VIDEO – [Durasi 12m 42s] -Surah No 76 – Al-Insaan – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/PcNF__sSEdY ]
سورة الإنسان
بسم الله الرحمن الرحيم
هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا (1) إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا (2) إِنَّا هَدَيْنَاهُ السَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرًا وَإِمَّا كَفُورًا (3) إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ سَلَاسِلَ وَأَغْلَالًا وَسَعِيرًا (4) إِنَّ الْأَبْرَارَ يَشْرَبُونَ مِنْ كَأْسٍ كَانَ مِزَاجُهَا كَافُورًا (5) عَيْنًا يَشْرَبُ بِهَا عِبَادُ اللَّهِ يُفَجِّرُونَهَا تَفْجِيرًا (6) يُوفُونَ بِالنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًا كَانَ شَرُّهُ مُسْتَطِيرًا (7) وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا (8) إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنْكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا (9) إِنَّا نَخَافُ مِنْ رَبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا (10) فَوَقَاهُمُ اللَّهُ شَرَّ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَلَقَّاهُمْ نَضْرَةً وَسُرُورًا (11) وَجَزَاهُمْ بِمَا صَبَرُوا جَنَّةً وَحَرِيرًا (12) مُتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى الْأَرَائِكِ لَا يَرَوْنَ فِيهَا شَمْسًا وَلَا زَمْهَرِيرًا (13) وَدَانِيَةً عَلَيْهِمْ ظِلَالُهَا وَذُلِّلَتْ قُطُوفُهَا تَذْلِيلًا (14) وَيُطَافُ عَلَيْهِمْ بِآنِيَةٍ مِنْ فِضَّةٍ وَأَكْوَابٍ كَانَتْ قَوَارِيرَا (15) قَوَارِيرَ مِنْ فِضَّةٍ قَدَّرُوهَا تَقْدِيرًا (16) وَيُسْقَوْنَ فِيهَا كَأْسًا كَانَ مِزَاجُهَا زَنْجَبِيلًا (17) عَيْنًا فِيهَا تُسَمَّى سَلْسَبِيلًا (18) وَيَطُوفُ عَلَيْهِمْ وِلْدَانٌ مُخَلَّدُونَ إِذَا رَأَيْتَهُمْ حَسِبْتَهُمْ لُؤْلُؤًا مَنْثُورًا (19) وَإِذَا رَأَيْتَ ثَمَّ رَأَيْتَ نَعِيمًا وَمُلْكًا كَبِيرًا (20) عَالِيَهُمْ ثِيَابُ سُنْدُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ وَحُلُّوا أَسَاوِرَ مِنْ فِضَّةٍ وَسَقَاهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًا طَهُورًا (21) إِنَّ هَذَا كَانَ لَكُمْ جَزَاءً وَكَانَ سَعْيُكُمْ مَشْكُورًا (22) إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ تَنْزِيلًا (23) فَاصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ وَلَا تُطِعْ مِنْهُمْ آثِمًا أَوْ كَفُورًا (24) وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا (25) وَمِنَ اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلًا طَوِيلًا (26) إِنَّ هَؤُلَاءِ يُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ وَيَذَرُونَ وَرَاءَهُمْ يَوْمًا ثَقِيلًا (27) نَحْنُ خَلَقْنَاهُمْ وَشَدَدْنَا أَسْرَهُمْ وَإِذَا شِئْنَا بَدَّلْنَا أَمْثَالَهُمْ تَبْدِيلًا (28) إِنَّ هَذِهِ تَذْكِرَةٌ فَمَنْ شَاءَ اتَّخَذَ إِلَى رَبِّهِ سَبِيلًا (29) وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا (30) يُدْخِلُ مَنْ يَشَاءُ فِي رَحْمَتِهِ وَالظَّالِمِينَ أَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (31)
TERJEMAHAN SURAH AL-INSAAN
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.
(1) Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?
(2) Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.
(3) Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).
(4) (Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang.
(5) Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan “Kafur”,
(6) Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.
(7) (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.
(8) Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,
(9) (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,
(10) “Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”.
(11) Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati).
(12) Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.
(13) Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk;
(14) Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.
(15) Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): bijana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya)
(16) (Keadaannya laksana) kaca, (sedang ia) dari perak; pelayan-pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya.
