Tafsir Al-Quran – Maulana Abd Hadi Yaakob – Surah No 63 – al-Munaafiquun

VIDEO – [Durasi  15m 35s] -Surah No 63 -al-Munaafiquun – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/U8wuhRfwsEU ]

سورة المنافقون

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا۟ يَسْتَغْفِرْ لَكُمْ رَسُولُ ٱللَّهِ لَوَّوْا۟ رُءُوسَهُمْ وَرَأَيْتَهُمْ يَصُدُّونَ وَهُم مُّسْتَكْبِرُونَ ٥ سَوَآءٌ عَلَيْهِمْ أَسْتَغْفَرْتَ لَهُمْ أَمْ لَمْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ لَن يَغْفِرَ ٱللَّهُ لَهُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلْفَـٰسِقِينَ ٦ هُمُ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُوا۟ عَلَىٰ مَنْ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّوا۟ ۗ وَلِلَّهِ خَزَآئِنُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ لَا يَفْقَهُونَ ٧ يَقُولُونَ لَئِن رَّجَعْنَآ إِلَى ٱلْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ ٱلْأَعَزُّ مِنْهَا ٱلْأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ ٱلْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَـٰكِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ ٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ ٩ وَأَنفِقُوا۟ مِن مَّا رَزَقْنَـٰكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَآ أَخَّرْتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ قَرِيبٍۢ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ١٠ وَلَن يُؤَخِّرَ ٱللَّهُ نَفْسًا إِذَا جَآءَ أَجَلُهَا ۚ وَٱللَّهُ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ ١١

TERJEMAHAN SURAH AL-MUNAAFIQUUN

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(1) Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.

(2) Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

(3) (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).

(4) Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya – dari kebenaran)?

(5) Dan apabila dikatakan kepada mereka: ” Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu”, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.

6) (Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.

(7) Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): “Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)”. Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).

(8) Mereka berkata lagi: ” Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)”. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(9) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

(10) Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “.

(11) Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.

[ Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin ada sedikit perbezaan dengan trejemahan oleh Maulana Abd Hadi ]

===============================================

EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI) ===============================================

1. Surah al-Al-Munaafiquun adalah berkenaan “infaq”. Di antara ciri-ciri penting supaya agama  Islam bangkit ialah perlu   adanya golongan berharta yang sanggup menginfaqkan harta untuk agama Allah.

2. Dalam surah  ini, Allah memberitahu tentang golong munafiqin yang bakhil dalam menginfaqkan harta.

3. Dalam perjalanan balik dari peperangan Bani Musthaliq, berlaku kekecohan di antara kaum Muhajirin dan Ansar. Seorang Muhajirin telah memukul seorang Ansar lalu orang  yang dipukul telah mengadu kepada sahabat Ansarnya bahawa dia telah dizalimi. Dan Muhajirin yang telah dipukul mengadu pula kepada kumpulannya menyebabkan berlaku perbalahan di antara kedua kumpulan.

4. Lalu nabi bersabda kepada mereka, “Apakah kamu masih tidak boleh meninggalkan lagi seruan jahiliyyah (berpuak-puak)?”. Peringatan tersebut bukan ditujukan kepada orang Mekah atau Madinah tetapi ditujukan kepada kumpulan yang dikenali dengan sifat baiknya (iaitu “Muhajirin” dan “Ansar”). Apa-apa seruan yang menyebabkan berpecah-belah, nabi melabelkannya sebagai “jahiliyyah”.

5. Muhajirin adalah sifat orang  yang berhijrah (bukannya kerana mereka berasal dari Mekah) dan Ansar ialah sifat orang yang memberi bantuan (bukannya kerana mereka orang Madinah). Tetapi jika mereka terlibat dalam pergaduhan dan pecah belah, nabi tetap mengatakan ianya jahiliyyah.

6. Ketua kaum munafiq yang ada bersama dalam rombongan tersebut berkata (untuk menghasut), “Apabila tiba di Madinah, orang mulia akan menghalau orang hina dari Kota Madinah. Dan berhentilah kamu semua dari menginfaqkan harta kepada pengikut-pengikut Muhammad (yang berada di sekeliling baginda untuk belajar)”. Dengan anggapan bahawa sesudah tiada harta mereka akan meninggalkan nabi Muhammad.  Mereka menyangka, kononnya dengan harta infaq inilah orang datang kepada nabi.

7. Mereka menyeru supaya golongan Ansar berhenti menginfaqkan harta kepada “pelajar-pelajar (sahabat-sahabat)” yang mengikuti nabi Muhammad supaya mereka meninggalkan nabi dan mencari rezeki di tempat lain. Maka Allah taala turunkan surah ini.

