Tafsir Al-Quran Maulana Abd Hadi Yaakob – Surah No 60 – al-Mumtahanah (Ayat 10-13)

VIDEO – [Durasi  1j 30m 27s] -Surah al-Mumtahanah (Ayat 10-13) – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]

NOTA: VIDEO ADA MASALAH TEKNIKAL, SILA DENGAR AUDIO DI BAWAH

سورة الممتحنة

بسم الله الرحمن الرحيم

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا جَآءَكُمُ الْمُؤْمِنٰتُ مُهٰجِرٰتٍ فَامْتَحِنُوهُنَّ ۖ اللهُ أَعْلَمُ بِإِيمٰنِهِنَّ ۖ فَإِنْ عَلِمْتُمُوهُنَّ مُؤْمِنٰتٍ فَلَا تَرْجِعُوهُنَّ إِلَى الْكُفَّارِ ۖ لَا هُنَّ حِلٌّ لَّهُمْ وَلَا هُمْ يَحِلُّونَ لَهُنَّ ۖ وَءَاتُوهُم مَّآ أَنفَقُوا۟ ۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ أَن تَنكِحُوهُنَّ إِذَآ ءَاتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۚ وَلَا تُمْسِكُوا۟ بِعِصَمِ الْكَوَافِرِ وَسْـَٔلُوا۟ مَآ أَنفَقْتُمْ وَلْيَسْـَٔلُوا۟ مَآ أَنفَقُوا۟ ۚ ذٰلِكُمْ حُكْمُ اللهِ ۖ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ ۚ وَاللهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ:١۰ وَإِن فَاتَكُمْ شَىْءٌ مِّنْ أَزْوٰجِكُمْ إِلَى الْكُفَّارِ فَعَاقَبْتُمْ فَـَٔاتُوا۟ الَّذِينَ ذَهَبَتْ أَزْوٰجُهُم مِّثْلَ مَآ أَنفَقُوا۟ ۚ وَاتَّقُوا۟ اللهَ الَّذِىٓ أَنتُم بِهِۦ مُؤْمِنُونَ:١١ يٰٓأَيُّهَا النَّبِىُّ إِذَا جَآءَكَ الْمُؤْمِنٰتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَىٰٓ أَن لَّا يُشْرِكْنَ بِاللهِ شَيْـًٔا وَلَا يَسْرِقْنَ وَلَا يَزْنِينَ وَلَا يَقْتُلْنَ أَوْلٰدَهُنَّ وَلَا يَأْتِينَ بِبُهْتٰنٍ يَفْتَرِينَهُۥ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلَا يَعْصِينَكَ فِى مَعْرُوفٍ ۙ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللهَ ۖ إِنَّ اللهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ:١٢ يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَوَلَّوْا۟ قَوْمًا غَضِبَ اللهُ عَلَيْهِمْ قَدْ يَئِسُوا۟ مِنَ الْاٰخِرَةِ كَمَا يَئِسَ الْكُفَّارُ مِنْ أَصْحٰبِ الْقُبُورِ ١٣:

TERJEMAHAN SURAH AL-MUMTAHANAH (AYAT 10 -13)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(10) Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami). Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa yang mereka telah belanjakan. Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada mereka maskahwinnya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap berpegang kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam keadaan) kafir, dan mintalah balik maskahwin yang kamu telah berikan, dan biarkanlah mereka (suami-suami yang kafir itu) meminta balik apa yang mereka telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah; Ia hukumkan di antara kamu (dengan adil). Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(11) Dan sekiranya kamu tidak dapat menerima balik sesuatu dari maskahwin isteri-isteri kamu (yang menjadi murtad serta) melarikan diri ke pihak orang-orang kafir, kemudian kamu menyerang puak yang kafir itu serta mendapat harta rampasan maka berikanlah kepada orang-orang (Islam) yang lari isterinya itu ganti maskahwinnya sebanyak yang mereka telah bayar. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya.

(12) Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, – maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(13) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan teman rapat mana-mana kaum yang dimurkai Allah, mereka telah berputus asa daripada mendapat kebaikan akhirat, sebagaimana berputus asanya orang-orang kafir yang ada di dalam kubur.

[Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin terdapat sedikit perbezaan dengan terjemahan oleh Maulana Abd Hadi ]

===============================================

EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI) ===============================================

1. (Sebelum pembukaan Mekah), ramai wanita Mekah mendapat hidayah (memeluk Islam) lalu meninggalkan keluarga mereka dan lari ke Madinah.

2. Dalam perjanjian Hudaibiyah, yang disebut dalam perjanjian tersebut adalah golongan lelaki. Kedudukan kaum wanita di dalam perjanjian tersebut tidak dinyatakan dengan jelas. Oleh itu, wanita yang memeluk agama Islam dan melarikan diri ke Madinah tidak tertakluk kepada perjanjian ini dan tidak dihantar balik ke Mekah; tidak sebagaimana golongan lelaki.