(17) Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari “Zanjabil”,
(18) Iaitu sebuah matair dalam Syurga, yang disebutkan sifatnya sebagai “Salsabil”.
(19) Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; apabila engkau melihat anak-anak muda itu, nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.
(20) Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau melihat nikmat yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya).
(21) Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci.
(22) (Serta dikatakan kepada mereka): “Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)”.
(23) Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad), dengan beransur-ansur.
(24) Oleh itu hendaklah engkau bersabar menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada golongan yang menentangmu), dan janganlah engkau menurut kehendak orang yang berdosa di antara mereka, atau orang yang kufur ingkar.
(25) Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang;
(26) Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.
(27) Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat (penderitaannya kepada orang-orang yang tidak bertaqwa).
(28) Kamilah yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf mereka; (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki, Kami gantikan (mereka dengan) orang-orang yang serupa dengan mereka, dengan penggantian yang sebaik-baiknya.
(29) Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat).
(30) Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).
(31) Ia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di dalam Syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[ Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin ada sedikit perbezaan dengan terjemahan oleh Maulana Abd Hadi ]
===================================================
EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI) ===================================================
1. Surah al-Insaan menceritakan tentang peristiwa-peristiwa di hari kiamat dan suasana selepas mati.
2. “Sesungguhnya telah berlalu satu masa, (sedang manusia) tidak menjadi sesuatu yang disebut-sebut (kerana belum wujud lagi)”
3. “Bahawa Kami yang menciptakan manusia daripada campuran air mani yang berbeza, supaya Kami uji dia; Kami telah beri kepadanya pendengaran dan penglihatan supaya dia layak diuji”
4. “Kami adakan syariat sebagai pimpinan (jalan) untuk dia menyempurnakan ujiannya. Manusia ini sama ada bersyukur (lulus dalam ujian) atau kufur (gagal dalam ujian)”
5. “Jika manusia kufur (dan gagal dalam ujian ini), Kami sediakan rantai dan belenggu-belenggu dalam neraka yang dibelenggukan tangan ke leher mereka dan api yang menyala-nyala” Semoga Allah taala melindungi kita semua.
6. “Sesungguhnya orang-orang yang baik (yang mengikuti wahyu Kami), mereka akan minum dari gelas, sejenis minuman yang bercampur dengan “Kafur” ”
7. “Sejenis mata air yang akan meminum darinya hamba-hamba Allah. Mata air ini mereka boleh alirkannya mengikut kehendak mereka.”
8. “Kerana di dunia dulu mereka menyempurnakan janji dan nazar”. Janji dan nazar ini bermaksud kewajipan, kerana nazar wajib ditunaikan.
9. “Dan mereka takut pada suatu hari kelak (akhirat) di mana azab (neraka) pada hari itu sangat besar, merebak ke merata-rata tempat.”
10. “Mereka juga memberi makanan kepada anak yatim, fakir miskin dan tawanan, sedangkan mereka juga perlu dan suka kepada makanan itu.” [Terjemahan lain untuk ayat ini ialah, “Mereka memberi makan kerana kasih kepada Allah”]
11. Mereka benar-benar ikhlas; “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana ingin mendapatkan redha Allah.”
12. “Dan kami tidak mahu dari kamu balasan dan juga tidak mahu dari kamu ucapan terima kasih”
13. “Sesungguhnya kami semua takut kepada Rabb kami, di hari yang sangat-sangat keruh dan benar-benar sukar”
14. “Maka Allah melindungi mereka dari keburukan dan kejahatan pada hari itu; dan Allah beri kepada mereka keceriaan dan kegembiraan”
15. “Dan Allah balas kepada mereka itu, dengan sebab sabarnya mereka (istiqamah dalam agama) kebun syurga, pakaian sutera”
16. “Mereka berehat dan bersandar di atas pelamin-pelamin. Mereka tidak akan melihat teriknya panas matahari dan (merasai) keadaan yang amat sejuk.”
17. “Naungan begitu dekat melindungi mereka. Dan juga buah-buahan begitu dekat untuk mereka memetiknya.”
18. “Dan mereka dilayani dengan diedarkan bekas-bekas perak dan juga mangkuk yang jernih dan jelas (lutsinar) daripada perak. Yang mereka boleh tentukan kadar yang bersesuaian untuk mereka minum.”
