VIDEO – [Durasi 1j 24m 09s] – Sesi 61 – Usul No 16 – Sebab Turun Ayat & Apa Yang Bersesuaian Dengannya
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/MMREF_4SEZM ]
TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN
1- 00:00:50 : Sebab Turun Ayat Hanya Satu, Tetapi Ayat Yang Turun Kerananya Pula Ada Beberapa
2- 00:15:34 : Sebab Turun Ayat Dengan Sebab Pertanyaan, Allah Tidak Akan Sia-siakan Amalan Manusia Lelaki Ataupun Perempuan
3- 00:28:13 : Sebab Turun Ayat Hanya Satu, Tetapi Ayat Yang Turun Kerananya Pula Ada Beberapa
4- 00:57:00 : Hakikat Seorang Yang Mendakwa Sebagai Seorang Nabi Pada Zaman Ini
5- 01:00:47 : Perbezaan Ilmu “Ulumul Quran” Dengan “Usul Tafsir” Dan “Usul Hadith” Dengan “Mustholah Hadith”
6- 01:04:57 : Soalan Ummu Salamah Tentang Kenapa Orang Lelaki Sahaja Boleh Berperang Dan Kenapa Orang Perempuan Mendapat Harta Pusaka Separuh.
NOTA RINGKAS
USUL TAFSIR AL-QURAN
(Sambungan) USUL KE 16 – MENGETAHUI TENTANG SEBAB TURUN AYAT DAN APA-APA YANG BERSESUAIAN DENGANNYA
NOTA KULIAH:
SEBAB TURUN AYAT HANYA SATU, TETAPI AYAT YANG TURUN KERANANYA PULA ADA BEBERAPA
Sebab turun ayat kadang-kadang ada satu sahaja, sedangkan ayat-ayat yang turun kerananya pula ada beberapa. Keadaan seperti ini juga ada berlaku. Ia merupakan kebalikan bab sebelum ini. Tujuannya boleh jadi untuk memuaskan hati manusia, boleh jadi juga kerana diperlukan untuk tujuan membimbing mereka, dan boleh jadi juga untuk menyatakan kebenaran dengan lebih jelas lagi pada ketika-ketika diperlukan.
Antara contoh bagi bab ini ialah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, at-Thabaraani dan lain-lain daripada Ibnu Abbas, kata beliau, “Pernah Rasulullah s.a.w duduk di bawah naungan rumahnya, tiba-tiba Baginda bersabda, “Nanti akan datang kepadamu orang yang akan melihatmu dengan dua mata syaitan. Bila ia datang, jangan kamu bercakap dengannya. Tidak lama kemudian datanglah seorang lelaki yang biru warna dua matanya. Rasulullah s.a.w. terus memanggilnya dan bertanya, “Kenapa engkau dan kawan-kawanmu mencerca aku?” Orang itu pergi lalu membawa dayang kawan-kawannya. Mereka lantas bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak berkata begitu, sehingga akhirnya Nabi s.a.w. memaafkan mereka. Maka Allah menurunkan firmanNya yang bermaksud, “Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak menyatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah menyatakan perkataan kufur dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu) dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.” (at-Taubah:74). (Hadith riwayat at-Thabaraani, Ahmad dan al-Maqdisi di dalam al-Ahaaditsul Mukhtarah).
Ahmad, at-Thabaraani dan al-Haakim juga mengemukakan hadith di atas, tetapi ayat al-Quran yang disebut mereka sebagai diturunkan kerananya bukanlah ayat 74 Surah at-Taubah, sebaliknya dua ayat berikut, yang bermaksud, “(Setelah nyata kepada orang-orang munafik itu bahawa harta benda dan anak pinaknya tidak dapat memberikan pertolongan), ketika mereka semuanya dibangkitkan oleh Allah (pada hari kiamat), maka mereka bersumpah kepadaNya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana biasanya mereka bersumpah kepada kamu dan mereka menyangka bahawa (dengan berbuat demikin) mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta. (18) Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi (19)”. (al-Mujaadilah:18-19). (Hadith riwayat Ahmad, at-Thabaraani dan al-Haakim).
Antara contoh di bawah bab ini yang dikemukakan oleh as-Suyuti ialah hadith yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzhi dan al-Haakim daripada Ummi Salamah bahawa beliau berkata, “Wahai Rasulullah! Aku tidak ada mendengar langsung Allah menyebut orang-orang perempuan berhubung dengan hijrah, maka Allah menurunkan firmanNya ini, yang bermaksud, “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).” (Aali Imraan:195).
Haakim dan lain-lain mengemukakan juga riwayat daripada Ummi Salamah bahawa beliau berkata, pernah aku bertanya Rasulullah s.a.w. kataku, “Engkau menyebut (tentang) orang-orang lelaki (sahaja), tidak orang-orang perempuan. Maka diturunkanlah ayat ini, maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”(al-Ahzaab:35). Dan ayat di bawah ini juga diturunkan, bermaksud: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya):
” Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil)- Sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”. (Aali Imraan:195).
Tirmidzi, Abu Ya’la, Haakim dan lain-lain juga mengemukakan lagi riwayat daripada Ummi Salamah bahawa beliau berkata, “ (Kenapa) Orang-orang lelaki sahaja (boleh) berperang, orang-orang perempuan tidak. Dan kami (orang-orang perempuan) hanya mendapat pusaka separuh. Maka Allah menurunkan firmanNya, yang bermaksud, “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkam (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (kerana harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (an-Nisaa’:32). (Lihat as-Suyuti – al-Itqaan Fi Ulumil Quran jil.1 m/s 45).
NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
NOTA USUL TAFSIR – SESI 61 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 16 (Nota 11)
