan dengan al-Qur’an atau Hadits.
6. Nasakh Ijma` dengan Ijma`.
7. Nasakh al-Qur’an atau Hadits atau Ijma` dengan Qiyas.
8. Nasakh Qiyas dengan Qiyas.
NASAKH AL-QURAN DENGAN AL-QURAN DAN HADITH
Para `ulama’ yang menerima konsep nasakh seperti yang dikemukakan di atas sepakat mengatakan al-Qur’an harus menasakhkan nas al-Qur’an yang lain apabila dalalah kedua-duanya adalah sama, kerana ia dikira sama di segi kekuatan. Adapun penasakhan al-Qur’an dengan Hadits, maka para `ulama’ berbeda pendapat tentang keharusannya. Perinciannya adalah seperti di bawah ini:
a. Pendapat jumhur `ulama’: Harus al-Qur’an dinasakhkan dengan hadits Mutawatir kerana ia dikira setaraf di segi kekuatan. Alasan dan hujah jumhur ialah berkaitan dengan hukum wajib berwasiat kepada ibu bapa dan kerabat, di mana Allah berfirman, maksudnya,
“Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan karib kerabatnya, secara ma’ruf, (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah : 180)
Hukum wajib berwasiat tersebut dinasakhkan oleh satu Hadits Mutawatir yang diriwayatkan oleh sekian ramai sahabat r.a. Hadits berkenaan yang bermaksud, “Tiada wasiat untuk waris”. (Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu al-Jarud, at-Thabaarani dan lain-lain)
b. Pendapat `ulama’ Hanafi: Harus al-Qur’an dinasakhkan dengan Hadits Mutawatir dan Hadits Masyhur, kerana Hadits Masyhur dikira hampir setaraf dengan al-Qur’an dari segi kekuatan. Walaupun begitu, al-Qur’an tidak boleh dinasakhkan dengan Hadits Aahaad, kerana ia lebih rendah di segi kekuatan. Ini adalah pendapat yang rajih di sisi mereka.
c. Pendapat sebahagian `ulama’ dan Imam Syafi’e: Tidak harus dinasakhkan al-Qur’an dengan Hadits, walaupun Hadits Mutawatir atau Masyhur. Hujah Imam Syafi’e berdasarkan firman Allah yang bermaksud,
“Ayat mana yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu?” (al-Baqarah : 106)
Ayat ini menjelaskan Allah mengaitkanperbuatan mengganti ayat yang dinasakhkan itu dengan diri-Nya, dan Dia mendatangkan al-Qur’an sahaja sebagai gantinya. Oleh itu, al-Qur’an sahajalah yang dapat menasakhkan al-Qur’an. Tidak ada apapun yang lebih baik daripada al-Qur’an atau yang sebanding dengannya.
NASAKH HADITH DENGAN HADITH
Pendapat `ulama’ terbahagi kepadas dua golongan dalam masalah ini:
a. Pendapat jumhur: Mereka sepakat mengatakan harus Hadits menasakhkan Hadits juga, jika kedua-duanya setaraf dari segi tsabit dan dalalahnya. Dalam perkara ini, `ulama’ sepakat mengatakan Hadits Mutawatir dapat menasakhkan Haditsh Ahaad sahaja dan tidak dapat menasakhkan Hadits Mutawatir. Contoh Hadits yang menasakh Hadits ialah, Nabi pernah menegah sahabat-sahabat daripada menziarahi kubur kerana sebab tertentu, namun selepas itu Nabi tidak menegahnya. Sebagaimana sebuah Hadits, maksudnya,
“Dahuluaku menegah kamu daripada menziarahi kubur, sekarang ziarahilah.” (Hadits riwayat an-Nasaa’i, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Hibbaan, al-Haakim dan lain-lain).
b. Pendapat`ulama’ Hanafi: Hadits Aahaad harus dinasakhkan dengan Hadits Mutawatir dan Masyhur, kerana kedua-duanya lebih kuat daripada Hadits Aahaad.
5- 33:34 : Nasakh Menurut Istilah Ulama’ Muta’akhkhirin
6- 37:48 : Dalil Berlaku Nasakh Menurut Muta’akhkhirin
NOTA RINGKAS
USUL TAFSIR AL-QURAN
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
USUL KE 17 – Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat Yang Dimansuhkan
NOTA KULIAH
(17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN
MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN
Sebelum membincangkan secara terperinci tentang ayat-ayat yang menasakhkan dan ayat-ayat yang dimansukhkan, perlulah diketahui terlebih dahulu apakah erti nasakh. Kerana daripadanyalah lahir apa yang dikatakan nasikh dan mansukh ini.
AN-NASKHU
Para ulama’ mengatakan, pada dasarnya konsep nasakh memang terdapat di dalam riwayat yang menyatakan sebab turun bagi ayat 106 Surah al-Baqarah. Di dalamnya tersebut bahawa pada zaman Nabi s.a.w orang-orang Yahudi saling berkata-kata sesama mereka: “Kamu tidak nampak pelik dan anehkah tentang tingkah laku Muhammad! Di mana pada hari ini dia menyuruh sahabatnya melakukan sesuatu, pada masa lain melarangnya. Nampaknya tidak syak lagi al-Qur’an itu adalah kata dan ciptaan Muhammad sendiri.” Dengan sebab itu turunlah ayat al-Nasakh tersebut, di mana Allah berfirman, bermaksud, “Ayat mana saja yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu? (al-Baqarah: 106)
Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa dalam syari`at Islam memang ada konsep Nasikh dan Mansukh dalam bab hukum-hakam. Walaupun konsep nasikh dan mansukh berlaku, namun jumhur ulama’ sepakat mengatakan hanya beberapa ayat dan surah-surah tertentu sahaja yang terlibat dengan nasakh. Ia tidak berlaku pada semua bahagian al-Qur’an.
Para ulama’ bagaimanapun masih berbeda pendapat tentang mafhum dan perinciannya.
PENGERTIAN NASAKH
Pengertian Nasakh dapat dibahagikan kepada dua:
1. Pengertian Bahasa.
2. Pengertian Istilah.
DALIL BERLAKU NASAKH MENURUT MEREKA
Bagi mereka, Nasakh memang berlaku di dalam al-Qur’an berdasarkan dalil, antaranya ialah:
1. Firman Allah s.w.t berikut, bermaksud, “Ayat mana saja yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu?” (al-Baqarah : 106)
2. Firman Allah s.w.t, bermaksud, “Dan apabila kamu tukarkan satu ayat untuk menggantikan ayat yang lain dan Allah memang mengetahui akan apa yang Dia turunkan, – berkatalah mereka (yang kafir): Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta; (Padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.” (an-Nahl : 101)
3. Hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud, “Sesungguhnya Nabi pernah mengadap ke arah Baitul Maqdis sebagai qiblat ketika sembahyang selama 16 bulan, selepas itu hukum itu dinasakhkan dan Nabi diarahkan menukar qiblat ke Ka’bah pula”.
Dalil berupa nas-nas tersebut menunjukkan dan menjelaskan memang berlaku perubahan dan pertukaran dalam hukum yang diturunkan dari masa ke semasa. Oleh itu perkataan badal dan nasakh dalam ayat tersebut membawa maksud: Penghapusan dan Pertukaran.
Justeru itu, jumhur `ulama’ muta’akkhirin berpendapat bahawa konsep nasikh dan mansukh, dalam bab hukum-hakam adalah harus berlaku. Tambahan pula, konsep kenabian dan kerasulan Muhammad diutuskan untuk menasakhkan sebahagian syari’at nabi sebelumnya.
Di bawah ini dikemukakan beberapa contoh ayat yang menunjukkan berlakunya nasakh dan pertukaran dalam hukum, antaranya ialah:
a. Firman Allah mengenai perubahan masa `iddah perempuan yang kematian suami sebagaimana firman Allah, bermaksud: “Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antaramu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang ma’ruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (al-Baqarah : 240).
