Tafsir Al-Quran – Maulana Abd Hadi Yaakob – Surah No 69 – al-Haqqah

VIDEO – [Durasi  35m 12s] -Surah No 69 -al-Haqqah – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/9W0eJYL53Ic ]

سورة الحاقة

بسم الله الرحمن الرحيم

الْحَاقَّةُ (1) مَا الْحَاقَّةُ (2) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْحَاقَّةُ (3) كَذَّبَتْ ثَمُودُ وَعَادٌ بِالْقَارِعَةِ (4) فَأَمَّا ثَمُودُ فَأُهْلِكُوا بِالطَّاغِيَةِ (5) وَأَمَّا عَادٌ فَأُهْلِكُوا بِرِيحٍ صَرْصَرٍ عَاتِيَةٍ (6) سَخَّرَهَا عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍ وَثَمَانِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًا فَتَرَى الْقَوْمَ فِيهَا صَرْعَى كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍ (7) فَهَلْ تَرَى لَهُمْ مِنْ بَاقِيَةٍ (8) وَجَاءَ فِرْعَوْنُ وَمَنْ قَبْلَهُ وَالْمُؤْتَفِكَاتُ بِالْخَاطِئَةِ (9) فَعَصَوْا رَسُولَ رَبِّهِمْ فَأَخَذَهُمْ أَخْذَةً رَابِيَةً (10) إِنَّا لَمَّا طَغَى الْمَاءُ حَمَلْنَاكُمْ فِي الْجَارِيَةِ (11) لِنَجْعَلَهَا لَكُمْ تَذْكِرَةً وَتَعِيَهَا أُذُنٌ وَاعِيَةٌ (12) فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ نَفْخَةٌ وَاحِدَةٌ (13) وَحُمِلَتِ الْأَرْضُ وَالْجِبَالُ فَدُكَّتَا دَكَّةً وَاحِدَةً (14) فَيَوْمَئِذٍ وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ (15) وَانْشَقَّتِ السَّمَاءُ فَهِيَ يَوْمَئِذٍ وَاهِيَةٌ (16) وَالْمَلَكُ عَلَى أَرْجَائِهَا وَيَحْمِلُ عَرْشَ رَبِّكَ فَوْقَهُمْ يَوْمَئِذٍ ثَمَانِيَةٌ (17) يَوْمَئِذٍ تُعْرَضُونَ لَا تَخْفَى مِنْكُمْ خَافِيَةٌ (18) فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَيَقُولُ هَاؤُمُ اقْرَءُوا كِتَابِيَهْ (19) إِنِّي ظَنَنْتُ أَنِّي مُلَاقٍ حِسَابِيَهْ (20) فَهُوَ فِي عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ (21) فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ (22) قُطُوفُهَا دَانِيَةٌ (23) كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا أَسْلَفْتُمْ فِي الْأَيَّامِ الْخَالِيَةِ (24) وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِشِمَالِهِ فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُوتَ كِتَابِيَهْ (25) وَلَمْ أَدْرِ مَا حِسَابِيَهْ (26) يَا لَيْتَهَا كَانَتِ الْقَاضِيَةَ (27) مَا أَغْنَى عَنِّي مَالِيَهْ (28) هَلَكَ عَنِّي سُلْطَانِيَهْ (29) خُذُوهُ فَغُلُّوهُ (30) ثُمَّ الْجَحِيمَ صَلُّوهُ (31) ثُمَّ فِي سِلْسِلَةٍ ذَرْعُهَا سَبْعُونَ ذِرَاعًا فَاسْلُكُوهُ (32) إِنَّهُ كَانَ لَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ (33) وَلَا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ (34) فَلَيْسَ لَهُ الْيَوْمَ هَاهُنَا حَمِيمٌ (35) وَلَا طَعَامٌ إِلَّا مِنْ غِسْلِينٍ (36) لَا يَأْكُلُهُ إِلَّا الْخَاطِئُونَ (37) فَلَا أُقْسِمُ بِمَا تُبْصِرُونَ (38) وَمَا لَا تُبْصِرُونَ (39) إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ (40) وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَاعِرٍ قَلِيلًا مَا تُؤْمِنُونَ (41) وَلَا بِقَوْلِ كَاهِنٍ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ (42) تَنْزِيلٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ (43) وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الْأَقَاوِيلِ (44) لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ (45) ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ (46) فَمَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ عَنْهُ حَاجِزِينَ (47) وَإِنَّهُ لَتَذْكِرَةٌ لِلْمُتَّقِينَ (48) وَإِنَّا لَنَعْلَمُ أَنَّ مِنْكُمْ مُكَذِّبِينَ (49) وَإِنَّهُ لَحَسْرَةٌ عَلَى الْكَافِرِينَ (50) وَإِنَّهُ لَحَقُّ الْيَقِينِ (51) فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ (52)

