VIDEO – [Durasi 1j 24m 11s] – Sesi 65 – Usul No 17 -Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/G9DD23OxMsA ]
TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN
01- 00:00:40 : Nasakh Keseluruhan Atau “Kulli”
02- 00:18:01 : Nasakh Sebahagian Atau “Juz’i”
03- 00:32:15 : Cara-cara Berlaku Nasakh
04- 00:33:39 : Ganti Hukum Sama Dengan Yang Dinasakhkan
05- 00:41:00 : Ganti Hukum Lebih Ringan Daripada Yang Dinasakhkan
06- 00:43:25 : Ganti Hukum Lebih Berat Daripada Yang Dinasakhkan
07- 00:47:22 : Nasakh Tiada Ganti
08- 00:58:21 : Masa Berlaku Nasakh
09- 01:03:17 : Dalil-dalil Yang Menasakhkan
10- 01:07:16 : Nasakh Al-Qur’an Dengan Al-Qur’an Atau Hadith
11- 01:17:57 : Maksud Mutawatir
12- 01:22:15 : Hadits Ahad Tidak Boleh Mansukhkan Hadith Mutawatir
NOTA RINGKAS
USUL TAFSIR AL-QURAN
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN
NOTA KULIAH
NASAKH KESELURUHAN ATAU KULLI
Ia bermaksud syara` membatalkan keseluruhan hukum terdahulu dan ia merangkumi setiap mukallaf. Contohnya firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang akan meninggal dunia di antara kamu dan meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isterinya, (iaitu) diberi nafkah hingga setahun lamanya dan tidak disuruh pindah (dari rumahnya). Akan tetapi jika mereka pindah (sendiri), maka tidak ada dosa bagimu (wali atau waris dari yang meninggal) membiarkan mereka berbuat yang ma’ruf terhadap diri mereka. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah : 240).
Hukum ber`iddah bagi perempuan yang kematian suami selama setahun yang dapat difahami daripada ayat tersebut telah dinasakhkan dengan ayat 234 surah al-Baqarah juga. DI dalam ayat 234 dijelaskan masa ber`iddah bagi perempuan yang kematian suami ialah selama empat bulan sepuluh hari sahaja. Di bawah ini dikemukakan ayat 234 surah al-Baqarah berkenaan, yang bermaksud:
“Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber`iddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis `iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.” (al-Baqarah : 234)
Hukum dalam ayat ini menasakhkan hukum terdahulu dalam ayat 240 surah al-Baqarah yang disyari`atkan kepada semua isteri-isteri. Nasakh seperti inilah yang dinamakan nasakh secara keseluruhan atau kulli.
NASAKH SEBAHGAIAN ATAU JUZ’I
Ia membawa maksud syara` telah mensyari`atkan hukum secara umum yang merangkumi setiap mukallaf, kemudiannya telah membatalkan hukum itu untuk sebahagian mukallaf sahaja.
Contohnya firman Allah yang bermaksud:
”Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menagguhkan dirinya (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis ‘iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.” (al-Baqarah : 234)
Oleh kerana ayat ini diturunkan secara umum menyatakan `iddah perempuan atau isteri yang kematian suami, sama ada ketika itu ia sedang mengandung atau tidak mengandung ialah selama empat bulan sepuluh hari. Maka kemudiannya turunlah pula firman Allah yang lain, bermaksud,
“Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haidh, jika kamu menurut syak (terhadap tempoh `iddah mereka), maka `iddahnya ialah tiga bulan dan (demikian) juga `iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaidh. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh `iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya dan (ingatlah), sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusan. (at-Talaaq : 4)
Ayat ini menerangkan bahawa perempuan mengandung, sama ada yang diceraikan atau pun kematian suami, `iddahnya ialah melahirkan anak kandungannya. Oleh sebab itu ayat ini telah menasakhkan ayat 234 Surah al-Baqarah di atas secara sebahagian. Hal itu kerana hukum `iddah perempuan yang tidak mengandung dan kematian suami, masih dikekalkan berdasarkan kehendak ayat 234 Surah al-Baqarah itu, iaitu selama empat bulan sepuluh hari.
CARA-CARA BERLAKU NASAKH
Cara-cara berlaku nasakh dapat dibahagikan kepada dua bahagian umum, iaitu:
1. Nasakh Ada Ganti.
2. Nasakh Tiada Ganti.
NASAKH ADA GANTI
Nasakh cara ini ialah dengan menasakhkan hukum terdahulu, kemudian digantikan dengan hukum baharu. Cara nasakh ini dapat dipecahkan pula kepada tiga bahagian, iaitu:
a. Ganti hukum sama dengan yang dinasakhkan.
b. Ganti hukum lebih ringan daripada yang dinsakhkan.
c. Gant hukum lebih berat daripada yang dinasakhkan.