Ayat di atas telah dinasakhkan (dimansukhkan) oleh ayat berikut, “234. Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber`iddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis `iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.
b. Nasakh juga telah berlaku semenjak zaman nabi sebelum Muhammad lagi. Contohnya ialah nasakh yang berlaku terhadap syari`at Nabi Musa. Di mana umatnya dilarang menangkap ikan pada hari Sabtu, tetapi perbuatan tersebut diharuskan kepada umat Muhammad.
c. Di dalam kitab Taurat ada kenyataan bahawa, Nabi Adam menjodohkan anak lelakinya dengan anak perempuannya. Tetapi umat Nabi Muhammad sekarang perkahwinan antara adik-beradik begitu diharamkan.
d. Selain itu juga Allah menegaskan Islam adalah agama terakhir yang memansukhkan semua agama sebelumnya. Sebagaimana firman-Nya, bermaksud, “Sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuklah orang-orang yang rugi.” (Aali `Imraan : 85).
SYARAT-SYARAT NASAKH MENURUT MEREKA
Nasakh mestilah dengan memenuhi syarat-syarat tertentu. Syarat-syarat nasakh itu adalah seperti berikut:
1. Hukum yang dinasakhkan (dimansukhkan) itu adalah hukum syara` yang bukan ditetapkan atau bukan diwajibkan kerana zatnya. Contohnya, perkara yang berkaitan dengan akidah dan iman. Selain dari itu ia bukan perkara yang dilarang kerana zatnya. Contohnya, kufur.
Begitu juga mengenai hukum akal yang telah tetap. Contohnya, setiap yang hidup pasti akan mati. Semua yang tersebut di atas tidak mungkin dapat dinasakhkan lagi.
2. Hukum yang memansukhkannya, iaitu al-Nasikh mestilah datang kemudian dan berasingan daripada hukum yang dinasakhkan atau al-Mansukh.
3. Hukum yang dinasakhkan adalah tsabit dengan nas dan tidak ditentukan penggunaannya pada masa-masa tertentu sahaja, serta tidak dikekalkan untuk selama-lamanya.
4. Cara nasakh mestilah berdasarkan syara` dan dengan hukum syara`.
5. Konsep nasakh dan mansukh hanya berlaku sewaktu Nabi masih hidup sahaja.
6. Hukum yang dinasakhkan mestilah hukum yang berbentuk amali.
7. Hukum yang dinasakhkan tidak berbentuk menyeluruh atau kulli.
8. Dalil yang memansukhkan adalah sama kuat atau lebih kuat daripada dalil dinasakhkan dari sudut kekuatan tsabit dan dalalahnya.
9. Menurut pendapat Syafi’e dan Ahmad, hukum yang menasakhkan adalah bertentangan dengan hukum yang dinasakhkan ataupun ia berlawanan dengannya, tetapi sama di segi jenis.
10. Hukum yang dinasakhkan itu hendaklah berkenaan dengan mereka yang mempunyai keahlian taklif, supaya hukum yang dimansukhkan itu dapat dilaksanakan, di samping menasakhkan hukum sebelumnya.
CARA MENGETAHUI NASAKH
Nas Nasikh dan Mansukh merupakan nas yang bertentangan, ia dapat diketahui melalui salah satu daripada cara berikut:
1. Penegasan berbentuk lafaz yang memang menunjukkan nasakh. Sebagaimana firman Allah, bermaksud, “Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar.” (al-Anfaal : 66)
Ayat ini merupakan ayat yang menasakhkan atau menjadi nasikh terhadap penetapan hukum terhadap orang Islam yang mesti menentang atau melawan orang kafir yang nisbahnya 1:10. Ayat yang dinasakhkan itu ialah firman Allah, bermaksud, “Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mu’min untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti”. (al-Anfaal : 65)
2. Daripada dua nas nasikh dan mansukh, terbukti nasikh datangnya terkemudian daripada mansukh melalui kenyataan yang dibuat oleh Nabi, sebagaimana terdapat di dalam Hadits berikut, bermaksud, “Dahulu aku menegahkan kamu daripada menziarahi kubur, sekarang ziarahilah. (Hadits riwayat an-Nasaa’i, Ibnu Hibbaan, al-Hakim dan lain-lain)