3. Untuk membuktikan bahawa wanita yang datang ke Madinah adalah benar-benar beriman, maka diadakan bai’ah.

4. “Wahai orang yang beriman! Apabila datang kepada kamu (di Madinah), wanita-wanita (dari Mekah) dalam keadaan beriman (berhijrah dari daerah “harbi” kepada “Darul Islam”), ujilah mereka itu (dengan syarat-syarat bai’ah). Allah Maha mengetahui hakikat iman mereka”.

5. Tiada yang tahu hakikat iman mereka kecuali Allah.

6. “Maka jika kamu tahu bahawa yang berhijrah ini adalah mukmin (dengan bukti-bukti yang diperolehi semasa bai’ah), janganlah kembalikan mereka kepada orang kafir (harbi di Mekah).

7. Ini adalah kerana, “Wanita-wanita Islam ini tidak halal lagi kepada orang kafir (sebagai isteri), dan tidak lagi halal orang kafir kepada wanita-wanita ini”. Bila mereka berpisah dan habis iddah, maka putuslah hubungan perkahwinan. Selagi belum habis iddah, ikatan perkahwinan masih wujud.

8. Apabila isteri-isteri mereka berhijrah ke Madinah dan tidak disertai oleh suami mereka yang kafir, “Maka kembalikanlah maskahwin kepada mereka (suami-suami) sebagaimana yang telah diberi”

9.”Dan kamu (yang tinggal di Madinah) tidak salah untuk mengahwini mereka”, iaitu mengahwini bekas isteri-isteri orang kafir. Selepas iddah, kamu boleh mengahwini mereka dengan syarat kamu memberi kepada mereka maskahwin.

10. “Jangan kamu kekalkan ikatan perkahwinan kamu dengan wanita kafir (yang tidak ingin masuk Islam)”, iaitu jika habis sahaja iddah dengan kamu, maka putuslah ikatan perkahwinan kamu dengan mereka. Kamu (yang muslim), boleh “meminta balik maskahwin yang diberikan kepada mereka”, oleh kerana keengganan mereka memeluk Islam.

11. “Dan mereka (suami yang kafir) boleh meminta balik apa yang diberikan kepada isteri (yang telah memeluk Islam)”. Kedua-dua pihak (Islam atau kafir) ada hak untuk meminta semula maskahwin yang telah diberi.

12. “Inilah hukum Allah yang adil”, perbezaan agama tidak menggugurkan hak mendapatkan balik maskahwin yang telah diberi.

13. “Allah taala membuat keputusan di kalangan kamu dengan adil”

14. “Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

15. “Sekiranya kamu tidak dapat menerima balik sesuatu dari maskahwin isteri-isteri kamu (yang menjadi murtad serta) melarikan diri ke pihak orang-orang kafir maka kamu pukul mereka (dengan menyerang dan ambil harta mereka)”. Apabila mendapat harta rampasan maka, “maka berikanlah kepada orang-orang (Islam) yang isterinya lari itu ganti maskahwinnya”. Harta rampasan perang itu diambil dan diberi kepada suami-suami yang masuk Islam, “sebagaimana yang mereka beri kepada isteri mereka”

16. “Dan hendaklah kamu benar-benar takut kepada Allah s.w.t yang kamu beriman dan percaya kepadaNya”. Segala peraturan agama hendaklah dipatuhi, dan tidak boleh dipandang remeh.

17. “Wahai nabi! Apabila datang para mukminat (untuk berbai’ah dengan kamu) di atas syarat-syaratnya iaitu tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun”.

18. Syarat pertama adalah berkenaan aqidah. Syarat seterusnya ialah, “dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina dan tidak membunuh anak mereka hidup-hidup dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka (mengatakan anak dalam kandungan bukan dari bekas suami), dan mereka tidak menderhakai kamu dalam perkara yang baik”

19. Jika syarat-syarat yang disebut ini mereka sanggup terima, “Maka terimalah bai’ah mereka”, terimalah janji setia mereka.

20. “Dan minta ampunlah dosa-dosa mereka yang lalu”

21. “Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani”

22. Wanita yang ingin berbai’ah tahu bahawa dia mengandungkan anak siapa. Dia tidak boleh berbohong dan hendaklah berterus-terang. Dia tidak boleh menisbahkan anak yang dikandungnya kepada orang yang selain dari ayahnya yang sebenar.

23. “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan teman rapat kaum Munafiq yang Allah murka kepada mereka”. Ini adalah teguran kepada orang beriman tentang orang Munafiq, janganlah jadikan mereka sebagai teman atau (terjemahan lain dari ayat ini ialah) jangan angkat mereka sebagai pemimpin.

24. Kaum Munafiq ialah kaum yang Allah murkai.

25. Mereka telah putus asa dari balasan pahala di akhirat, sebagaimana orang kafir putus asa untuk mendapat bantuan dan sokongan dari orang-orang yang telah mati.

Leave a comment