VIDEO – [Durasi 14m 10s] -Surah No 59-al-Hasyr (Ayat 22-24) – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/uGgzFYOuY5A ]
TERJEMAHAN SURAH AL-HASYR (AYAT 22-24)
سورة الحشر
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِى لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَـٰلِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ ۖ هُوَ ٱلرَّحْمَـٰنُ ٱلرَّحِيمُ ٢٢ هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِى لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْمَلِكُ ٱلْقُدُّوسُ ٱلسَّلَـٰمُ ٱلْمُؤْمِنُ ٱلْمُهَيْمِنُ ٱلْعَزِيزُ ٱلْجَبَّارُ ٱلْمُتَكَبِّرُ ۚ سُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ ٢٣ هُوَ ٱللَّهُ ٱلْخَـٰلِقُ ٱلْبَارِئُ ٱلْمُصَوِّرُ ۖ لَهُ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ ٢٤
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
(22) Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
(23) Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.
(24) Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.
[Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin terdapat sedikit perbezaan dengan terjemahan oleh Maulana Abd Hadi ]
====================================================
EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI) ====================================================
1. Sesiapa yang membaca tiga ayat terakhir dari Surah al-Hasyr ini selepas solat maghrib, Allah akan lantik beberapa malaikat untuk memohon keampunan kepadanya sehingga pagi.Apabila dibaca selepas subuh, Allah akan lantik beberapa malaikat untuk memohon keampunan kepadanya sehingga maghrib.
2. Ayat-ayat ini penuh dengan sifat-sifat Allah. Dalam al-Quran, di mana ada disebut sifat-sifat Allah (tauhid) di situ ada kelebihan, contohnya tiga Qul (al-ikhlas, al-Kaafirun dan al-Naas), ayat Qursi, 2 ayat terakhir surah al-Baqarah dan 10 ayat terakhir surah ali ‘Imraan dan juga tiga ayat ini.
3. Fadhilat ayat-ayat al-Quran di atas adalah sabit dari nas-nas. Terdapat juga kelebihan dan fadhilat yang tidak sabit, yang direka-reka, yang tidak boleh diakui sebagai benar dari Allah. Hanya hadis yang sahih sahaja yang boleh mensabitkan amal, hadis yang dhaif tidak boleh mensabitkan amal.
4. Sesuatu amal yang sabit dari hadis sahih, tetapi kelebihan-kelebihannya tidak sahih, ianya boleh diamalkan. Oleh itu, hadis-hadis dhaif tentang kelebihan sesuatu amal tidaklah menjadi masalah, boleh diamalkan. Dengan syarat amal tersebut telah sabit (sahih kewujudannya). Jangan terkeliru, adalah tidak benar jika sesuatu fadhilat yang disebut di dalam hadis itu tidak sahih maka ianya tidak boleh diamalkan. Yang tepatnya ialah ianya boleh diamalkan, tapi jangan berharap kelebihan seperti yang disebut dalam hadis dhaif tersebut.
5. “Amalan-amalan” adalah perkara fiqh. Perkara fiqh (amalan) mesti disabitkan dengan bukti. Hadis-hadis dhaif yang banyak (tentang sesuatu perkara) boleh naik tarafnya menjadi “hasan lighairih” dan ianya boleh mensabitkan hukum.
6. Hadis “hasan lighairih” boleh dijadikan hujjah untuk mensabitkan sesuatu amalan, kerana ianya dikira hadis sahih. Walaupun begitu, ianya hadis sahih yang bertaraf paling rendah. Ianya layak untuk dijadikan hujjah untuk mensabitkan sesuatu amalan. Jika ada hadis lain yang menceritakan kelebihan sesuatu amalan tetapi ianya dhaif, adalah tidak mengapa mengamalkan hadis tersebut (sekiranya amalan itu ada dari hadis sahih). Hadis sebegini (tentang fadhilat) boleh didengar untuk memberi dorongan kepada kita (untuk beribadat)
7. Tetapi jangan difahami bahawa hadis dhaif boleh mensabitkan amal, ianya tidak boleh mensabitkan amal. Ianya hanya berfungsi memberi tahu tentang kelebihan. Hadith dhaif tentang fadhilat sesuatu amalan ini tidak ada masalah, (boleh diterima sebagai pemberi galakan). Hal ini dipersetujui oleh majoriti ulama hadis. Hadis-hadis dhaif tentang fadhilat boleh digunakan kerana ianya sekadar memberitahu tentang fadhilat-fadhilat sesuatu amal. Syarat dibolehkan mengamalkan sesuatu ibadat ialah ianya telah sabit dari hadis sahih (dan bukannya dengan sebab fadhilat tertentu)
8. Tidak boleh beramal jika sesuatu amalan itu disabitkan dengan hadis palsu. (Mengerjakan sesuatu amalan berdasarkan hadis palsu) adalah satu kesalahan besar.
9. Rata-rata masyarakat kita keliru, sepatutnya pastikan sesuatu amal itu sabit dahulu, kemudian barulah perhatikan kelebihan-kelebihannya. Adanya kelebihan-kelebihan (yang tidak sahih) tidak mensabitkan sesuatu amal.
10. Bila amalan-amalan diceduk dari hadis-hadis palsu maka muncullah bid’ah. Ini adalah kerana ianya tidak diamalkan oleh nabi.
11. Apa yang nabi buat ada dalam hadis sahih dan ianya banyak.
12. Bila kita amalkan hadis-hadis palsu atau hadis dhaif yang tidak boleh mensabitkan amal, kita sebenarnya mengabaikan nabi dan menghidupkan amalan orang lain. Biasanya sesuatu amalan yang bukan dari nabi (dan sahabat) ianya muncul dalam bentuk hadis-hadis palsu. Jika sesuatu amalan tidak sabit dari hadis sahih, maka kelebihan-kelebihan (fadhilat) amalan tersebut juga adalah palsu. Oleh itu kita perlu berhati-hati.
13. Kelemahan masyarakat kita di Malaysia ialah kurangnya ulama’ yang belajar hadith. Tidak banyak pusat pengajian yang mengajar hadis menyebabkan orang Malaysia jahil tentang hadith. Kita kena akur bahawa masyarakat kita adalah lemah di bidang hadith. Jika kita belajar hanya belajar beberapa ratus hadis berbanding dengan beribu hadis yang ada ianya adalah tidak mencukupi. Keadaan ini menyebabkan mudahnya tersebar hadis-hadis palsu, tidak sebagaimana negara-negara yang maju agamanya. