Usul Tafsir Al-Quran – Sesi 54 – Usul No 16 – Mengetahui Tentang Sebab Turun Ayat dan Apa-apa yang Bersesuaian Dengannya

VIDEO – [Durasi 1j 15m 31s] – Sesi 54 – Usul No16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/RiqkyLvNKEY ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 00:00:08 : Mengetahui Sebab Turun Ayat Dan Apa Yang Bersesuaian Dengannya

02- 00:02:08 : Pengajaran Dan Iktibar Tidak Hanya Diperlukan Oleh Individu Tertentu Sahaja, Tidak Juga Ia Khusus Dan Terikat Dengan Zaman Dan Masyarakat Tertentu Sahaja

03- 00:04:08 : Hakikat Mengetahui Sebab Nuzul

04- 00:10:00 : Maklumat Tentang Sebab Turun Sesuatu Ayat Adakalanya Diperlukan Untuk Mengetahui Apakah Latar belakang Yang Menyebabkan Ayat Berkenaan Diturunkan, Tanpa Mengetahuinya Tidak Mungkin Ayat Itu Dapat Difahami Dengan Betul

05- 00:10:39 : Pada Kebanyakan Tempat Kisah-kisah Lama Yang Merupakan Sebab Turun Bagi Ayat Tidak Disebutkan, Ia Sengaja Tidak Disebut Kerana Sememangnya Tidak Diperlukan Untuk Mendapat Pengajaran Dan Pedoman Daripadanya

06- 00:15:37 : Bukanlah Yang Dimaksudkan “Nazalat Fi Kaza” , Sesuatu Ayat Diturunkan Dengan Sekian-Sekian Itu Adalah Bermaksud Untuk Orang Tertentu Atau Peristiwa Tertentu Semata-mata

07- 00:21:26 : Pujian Dan Celaan Yang Terletak Di Celah-celah Cerita Dan Kisah Tentang Seseorang Atau Sesuatu Golongan Manusia Tidak Seharusnya Difahami Khusus Dengan Mereka Semata-mata, Ia Juga Merangkumi Semua Orang Yang Mempunyai Sifat-sifat Yang Sama Dengan Orang-orang Yang Dipuji Atau Dikeji Allah Di Dalam Firmannya

08- 00:23:02 : Apabila Sesuatu Ayat Atau Sesuatu Surah Dikatakan Turun Dua Kali Atau Beberapa kali Maka Ia Bererti Ayat Atau Surah Itu Sesuai Diterapkan Pada Beberapa Peristiwa Yang Berbeza Dan Ada Kaitan Dengan Kesemuanya

09- 00:25:33 : Makna Sebab Nuzul

10- 00:27:13 : Sebab Nuzul Yang Umum

11- 00:46:00 : Sebab Nuzul Yang Khusus

NOTA RINGKAS

USUL TAFSIR AL-QURAN

Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA

Maksud usul ini ialah pemahaman yang betul tentang sebab turun ayat. Perbincangan yang menarik dan mendalam berhubung dengan persoalan ini telah dikemukakan oleh Syah Waliyullah di dalam kitab Usul Tafsirnya, al-Fauzul Kabir. Hakikatnya al-Qur’an itu diturunkan sebagai panduan dan pedoman buat manusia hingga ke hari kiamat. Oleh itu, apabila anda membaca al-Qur’an, anda perlulah memahami beberapa perkara berikut:

(a) Pengajaran dan i’tibar tidak hanya diperlukan oleh individu tertentu sahaja. Tidak juga ia khusus dan terikat dengan zaman dan masyarakat tertentu sahaja.

(b) Hakikat mengetahui sebab nuzul ialah mengetahui keadaan-keadaan yang bersesuaian dengannya. Ia boleh jadi berupa peristiwa yang berlaku di zaman nabi s.a.w, sebelum baginda, selepas baginda, juga peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman moden ini dan seterusnya hingga ke hari kiamat. Mempelajari sebab nuzul bererti berusaha mengetahui apakah lagi perkara atau peristiwa yang boleh termasuk di bawahnya? Siapakah lagi orang yang tepat dengannya dan apakah pula akibat dan hukumnya menurut al-Qur’an?

(c) Pengetahuan tentang sebab turun sesuatu ayat adakalanya diperlukan untuk mengetahui latar belakang yang menyebabkan ayat berkenaan diturunkan? Tanpa mengetahuinya tidak mungkin ayat itu dapat difahami dengan betul. Contohnya firman Allah: (فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا) di dalam ayat 158 Surah al-Baqarah.

(d) Pada kebanyakan tempat, kisah-kisah lama yang merupakan sebab turun bagi ayat tidak disebutkan. Ia sengaja tidak disebut kerana sememangnya tidak diperlukan untuk mendapat pengajaran dan pedoman daripadanya.

(e) Bukanlah yang dimaksudkan dengan نزلت في كذا (ayat ini telah turun berkenaan dengan sekian-sekian) itu orang tertentu atau peristiwa tertentu semata-mata. Malah umum lafaznya yang diambil kira.

(f) Pujian dan celaan yang terletak di celah-celah cerita dan kisah tentang seseorang atau sesuatu golongan manusia tidak seharusnya difahami khusus dengan mereka semata=mata. Ia juga mrangkumi semua orang yang mempunyai sifat-sifat yang sama dengan orang-orang yang dipuji atau dikeji Allah di dalam firmanNya yang diturunkan.

(g) Apabila sesuatu ayat atau sesuatu surah dikatakan turun dua kali atau beberapa kali, maka ia bererti ayat atau surah itu sesuai diterapkan pada beberapa peristiwa yang berbeda dan ada kaitan dengan kesemuanya.

