NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
VIDEO – [Durasi 1j 14m 59s] – Sesi 87 – Usul No 17 -Mengetahui Ayat Yang Menasakhkan & Ayat Yang Dimansuhkan
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/lOJUJ9T6d1A ]
TANDA MASA TAJUK PERBINCANGAN
1- 00:10 : Bantahan Golongan Ketiga Terhadap Dalil-Dalil yang Dipegang Oleh Golongan Muta’khirin yang Menerima Konsep Nasakh
2- 03:50 : Dalil Kedua yang Dipegang Oleh Golongan Muta’khirin yang Menerima Konsep Nasakh
3- 18:14 : Bantahan Terhadap Dalil Kedua
NOTA KULIAH
Ringkasan 20 Usul Tafsir Al-Quran (Yang Perlu Dikuasai Untuk Memahami Al-Qur’an Dengan Betul Dan Selamat) oleh Maulana Asri Yusoff
Uusl 17 – Mengetahui Ayat-ayat yang Menasakhkan Dan Ayat-ayat Yang Dimansukhkan
Dalil kedua mereka ialah firman Allah berikut:

Bermaksud: Dan apabila Kami tukarkan satu ayat menggantikan ayat yang lain dan Allah memang mengetahui akan apa yang Dia turunkan, – berkatalah mereka (yang kafir): Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya. (an-Nahl:101).
Kata orang-orang yang menerima konsep nasakh ayat hukum di dalam al-Qur’an, ayat 101 Surah an-Nahl ini jelas menunjukkan adanya penukaran satu ayat dengan ayat yang lain. Itulah sebenarnya yang dikatakan nasakh. Antara bukti yang menunjukkan perkataan آية yang tersebut di dalam ayat ini ialah ayat al-Qur’an, bukan mu’jizat atau syari’at yang lalu ialah firman Allah di dalamnya bahawa: والله أعلم بما ينزل Bermaksud: “Dan Allah memang mengetahui akan apa yang Dia turunkan”. Tentulah apa yang diturunkan oleh Allah itu berupa ayat-ayat al-Qur’an, kerana ayat-ayat al-Qur’anlah yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Ayat seterusnya membuktikan apa yang diturunkan oleh Allah seperti tersebut di dalam ayat 101 itu ialah ayat-ayat al-Qur’an. Lihat ayat berkenaan di bawah ini:

Bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan al-Qur’an itu dari Tuhanmu dengan benar, untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang telah beriman, dan untuk menjadi petunjuk serta berita gembira bagi orang-orang Islam.” (an-Nahl:102).
Bukankah Jibril menurunkan al-Qur’an dalam bentuk ayat-ayat kepada Rasulullah s.a.w.? Nah! Itulah bukti ayat yang ditukar oleh Allah sebagai ganti kepada ayat yang lain itu bermaksud ayat al-Qur’an, bukan mu’jizat atau syari’at nabi-nabi dan rasul-rasul yang lalu.
BANTAHAN TERHADAP DALIL KEDUA
Dalil kedua ini dipertikaikan juga oleh golongan ketiga. Bagi mereka, tidak ada petunjuk jelas di dalam ayat 101 dan 102 Surah an-Nahl itu yang menunjukkan sesuatu ayat hukum apabila dimansukhkan oleh Allah, ia diganti dengan ayat hukum yang lain pula olehNya!
Di bawah ini dikemukakan beberapa alasan golongan ketiga dalam menolak pemahaman golongan kedua terhadap ayat berkenaan:
(a) Ketika membincangkan dalil pertama sebelum ini telah pun disebutkan bahawa perkataan أية di dalam al-Qur’an tidak semestinya dipakai dengan erti ayat al-Qur’an sahaja. Ia dengan erti ayat al-Qur’an adalah salah satu istilah yang baru diperkenalkan oleh Islam. Jika dilihat kepada penggunaan perkataan itu di dalam al-Qur’an, maka lebih banyak lagi ia telah dipakai dengan erti-ertinya yang lain menurut Bahasa Arab. Dan itulah merupakan makna-makna asalnya. Salah satunya ialah tanda kebesaran Allah atau mukjizat.
Perkataan اية telah digunakan sebanyak 86 kali di dalam al-Qur’an. Yang dipertikaikan sama ada ia dipakai dengan erti ayat al-Quran atau lain-lain erti hanyalah dua ayat ini sahaja (ayat 106 Surah al-Baqarah dan ayat 101 Surah an-Nahl ini). Adapun yang lain-lain semuanya disepakati tentang ia sememangnya telah dipakai dengan erti (الاية الكونية) atau tanda-tanda kebesaran Allah pada alam semesta. Termasuk juga di dalamnya mukjizat-mukjizat yang diberikan oleh Allah kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya.
(b) Silap sekali mengatakan bahawa apabila Allah berfirman di dalam ayat 101 – 102 itu yang bermaksud, “Allah memang mengetahui apa yang Dia turunkan”, dan Ruhul Qudus (Jibril) pula yang menurunkannya, maka tentulah yang diturunkan oleh Allah itu berupa ayat-ayat al-Qur’an. Kerana Jibril hanya menurunkan ayat-ayat al-Qur’an sahaja kepada Nabi s.a.w.
Anggapan seperti itu nyata sekali silapnya, kerana Jibril bukan ditugaskan untuk menurunkan ayat-ayat al-Qur’an sahaja kepada Nabi kita Muhammad s.a.w. Bukankah Jibril pernah turun kepada Nabi s.a.w sekembalinya baginda daripada berdakwah di Ta’if, dan penduduknya tidak menyambut baik dakwah yang disampaikan oleh baginda, sebaliknya mereka telah menghina dan memukul baginda? Pada ketika itu bukankah Jibril berkata kepada Baginda: “Ini malaikat yang menjaga bukit-bukau. Ia dihantar oleh Allah untukmu. “Lalu malaikat itu berkata, “Jika engkau mahu aku hempapkan saja dua buah bukit besar yang keras ini ke atas mereka, nescaya akan ku lakukan. “Tetapi Nabi s.a.w menghalangnya berbuat begitu, baginda sebaliknya berkata, “Bahkan aku berharap Allah akan mengeluarkan daripada sulbi-sulbi mereka orang-orang yang akan menyembah Allah semata-mata dalam keadaan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu yang lain.”?
(c) Memang tidak dinafikan bahawa Jibrillah yang menurunkan ayat-ayat al-Qur’an kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi perkataan اية yang digunakan di dalam ayat 101 sekarang tidaklah ditujukan kepada ayat tertentu di dalam al-Qur’an, sebaliknya ia bererti al-Qur’an itu sendiri sebagai mukjizat daripada Allah yang menunjukkan kebesaranNya.
(d) Ayat ini tidak sesuai langsung untuk dikaitkan dengan ayat-ayat hukum yang dimansukhkan, kerana ia merupakan ayat Makiyyah dan sememangnya ia terletak di dala Surah an-Nahl yang merupakan salah satu surah Makiyyah. Sedangkan ayat-ayat hukum secara umumnya diturunkan di Madinah. Ia sepatutnya terdapat di dalam surah-surah Madaniyyah.
Hukum apa agaknya yang telah dimansukhkan di Mekah sehingga perlu diturunkan ayat yang bercerita tentang kewajaran pemansukhannya?!
(e) Perkataan اية yang tersebut di dalam ayat 101 Surah an-Nahl ini lebih sesuai dikaitkan dengan al-Qur’an itu sendiri sebagai mukjizat yang dipertikaikan oleh orang-orang kafir pada masa itu. Orang-orang kafir semasa menuntut dan mencabar Nabi s.a.w mengemukakan kepada mereka mukjizat-mukjizat zahir seperti yang pernah diberikan kepada Nabi Musa dan Isa dahulu, jika baginda benar-benar rasul Allah sebagaimana yang didakwa oleh baginda. Sebagai buktinya lihatlah firman Allah di bawah ini:






Bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang kepada manusia, di dalam al-Qur’an ini, dengan berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam pada itu, kebanyakkan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran. (89). Dan mereka berkata: Kami tidak sesekali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi bagi Kami. (90). Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. (91). Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku) ; tau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit dan kami tidak sesekali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya. Katakanlah (wahai Muhammad): Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul? (93). Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayat petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul? (94). (al-Israa’: 89-94).
(f) Firman Allah di dalam ayat 101 Surah an-Nahl ini merupakan penolakan terhadap permintaan orang-orang kafir supaya Nabi s.a.w membawa kepada mereka Qur’an yang lain atau baginda menukarnya dengan sesuatu yang lain. Justeru itu adalah suatu yang sia-sia saja. Lihat bagaimana Allah menggambarkan permintaan mereka yang bukan-bukan itu di dalam firmanNya ini:

Bermaksud: Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): Bawalah Quran yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, jika aku mendehaka kepada Tuhanku, akan azab hari yang besar (soal jawabnya). (Yunus:15).
(g) Sesetengah ‘ulama’ pula berpendapat, perkataan اية yang tersebut di dalam ayat 101 Surah an-Nahl itu bererti syari’at para nabi dan rasul itulah yang ditukar oleh Allah dari semasa ke semasa. Ia menggambarkan kemusykilan orang-orang kafir, khususnya Ahlil Kitab dari kalangan Yahudi yang mengamalkan hukum-hukum Kitab Taurat bahawa bagaimana Muhammad boleh menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh syariat Nabi Musa dahulu, jika baginda benar-benar rasul yang diutuskan oleh Allah. Bagaimana pula terdapat perbedaan di antara dua orang rasul yang diutuskan, sedangkan mereka membawa wahyu daripada Tuhan yang sama?
Hakikat ini dapat dilihat pada firman Allah di dalam Surah al-An’aam yang juga merupakan surah Makiyyah. Allah berfirman:



Bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah. Kemudian sesiapa yang terpaksa memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (145). Dan kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputinya pekakas dalam perutnya atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka dan sesungguhnya Kamilah yang benar. (146). Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah ruah dan azab seksaNya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa. (147). (al-An’aam:145-147).
NOTA KULIAH – MUAT TURUN ATAU BACA ONLINE
NOTA USUL TAFSIR – SESI 87 – Ringkasan Usul Tafsir al-Quran – Usul 17 (Nota 18)
