VIDEO – [Durasi 1j 17m 55s] – Sesi 29 – Usul No 12 -Mencari dan Mengesan Struktur Mikro Di Dalam Ayat Quran
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/v1QV8-8uuv8 ]
TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN
1- 00:00:19 : “Iltifak”
2- 00:02:04 : Pertukaran Daripada “Ghaibah” Iaitu Orang Yang Ketiga Atau Orang Yang Dibicarakan Tentangnya Kepada “Khithab”, Contoh Tentang Tauhid Rububiyah, Uluhiyah, Asma’ Wassifat
3- 00:22:43 : Pertukaran Daripada “Ghaibah” Kepada “Khitab”, Membuktikan Bahawa Adanya Hari Kemudian
4- 00:31:11 : Azab Neraka
5- 00:36:30 : Nabi s.a.w Bermasam Muka Kepada Orang Buta
6- 00:46:12 : Pertukaran Daripada “Ghaibah” Yakni Orang Ketiga Atau Yang Dibicarakan Tentangnya Kepada “Takallum” Iaitu Orang Yang Bercakap
7- 00:50:45 : Contoh “Iltifak” Daripada “Ghaibah” Kepada “Takallum”
8- 00:56:36 : Contoh “Iltifak” Tentang Israk Dan Keagongan Allah s.w.t
9- 01:02:03 : Istilah “Tasriful Aayaat”
NOTA RINGKAS
USUL TAFSIR AL-QURAN
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran
(Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat)
USUL KE 12 – MENCARI DAN MENGESAN STRUKTUR MIKRO DI DALAM AYAT-AYAT AL-QURAN
KAEDAH-KAEDAH MENGESAN STRUKTUR MIKRO AYAT-AYAT AL-QURAN
v) Pertukaran daripada ghaibah (orang ketiga/ yang dibicarakan tentangnya) kepada khithaab (orang yang dihadap cakap). Antara contoh penggunaannya di dalam al-Quran ialah:
Bermaksud: Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbir sekalian alam. (2) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (3) Yang Menguasai pemerintahan di hari Pembalasan (hari akhirat). (4) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5)
Sedangkan qias (bahasa biasa) menghendaki “Iyyaahu” (Dia sahaja), bukan “Iyyaaka” (Engkau sahaja).
vi) Pertukaran daripada ghaibah (orang ketiga / yang dibicarakan tentangnya) kepada “takallum” (orang yang bercakap), Antara contoh penggunaannya di dalam al-Quran ialah;
Bermaksud: “Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia (dari) Bani Israil dan Kami telah angkat di antara mereka 12 orang pemimpin …. “. (al-Maa’idah: 12)
Sedangkan qias (bahasa biasa) menghendaki (Dia telah angkat) dalam bentuk ghaibah juga.
h) Istilah “tashrif al-Aayaat” ini sebenarnya berpunca daripada beberapa firman Allah di dalam al-Quran. Antara lainnya ialah firman Allah berikut:
Bermaksud: Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah dan negeri yang tidak baik (tanahnya), tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur. (Al-A’raaf: 58)
Di dalam ayat di atas `tashrif al-Aayaat’ bererti menerangkan tanda-tanda kekuasaan, kemurahan dan sebagainya dengan berbagai cara.
Tashrif’ pada asalnya mempunyai beberapa erti. Antaranya memalingkan, pemalingan, memusing-musingkan, pemusingan, memutar-mutarkan, menukar, penukaran, mengubah, pengubahan, mengedarkan, mengisarkan dan lain-lain.
Tashrif al-Aayaat yang dimaksudkan di sini ialah Allah menerangkan tentang sesuatu perkara dengan berbagai-bagai cara. Kisah nabi Musa a.s. tersebut beberapa kali di dalam al-Quran. Tetapi cara dan gaya penceritaannya tidak sama. Apa yang diceritakan juga tidak seratus peratus sama. Tentu ada yang berbeza. Demikian juga dengn kisah Nabi Adam a.s. dan Iblis. Ia bukan sekali tersebut di dalam al-Quran. Namun ada saja perbezaan firman Allah pengisahan ceritanya setiap kali ia dikemukakan. Perbezaan dalam pengisahan sesuatu cerita dan lain-lain itulah yang dikatakan`tashrif al-Aayaat . Ia sama sekali tidak boleh dipandang ringan. Sepintas lalu ia kelihatan semacam pengulangan saja. Padahal sebenarnya bukan. Alangkah banyaknya tersirat rahsia dan hikmat di sebalik `tashrif’ al-Aayaat’ dalam firman=firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran al-Karim. Apa yang perlu difahami oleh para pelajar dan penuntut ilmu al-Quran ialah mesti ada sudut-sudut tertentu yang hendak ditekankan oleh Allah setiap kali kisah Adam dan Iblis misalnya diceritakan.