19. “Dan mereka juga diberi sejenis minuman yang campurannya “Zanjabil”, iaitu sejenis halia.
20. “Keluar dari mata air dalam syurga yang dinamakan “Salsabila”
21. “Mereka diiringi oleh pemuda-pemuda yang sebaya untuk melayan mereka, yang kekal untuk melayani mereka. (Cantiknya pemuda-pemuda ini), jika kamu melihat mereka, ianya seperti mutiara yang bertaburan”
22. “Dan apabila kamu tengok keadaan di syurga nanti, kamu akan tengok nikmat yang sangat besar dan kerajaan yang sangat agung.”
23. “Pada tubuh badan mereka sutera halus yang berwarna hijau dan sutera tebal. Dan mereka akan dihiasi dengan gelang-gelang dari perak. Dan tuhan mereka memberi minum kepada mereka minuman yang amat bersih.”
24. (Dikatakan kepada mereka): “Sesungguhnya ini semua adalah balasan kepada kamu. Dan segala penat lelah kamu dalam taat di dunia dulu dibalas.”
25. “Bahawa Kami telah menurunkan kepada kamu al-Quran.”
26. “Maka bersabarlah (wahai Muhammad) bagi menunaikan tugas dan tanggungjawab bagi tuhan kamu. Dan jangan sekali-sekali kamu kamu patuhi mereka yang kafir, baik yang berdosa atau yang ingkar”
27. “Dan hendaklah sentiasalah sebut, nama tuhan kamu (yang berkat), di waktu pagi (Subuh) dan petang ( ‘Asar)”
28. “Dan di waktu malam (Maghrib dan Isya’) hendaklah kamu sujud kepada-Nya. Dan bersembahyanglah (Tahajjud) di waktu malam yang panjang”
29. “Sesungguhnya orang kafir kasih kepada dunia yang sementara dan segera ini”
30. “Mereka tidak menghiraukan tentang hari yang sangat berat untuk ditanggung”
31. “Kamilah yang mencipta mereka. Kamilah yang menguatkan sendi-sendi mereka. Dan apabila Kami kehendaki, Kami boleh matikan mereka dan gantikan dengan generasi yang lain”
32. “Sesungguhnya ayat-ayat ini adalah peringatan (tazkirah). Maka kepada sesiapa yang ingin ambillah jalan supaya hampir kepada tuhannya”
33. “Sebenarnya kamu tidak ada keinginan, melainkan jika ditakdirkan oleh Allah”
34. Apabila ditakdirkan oleh Allah, ikhtiar pertama manusia ialah berdoa. Keinginan untuk mendapat perkara-perkara yang dijanjikan oleh Allah adalah merupakan takdir dari Allah. Hendaklah kamu berusaha untuk mendapat perkara baik itu dengan berdoa kepada Allah.
35. “Sesungguhnya Allah itu maha mengetahui dan maha bijaksana”
36. “Dia sahaja yang akan memasukkan sesiapa yang Ia kehendaki ke dalam rahmat-Nya”
37. “Allah sediakan kepada kaum yang zalim azab yang sangat pedih”
38. Untuk mendapatkan sesuatu dalam takdir, seseorang hamba wajib berusaha sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah.
39. Antara amalan yang paling mudah untuk mendapatkan apa yang ditakdirkan oleh Allah ialah berdoa.
40. Doa adalah dalam bentuk sebutan dan dalam hati. Allah tidak akan menerima doa jika hanya mulut yang menyebut tetapi hatinya lalai sebagaimana disebut dalam hadis nabi s.a.w. Tetapi jika berdoa dalam hati tetapi tidak disebut dengan lidah, Allah akan terima doanya. Walaupun begitu, pahala tetap akan diberi (ke atas sebutan) jika mulutnya berdoa dalam keadaan hatinya lalai. Begitu juga dengan zikir, ianya tetap diberi pahala walaupun tidak disertai dengan hati tetapi hakikat (manfaat) dari zikir tidak diperolehi.
41. Oleh itu, ayat-ayat Quran ini hendaklah dibaca dengan “tadabbur” (memikirkan dan mengamatinya) supaya kita memperolehi tuntutan asal dari wahyu ini.
42. Yang paling mudah tawajjuh (tumpuan hati, menghadapkan diri) kepada Allah taala ialah dengan berdoa dan melakukan amal ibadat.