TERJEMAHAN SURAH AL-HAQQAH

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(1) Saat yang tetap berlaku itu

(2) Apakah dia sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu?

(3) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (Saat itu ialah hari kiamat).

(4) Kaum Thamud dan Aad telah mendustakan hari (kiamat) yang menggempar dan mengharukan itu.

(5) Maka (masing-masing menerima azab dunianya) – adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya.

(6) Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya,

(7) Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.

(8) Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)?

(9) Dan (selain dari mereka) datanglah Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripadanya, serta penduduk negeri-negeri yang telah ditunggang balikkan – dengan melakukan perkara-perkara yang salah.

(10) Iaitu masing-masing menderhaka kepada Rasul (yang diutuskan oleh) Tuhan mereka, lalu Allah menyeksa mereka dengan azab yang sentiasa bertambah

(11) Sesungguhnya Kami, – ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), – telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya).

(12) (Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran.

(13) Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup,

(14) Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur, –

(15) Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat,

(16) Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh),

(17) Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu.

(18) Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi.

(19) Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!

(20) “Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!”

(21) Maka (dengan itu) tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan,

(22) Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya),

(23) Buah-buahannya dekat untuk dipetik.

(24) (Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): “Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!”

(25) Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku,

(26) “Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku.

(27) “Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi);

(28) “Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun;

(29) Kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku”.

(30) (Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): “Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia,

(31) “Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim;

(32) “Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!

(33) “Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar,

(34) “Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.

(35) “Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya),

(36) “Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur,

(37) “Yang tidak memakannya melainkan orang-orang yang melakukan perkara yang salah”.

(38) Maka Aku bersumpah: Demi segala (yang nyata) yang kamu melihatnya,

(39) Dan segala (yang ghaib) yang kamu tidak melihatnya,

(40) Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia.

(41) Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman.

(42) Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.

(43) (Al-Quran itu) diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.

(44) Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan,

(45) Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami,

(46) Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta);

(47) Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.

(48) Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertaqwa.

(49) Dan sesungguhnya Kami sedia mengetahui bahawa ada di antara kamu yang mendustakan (Al-Quran, maka Kami akan membalasnya).

(50) Dan sesungguhnya Al-Quran itu sudah tentu akan menyebabkan penyesalan bagi orang-orang yang kafir (semasa mereka menerima balasan).

(51) Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya).

(52) Oleh itu bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar.

[ Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin ada sedikit perbezaan dengan trejemahan oleh Maulana Abd Hadi ]

===============================================

EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI) ===============================================

1. Surah ini dan beberapa surah seterusnya adalah tentang penafian “syirik barokah”, iaitu kepercayaan adanya “berkat” selain daripada Allah. Kepercayaan ini boleh meruntuhkan akidah dan merosakkan iman kita. Berkat hanya daripada Allah. Ayat 1 Surah al-Mulk – “Maha berkat Allah taala yang dalam gengamanNya segala kerajaan”

2. Seseorang yang beramal (beribadat) adalah berada dalam keberkatan. Memikirkan tentang akhirat, seperti mengingati mati, juga mengandungi keberkatan. Mengingati bahawa suatu hari dia akan ditinggalkan dan putus hubungan dengan semua manusia, mengenang bahawa jika tidak kerana belas kasihan Allah, dia akan merana selama-lamanya. Berfikir perkara-perkara begini juga mengandungi berkat, memberi cahaya kepada hati, walaupun tidak melakukan apa-apa amalan. Kerana berfikir tentang akhirat ini adalah dari syariat Allah.

3. Sebaliknya, jika berfikir tentang “dunia” (semata-mata), ianya akan merosakkan kita. Berfikir dan bimbang tentang “dunia” akan menjadikan hati kita keras; pudar dan hilangnya keberkatan.

4. Untuk mendapatkan berkat, belajarlah ilmu wahyu, beramal dengan syariat dari Allah, kerana keberkatan adalah anugerah dari Allah.

5. Ayat-ayat al-Quran yang akan kita baca nanti adalah untuk kita fahami bahawa keberkatan adalah dari Allah. Dalam surah al-Haqqah, Allah menyatakan hukuman yang akan diterima oleh mereka yang rosak akidahnya di segi “syirik barokah”.

6. Di antara syirik yang berlaku kepada seseorang ialah “syirik barokah” dan dalam surah ini dinyatakan apakah hukuman-hukuman yang berlaku di dunia ini lagi.

7. Surah selepas ini, Surah al-Ma’aarij adalah berkenaan hukuman yang akan berlaku di akhirat kerana “syirik barokah”.

8. Mereka yang rosak akidah kerana “syirik barokah” akan dihukum di dunia dan juga di akhirat.

9. Surah al-Haqqah, adalah mengenai hukuman di dunia kerana “syirik barokah” manakala Surah al-Ma’aarij memberitahu tentang hukuman di akhirat.

10. Surah Nuh pula ialah dalil naqli dari cerita nabi Nuh tentang seruan mentauhidkan Allah termasuk tauhid di segi barokah. Allah tidak berkongsi “berkat” dengan yang lain. Surah Nuh mengandungi dalil naqli tentang “berkat” dari cerita Nabi Nuh dan bahawa Allah sahaja yang memiliki “berkat”.

11. Seterusnya, surah Jinn adalah dalil naqli dari golongan jin tentang “berkat”. Golongan jin terdiri dari ahli tauhid (taat) dan ahli syirik (derhaka)

12. Golongan jin, sebagaimana manusia, sekiranya tidak mengikut wahyu dari al-Quran, mereka pun akan sesat. Mereka mempunyai berbagai kumpulan yang sesat, terdapat banyak salah faham tentang agama Allah dan banyak melakukan kesyirikan kepada Allah taala. Golongan sesat dari kalangan manusia bekerjasama dengan golongan sesat dari kalangan jin untuk meyesatkan orang lain. Dalam surah Jin, Allah beritahu bahawa golongan jin juga mempunyai golongan-golongan tauhid, termasuk tauhid dalaman.

13. Surah Muzammil pula menyarankan supaya wahyu ini dibaca pada malam hari. Al-Quran dibaca dengan “tawajjuh” dan “tadabbur” kerana pada malam harilah masa yang paling sesuai untuk membaca al-Quran, sunyi dari segala gangguan, tenang, bebas dari kesibukan. Lebih-lebih lagi bila ianya dihafal dan dibaca dalam sembahyang.

14. Membaca al-Quran dalam sembahyang ialah sehebat-hebat “tawajjuh” terhadap al-Quran. Kita perlu berusaha untuk mencapai tahap sepeti nabi dalam “tawajjuh” kepada al-Quran. Dan juga membaca al-Quran untuk tadabbur sebagaimana amalan nabi dan para sahabat baginda. Sekiranya tidak mampu baca dalam sembahyang maka hendaklah kita baca di luar sembahyang dan ianya pada darjat kedua.

15. Sekarang, amalan ini tidak (banyak) diamalkan dalam kehidupan umat ini, dan kita perlu berjuang untuk menghidupkan amalan ini. Kurangnya ber”tadabbur” terhadap al-Quran menyebabkan manusia cuai, menghabiskan malamnya hanya untuk tidur sedangkan masa itulah masa yang paling baik untuk berdamping dengan Allah. Oleh sebab itu, hubungannya dengan Allah taala adalah lemah, menjadikan seseorang itu amat susah untuk berjuang untuk agama. Dan inilah puncanya umat Islam lemah. Mereka tidak faham bahasa al-Quran dan tiada masa untuk men”tadabbur” al-Quran. Surah Muzammil mengajar kita supaya men”tadabbur” al-Quran dalam sembahyang pada waktu malam. Dari sinilah Allah memberi kekuatan kepada seseorang untuk mentablighkan wahyu. Surah-surah ini diturunkan pada peringkat permulaan wahyu diturunkan untuk melatih umat Islam supaya membacanya dalam sembahyang.

16. Sahabat-sahabat nabi menghafal al-Quran. Al-Quran adalah kalam Allah yang perlu sentiasa ada hubungan rapat dengan kita. Surah-surah inilah yang kita sentiasa baca dalam sembahyang.

17. Seterusnya surah Muddaththir – setelah al-Quran ditadabbur pada malam hari, maka tablighkanlah (sampaikanlah) kepada manusia pada siang harinya. Di malam hari taddaburkan al-Quran dalam solat dan di siang hari tablighkannya kepada orang lain. Turunnya surah-surah ini di awal kenabian nabi s.a.w adalah untuk menyuruh kita mentadabbur dan seterusnya mentablighkan al-Quran. Dengan sentiasa mentadabbur dan mentablighkan al-Quran umat Islam akan mendapat kekuatan yang segera.

18. Sedangkan dalam masyarakat kita hari ini, ramai hanya mampu bersolat tahajjud sahaja tetapi meninggalkan tabligh dan dakwah, sedangkan al-Quran turun untuk di”tadabbur” dalam solat (pada malam hari) dan ditablighkan (kepada manusia) pada siang hari. Amalan ini, iaitu al-Quran hanya dibaca dalam ibadat-ibadat sahaja, tidak mencapai maksud sepenuhnya al-Quran diturunkan.

19. Harapnya, kita dapat fahami mafhum (maksud sebenar) dari ayat-ayat yang kita baca ini.

20. “Al-Haqqah”, suatu nama hari kiamat yang maksudnya, “Suatu bahaya yang pasti akan berlaku”

21. “Tahukah kamu apa itu al-Haqqah?”

22. “Tahukah kamu apakah bahaya yang pasti akan berlaku itu?” Ianya ialah salah satu nama untuk hari kiamat; hari kiamat ialah suatu bahaya yang pasti akan berlaku. (Orang Arab) akan merasakan kehebatannya bila dengar kalimat ini.

23. “Kaum Tsamud dan ‘Aad dahulu telah mendustakan hari kiamat”

24. Di antara nama hari kiamat ialah “Qaari’ah”, yang bermaksud, “Mengetuk hati manusia”, keadaan pada masa itu (hari kiamat) seperti terpukulnya hati manusia.

25. Bila mendustakan kiamat, di dunia ini, “Adapun Kaum Tsamud dibinasakan oleh Allah taala dengan suatu suara yang amat kuat”, berserta gegaran yang amat dahsyat.

26. Hancur lebur, hilang segala apa yang dikejar dalam sekelip masa!

27. “Adapun kaum ‘Aad pula, (disebabkan mereka mendustakan kiamat), mereka telah dihancurkan dengan angin yang sangat kencang lagi sejuk (taufan yang sangat sejuk), yang begitu ganas dan tidak terkawal”, yang akan menimpa sesiapa sahaja.