3. Penegasan melalui ijma’ `ulama’ bahawa nas nasikh memang datang kemudian daripada nas mansukh.
4. Melalui perbuatan dan amalan Nabi. Contohnya ialah, perbuatan Nabi yang merejam Ma’iz al-Aslami tanpa menyebat 100 kali telah menasakhkan hukum mengenai lelaki dan perempuan yang telah berkahwin yang berzina. Nas yang dinasakhkan itu ialah Hadits yang diriwayatkan oleh Muslim, bermaksud, “Sebatan 100 kali dan rejam.”
NASAKH SECARA TERANG DAN SHAREH
Nasakh bahagian ini bermaksud, syara` menjelaskan dan menyatakan secara terang bahawa syari`at kemudian membatalkan atau menasakhkan syari`at terdahulu. Contohnya firman Allah, bermaksud, “Wahai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh orang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu) dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. (65) Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya kamu dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar (66)” (al-Anfaal : 65-66).
Dalam ayat 65 Allah mewajibkan orang Islam melawan musuh apabila orang Islam seramai 20 orang dan musuh seramai 200 orang. Iaitu dalam nisbah 1:10. Hukum tersebut kemudiannya dimansukhkan secara terang dan shareh dengan ayat berikutnya, iaitu ayat 66 dalam surah yang sama, iaitu wajib menghadapi musuh apabila mereka berjumlah 100 orang dan musuh 200 orang, nisbah 1:2.
BAHAGIAN-BAHAGIAN NASAKH
Nasakh dapat dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu:
1. Nasakh secara terang atau shareh
2. Nasakh secara kandungan atau dhimni
3. Nasakh keseluruhan atau Kulli
4. Nasakh sebahagian atau juz’i
NASAKH SECARA TERANG DAN SHAREH
Nasakh bahagian ini bermaksud, syara` menjelaskan dan menyatakan secara terang bahawa syari`at kemudian membatalkan atau menasakhkan syari`at terdahulu. Contohnya firman Allah, bermaksud, “Wahai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh orang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu) dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. (65) Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya kamu dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar (66)” (al-Anfaal : 65-66).
Dalam ayat 65 Allah mewajibkan orang Islam melawan musuh apabila orang Islam seramai 20 orang dan musuh seramai 200 orang. Iaitu dalam nisbah 1:10. Hukum tersebut kemudiannya dimansukhkan secara terang dan shareh dengan ayat berikutnya, iaitu ayat 66 dalam surah yang sama, iaitu wajib menghadapi musuh apabila mereka berjumlah 100 orang dan musuh 200 orang, nisbah 1:2.
NASAKH SECARA KANDUNGAN ATAU DHIMNI
Ia membawa maksud syara` mensyari`atkan satu hukum yang bertentangan dengan hukum terdahulu, sehingga tidak mungkin disatukan kedua-dua hukum tersebut, melainkan dengan dibatalkan salah satu daripadanya. Lantaran itu, hukum terkemudian dianggap menasakhkan hukum terdahulu, walaupun ia tidak dinyatakan secara terang bahawa hukum terkemudian menasakhkan hukum terdahulu. Contohnya ialah firman Allah berikut, bermaksud, “Diwajibkan atas kamu, apabila di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan karib kerabatnya secara ma’ruf, (Ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.”