Ayat-ayat jihad dan perang tidak  akan diturunkan sekiranya tidak ada kezaliman dan kekejaman di dunia ini. Jihad dan perang menurut Islam bukan dilancarkan untuk menumpah darah dan menjajah, malah maksud sebenarnya ialah untuk membebaskan manusia daripada cengkaman kezaliman, penindasan dan pemusnahan yang bermaharajalela di mana-mana.

Adanya penyelewengan dan eksploitasi ekonomi dalam masyarakat merupakan sebab bagi turunnya ayat-ayat berhubung dengan perekonomian dan tatacara kewangan. Wujudnya kehidupan tidak bermoral, kebiadaban dan pelbagai kerosakan dalam masyarakat merupakan sebab bagi penurunan ayat-ayat tentang akhlak yang mulia, sivik dan adab-adab pergaulan yang luhur. Adanya kerajaan yang zalim dan pemerintahan kuku besi merupakan sebab bagi penurunan ayat-ayat hukum dan ayat-ayat tentang keadilan.

Jika tidak ada kegelapan, cahaya tentu tidak diperlukan. Rawatan dan ubat-ubatan tentu sekali tidak diperlukan jika tidak ada penyakit dan pesakit. Pembersihan dan penyucian baru diperlukan apabila ada kekotoran dan kecemaran. Memasang lampu di waktu siang yang terang benderang, menghulur ubat untuk dimakan atau diminum oleh orang yang sihat dan mengalirkan air di tempat yang memang sudah bersih adalah perbuatan yang sia-sia dan tidak berfaedah. Seorang manusia biasa yang cerdik pun tidak akan melakukan perkara-perkara yang sia-sia seperti itu. Apatah lagi Tuhan yang Maha Bijaksana, Tuhan yang telah mencipta manusia dan alam semesta dengan teguh ini, jauh sekali untuk diterima ada melakukan sesuatu dengan sia-sia, tanpa sebab dan tanpa sebarang tujuan!

SEBAB TURUN YANG KHUSUS

Peristiwa khusus yang menyebabkan turun sesuatu ayat itu mungkin berupa:

(1) Perbalahan atau perselisihan yang berlaku di kalangan orang ramai. Sebagai contohnya pernah berlaku perselisihan dan ketegangan di antara dua kumpulan orang-orang Anshaar iaitu Aus dan Khazraj, akibat hasutan orang-orang Yahudi. Maka Allah menurunkan ayat-ayat berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا فَرِيقًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ (100) وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ وَأَنْتُمْ تُتْلَى عَلَيْكُمْ آَيَاتُ اللَّهِ وَفِيكُمْ رَسُولُهُ وَمَنْ يَعْتَصِمْ بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (101) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (102) وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آَيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (103)                                                                                      

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikn Kitab itu niscaya mereka akan mengembalikanmu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman. (100) Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (al-Qur’an) dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad s.a.w)? dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus). (101). Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan jangan sesekali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (102). Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepadamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan hati kamu (sehingga kamu bersatu padu  dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepadamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk. (103) (Aali ‘Imraan:100-103).

Tujuan ayat-ayat itu diturunkan ialah untuk mengingatkan umat Islam agar berwaspada terhadap hasutan dan fitnah yang ditimbulkan oleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nashara). Ia juga bertujuan mengancam mereka daripada perselisihan dan perpecahan, selain menggalakkan mereka supaya bersatu padu dan bersaudara.

(2) Kesilapan teruk yang berlaku dalam sesuatu perbuatan atau pekerjaan seseorang. Lalu Allah menurunkan firmanNya untuk membetulkan kesilapan itu dengan menyatakan hukumnya. Keadaan seperti itu pernah berlaku kepada salah seorang sahabat yang tersasul dalam bacaan Surah al-Kaafirun ketika sedang bersembahyang kerana mabuk. Maka turunlah ayat berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا (43)                                                            

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) ketika kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan dan jangan juga ketika kamu dalam keadaan berjunub (berhadas besar) hingga kamu mandi bersuci, kecuali ketika kamu bermusafir. Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh-sentuhan dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi aau berwudhu’), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah (debu) yang suci; sapukanlah ke mukamu dan kedua tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. (an-Nisaa’:43)

3) Kehendak dan harapan seseorang terhadap sesuatu perkara. Keadaan ini pernah menjadi beberapa kali kepada Saiyyidina ‘Umar. Kehendak dan harapan beliaulah yang menjadi latar belakang kepada penurunan beberapa firman Allah di dalam al-Qur’an. Beliau sendiri diriwayatkan telah berkata, “Kehendakku telah menepati kehendak Tuhanku pada tiga perkara. Pernah aku berkata: “Wahai Rasulullah! Alangkah baiknya kalau kita menjadikan Maqam Ibrahim sebagai tempat (permulaan untuk) shalat.” Maka turunlah ayat al-Baqarah:125.

Bermaksud: … Dan jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat (permulaan untuk) shalat …(al-Baqarah:125)

Aku pernah berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya isteri-isterimu didatangi orang baik dan jahat. Alangkah baiknya kalau engkau suruh mereka berhijab. Maka turunlah ayat hijab.  Kerana didorong perasaaan cemburu, para isteri Rasulullah s.a.w pernah berkumpul di hadapan Baginda s.a.w. Maka aku katakan kepada mereka:عسى ربه ان طلقكن ان يبدله أزواجا خيرا منكن  lalu firman Allah turun seperti yang aku telah katakan itu.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan lain-lain).

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 54 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 10) 

Leave a comment