28. “Allah timpakan angin tersebut kepada kaum ‘Aad selama tujuh malam, lapan hari terus menerus”

29. Kaum ‘Aad adalah salah suatu kaum yang berkata, “Siapakah yang lebih hebat dari kami?”

30. Lalu Allah hantar kepada mereka angin kencang yang sejuk selama tujuh malam, lapan hari yang ganas dan mematikan.

31. “Kamu dapat tengok kaum ‘Aad pada masa itu mati bergelimpangan”

32. “Tubuh badan mereka seperti tunggul-tunggul kurma yang lompang”

33. “Maka adakah kamu dapat lihat lagi saki baki dari mereka yang masih hidup?”, semuanya dihapuskan, tidak ada lagi yang hidup.

34. “Fir’aun dan kaum-kaum sebelumnya, golongan yang diterbalikkan telah melakukan dosa yang sangat besar”, telah melakukan kecuaian yang dahsyat iaitu tidak mengenal Allah lalu mensyirikkan Allah.

35. “Mereka telah derhaka kepada Rasul yang diutuskan Allah kepada mereka. Lalu Allah siksa mereka (bersama Fir’aun) dengan siksa yang amat keras”

36. Berkenaan nabi Nuh, “Apabila air telah melampaui hadnya (menenggelamkan) semua makhluk maka, Kami telah membawa kamu ke dalam kapal yang berlayar”

37. “Supaya Kami dapat jadikan kisah ini sebagai peringatan kepada kamu semua”

38. “Kami selamatkan sebahagian dari manusia manakala yang selebihnya mati lemas.”

39. “Dan boleh mendengar telinga-telinga yang boleh mengingati (mengambil pengajaran)”; cerita ini dipanjangkan dari satu generasi ke satu generasi.

40. “Maka apabila ditiup sangkakala pertama, bumi dan gunung diangkat lalu dilaga-lagakan lalu sekaligus hancur berkecai ”

41. “Maka pada hari itulah berlaku kiamat”

42. “Dan terbelah langit”

43. “Di masa terbelahnya langit, ianya (langit) sangat lemah lagi rapuh”

44. “Para malaikat berada pada seluruh penjuru langit”

45. “Dan memikul arasy Rabb kamu di atas kepala mereka pada hari kiamat itu, oleh lapan malaikat”

46. “Pada hari itulah kamu akan dihadapkan untuk dihisab”

47. “Tidak tersembunyi sesuatu apa pun dari diri kamu dari pengetahuan Allah”, tiada apa yang tersembunyi dari pengetahuan Allah di padang Mahsyar.

48. “Maka orang yang diberi buku amalan dengan tangan kanan, (menandakan dia adalah orang baik), lalu berkatalah dia dengan gembira, “Nah sila ambil dan baca kitab amalan saya”, saya memperolehi keputusan yang cemerlang! “Tangan kanan” adalah petunjuk bahawa mereka adalah ahli syurga. Perjuangan saya dari akil baligh hingga meninggal dunia telah berjaya. Kita boleh bayangkan perasaan ini dalam kehidupan di dunia ini, kita akan gembira bila ada orang tahu dan tengok kejayaan kita. Dipuji dan diucap tahniah. Segala usaha dan penat lelahnya telah berhasil mendapat apa yang diharapkan.

49. Orang beriman yang akil baligh ada satu perjuangan yang sukar dan di akhirat balasannya adalah hasil dari perjuangan tersebut.

