Tafsir Al-Quran – Maulana Abd Hadi Yaakub – Surah No 58 – al-Mujaadalah (Ayat 1 – 4)

VIDEO – [Durasi  10m 41s] – Surah No 58-al-Mujaadalah (Ayat 1- 4) – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/UyR8ewtPYcM ]

سورة المجادلة

بسم الله الرحمن الرحيم

قَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُكَ فِي زَوْجِهَا وَتَشْتَكِي إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ يَسْمَعُ تَحَاوُرَكُمَا إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ (1) الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْكُمْ مِنْ نِسَائِهِمْ مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلَّا اللَّائِي وَلَدْنَهُمْ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنْكَرًا مِنَ الْقَوْلِ وَزُورًا وَإِنَّ اللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ (2) وَالَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُوا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا ذَلِكُمْ تُوعَظُونَ بِهِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ (3) فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا فَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ذَلِكَ لِتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ (4)

TERJEMAHAN SURAH AL-MUJAADALAH  (AYAT 1 – 4)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(1) Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

(2) Orang-orang yang “ziharkan” isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

(3) Dan orang-orang yang “ziharkan” isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

(4) Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

[Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin terdapat sedikit perbezaan dengan terjemahan oleh Maulana Abd Hadi ] 

===================================================

EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI) ===================================================

1. Terdapat kekeliruan tentang hukum-hukum agama di kalangan sahabat nabi (tentang perkara-perkara yang menjadi adat resam di zaman jahiliyah).

2. Seorang sahabat, Aus bin Tsamid, telah meminta isterinya untuk “bersama”, tetapi isterinya enggan menyebabkan dia terlalu marah sehingga berkata, “Ke atasku, kamu pada hari ini telah menjadi seperti belakang ibuku”. “Belakang”, bermaksud, “tidak boleh rapat” (tidak boleh bersetubuh)”.

3. Lafaz seperti ini, pada orang Arab (terutamanya penduduk Madinah) adalah bermaksud untuk memutuskan hubungan suami-isteri untuk selama-lamanya, bukan setakat bercerai (kalau bercerai dapat rujuk semula). Ianya dikenali sebagai “zihar”.

4. Menurut adat resam Arab, apabila suami melafazkan perkataan ini kepada isterinya, mereka tidak boleh rujuk selama-lamanya.

5. Isteri Aus, Khaulah, mengadu tentang hal tersebut kepada nabi. Beliau mengadu, “Apa yang akan berlaku nanti (jika mereka bercerai), kerana saya mempunyai ramai anak dan saya miskin. Anak-anak saya masih kecil, mungkin akan terbiar jika dijaga oleh bekas suami saya. Jika saya yang menjaganya, saya akan kelaparan kerana saya miskin”.

6. Nabi menjelaskan jika itulah perkataan suaminya, dengan maksud sebagaimana yang maklum di dalam masyarakat Madinah, maka hukum zihar telah berlaku. Lalu Khaulah mengadu (berdoa) kepada Allah supaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Kemudian, beliau berjumpa lagi dengan nabi untuk mengadukan hal yang sama, untuk mendapat kepastian yang jelas di sisi syariat. Ini adalah kerana mengikut adat resam masyarakat Madinah, lafaz zihar adalah bermaksud untuk berpisah selama-lamanya dengan isterinya. Dia juga mengadukan tentang masalah sara hidup dan penjagaan anak-anaknya. Nabi menjawab dengan jawapan yang sama seperti sebelumnya.

7. Ada riwayat mengatakan bahawa beliau berjumpa Rasulullah sebanyak tiga kali, di samping itu beliau juga mengadu (berdoa) kepada Allah supaya menyelesaikan masalahnya. Setelah itu Allah turunkan surah ini.

8. Adat “zihar” adalah bukan dari syariat Islam tetapi adalah dari adab resam kaum jahiliyyah. Adat ini adalah zalim dan tidak mencerminkan syariat Islam yang adil. Walaupun begitu, ianya menjadi amalan orang Madinah selama ini.