8. Seorang sahabat bernama Zaid bin Arqam, telah terdengar perkataan orang munafiq ini. Dia tidak dapat tidur kerana rasa amat sakit hati dan cuba memujuk bapa saudaranya supaya melaporkan hal ini kepada nabi. Bapa saudaranya mengingatkannya  bahawa Abdullah bin Ubay  adalah ketua munafiqin yang pandai berkata-kata dan suka menipu. Kemungkinan Zaid pula akan dipersalahkan. Zaid bin Arqam kemudiannya memberitahu sendiri kepada nabi tentang perkataan Abdullah bin Ubay tersebut. Nabi hendak  pastikan kebenaran dakwaan tersebut dengan bertanya sendiri kepada Abdullah (iaitu, mengenai perkataannya  orang mulia akan menghalau orang hina, dan jangan berikan infaq kepada sahabat-sahabat nabi yang belajar dan duduk bersama baginda  supaya mereka meninggalkan nabi).

9. Abdullah bin Ubay bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak pernah berkata demikian, dan dia mendakwa dia benar-benar mukmin dan Allah tahu isi hatinya. Oleh kerana dia telah bersumpah dengan nama Allah, maka dia telah terlepas dari hukuman kerana sumpah adalah satu hujjah dalam Islam. Nabi menegur Zaid supaya jangan berkata lagi sedemikian.

10. Sumpah adalah bukti (yang diterima dalam Islam). Nabi telah menegur Zaid Bin Arqam dan tidak menghukum Abdullah bin Ubay kerana nabi tidak tahu hakikat sebenarnya.

11. Selepas itu turun ayat al-Quran ini untuk menegakkan kebenaran dan mendedahkan bahawa munafiq itu telah bersumpah bohong.

12. “Apabila datang kepada kamu (Muhammad) golongan munafiq lalu berkata, “Kami bersaksi dengan sepenuh hati kami, bahawa kamu sesungguhnya rasul Allah, (kami tidak mungkin berbohong kepada kamu)”. Allah berkata, “Memang Allah maha mengetahui (bahawa engkau adalah rasulnya) dan Allah bersaksi bahawa munafiq ini telah berbohong (dengan mengatakan bahawa dia percaya nabi Muhammad adalah rasul Allah)”

13. Sekiranya mereka percaya bahawa nabi Muhammad adalah rasul Allah nescaya mereka tidak mengatakan bahawa sekembalinya ke Madinah, orang mulia (orang-orang Madinah) akan menghalau orang hina (nabi s.a.w).

14. Siapakah lagi yang sanggup berkata demikian kalau tidak dia seorang munafiq?

15. Pada mulanya mereka bersumpah, “Mereka jadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai”, dari ditangkap (dan dihukum)”.

16. “Sesungguhnya mereka, telah menghalang orang lain daripada jalan Islam”

17. “Sesungguhnya amat buruk nifaq yang mereka lakukan”

18. Amat buruk sifat nifaq, kerana sebelum ini mereka telah zahirkan sikap orang yang beriman tetapi kemudiannya mereka zahirkan pula sifat kufur.

19. Sebelum ini mereka menampilkan imej Islam tetapi mereka tidak dapat menutup hakikat sebenarnya. Sebelum ini mereka zahirkan bahawa mereka orang beriman, tetapi akhirnya sifat kekufuran mereka terdedah.

20. “Lalu dikunci hati mereka, sehingga tidak dapat memahami (apa hakikat Islam)”

21. “Apabila kamu tengok mereka, susuk tubuh mereka menarik hati kamu”, penampilan luaran mereka menarik (dan boleh dipercayai).

22. “Dan bila mereka bercakap, kamu akan percaya kepada mereka (dengan sebab petahnya bercakap)”

23. Semuanya indah di segi zahir (luaran) sahaja, tetapi (di dalam hatinya) tidak ada iman.

24. “Mereka ini seumpama kayu sandar untuk dijadikan bahan bakar”, (kayu yang disandarkan di dinding rumah sebelum dijadikan kayu api). Mereka ini adalah seumpama kayu yang disandar yang tidak layak dijadikan (barang yang berharga seperti) perabut, malah hanya layak untuk dijadikan bahan bakar sahaja.

25. “(Disebabkan busuknya hati mereka), mereka menyangka setiap bunyi bising adalah wahyu yang diturunkan”, yang ditujukan kepada mereka untuk membogkar tembelang mereka. Disebabkan busuknya hati mereka, mereka menyangka setiap bunyi bising adalah bala kepada mereka.

