Usul Tafsir al-Quran – Sesi 86 – (Sambungan) Usul No 17 – Mengetahui Ayat-Ayat Yang Menasakhkan Dan Ayat Yang Dimansuhkan

VIDEO – [Durasi 1j 11m 49s] – Sesi 86 – Usul No 17 – Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube https://youtu.be/0_lIj2IXFqM ]

TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN

01- 00:00:36 : Bantahan Golongan Ketiga Terhadap Dalil-Dalil yang Dipegang Oleh Golongan Muta’khirin yang Menerima Konsep Nasakh

02- 00:06:07 : Dalil Naqli Dibagi kepada dua

03- 00:08:16 : Dalil Pertama Surah al-Baqarah ayat 106

04- 00:12:00 : Bantahan Orang yang Tidak Terima Dalil Pertama

05- 00:20:30 : Perkataan “Ayat” didalam Al-Quran Mempunayi Bermacam-macam Maksud

06- 00:30:00 : Ayat Selepas Dan Ayat Sebelum iaitu Ayat Siaq dan Sibaq

07- 00″35:38 : Sesetengah Ulama’ Memakai Perkataan “Ayat” Sebagai Syariat-Syariat yang lalu

08- 00:38:14 : “Ma Syartiyah”

09- 00:51:33 : Antara Contoh Ayat “Syartiyah”

10- 01:01:10 : Al-Qur’an Adalah Mu’jizat Yang Hidup Dan Akan Terus Kekal Walaupun Pembawanya Sudah Tiada Nanti

NOTA KULIAH


Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff

(SAMBUNGAN) USUL NO 17 – MENGETAHUI AYAT-AYAT YANG MENASAKHKAN DAN AYAT YANG DIMANSUHKAN

(e) Jika diterima sekalipun perkataan آية di dalam ayat 106 Surah al-Baqarah itu sebagai ayat al-Qur’an sekalipun masih belum pasti ia menunjukkan bahawa sememangnya ada ayat-ayat al-Qur’an tertentu yang dimansukhkan dengan ayat lain. Apalagi untuk dikatakan ia dimansukhkan dengan hadiths, ijma’ atau dengan qias sebagaimana dengan yang dida’wa oleh golongan yang menerima adanya nasakh secara khususnya dalam bab hukum-hakam!

Sebabnya ialah perkataan ما yang tersebut di permulaan ayat 106 adalah ما شرطية جزائية. Perkataan ننسخ adalah syaratnya. Dan rangkai kata نأت بخير منها pula adalah jawab bagi ما الشرطية di permulaan ayat berkenaan. Sebagaimana apabila engkau berkata, من جاءك فأكرمه (Sesiapa datang kepadamu, maka muliakanlah dia), maka kata-katamu itu tidaklah menunjukkan secara pasti akan berlaku kedatangan, ia paling tinggi pun menunjukkan jika diandaikan ada sesiapa datang, maka mestilah engkau muliakannya. Demikian juga dengan ayat berkenaan, ia tidak menunjukkan sememangnya ada berlaku nasakh terhadap ayat-ayat tertentu. Ia hanyalah menunjukkan jika diandaikan berlaku nasakh terhadap mana-mana ayat al-Qur’an, maka mestilah Allah akan turunkan ayat yang lebih baik daripada ayat yang dinasakhkan, atau paling tidak pun yang setara dengannya. Kesimpulannya ialah ayat itu tidak merupakan nas yang terang tentang berlakunya nasakh di dalam al-Qur’an. Malah sebaliknya ia secara tidak langsung menunjukkan tentang tidak adanya nasakh di dalam al-Qur’an.

Keadaannya sama seperti firman Allah berikut ini:

فَإِنْ كُنْتَ فِي شَكٍّ مِمَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ فَاسْأَلِ الَّذِينَ يَقْرَءُونَ الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكَ لَقَدْ جَاءَكَ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ (94)

Bermaksud: Maka jika engkau (wahai Muhammad) berasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab (yang diturunkan) sebelummu. Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka janganlah engkau sekali-kali termasuk (dalam kumpulan) orang-orang yang ragu-ragu. (Yunus:94)

Jelas sekali apa yang tersebut sebagai syarat di dalam ayat ini tidak berlaku. Memang tidak ada berlaku Nabi s.a.w. berasa ragu-ragu tentang apa yang Allah turunkan kepadanya.itu adalah suatu yang mustahil berlakunya kepada Nabi s.a.w. Oleh kerana tidak ada berlaku syaratnya, maka tidak berlakulah pula jawabnya, iaitu tidak ada berlakulah pula Nabi s.a.w. bertanya kepada orang-orang yang membaca kitab sebelumnya. Ayat itu seolah-olahnya menyatakan “Oleh kerana tidak ada sebarang keraguan dalam dirimu terhadap al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah kepadamu, maka tidak perlulah engkau bertanya Ahlil Kitab.” Itulah sebabnya Nabi s..a.w. melarang umatnya bertanya apa-apa kepada Ahlil Kitab, kerana mereka hanya akan mengacau-bilaukan ma’lumat yang sedia ada pada umat dengan memberikan ajaran agama mereka yang mengarut dan telah diselewengkan.