Melalui ayat ini, Allah mewajibkan orang yang hampir mati berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya, kemudian Dia mensyari`atkan hukum yang bertentangan dengan hukum di dalam ayat itu, dengan menghukumkan pembahagian harta peninggalan mengikut cara yang diterangkan di dalam ayat mengenai pembahagian pusaka. Sebagaimana firman Allah, bermaksud, “Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: Satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepadamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) Ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana, (an-Nisaa’ : 11)
Di dalam ayat ke-11 di atas dan ayat seterusnya diterangkan dengan jelas tentang pembahagian pusaka kepada anak-anak dan juga kepada selain anak-anak. Dari situ kita dapati bahawa hukum yang kedua telah mentakhsiskan hukum pertama secara kandungan atau dhimni. Iaitu nasakh secara tidak langsung, kerana tidak mungkin digabungkan kedua-dua ayat tersebut, kecuali ayat di dalam surah al-Baqarah termansukh dengan turunnya ayat pusaka surah al-Nisaa’ ayat 11 dan berikutnya dengan sabda Baginda, terjemahan, “Sesungguhnya Allah telah memberi kepada tiap-tiap yang berhak akan haknya, maka tiada lagi wasiat untuk waris. (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Tirmidzi, Nasaa’i, dan ad-Daaraquthni).
01- 00:00:20 : Beberapa Peringatan Berhubung Dengan Sebab Nuzul
02- 00:04:44 : Ayat-ayat Yang Turun Khusus Berkenaan Dengan Orang Tertentu (Namanya Bahkan Disebutkan ); Ayat-ayat Seperti Ini Berdasarkan Ijmak Ulama’
04- 00:14:21 : Ayat Yang Sebut Nama Zaid Bin Harithah Tentang Boleh Berkahwin Dengan Anak Angkat
05- 00:25:11 : Ayat Yang Khusus Kepada Nabi s.a.w Dalam Surah Ad-Dhuha Dan Beberapa Ayat Di Permulaan Surah An-Najm
06- 00:34:30 : Ayat-Ayat Yang Tersebut Di Dalamnya Ciri-ciri Dan Sifat-sifat Khusus Bagi Seseorang, Satu Kumpulan Atau Perkara Tertentu Tanpa Disebut Namanya Dengan Terang. Bagaimanapun Ada Tanda-tanda Dan Petunjuk Yang Mengisyaratkan Kepada Orang, Kumpulan Atau Perkara Tertentu, Maka Ayat-ayat Seperti Itu Dikira Khusus Dengan Orang, Kumpulan Atau Perkara Berkenaan Sahaja. Menurut Ijmak Ulamak Ia Tidak Merangkumi Orang-orang Lain Meskipun Mereka Juga Mempunyai Ciri-ciri Dan Sifat-sifat Khusus Yang Sama Dengan Orang, Kumpulan Atau Perkara Yang Sememangnya Dimaksudkan.
07- 00:44:33 : Golongan Yang Beriman Disebut Di Dalam Al-Quran
08- 00:53:56 : Antara Ayat-Ayat Yang Turun Dengan Sesuatu Peristiwa Yang Tertentu Tetapi Lafaznya Memberi Erti Umum, Seperti Ayat Zihar
10- 01:18:38 : Ayat-ayat Yang Ada Sebab Turunnya Yang Khusus, Atau Ia Turun Bersempena Dengan Peristiwa-peristiwa Tertentu Tetapi Lafaznya Memberi Erti Umum, Tidak Ada Pula Perkara Yang Memalingkannya Daripada Erti Umumnya; Maka Berhubung Dengan Ayat-Ayat Seperti Ini Terdapat Perbezaan Pendapat Dari Kalangan Ahli Ilmu.
11- 01:20:11 : Peristiwa Perjanjian Damai Di Antara Nabi s.a.w Dengan Golongan Quraisy
NOTA RINGKAS
USUL TAFSIR AL-QURAN
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA
NOTA KULIAH:
BEBERAPA PERINGATAN BERHUBUNG DENGAN SEBAB NUZUL
(2) Adakah umum lafaz yang diambil kira atau khusus sebabnya? Pandangan para ulama’ usul berbeza-beza dalam masalah ini. Mereka terbahagi kepada tiga golongan.
(i) Golongan Jumhur. Mereka berpendapat yang diambil kira ialah umum lafaz.
(ii) Yang diambil kira ialah khusus sebabnya.
(iii) Perlukan perincian.
