Usul Tafsir AL-QURAN – Sesi 81 – (Sambungan) Usul No 17 – Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat Yang Dimansuhkan

VIDEO – [Durasi 1j 04m 56s] – Sesi 81 – Usul No 17 -Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube https://youtu.be/wQEEs6M4PDc ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

1- 00:12 : Contoh Kelapanbelas- Surah al-Ahzaab ayat 52 dengan ayat 50

2- 10:38 : Pendapat Shah Waliyyullah Tentang Surah al-Ahzaab Ayat 50

3- 14:15 : Allah Menghalalkan 7 Wanita Kepada Nabi s.a.w Berkahwin

4- 25:02 : Pendapat Jumhur Ulama’ Tentang Surah al-Ahzaab Ayat 50 dan ayat 52

5- 33:35 : Mengapa Jumhur Ulama’ Mengatakan Surah al-Ahzaab Ayat 50 dan ayat 52 ini Tidak Boleh Dikatakan Mansukh

NOTA KULIAH


Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(sambungan) USUL KE 17 – (17) MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT-AYAT YANG DIMANSUKHKAN MENURUT AHLI TAFSIR MUTAQADDIMIN DAN MUTA’KKHIRIN

(18) Firman Allah di dalam Surah al-Ahzaab ayat ke 52 berikut juga dikatakan mansukh:

لَا يَحِلُّ لَكَ النِّسَاءُ مِنْ بَعْدُ وَلَا أَنْ تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَاجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ إِلَّا مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ رَقِيبًا (52)

Bermaksud: Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri (yang lain), sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu (al-Ahzaab): 52)

Orang-orang yang menerima mansukh mengatakan naasikhnya ialah firman Allah di bawah ini. Ia juga ayat dari Surah al-Ahzaab:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ اللَّاتِي آتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّاتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَالَاتِكَ اللَّاتِي هَاجَرْنَ مَعَكَ وَامْرَأَةً مُؤْمِنَةً إِنْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ إِنْ أَرَادَ النَّبِيُّ أَنْ يَسْتَنْكِحَهَا خَالِصَةً لَكَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِي أَزْوَاجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (50)

Bermaksud: Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan mas kahwinnya dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): Anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa) dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya ; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; – supaya tidak menjadi keberatan bagimu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Megasihani. (al-Ahzaab: 50)

Sebagaimana Ibnu al-`Arabi dan as-Suyuthi, Shah Waliyyullah juga menerima ayat ke-52 Surah al-Ahzaab dimansukhkan dengan ayat ke 50 dari Surah yang sama. Menurut Shah Waliyyullah, walaupun ayat ke 50 tersebut dan dibaca dahulu di dalam al-Quran yang ada pada kita sekarang, ia tetap boleh menjadi naasikh bagi ayat ke 52, kerana yang dianggap sebagai syarat oleh para `ulama’ Usul untuk sesuatu dalil menjadi naasikh ialah terkemudiannya daripada segi nuzul (turun) kepada Nabi s.a.w. bukan terkemudiannya dalam bacaan dan tertib mushaf yang ada. Ini bererti, bagi mereka ayat ke 50 Surah al-Ahzaab itu turunnya kepada Nabi s.a.w. adalah kemudian daripada ayat ke 52 Surah al-Ahzaab itu turunnya kepada Nabi s.a.w. adalah kemudian daripada ayat ke-52 Surah yang sama.