Penggunaan uslub (gaya bahasa) syarat yang tidak berlaku, maka tidak berlakulah pula jawabnya seperti yang terdapat dalam ayat 94 Surah Yunus itu terdapat pada beberapa tempat lagi di dlam al-Qur’an. Supaya dapat difahami dengan betul uslub itu di bawah ini dikemukakan dua lagi contohnya. Allah berfirman:

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ (116)

Bermaksud: Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (al-An’aam:116)

Syarat yang disebut di dalam ayat 116 Surah al-An’aam itu ialah, “Jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi”. Oleh kerana ia tidak berlaku, maka tidak berlakulah pula jawabnya, iaitu “niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah”.

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (65)

Bermaksud: Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan nabi-nabi yang terdahulu daripadamu, “Demi sesungguhnya! Jika engkau mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah), niscaya akan terhapuslah amalmu dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi. (az-Zumar:65).

Syarat yang disebutkan di dalam ayat ini ialah, “jika engkau mempersekutukan (Allah)”’ ia tidak berlaku, maka tidak berlakulah juga jawabnya, iaitu “niscaya akan terhapuslah amalmu dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi”.

Begitulah juga dengan ayat 106 Surah al-Baqarah yang sedang kita bincangkan sekarang. Oleh kerana tidak ada berlaku nasakh yang merupakan syarat di dalamnya, maka tidak adalah juga jawabnya, iaitu keperluan mendatangkan ayat lain yang lebih baik daripadanya atau setara dengannya. Uslub itu seolah-olahnya menyatakan maksud Allah yang sebenarnya, bahawa tiada pemansukhan, penukaran atau tindakan melupakan (nabi atau umat terhadap) mana-mana ayat al-Qur’an berlaku. Oleh itu tidak adalah keperluan Kami mendatangkan ayat lain yang lebih baik daripadanya atau yang setara dengannya. Kerana sememangnya tidak ada yang lebih baik daripada al-Qur’an yang telah diturunkan oleh Allah kepada NabiNya Muhammad s.a.w.

Membawa ayat al-Qur’an lain sebagai ganti yang setara dengan yang sedia ada juga suatu perbuatan yang sia-sia. Kerana kalau ia sudah baik, untuk apa digantinya dengan ayat lain yang sama saja daripada segi kebaikan dengannya?

(f) Rangkai kata أو ننسها (atau kami melupakan manusia kepadanya) yang terdapat di dalam ayat yang sama (ayat 106 Surah al-Baqarah) juga akan menimbulkan banyak kemusykilan jika perkataan Kami “nasakhkan” yang tersebut sebelumnya dipakai dengan erti menasakhkan mana-mana ayat al-Qur’an, terutamanya ayat hukum! Manusia manakah yang Allah lupakan ayat yang dikatakan telah Mansukh itu? Kalau manusia yang dimaksudkan di situ ialah kita para umat, maka jelas sekali tidak benarnya. Kerana semua orang tahu dan ingat ayat yang dimansukhkan, seperti juga ayat yang memansukhkannya. Kalau tidak ingat bagaimana ia boleh disebutkan, malah dibincangkan?! Jika dikatakan orang yang Allah lupakan dia terhadap ayat al-Qur’an yang dimansukhkan itu ialah Rasulullah s.a.w. sendiri sebagaimana yang terdapat dalam sesetengah riwayat, maka ia juga jelas bercanggah dengan kenyataan. Kerana telah dikatakan Nabi s.a.w. sendirilah yang memberitahu tentang kemansukhannya. Kalau baginda betul-betul telah terlupa, bagaimana baginda dapat menceritakan pula kepada para sahabat?! Selain itu ia juga bercanggah dengan firman Allah yang memberi jaminan akan menjaga dan mengingatkan Nabi s.a.w. akan apa yang diwahyukan kepadanya! Lihat sebagai contohnya firman Allah berikut:

لَا تُحَرِّكْ بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ (16) إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ (17) فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ (18) ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ (19)

Bermaksud: Janganlah engkau (wahai Muhammad) kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). (16) Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); (17). Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; (18) Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan). (19). (al-Qiyaamah:16-19).

Jika anda memakainya dengan erti, “Kami melupakan manusia terhadap mu’jizat yang pernah diberikan kepada mana-mana nabi terdahulu”, maka dengan mudah saja ia akan dapat difahami. Kerana sudah menjadi tabi’i manusia akan terlupa kepada sesuatu yang telah lampau pada masa lalu yang agak lama. Demikian juga kalau ia dipakai dengan erti, “Kami menjadikan mu’jizat yang pernah diberikan kepada nabi terdahulu tidak begitu diperlukan kerana perubahan zaman yang telah berlaku. Manusia di zaman kemudian lebih memerlukan kepada mu’jizat lain sebagai gantinya. Dan sebaik-baik gantinya ialah al-Quran, satu mu’jizat yang hidup dan akan terus kekal walaupun pembawanya sudah tiada nanti.

NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE

NOTA USUL TAFSIR – SESI 86– Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 18)

Leave a comment