50. Dia berkata kepada orang di sekelilingnya, “Ambil dan bacalah kitab aku ini.” Dia yakin yang dia akan berjaya.

51. “Sesungguhnya aku telah yakin akan bertemu dengan hisab amalanku”

52. Keyakinan inilah yang menyebabkan, semasa di dunia ini, dia hidup dalam keadaan berjaga-jaga dan berwaspada.

53. Orang yang mahir dalam sesuatu bidang, misalnya dalam kerja-kerja elektrik, dia lebih tahu tentang risiko renjatan elektrik berbanding orang lain. Dan dia akan amat berhati-hati dalam kerjanya kerana dia tahu akibatnya jika berlaku kesilapan. Contoh lain, pakar pemusnah bom, akan amat berhati-hati kerana dia tahu risiko kesilapan semasa menjalankan tugasnya.

54. Keyakinan (terhadap balasan di akhirat) menyebabkan seseorang itu berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya (semasa di dunia ini). Sebaliknya tindakan orang yang tidak yakin tentang akhirat tidak begitu mempedulikan tindak-tanduknya.

55. Tindakan seseorang samada berhati-hati atau sebaliknya adalah gambaran dari keyakinannya samada akan adanya balasan atau tidak. “Keyakinan” itulah yang membuahkan hasil mendapat buku amalan dengan tangan kanan.

56. Allah beritahu kepada kita, orang yang gembira ialah orang yang menerima buku amalan dengan tangan kanan.

57. “Sesungguhnya aku telah yakin akan bertemu dengan hisab amalanku” (Nota – Kaedah dalam al-Quran yang perlu difahami, bila ungkapan “zhann” ditujukan kepada orang beriman, ianya bermaksud “yakin” dan jika ungkapan “zhann” dinisbahkan kepada orang kafir ianya bermaksud “syak” atau “ragu”, agak-agak atau andaian semata-mata).

58. “Sesungguhnya aku telah yakin akan bertemu dengan hisab amalanku”

59. Disebabkan sifat yakin itu, aku berhati-hati dalam setiap tindak tanduk aku, samada dalam tutur kata atau apa saja.

60. “Orang seperti ini berada dalam kehidupan yang amat memuaskan, dalam kebun syurga yang tinggi. Buah-buah dipetik dengan mudah dan dikatakan kepada mereka, “Sila makan dan minum dengan penuh nikmat dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu lakukan pada masa dahulu (semasa di dunia)” Semoga Allah taala pilih kita.

61. “Dan adapun orang yang diberi buku amalan dengan tangan kiri, dia berkata dengan penuh penyesalan, “Alangkah baiknya jika tidak diberi kitab ini kepada aku”. Aku tidak perlukan keputusan ini kerana ianya keputusan yang buruk.

62. “Dan alangkah baiknya jika aku tidak tahu apa hisab amalanku”, biarkanlah ianya begitu saja. Tetapi tidak, hisab amalannya akan diketahui dengan terperinci di akhirat nanti.

63. “Dan alangkah bertuahnya, jika kematian yang berlaku semasa di dunia dahulu sebagai penamat kepada segala-galanya.”

64. Tapi kematian itu bukan penamat malah sebagai permulaan kepada segala-galanya.

65. Inilah lafaz-lafaz penyesalan, alangkah bertuahnya jika kematian itu adalah penamat kepada segala-galanya. Tetapi tidak mungkin kerana ianya adalah permulaan kepada pembalasan. Mati adalah sebagai pembukaan, tetapi manusia menyangka ianya adalah penutup (kesudahan). Manusia yang menganggap mati adalah penutup atau kesudahan kepada semua perkara akan bertindak sesuka hati di atas dunia ini. Tetapi kepada orang beriman, kematian adalah sampainya ke destinasi yang dituju. Untuk orang tidak beriman, kematian adalah penutup tetapi kepada orang beriman kematian adalah sampainya ke tempat yang dituju. Inilah perbezaan di antara orang yang yakin adanya akhirat dan orang yang hanya yakin hanya dunia ini saja yang wujud.