Oleh kerana ayat ke-50 turun kemudian daripada ayat ke-52, dan di dalam ayat ke-50, Allah menghalalkan 7 macam perempuan kepada NabiNya, sedangkan sebelum itu sudah terdapat larangan Allah terhadap NabiNya daripada berkahwin seterusnya setelah memunyai beberapa orang isteri, maka tidakkah terdapat pertentangan di antara dua ayat berkenaan? Untuk menghilangkan pertentangan itulah mereka mengatakan ayat yang melarang Nabi s.a.w. daripada berkahwin dengan perempuan-perempuan lain setelah isteri-isterinya yang sedia ada itu dimansukhkan. Dahulu memang pernah tidak dibenarkan Nabi s.a.w. berkahwin lagi, tetapi kemudiannya dibenarkan. Itu adalah satu bentuk kurniaan Allah kepada Nabi-Nya. Mereka juga berpegang dengan atsar `Aaishah yang menyebutkan bahawa: مَا مَاتَ رَسُولُ اللّه صلى اللّهُ عليه و سلّم حَتَّى أُحِلَّ لَهُ النِّسَاءُ
سِوَاهُنَّ Bermaksud: Rasulullah s.a.w. tidak meninggal dunia sebelum dihalalkan kepadanya wanita-wanita lain selain mereka (isteri-isterinya yang sedia ada). (Atsar riwayat at-Tirmidzi, an-Nasaa’i. Ahmad, ad-Daarimi, Ibnu Hibbaan, al-Haakim, al-Baihaqi dan lain-lain). Tirmidzi menghukumnya hasan sahih. Haakim menghukumnya sahih dan az-Zahabi menyetujuinya. Kenyataan `Aaishah ini bagi mereka menunjukkan firman Allah di dalam ayat ke-52 Surah al-Ahzaab telah dimansukhkan. Ia juga secara tidak langsung menunjukkan firman Allah di dalam ayat ke-50 diturunkan kemudian, maka ia layak dijadikan sebagai naasikh bagi ayat ke-52.

Walaupun Shah Waliyullah dan orang-orang yang sependapat dengan beliau mentarjih ayat ke-52 dimansukhkan oleh ayat yang terdahulu daripadanya daripada segi bacaannya, iaitu ayat ke-50, namun jumhur `ulama’ berpendapat ia tidak mansukh. Tidak juga ayat ke-50 merupakan naasikhnya. Bagi mereka, ayat ke 52 merupakan lanjutan keterangan bagi ayat ke-50 dan ke-51.

Setelah Allah memperincikan perempuan-perempuan yang dihalalkanNya untuk dikahwini NabiNya, dan sememangnya Nabi kita telah pun berkahwin dengan sebahagian daripada perempuan seperti tersebut di dalam ayat itu sebagaimana dikehendaki Allah. Lalu Allah menyebutkan pula selepasnya bahawa engkau tidak boleh lagi berkahwin dengan perempuan-perempuan lain selain isteri-isterimu yang sedia ada. Engkau juga tidak boleh menukar mereka dengan perempuan-perempan lain, sekalipun – katakanlah – engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka. Ini kerana mereka memang telah teruji dan terbukti sebagai perempuan-perempuan terbaik untuk menjadi isterimu dunia akhirat. Ini tafsir yang rajih menurut jumhur `ulama’.

Bagi jumhur `ulama’, ayat ke-52 tidak boleh dikatakan mansukh sama ada dengan ayat ke-50 atau ke 51 atau dengan lain-lain dalil berupa hadis Rasulullah s.a.w. kerana beberapa sebab berikut:

a) Riwayat-riwayat daripada Ibnu `Abbaas, Anas, Mujahid, ad-Dhahhaak, Qataadah, Ibnu Zaid, Ibnu Jarir dan lain-lain menyebutkan bahawa selepas berlakunya peristiwa takhyir kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. lalu mereka tidak memilih dunia sebaliknya memilih Allah, RasulNya dan kehidupan akhirat, maka Allah sebagai balasan dan hadiah kepada pilihan mereka telah melarang NabiNya daripada berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain setelah isteri-isteri Baginda s.a.w. yang sedia ada. Nabi s.a.w. juga dilarang menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang lain. Ini kerana mereka telah betul-betul teruji dan terbukti layak menjadi isteri-isteri Baginda bukan sahaja di dunia ini, malah hingga ke akhirat. Jadi ayat ke-52 itu bagi mereka sebenarnya merupakan balasan dan hadiah Allah kepada para isteri Rasulullah s.a.w. Dan adalah tidak wajar sama sekali mengatakan Allah menghapuskan dan menarik balik balasan dan hadiah yang pernah diberiNya kepada seseorang, (Lihat Tafsir Ruuh al-Ma’ani j.22 m/s 65, Tafsir Ibnu Katsir j.6 m/s 447, Tafsir ad-Durru al-Mantsur j.6 m/s 637, Tafsir Abi as-Sa’ud j.7 m/s 111).