Secara ringkasnya dapatlah dikatakan ayat-ayat yang diturunkan berhubung dengan sesuatu peristiwa dan ada sebabnya terbahagi daripada segi umum dan khususnya kepada empat bahagian berikut:
(i) Ayat-ayat yang turun khusus berkenaan dengan orang tertentu. Namanya bahkan disebutkan. Ayat-ayat seperti ini berdasarkan ijma’ ulama’ memang khusus dengan orang berkenaan. Ia tidak melarat (diperluaskan) kepada orang-orang lain. Contohnya ialah firman Allah ini yang bermaksud: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama ..”(al-Masad:1).
Ayat ini sememangnya turun khusus berkenaan Abu Lahab. Di dalamnya tersebut ancaman yang dahsyat kepadanya. Namanya juga disebut dengan jelas. Oleh itu orang-orang lain tidak termasuk di bawah ayat-ayat ini.
(ii) Ayat-ayat yang tersebut di dalamnya ciri-ciri dan sifat-sifat khusus bagi seseorang, satu kumpulan atau perkara tertentu tanpa disebut namanya dengan terang. Bagaimanapun ada tanda-tanda dan petunjuk-petunjuk yang mengisyaratkan kepada orang, kumpulan atau perkara tertentu, maka ayat-ayat seperti ini juga dikira khusus dengan orang, kumpulan atau perkara berkenaan sahaja menurut ijma’ulama’. Ia tidak merangkumi orang-orang lain, meskipun mereka juga mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat khusus yang sama dengan orang, kumpulan atau perkara yang sememangnya dimaksudkan.
Antara contohnya ialah firman Allah berikut:
Bermaksud:” Dan (sebaliknya) akan dijauhkan neraka itu daripada orang yang paling bertaqwa; (17) Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya” (18). (al-Lail:17-18)
(iv) Ayat-ayat yang ada sebab turunnya yang khusus, atau ia turun bersempena dengan peristiwa-peristiwa tertentu, tetapi lafaznya memberi erti umum. Tidak ada pula perkara yang memalingkan daripada erti umumnya, maka berhubung dengan ayat-ayat seperti ini terdapat perbedaan pendapat di kalangan ahli ilmu. Ada yang menyatakan yang diambil kira ialah sebabnya yang khusus, bukan lafaznya yang umum. Maksudnya ialah lafaz ayat diikat mereka dengan peristiwa yang menyebabkan ia turun. Adapun perkara-perkara lain seumpamanya, maka hukumnya tidaklah diketahui daripada daripada ayat berkenaan, sebaliknya ia diketahui melalui dalil-dalil yang lain. Jumhur ulama’ pula mengatakan, yang diambil kira ialah lafaznya yang umum. Hukum yang terdapat di dalamnya merangkumi semua orang yang mempunyai kriteria yang sama dengan orang yang terlibat dalam peristiwa asal yang merupakan sebab bagi turunnya ayat berkenaan. Ringkasnya bagi mereka, ayat yang sama juga merupakan sumber hukum untuk orang-orang lain. Hukum untuk mereka tidak perlu dicari dari sumber-sumber yang lain lagi. Kalau ada pun dalil yang lain, maka ia tidak lebih daripada penguat dan penyokong kepada dalil yang sudah sedia ada di dalam al-Quran itu.
05- 00:17:55 : Pendapat Aisyah r.ha Berkenaan Dengan Orang Mati Diseksa Dengan Sebab Tangisan Keluarganya
06- 00:26:46 : Manusia Tidak Akan Menanggung Dosa Orang Lain
07- 00:28:45 : Allah Melaknat Orang Yang Mengubah Kejadiannya (Dan Juga Dan Pembuatnya) Seperti Membuat Tatu, Mencukur Kening, Menjarangkan Gigi dsb
08- 00:34:20 : Nabi s.a.w Melarang Ummah Dari Menjadi Saksi Palsu
09- 00:38:50 : Balasan Bagi Orang Yang Tidak Mengeluarkan Zakat
10- 00:44:58 : Kebenaran Tidak Ditentukan Oleh Majoriti (Suara Terbanyak)
11- 00:48:40 : Meriwayatkan Hadith Yang Bertepatan Maksudnya Dengan Maksud Ayat Al-Qur’an
12- 00:55:20 : Ibnu Mas’ud r.a Bertanya Kepada Nabi s.a.w Tentang Apakah Dosa Yang Paling Besar?