26. “Mereka sebenarnya musuh (dalam selimut)”.

27. “Berwaspadalah terhadap mereka (dan janganlah jadikan mereka teman rapat dan pemimpin)”

28. “Allah laknat mereka. Bagaimana mereka boleh terpesong dari jalan yang benar?”. Bagaimanakah mereka boleh terpesong sedangkan mereka tinggal dalam suasana yang benar dan ada di kalangan mereka guru (nabi Muhammad) yang benar. Juga kitab yang benar. Sahabat-sahabat yang bersama mereka ialah sahabat yang benar.

29. Mereka sepatutnya tidak terpesong, kecualilah mereka tinggal di persekitaran yang berbeza yang tiada nabi dan sahabat-sahabat baginda.

30. Orang munafiq tadi, setelah diajak supaya beristighfar kepada Allah dan meninggalkan amalan-amalan buruk, kembali kepada ajaran tauhid yang sebenar, tinggalkan segala prasangka, bertaubat dan berjumpa nabi untuk meng”amin”kan taubat mereka, tetapi yang mereka lakukan ialah memalingkan muka mereka. Dan mereka tidak ingin dinasihati, mereka sombong untuk menerima nasihat.

31. “Sama saja mereka (yang munafiq ini), kamu minta ampun untuk mereka atau kamu tidak meminta ampun”. “Sama sahaja” bermaksud, Allah tetap tidak akan mengampuni mereka.

32. “Sesungguhnya Allah tidak akan memberi pimpinan (dan hidayat) kepada kaum yang fasiq” 33. “Merekalah yang berkata, “Jangan kamu infaqkan kepada sesiapa yang berada bersama Rasulullah sehingga (menyebabkan) mereka pergi ke tempat lain (meninggalkan Rasulullah)”

34. ” (Padahal) Milik Allah khazanah langit dan bumi”

35. “Tetapi golongan munafiq tidak memahami (bahawa rezeki itu adalah daripada Allah)”

36. “Mereka berkata, bila kita balik ke Madinah nanti, golongan yang mulia di Madinah akan menghalau golongan yang hina”. Yang dimaksudkan “golongan yang hina” oleh orang-orang munafiq ini ialah nabi s.a.w.

37. Jawapan kepada mereka (orang-orang munafiq), “Dan kemuliaan sebenar adalah milik Allah, milik Rasul Allah dan orang-orang yang beriman kepada Allah”

38. “Tetapi golongan munafiqin tidak tahu (siapa sebenarnya yang mulia)”

39. Ayat-ayat seterusnya adalah galakan kepada infaq. “Wahai orang yang telah beriman! Janganlah harta benda dan anak pinak kamu melalaikan kamu dari berzikir kepada Allah”

40. Zikir kepada Allah taala adalah himpunan (kemuncak) kepada semua amalan agama.

41. Janganlah harta benda kamu dan anak pinak kamu menghalang kamu dari “zikir” iaitu menunaikan perintah-perintah Allah.

42. Saidina Umar berkata, “Adalah lebih afdhal berzikir dengan cara menunaikan perintah-perintah Allah daripada berzikir dengan lidah”. “Berzikir” dengan mematuhi syariat Allah taala itu lebih afdhal dari berzikir dengan lidah. Kita melaksanakan syariat Allah pada masa dan tempatnya adalah lebih baik dari berzikir dengan lidah.

43. “Dan sesiapa yang dilalaikan (oleh harta benda dan anak pinak), mereka adalah golongan yang benar-benar rugi”.

44. Oleh itu, “Hendaklah kamu infaqkan sebahagian (dari apa yang telah Kami beri kepada kamu dalam bentuk) rezeki sebelum datang kepada kamu kematian”.

45. Biia datang kematian, kamu akan nampak (tahu) betapa pentingnya infaq. Tetapi apa yang kamu nampak pada masa itu tidak memberi faedah.

46. Ketika datangnya kematian, dia akan berkata, “Wahai tuhanku! Kenapa engkau tidak lewatkan masa kematianku sedikit masa lagi supaya aku dapat bersedekah dan aku akan jadi hamba yang (benar-benar) soleh”.

47. Semuanya ini akan berlaku kepada orang yang telah luput (terlepas) waktunya untuk memberi infaq.

48. Allah menjawab, “Allah sekali-kali tidak akan melewatkan tempoh kematian manusia bila sampai tempoh ajalnya”.

49. “Allah maha mengetahui apa yang kamu lakukan”

Leave a comment