Kerana itu al-Allamah Mahmud al-Aaluusi berkata: والظاهر على القول بأن الآية نزلت كرامةللمختارات وتطييبا لخواطرهن وشكرا لحسن صنيعهن عدم النسخ والله تعالى أعلم Bermaksud: Menurut pendapat orang-orang yang mengatakan ayat ini (ayat ke-52 Surah al-Ahzaab) turun sebagai penghormatan kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang diberi pilihan (sama ada hendak memilih dunia atau memilih Allah. RasulNya dan kehidupan akhirat, lalu mereka memilih yang kedua), juga sebagai penghibur hati-hati mereka dan sebagai balasan kepada pilihan yang dibuat mereka, maka zahirnya ayat itu tidak dimansukhkan والله تعالى أعلم (Lihat Tafsir Ruuh al-Ma’ani j.22 m/s 67).

b) Pendapat orang-orang yang mengatakan ayat ke-52 dimansukhkan oleh ayat ke 50 sebenarnya masih boleh dipertikaikan. Kerana ada juga riwayat daripada Ibnu `Abbaas, Qataadah dan lain-lain yang menyatakan sebaliknya, iaitu ayat ke 50 sebetulnya yang dimansukhkan oleh ayat ke 52. Tertib turunnya sama seperti tertib yang terdapat di dalam mushaf. Ayat ke 50 diturunkan dahulu, kemudian baru ayat ke 52. Tiada dalil yang kukuh di sisi orang-orang yang mengatakan ayat ke 52 boleh dimansukhkan oleh ayat ke 50, kerana walaupun ayat ke 50 tersebut dan dibaca dahulu di dalam al-Quran, tetapi ia diturunkan kemudian. Kalau ayat ke 52 diturunkan dahulu, kenapa pula ia dapat memansuhkan ayat ke 50 yang diturunkan kemudian?

Kenapa Ibnu `Abbaas berkata: ونسخ سبحانه بذلك (أي بقوله لا يحل لك النساء الخ) ما أباحه له قبل من التوسعة في جميع النساءBermaksud: “Allah s.w.t. memansuhkan dengannya (dengan firmanNya: لا يحل لك النساء dan seterusnya) apa yang telah diharuskan kepadanya (kepada NabiNya) sebelum itu berupa perkahwinan dengan semua macam perempuan (yang tersebut di dalam ayat ke 50 sebelumnya)?” Kenapa pula Mujahid dan Ibnu Jubair mentafsirkan من بعد yang tersebut di dalam ayat ke 52 dengan kata mereka من بعد اباحة النساء على العموم Bermaksud: setelah diharuskan perempuan-perempuan (kepada Nabi s.a.w., secara umum? (Lihat Tafsir Ruh al-Ma;ani j.22 m/s 65).