13- 01:00:10 : Ibnu Abbas r.a Meramal Saidina Muawiyah Akan Menjadi Pemerintah Apabila Berlaku Krisis Antara Saidina Ali r.a Disebabkan Saidina Ali Seolah-olah Berpihak Kepada Pihak Yang Membunuh Saidina Ustman
15- 01:07:58 : Penentuan Nama-nama Orang Yang Tersebut Di Dalam Ayat Secara Samar Dan Tidak Jelas
16- 01:12:06 : Cara-cara Menyebut Perkataan Yang Tersebut Di Dalam Ayat-Ayat Al-Quran Yang Tertentu
17- 01:14:00 : Kelebihan Surah-surah Dan Ayat-ayat Tertentu
NOTA RINGKAS
USUL TAFSIR AL-QURAN
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA
NOTA KULIAH:
BEBERAPA PERINGATAN BERHUBUNG DENGAN SEBAB NUZUL
(1) Sesetengah pelajar dan pembaca Tafsir terpedaya apabila melihat para mufassirin mengemukakan kisah atau peristiwa tertentu di bawah setiap ayat hukum dan jadal. Ia menyamgka kisah dan peristiwa yang disebutkan itu memang merupakan sebab sebenar bagi turunnya ayat-ayat berkenaan. Padahal bukan begitu keadaannya. Para ahli Tafsir kadang-kadang menyebutkan sesuatu kisah atau peristiwa semata-mata kerana ada sedikit sahaja perkaitan dan kesesuaiannya dengan ayat-ayat tertentu. Berkata al-Imam as-Shah Waliyyullah ad-Dihliwi r.a.: “Para ulama’ hadith banyak sekali menyebutkan perkara-perkara yang sebenar bukan merupakan sebab nuzul bagi ayat al-Quran. Ia tidak lebih daripada
(i) Istisyhad (dalil yang dikemukakan) para sahabat dalam perbincangan dan perdebatan mereka.
(ii) Contoh yang diberi atau perumpamaan yang dibuat mereka.
(iii) Sebagai dalil penguat bagi percakapannya semata-mata.
(iv) Meriwayatkan hadith yang bertepatan maksudnya dengan maksud ayat al-Quran.
(v) Penentuan tempat turun ayat.
(vi) Penentuan nama-nama orang yang tersebut di dalam ayat secara samar dan tidak jelas.
(vii) Menyatakan cara-cara menyebut perkataan yang tersebut di dalam ayat-ayat al-Quran yang tertentu.
(viii) menyatakan kelebihan surah-surah dan ayat-ayat tertentu.
(ix) Menyatakan cara-cara bagaimana mengamal dan mempraktikkan perintah Allah di dalam al-Quran. Semua itu pada hakikatnya bukanlah merupakan sebab turun ayat-ayat yang sebenar. (Lihat al-Fauzul Kabir m/s 61).
1- 00:00:50 : Sebab Turun Ayat Hanya Satu, Tetapi Ayat Yang Turun Kerananya Pula Ada Beberapa
2- 00:15:34 : Sebab Turun Ayat Dengan Sebab Pertanyaan, Allah Tidak Akan Sia-siakan Amalan Manusia Lelaki Ataupun Perempuan
3- 00:28:13 : Sebab Turun Ayat Hanya Satu, Tetapi Ayat Yang Turun Kerananya Pula Ada Beberapa
4- 00:57:00 : Hakikat Seorang Yang Mendakwa Sebagai Seorang Nabi Pada Zaman Ini
5- 01:00:47 : Perbezaan Ilmu “Ulumul Quran” Dengan “Usul Tafsir” Dan “Usul Hadith” Dengan “Mustholah Hadith”
6- 01:04:57 : Soalan Ummu Salamah Tentang Kenapa Orang Lelaki Sahaja Boleh Berperang Dan Kenapa Orang Perempuan Mendapat Harta Pusaka Separuh.