66. “Tidak boleh menolongku hartaku. Hilang dariku segala kekuasaan yang pernah aku miliki.” Tiada lagi bantuan dan pertolongan yang boleh menyelamatkanku!

67. Allah arahkan malaikat, “Tangkaplah dia dan belenggukannya”, dengan tangannya diikat pada leher.

68. “Kemudian sumbatkanlah ia ke dalam neraka”.

69. “Kemudian dia dirantai yang panjangnya tujuh puluh hasta, dibelit, ditambat dan dihumbankan ke dalam neraka”

70. “Sesungguhnya dia ini semasa di dunia dulu tidak beriman kepada Allah yang agung”. Dia tidak menerima tentang tauhid (ketuhanan) Allah yang maha agung sebaliknya merosakkan tauhidnya. Dia memutuskan hubungannya dengan Allah taala dan juga hubungannya dengan manusia.

71. “Dan dia tidak mempunyai keinginan untuk mendorong memberi makan kepada orang miskin”, dia langsung tidak peduli kepada orang miskin.

72. Orang yang berharta, infakkan hartanya kepada orang miskin dan orang yang tidak berharta mempunyai keinginan dan mendorong orang lain untuk membantu orang miskin. Dia tidak pernah berfikir dan berusaha supaya orang miskin diberi bantuan. Dia tidak mempunyai sifat kasihan belas kepada orang lain. Hubungannya dengan makhluk Allah (manusia lain) begitu rosak.

73. “Tidak ada lagi di hari ini, teman-teman rapat”

74. “Dan tidak ada makanan kecuali darah dan nanah dari ahli neraka”

75. “Yang tidak memakannya kecuali orang-orang yang bersalah”, orang-orang musyrik.

76. “Maka aku bersumpah dengan makhluk yang dapat kamu lihat, dan makhluk yang tidak dapat kamu lihat, sesungguhnya al-Quran ini wahyu yang diutuskan melalui rasul yang sangat mulia”; rasul yang sangat mulia iaitu malaikat.

77. “Dan tidak sekali-kali wahyu ini perkataan penyair. Tetapi sedikit dari kamu yang beriman”

78. “Dan tidak sekali-kali ianya perkataaan dari tukang tenung”, (Pada zaman dahulu tukang tenung ialah satu golongan yang dipuja, dan mereka sentiasa berbohong). “Tetapi amat sedikit yang ambil pengajaran”

79. “Bahkan al-Quran ini diturunkan dari Allah tuhan sekelian alam” Al-Quran ini tidak boleh diubah. Kecualilah jika seseorang itu mengaku menjadi nabi tetapi dia sebenarnya bukan seorang nabi, (Allah mungkin tidak mengapa-apakannya). Kalau dia benar-benar seorang nabi, Allah akan terus mematikannya jika dia melakukan perubahan ke atas wahyu. Nabi tidak dibenarkan mengatakan apa-apa yang tidak benar dari Allah.

80. “Sekiranya nabi mengatakan daripada Kami setengah-tengah perkataan yang bukan dari Kami nescaya Kami akan menyentapnya, kemudian Kami akan putuskan urat jantungnya sehingga mati”. Maksudnya, sekiranya seorang nabi cuba mengada-ngadakan sesuatu yang bukan dari Allah, nescaya Allah akan matikan dia. Sekiranya nabi ini dibiarkan hidup dan ada mukjizat dan lain-lain petanda sebagai nabi, nescaya dia adalah nabi yang benar.

81. “Dan tiada seorangpun daripada kamu yang dapat menghalang kematian nabi itu”

82. “Sesungguhnya al-Quran ini adalah benar-benar nasihat yang memberi keinsafan”, yang menyebabkan seseorang itu insaf dan sedar. “Bagi hamba-hamba yang ada sifat taqwa.”

83. “Dan sesungguhnya Kami pun tahu bahawa ada di kalangan kamu golongan manusia yang mendustakan wahyu”.