GANTI HUKUM SAMA DENGAN YANG DINASAKHKAN
Nasakh bentuk ini berlaku dengan dinasakhkan hukum mengadap qiblat ke Baitul Maqdis misalnya dan digantikan dengan mengadap qiblat ke Baitullah (Ka’bah) ketika sembahyang. Ia terdapat dalam firman Allah berikut, yang bermaksud:
“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al-Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari tuhannya; dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan.” (al-Baqarah : 144)
GANTI HUKUM LEBIH RINGAN DARIPADA YANG DINASAKHKAN
Nasakh bentuk ini ialah dengan dinasakhkan hukum awal dan dahulu yang memang ada dalam nas al-Qur’an. Contoh ayat yang menyatakan berlaku nasakh jenis ini firman Allah di bawah ini yang bermaksud:
“Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mu’min untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan seribu orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.” (al-Anfal : 65)
Dalam ayat ini Allah mewajibkan orang Islam melawan musuh dan tidak boleh meninggalkan medan peperangan apabila orang Islam 20 orang dan musuh pula 200 orang.
Ia membawa maksud, orang-orang Islam tidak boleh lari daripada medan peperangan sekiranya tentera Islam dalam keadaan nisbah 1:10. Hukum dalam ayat tersebut kemudiannya dimansukhkan dengan hukum yang lebih ringan, iaitu dengan turunnya ayat lain berupa firman Allah juga, yang bermaksud,
“Sekarang Allah telah meringankan kepadamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Dia mengetahui bahawa kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar.” (al-Anfal : 66)
Di dalam ayat ini, hukum wajib menghadapi musuh yang berjumlah 200 orang dan tentera Islam 20 orang dimansukhkan serta digantikan dengan hukum baharu yang lebih ringan, iaitu tentera Islam wajib menghadapi musuh dan tidak boleh meninggalkan medan peperangan apabila mereka berjumlah 100 orang dan musuh 200 orang. Dengan nisbah 1:2.
GANTI HUKUM LEBIH BERAT DARIPADA YANG DINASAKHKAN
Nasakh bentuk ini berlaku sebagaimana firman Allah tentang hukum pengharaman arak. Ia diturunkan dalam tiga peringkat.
Peringkat Pertama: Arak tidak diharamkan secara pasti lagi, namun sudah dinyatakan bahawa bahayanya lebih besar daripada faedahnya. Ia tersebut dalam firman Allah berikut, yang bermaksud,
“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. Dan mereka bertanya kepadamu (tentang) apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: “Yang Lebih dari keperluan”. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir. “(al-Baqarah : 219)
Peringkat Kedua: Arak ditegah meminumnya ketika hendak mengerjakan sembahyang. Hal itu kerana ada sahabat yang menunaikan sembahyang dalam keadaan mabuk, menyebabkan bacaan ayat al-Qur’an tersilap. Tegahan Allah itu di dalam firmanNya ini, yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar apa yang kamu ucapkan, juga dalam keadaan berjunub (janganlah kamu menghampiri sembahyang), sebelum kamu mandi, kecuali kamu bermusafir. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersetubuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapati air (untuk mandi atau berwudhu’), maka hendaklah kamu bertayammu m dengan muka bumi yang suci, iaitu sapukanlah ke mukamu dan kedua tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.” (An-Nisaa’ : 43)
Peringkat ketiga: Arak diharamkan terus. Ia terdapat di dalam firman Allah ini, yang maksudnya,
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (al-Maa’idah : 90)
NASAKH TIADA GANTI
Nasakh yang tidak ada ganti ialah ayat-ayat atau nas yang telah dimansukhkan di segi hukumnya, tetapi ia tidak diganti dengan hukum baharu. Contohnya ialah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
” Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu mengadapnya; (pemberian sedekah) itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih bersih. Dalam pada itu, kalau kamu tidak ada benda yang hendak disedekahkan, (kamu dibenarkan juga mengadapnya mengenai perkara yang tak dapat dielak), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Mujadilah : 12)
Di dalam ayat ini Allah menyebut hukum bagi sahabat hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, mereka perlulah bersedekah (kepada fakir miskin) terlebih dahulu. Perintah Allah yang tersebut di dalam ayat ini dimansukhkan melalui ayat berikutnya, iaitu, yang maksudnya,
“Adakah kamu takut (akan kemiskinan) kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu mengadap? Kalau kamu tidak melakukan (perintah) itu dan Allah pun memaafkan kamu (kerana kamu tidak mampu), maka dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat (sebagaimana yang sewajibnya), serta taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), Allah maha Mendalam PengetahuanNya akan segala amalan yang kamu lakukan (al-Mujadilah : 13)
Menerusi ayat ini Allah menyatakan mereka yang ingin mengadap Rasulullah tidak perlu bersedekah (kepada fakir miskin) terlebih dahulu. Hukum di dalam ayat sebelumnya dinasakhkan tanpa sebarang gantian dengan hukum lain.
MASA BERLAKU NASAKH
Jumhur `ulama’ sepakat mengatakan nasakh hanya berlaku semasa Nabi masih hidup sahaja. Hal tersebut kerana nasakh tidak berlaku, kecuali melalui wahyu sahaja dan wahyu berkemungkinan turun pada masa hayat Nabi sahaja.