NOTA RINGKAS
USUL TAFSIR AL-QURAN
(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA
NOTA KULIAH:
SEBAB TURUN AYAT HANYA SATU, TETAPI AYAT YANG TURUN KERANANYA PULA ADA BEBERAPA
Sebab turun ayat kadang-kadang ada satu sahaja, sedangkan ayat-ayat yang turun kerananya pula ada beberapa. Keadaan seperti ini juga ada berlaku. Ia merupakan kebalikan bab sebelum ini. Tujuannya boleh jadi untuk memuaskan hati manusia, boleh jadi juga kerana diperlukan untuk tujuan membimbing mereka, dan boleh jadi juga untuk menyatakan kebenaran dengan lebih jelas lagi pada ketika-ketika diperlukan.
Antara contoh bagi bab ini ialah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, at-Thabaraani dan lain-lain daripada Ibnu Abbas, kata beliau, “Pernah Rasulullah s.a.w duduk di bawah naungan rumahnya, tiba-tiba Baginda bersabda, “Nanti akan datang kepadamu orang yang akan melihatmu dengan dua mata syaitan. Bila ia datang, jangan kamu bercakap dengannya. Tidak lama kemudian datanglah seorang lelaki yang biru warna dua matanya. Rasulullah s.a.w. terus memanggilnya dan bertanya, “Kenapa engkau dan kawan-kawanmu mencerca aku?” Orang itu pergi lalu membawa dayang kawan-kawannya. Mereka lantas bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak berkata begitu, sehingga akhirnya Nabi s.a.w. memaafkan mereka. Maka Allah menurunkan firmanNya yang bermaksud, “Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak menyatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah menyatakan perkataan kufur dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu) dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.” (at-Taubah:74). (Hadith riwayat at-Thabaraani, Ahmad dan al-Maqdisi di dalam al-Ahaaditsul Mukhtarah).
Ahmad, at-Thabaraani dan al-Haakim juga mengemukakan hadith di atas, tetapi ayat al-Quran yang disebut mereka sebagai diturunkan kerananya bukanlah ayat 74 Surah at-Taubah, sebaliknya dua ayat berikut, yang bermaksud, “(Setelah nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikin) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta. (18) Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi (19)”. (al-Mujaadilah:18-19). (Hadith riwayat Ahmad, at-Thabaraani dan al-Haakim).
Antara contoh di bawah bab ini yang dikemukakan oleh as-Suyuti ialah hadith yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzhi dan al-Haakim daripada Ummi Salamah bahawa beliau berkata, “Wahai Rasulullah! Aku tidak ada mendengar langsung Allah menyebut orang-orang perempuan berhubung dengan hijrah, maka Allah menurunkan firmanNya ini, yang bermaksud, “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).” (Aali Imraan:195).
Haakim dan lain-lain mengemukakan juga riwayat daripada Ummi Salamah bahawa beliau berkata, pernah aku bertanya Rasulullah s.a.w. kataku, “Engkau menyebut (tentang) orang-orang lelaki (sahaja), tidak orang-orang perempuan. Maka diturunkanlah ayat ini, maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”(al-Ahzaab:35). Dan ayat di bawah ini juga diturunkan, bermaksud: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya):
” Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil)- Sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”. (Aali Imraan:195).
Tirmidzi, Abu Ya’la, Haakim dan lain-lain juga mengemukakan lagi riwayat daripada Ummi Salamah bahawa beliau berkata, “ (Kenapa) Orang-orang lelaki sahaja (boleh) berperang, orang-orang perempuan tidak. Dan kami (orang-orang perempuan) hanya mendapat pusaka separuh. Maka Allah menurunkan firmanNya, yang bermaksud, “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkam (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (kerana harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (an-Nisaa’:32). (Lihat as-Suyuti – al-Itqaan Fi Ulumil Quran jil.1 m/s 45).