Kisah Adam adakalanya diceritakan sebagai `ibrah dan pengajaran kepada anak cucunya, bahawa manusia yang bertaubat kepada Tuhan dan menyesali perbuatan salahnya, biar bagaimana besar sekalipun kesalahannya, tetap akan mendapat keampunan Allah.
Manusia yang terlanjur melanggar perintah Allah kerana sesuatu kelemahan semula jadinya seperti terlupa yang telah berlaku kepada Adam tidak dimurkai Allah. Allah sebaliknya telah mengajar Adam bagaimana cara bertaubat kepadaNya. Manusia yang berdosa, tetapi benar-benar bertaubat kepada Allah juga masih berpeluang menjadi kekasih Allah dan mungkin dianugerahi dengan berbagai darjat ketinggian dan pangkat kebesaran di sisiNya.
Adakalanya kisah Adam diceritakan Allah untuk menyatakan kemuliaan manusia. Asal kejadian manusia meskipun hanya daripada tanah, namun Allah telah mengurniakan kepadanya darjat yang tinggi disebabkan keluhuran jiwa dan akhlaqnya. Apabila Allah hendak menyatakan kemuliaan manusia dan kelebihan Adam, Dia akan menyebutkan tentang ilmu Adam dan dialogNya dengan para malaikat. Akan disebut juga tentang bagaimana Adam dapat menjawab kesemua soalan yang dikemukakan kepadanya dan malaikat pula tidak dapat. Ketika Allah hendak menyatakan kebesaran dan kelayakan manusia, Dia akan menyebutkan juga manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Kisah Adam dan Iblis atau di sesetengah tempat disebutkan Syaitan, adakalanya diceritakan di dalam al-Quran untuk mengingatkan manusia kepada musuh turun-temurunnya. Betapa jahat dan liciknya Syaitan dapat dilihat kepada peristiwa tipu dayanya yang telah membuatkan Adam dan Hawwa’ terkeluar dari syurga. Dalam keadaan ini kejahatan dan tipu daya Syaitan didedahkan sepenuhnya. Dengan merenung sedikit sahaja, anda akan sedar bahawa tidak ada pengulangan yang sia-sia didalam al-Quran. Apa yang ada hanyalah `Tashrif al-Aayaat’ yang mengandungi pelbagai maksud dan tujuan yang cukup bermakna kepada manusia.
Kisah yang dikemukakan, meskipun sama pada pandangan kasar, namun maksud dan tujuannya berbeza. Demikianlah Allah menerangkan dengan berbagai cara sesuatu kisah supaya manusia mendapat sebanyak mungkin pengajaran dan panduan daripadanya.
Sebagaimana al-Quran menyatakan bagaimana Allah memutar-mutar dan memusing-musingkan sesuatu kisah untuk dihidangkan kepada manusia, ia juga menyatakan bahawa Allah memutar-mutar, mengisar, memalingkan dan memusing-musingkan angin.
Bermaksud: Dan pada pergantian malam dan siang dan hujan yang diturunkan Allah dari langit lalu dihidupkanNya dengan air hujan itu bumi sesudah matinya; dan pada perkisaran angin terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berakal (al-Jaatsiyah:5).
Apa pula hikmatnya Allah mengisar dan memutar-mutar angin? Bukankah angin itu sama jua pada zahirnya?? Ya, pada zahirnya memang sama, tetapi hikmat dan rahsia perjalanan angin adalah berbeza. Kadang-kadang ia membawa datang awan. Kadang-kadang pula membawanya pergi. Kadang-kadang ada bersamnya guruh dan kilat. Kadang-kadang ia hanya membawa hujan. Kadang-kadang pula ia tidak berhujan, berguruh dan berkilat. Ia hanya meneduhkan sahaja. Manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan di bumi sememangnya memerlukan sinar matahari. Anginlah yang membawa awan pergi sehingga semuanya dapat menikmati sinar matahari dan mendapat habuan masing-masing daripadanya. Ada ketikanya pula sinar matahari tidak diperlukan. Sinar matahari yang berlebihan mungkin memudharatkan. Anginlah juga yang menarik awan untuk meneduhi hidupan bumi.
Tashrif al-Aayaat sama dengan tashrif ar-Riyaah. Banyak maksud dan tujuannya. Meskipun pada zahirnya kelihatan semacam sama!.
Peringatan:
Tashrif al-Aayaat paling banyak terdapat dalam penyampaian kisah-kisah. Dalam penyampaian ayat-ayat hukum tidaklah begitu banyak. Ia paling sedikit digunakan dalam bab `aqidah.
NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
NOTA USUL TAFSIR – SESI 29 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 12