84. Cukup hanya dengan mendustakan satu wahyu, seseorang itu sudah dikira sebagai mendustakan wahyu. Tidak ada maknanya kamu menerima lebih enam ribu ayat al-Quran sekiranya kamu menoiak satu sahaja ayat al-Quran. Ianya tetap dikira sebagai mendustakan wahyu. Orang seperti ini dihalang dari mendapat kejayaan yang sebenar.

85. Kedudukan seseorang itu adalah sama di sisi Allah samada dia mendustakan sedikit atau mendustakan semua wahyu-wahyu dari Allah.

86. Tidak hairanlah jika masyarakat tidak dapat mengamalkan wahyu ini keseluruhannya, kerana ada di kalangan mereka yang bukan muslim!

87. Muslim yang menerima sembilan puluh peratus wahyu tetapi menolak sepuluh peratus wahyu adalah sebenarnya orang munafik. “Mukazzibiin” bermaksud mendustakan wahyu walaupun hanya satu wahyu. Menerima semua wahyu adalah syarat untuk diterima sebagai seorang Islam dan jika ada walaupun hanya satu wahyu yang tidak dapat diterima, dia tetap dikira munafik, tetap dikira sebagai “mukazzibiin”.

88. Masyarakat kita masih keliru dengan menganggap seseorang itu masih Islam dengan mengatakan dia baik, sedangkan dia telah rosak akidahnya (dengan menolak sebahagian dari wahyu), walaupun dia tidak pernah mengaku murtad, dan inilah yang dikatakan sebagai ‘munafik’. Di zaman nabi, nabi tidak asingkan mereka yang munafik ini kerana rosaknya aqidah adalah perkara dalaman, yang tidak dapat diketahui oleh orang lain.

89. Kadang-kadang tuan badan sendiripun tidak tahu bahawa dia adalah munafik sehinggalah al-Quran menyatakan sifat-sifat orang munafik. Bagaimanakah agaknya nasib di akhirat nanti seseorang yang tidak tahu bahawa dia sebenarnya adalah munafik? Inilah akibat dari jahil terhadap kitab-kitab Allah. Semoga Allah lindungi kita.

90. Orang-orang yang jahil tentang wahyu ini (tiada maklumat) dari al-Quran ini, Allah beritahu, “Kami memang tahu bahawa ada di kalangan kamu yang mendustakan wahyu”

91. “Dan sesungguhnya wahyu al-Quran ini, adalah suatu penyesalan besar di akhirat nanti kepada golongan yang ingkar”, walaupun dia hanya mendustkan satu ayat al-Quran.

92. Kita boleh rujuk, contohnya dalam kitab “Mustika Hadith”, bahawa dengan mengingkari hanya separuh dari satu ayat al-Quran sahaja sudah dikira murtad, tidak beriman.

93. Cuma barangkali seseorang itu tidak tahu tentang hakikat ini, kerana tidak sampai maklumat kepadanya. Dia sangka dia bebas melakukan apa saja dan tidak perlu bergantung kepada wahyu.

94. “Al-Quran akan menyebabkan penyesalan yang besar kepada orang yang ingkar”

95. Apakah tahap keingkaran itu? Ianya adalah sebanyak wahyu yang wajib ia terima.

96. “Sesungguhnya al-Quran ini adalah kebenaran yang betul-betul meyakinkan”

97. Kebenaran yang betul-betul meyakinkan bahawa ianya dari Allah sebagai neraca untuk menilai seseorang manusia samada benar atau salah.

98. Topik perbincangan yang penting dalam al-Quran ialah berkenaan tauhid.

99. “Hendaklah kamu sucikan dengan berkat nama Rabb kamu yang agung”

100. Kesimpulannya, al-Quran mengajar kita mentauhidkan Allah dengan menyucikan, dengan menyebut “subhanallah”, Allah taala yang maha suci dari kelemahan dan kecacatan.Show less

Leave a comment