9. Lafaz-lafaz zihar ini menghidupkan adat resam yang zalim, tidak merupakan sebahagian dari syariat Islam yang sentiasa adil. Allah menurunkan ayat berikut untuk menjelaskan hukum yang sebenar;

10. “Sesungguhnya Allah telah mendengar aduan perempuan yang bertanya kepada kamu (Muhammad) tentang suaminya (yang melafazkan perkataan yang demikian). Dan dia mengadu kepada Allah supaya Allah menyelesaikan masalahnya”.

11. Bila beliau datang berjumpa nabi, nabi tidak dapat menyelesaikannya, kerana nabi tidak akan berbuat sesuatu tanpa petunjuk dari Allah. Tanpa arahan dari Allah, nabi menerima apa yang menjadi adat resam semasa itu.

12. “Allah telah mendengar” bermaksud, “Allah telah menerima doa dan rayuan” perempuan yang datang berbincang dengan nabi tersebut. Dia telah mengadu dengan sungguh-sungguh tentang dirinya yang teraniaya dan seolah-olah tiada penyelesaiannya.

13. “Dan Allah sesungguhnya Maha Mendengar (perbualan mereka berdua), lagi Maha Melihat.

14. Ketetapan tentang hukum zihar ialah, “Suami yang berzihar di kalangan mereka itu terhadap isteri mereka (iaitu, berkata kamu seperti ibuku – haram bersetubuh selama-lamanya-), tidaklah isteri itu seperti ibu mereka”, maksudnya dengan lafaz zihar itu, tidaklah menjadikan isteri itu menjadi ibu. “Tidaklah ibu mereka melainkan perempuan yang melahirkan mereka”. Ibu adalah orang yang melahirkan mereka, isteri tidak melahirkan mereka. Ungkapan “zihar” tersebut adalah hanyalah rekaan (yang tidak berpijak di bumi nyata) dan bukan syariat dari Allah.

15. “Sesungguhnya mereka menuturkan perkataan yang mungkar dan dusta”, perkataan yang diucapkan tersebut adalah perkataan yang berdosa dan tidak benar maksudnya.

16. “Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf Lagi Maha Pengampun”.

17. Inilah kali pertama berlaku perkara ini dalam Islam; untuk dijadikan panduan dan syariat. Ayat al-Quran ini diturunkan untuk menjelaskan kedudukan yang sebenar di antara adat resam dan syariat Allah taala. Adat resam yang zalim hendaklah ditinggalkan dan kita hendaklah patuh kepada syariat Islam yang adil.

18. “Dan orang-orang yang men”zihar”kan isterinya, kemudian dia ingin membatalkan lafaz zihar yang mereka ucapkan, ke atas mereka (yang ingin kembali kepada isteri setelah lafaz zihar diucapkan) hendaklah memerdekakan seorang hamba”. Ke atas mereka tanggungan untuk memerdekakan seorang hamba, “Sebelum melakukan persetubuhan”.

19. Hukuman kaffarah ini adalah peringatan (supaya kamu jangan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan syariat).

20. “Yang demikian itu, hukuman kaffarah ini, sebagai nasihat supaya jangan mengulangi perbuatan tersebut”. “Dan Allah taala Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan”.

21. “Maka siapa yang tidak mendapati hamba sahaya”, samada tidak mampu untuk membeli hamba sahaya atau tidak wujud hamba sahaya (seperti hari ini), “dia hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum bersama (dengan isterinya)”.

22. “Jika dia tidak mampu berpuasa (dua bulan berturut-turut), “gantinya ialah memberi makan kepada enam puluh orang miskin”

23. “Penetapan (hukum seperti) ini adalah untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintah Allah)”.

24. “dan itulah batas-batas hukum Allah”, undang-undang agama Allah untuk kamu ikuti. 26. Kalu tidak, “Bagi golongan ingkar adalah azab yang pedih”

Leave a comment