Selepas kewafatan Nabi, penasakhan hukum tidak berlaku sama sekali, kerana wahyu tiada lagi. Justeru itu, semua hukum yang diamalkan pada masa hayat Nabi dan tidak pula lahir daripada Baginda sesuatu yang menasakhkannya, maka hukum itu adalah tetap, walaupun selepas kewafatan Baginda. Hal itu kerana Baginda adalah rasul terakhir, sebagaimana firman Allah bermaksud,
“Bukanlah (Nabi) Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup sekalian nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (al-Ahzaab : 40).
DALIL-DALIL YANG MENASAKHKAN
Berdasarkan kaedah umum syari`at Islam, sesuatu dalil tidak boleh dinasakhkan kecuali dengan dalil yang sama kuat atau lebih kuat daripadanya. Berdasarkan kaedah umum itu, di sini dijelaskan dalil-dalil yang menasakhkan serta pendapat `ulama’ mengenainya. Ia adalah sebagaimana berikut:
1. Nasakh al-Qur’an dengan al-Qur’an atau Hadis
2. Nasakh Hadits dengan Hadits.
3. Nasakh Hadits dengan al-Qur’an.
4. Nasakh dengan Ijma`.
5. Nasakh Ijma` dengan dengan al-Qur’an atau Hadits.
6. Nasakh Ijma` dengan Ijma`.
7. Nasakh al-Qur’an atau Hadits atau Ijma` dengan Qiyas.
8. Nasakh Qiyas dengan Qiyas.
NASAKH AL-QURAN DENGAN AL-QURAN DAN HADITH
Para `ulama’ yang menerima konsep nasakh seperti yang dikemukakan di atas sepakat mengatakan al-Qur’an harus menasakhkan nas al-Qur’an yang lain apabila dalalah kedua-duanya adalah sama, kerana ia dikira sama di segi kekuatan. Adapun penasakhan al-Qur’an dengan Hadits, maka para `ulama’ berbeda pendapat tentang keharusannya. Perinciannya adalah seperti di bawah ini:
a. Pendapat jumhur `ulama’: Harus al-Qur’an dinasakhkan dengan hadits Mutawatir kerana ia dikira setaraf di segi kekuatan. Alasan dan hujah jumhur ialah berkaitan dengan hukum wajib berwasiat kepada ibu bapa dan kerabat, di mana Allah berfirman, maksudnya,
“Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan karib kerabatnya, secara ma’ruf, (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah : 180)
Hukum wajib berwasiat tersebut dinasakhkan oleh satu Hadits Mutawatir yang diriwayatkan oleh sekian ramai sahabat r.a. Hadits berkenaan yang bermaksud, “Tiada wasiat untuk waris”. (Hadits riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu al-Jarud, at-Thabaarani dan lain-lain)
b. Pendapat `ulama’ Hanafi: Harus al-Qur’an dinasakhkan dengan Hadits Mutawatir dan Hadits Masyhur, kerana Hadits Masyhur dikira hampir setaraf dengan al-Qur’an dari segi kekuatan. Walaupun begitu, al-Qur’an tidak boleh dinasakhkan dengan Hadits Aahaad, kerana ia lebih rendah di segi kekuatan. Ini adalah pendapat yang rajih di sisi mereka.
c. Pendapat sebahagian `ulama’ dan Imam Syafi’e: Tidak harus dinasakhkan al-Qur’an dengan Hadits, walaupun Hadits Mutawatir atau Masyhur. Hujah Imam Syafi’e berdasarkan firman Allah yang bermaksud,
“Ayat mana yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu?” (al-Baqarah : 106)
Ayat ini menjelaskan Allah mengaitkanperbuatan mengganti ayat yang dinasakhkan itu dengan diri-Nya, dan Dia mendatangkan al-Qur’an sahaja sebagai gantinya. Oleh itu, al-Qur’an sahajalah yang dapat menasakhkan al-Qur’an. Tidak ada apapun yang lebih baik daripada al-Qur’an atau yang sebanding dengannya.
NASAKH HADITH DENGAN HADITH
Pendapat `ulama’ terbahagi kepadas dua golongan dalam masalah ini:
a. Pendapat jumhur: Mereka sepakat mengatakan harus Hadits menasakhkan Hadits juga, jika kedua-duanya setaraf dari segi tsabit dan dalalahnya. Dalam perkara ini, `ulama’ sepakat mengatakan Hadits Mutawatir dapat menasakhkan Haditsh Ahaad sahaja dan tidak dapat menasakhkan Hadits Mutawatir. Contoh Hadits yang menasakh Hadits ialah, Nabi pernah menegah sahabat-sahabat daripada menziarahi kubur kerana sebab tertentu, namun selepas itu Nabi tidak menegahnya. Sebagaimana sebuah Hadits, maksudnya,
“Dahuluaku menegah kamu daripada menziarahi kubur, sekarang ziarahilah.” (Hadits riwayat an-Nasaa’i, Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Hibbaan, al-Haakim dan lain-lain).
b. Pendapat`ulama’ Hanafi: Hadits Aahaad harus dinasakhkan dengan Hadits Mutawatir dan Masyhur, kerana kedua-duanya lebih kuat daripada Hadits Aahaad.
NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
NOTA USUL TAFSIR – SESI 65 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 12)
