Tafsir Al-Quran – Maulana Abd Hadi Yaakob – Surah No 107 – Al-Maa’uun

VIDEO – [Durasi  03m 40s] -Surah No 107 – Al-Maa’uun – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/AgDIUL05cYs ]

سورة الماعون
بسم الله الرحمن الرحيم

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ (1) فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ (2) وَلَا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ (3) فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4) الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (5) الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (6) وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (7)

TERJEMAHAN SURAH AL-MAA’UUN

Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

(1) Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?

(2) Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,

(3) Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

(4) (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang –

(5) (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;

(6) (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),

(7) Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).

[ Terjemahan Bahasa Malaysia Dari http://www.surah.my/ dan mungkin ada sedikit perbezaan dengan terjemahan oleh Maulana Abd Hadi ]

====================================================
EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI)
====================================================

1. Orang yang cinta dunia akan bersikap bakhil walaupun dalam perkara yang dia tidak sepatutnya bersikap bakhil. Contohnya, benda kecil yang murah harganya pun mereka tidak mahu berikan kepada orang lain.

2. Sifat bakhil ini sebenarnya berkembang secara beransur-ansur dalam diri seseorang yang cintakan dunia. Kerana cinta dunia, barang yang tidak berguna pun (contohnya, makanan yang hampir basi) masih dia tidak ingin sedekahkan kepada orang lain.

3. “Tidakkah kamu tengok orang yang mendustakan agama?”. “Iaitu orang yang mengusir anak yatim “. Anak yatim perlu dilayan dengan baik tetapi sebaliknya diusir. Anak yatim perlukan bantuan tapi dia enggan membantu.

4. Dia tidak suka memberi galakan supaya memberi makan kepada orang miskin malah dia benci bila ada orang lain yang memberi makan. Orang yang bakhil tidak suka orang lain berbuat baik.

5. Dia tidak suka memberi galakan supaya memberi makan kepada orang miskin kerana, pada pendapatnya,  ianya akan merugikannya.

6. Maka celakalah dia! Orang yang tamakkan dunia, hubungannya dengan Allah tidak betul dan hubungannya dengan makhluk pun tidak betul.

7. Orang yang cinta dunia tidak akan khusyuk dalam sembahyang kerana hubungannya dengan Allah tidak betul. Kerana sikap tamaknya, hartanya yang melimpah ruah pun dia tidak akan berikan kepada orang lain.

8. “Maka celaka besar kepada orang yang bersembahyang, iaitu orang yang lalai dan leka dalam sembahyang mereka”. Yang melalaikan mereka dalam sembahyang adalah dunia (dan perkara-perkara berkaitan dengan dunia).

9. Dia terlepas waktu sembahyang kerana dunia; dia tidak khusyuk dalam sembahyang pun disebabkan perkara dunia. Dia mengerjakan sembahyang supaya dilihat oleh orang lain. “Iaitu orang-orang yang (tujuannya beribadat untuk) menunjukkan amalan-amalan mereka kepada orang lain dan bukan kerana Allah”.

10. Dia menahan perkara yang tidak patut ditahan. Dan menegah daripada memberi perkara-perkara yang tidak patut ditegah.

Leave a comment