c) Diriwayatkan daripada sekian ramai sahabat dan tabi’iin, termasuk antara mereka Ubai bin Ka’ab, Ibnu `Abbaas, `Ikrimah, Abu Razin, ad-Dhahhaak, Qataadah, Hasan al-Bashri dan lain-lain bahawa Allah menghalalkan kepada Nabi-Nya berkahwin dengan 7 macam perempuan melalui ayat ke 50. 7 macam perempuan yang dimaksudkan itu ialah: (i) Isteri-isteri Nabi s.a.w. yang telah dikahwini Baginda dengan membayar maskahwinnya dengan sempurna. (ii) Hamba sahaya Baginda. (iii) Anak-anak perempuan bapa saudara Nabi (sebelah bapa). (iv) Anak-anak perempuan emak saudara Nabi (sebelah ibu) (v) Anak-anak perempuan emak saudara Nabi (sebelah ibu) (vi) Anak-anak perempuan emak saudara Nabi (sebelah ibu) dengan syarat semua mereka (sepupu-sepupu atau kerabat Rasulullah s.a.w. itu) juga telah berhijrah seperti Nabi . (vii) Mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin). Melalui ayat ke 52 pula Allah tidak menghalalkan NabiNya berkahwin dengan perempuan-perempuan yang tidak termasuk dalam salah satu daripada 7 macam perempuan yang telah tersebut di dalam ayat ke-50 sebelumnya. Melalui ayat ke-52 juga Allah tidak menghalalkan kepada NabiNya menggantikan isteri-isterinya yang sedia ada dengan menceraikan mereka, lalu berkahwin dengan perempuan-perempuan lain sebagai ganti mereka, walaupun ia termsuk dalam 7 macam perempuan yang dihalalkan Baginda berkahwin dengannya. Ini bererti apa yang tidak dihalalkan kepada Nabi s.a.w. ialah mengahwini perempuan-perempuan lain dengan menceraikan mana-mana isteri Baginda yang sedia ada. Kalau tanpa menceraikan mana-mana isteri yang sedia ada, boleh saja Nabi s.a.w. berkahwin dengan siapapun yang disukai Baginda, asalkan ia termasuk dari kalangan 7 macam perempuan yang dibenarkan Baginda berkahwin dengannya. Ini terbukti berdasarkan fakta sejarah yang menunjukkan Nabi s.a.w. masih lagi berkahwin selepas turun ayat ke-52 Surah al-Ahzab itu. Sebagai contohnya pada tahun ke 7 Hijrah, Rasulullah s.a.w. berkahwin lagi dengan
Maimunah binti al-Haarits.

Selain itu, riwayat yang dikkemukakan oleh as-Suyuthi daripada Ziad melalui sekian ramai tokoh-tokoh hadits juga tidak menyokong ayat ke-52 dimansuhkan. Lihat riwayat berkenaan di bawah ini:

أخرج الفريابي والدارمي وابن سعد وعبد الله بن أحمد في زوائد المسند وابن جرير وابن المنذر وابن أبي حاتم وابن مردويه واضياء في المختارة عن زياد رضي الله عنه قال: قلت لبي رضي الله عنه: أرلأيت لو أن ازواج النبي صلى الله عليه وسلم متن أما يحل له أن يتزوج قال: وما يمنعه من ذلك قلت: قوله {يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ} الأحزاب الأية 50 الى قوله {وَامْرَأَةً مُؤْمِنَة} ثم قال {لا يحل لك النساء من بعد} هذه الصفة

Bermaksud: Kata Ziad, aku bertanya Ubai (bin Ka’ab r.a): “Bagaimana kalau isteri-isteri Nabi (yang sedia ada) meninggal dunia, tidak halalkah (juga) Rasulullah s.a.w. berkahwin (lagi sebagai ganti mereka)?” Jawab Ubai, “Apa yang menghalang Baginda daripadanya?”. Kataku, “Firman Allah لا يحل لك النساء من بعد (Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah isteri-isterimu yang ada itu)”. Kata Ubai, “Sebenarnya Allah telah menghalalkan kepada Baginda beberapa macam perempuan, sifat-sifatnya (juga) disebut Allah menerusi firmanNya: يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ iaitu ayat ke-50 Surah al-Ahzaab hingga firmanNya وَامْرَأَةً مُؤْمِنَةً kemudian beliau (Ubai) berkata (sebagai mentafsirkan perkataan من بعدyang tersebut di dalam firman Allah): لا يحل لك النساء من بعد bahawa ia bermaksud: Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain selain daripada yang telah disebutkan sifat-sifatnya sebelum itu (di dalam ayat ke-50) (Lihat Tafsir ad-Durru al-Mantsur j.6
m/s/636)

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 81 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 17)

Leave a comment