Usul Tafsir al-Quran – Sesi 27 – USUL No 12 – MENCARI DAN MENGESAN STRUKTUR MIKRO DI DALAM AYAT-AYAT AL-QURAN

VIDEO – [Durasi 1j 19m 11s] – Sesi 27 -Usul No 12 -Mencari dan Mengesan Struktur Mikro Di Dalam Ayat Quran

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/gD3kyRuwA3A ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:00:14 : “Husnu at-Takhallush” Ialah Berpindah Daripada Satu Topik Yang Dimulakan Sesuatu Perbincangan Kepada Satu Topik Lain Yang Sememangnya Dimaksudkan Tanpa Memotong Percakapan

2- 00:03:00 : Nabi s.a.w Memberi Ancaman Tentang Akhirat

3- 00:39:57 : Tentang Azab Allah

4- 00:49:47 : Sesetengah Ulama’ Berpendapat “istithraad” Dan “Husnu at-Takhallush” Adalah Benda Yang Sama

5- 01:02:20 : Adakalanya Ada “Husnu at-Takhallush” Dan Ada Juga “Husnul Matlak” ( Cerita Nabi Ibrahim Berdailog Dengan Kaumnya )

6- 01:11:46 : “Al-Intiqaal” – “Al-Intiqaal” Lebih Kurang Sama Dengan “Husnu at-Takhallush” Daripada Segi Berpindah Daripada Satu Topik Yang Dimulakan Sesuatu Perbincangan Kepada Satu Topik Yang Lain Yang Sememangnya Dimaksudkan Cuma Dipisahkan Oleh Perkataan “Haza”

 

NOTA RINGKAS

USUL KE 12 – MENCARI DAN MENGESAN STRUKTUR MIKRO DI DALAM AYAT-AYAT AL-QURAN KAEDAH-KAEDAH MENGESAN STRUKTUR MIKRO AYAT-AYAT AL-QURAN

(d) “Husnu at-Takhallush” ialah berpindah daripada satu topik yang dimulakan sesuatu perbincangan kepada satu topik lain yang sememangnya dimaksudkan tanpa memotong percakapan, tetapi secara halus dan seni, sehingga tidak disedari pendengar, lantaran sangat sesuai dan secocok di antara kedua-duanya. Sesetengah ulama berpendapat “istithraad” dan “husnu at-takhallush” adalah benda yang sama. Sesetengah yang lain pula berpendapat kedua-duanya berbeza. “Isthithraad” bermaksud mencelah sesuatu perbincangan buat seketika. Kemudian kembali semula kepada perbincangan asal. “Husnu at-takhallush” pula tidak semestinya begitu. Mungkin setelah mencelah dengan sesuatu yang lain, perkara yang tersebut sebelumnya disambung kembali, mungkin juga tidak. Contoh terbaik untuk “husnu at-takhallush” ialah firman Allah di dalam Surah al-Muddattsir berikut:

Bermaksud: Apabila ditiup sangkakala, (8) maka waktu itu adalah waktu (datangnya) dari yang sukar – (9) kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya). (10).

Ayat-ayat ini merupakan “husnu at-takhallush” daripada ayat-ayat sebelumnya. Ayat-ayat yang mengiringinya pula merupakan ‘husnu at-takhallush’ daripadanya. Lihat ayat-ayat seterusnya:

Bermaksud: Biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak), (11) Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak, (12) Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya. (13) Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya. (14) Kemudian dia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi; (15). Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran). (16) Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya. (17) Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka bebagai tuduhan (terhadap Al-Quran) – (18) Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)? (19) Sekali lagi: Binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)? (20) Kemudian dia merenung dan memikirkan (berkali-kali: Jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi dia gagal): (21) Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut; (22) Kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh, (23) Serta dia berkata: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya); (24) Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia! (25).

Sekarang lihatlah ayat-ayat berkenaan bermula dari awal Surahnya:

Bermaksud: Wahai orang yang berselimut! (1) Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). (2) Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya. (3) Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. (4) Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. (5) Dan janganlah engkau memberi (sesuatu dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. (6) Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh). (7) Apabila ditiup sangkakala. (8) maka waktu itu adalah waktu (datangnya) hari yang sukar – (9) kepada orang-orang kafir, lagi tidak mudah (mengelak azabnya). (10). Biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak), (11) Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak, (12) Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya. (13) Dan Aku muahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya. (14) Kemudian dia ingin sangat, supaya Aku Tambahi lagi; (15). Tidak sekali-kali (akan ditambahi)! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran). (16) Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya. (17) Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran) – (18) Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)? (19) Sekali lagi; Binasalah dia hendaknya! Bagaimana dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)? (20) Kemudian dia merenung dan memikirkan (berkali-kali: Jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi dia gagal); (21) Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut; (22) Kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh (23) Serta dia berkata: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya);

(a) “Al-Intiqaal”

– ianya lebih kurang sama dengan “husnu at-takhallush” daripada segi berpindah daripada satu topik yang dimulakan sesuatu perbincangan kepada satu topik lain yang sememangnya dimaksudkan. Cuma kedua-duanya dipisahkan oleh perkataan “haazaa”.  Tujuannya ialah supaya pendengar tidak berasa jemu kerana dihidangkan dengan perkara yang sama saja. Antara contohnya ialah firman Allah di dalam Surah Shaad. Setelah selesai menyebutkan tentang para nabi a.s. Allah berfirman:

Bermaksud: Ini adalah satu sebutan yang baik; dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa, disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya (di akhirat kelak), – (49)

Ayat ini merupakan ‘intiqaal’ (perpindahan atau pertukaran topik). Al-Quran juga satu sebutan yang baik. Setelah disebutkan tentang para nabi a.s. Allah hendak menyebutkan pula di dalam al-Qur’an ini tentang orang-orang yang betaqwa (selain nabi-nabi) dan tempat kesudahan mereka, iaitu syurga. Setelah menyebutkan kelebihan-kelebihan yang akan diperolehi mereka di dalam syurga, Allah berfirman pula: Bermaksud: Beginilah (keadaan mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang derhaka benar-benar (disediakan) tempat kembali yang buruk, – (55) Bermula daripada ayat ini sekali lagi berlaku ‘intiqaal’ daripada ayat-ayat sebelumnya. Supaya lebih jelas di bawah ini dikemukakan ayat-ayat berkenaan secara lengkap:

Bermaksud: Ini adalah satu sebutan yang baik; dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa, disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya (di akhirat kelak), – (49) Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka; (50). Sambil berbaring di dalam Syurga itu (di atas pelamin) mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang berbagai jenisnya dan rasa kelazatannya. (51) Dan di sisi mereka pula ada bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata). Lagi yang sebaya umurnya. (52) Inilah dia balasan yang dijanjikan kepadamu setelah selesai hitungan amal. (53) Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepadamu, pemberian yang tidak akan habis-habis:- (54)  Beginilah (keadaan mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang derhaka benar-benar (disediakan) tempat kembali yang buruk, – (55) Iaitu Neraka Jahannam yang mereka akan menderita bakarannya; maka seburuk-buruk tempat menetap ialah Neraka Jahannam; (56) Inilah (azab neraka),biarlah mereka merasakannya, air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir (untuk minuman mereka); (57) Dan azab seksa yang lain; yang berupa buruknya dan dahsyatnya adalah berbagai jenis lagi. (58).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 27 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 12 

Leave a comment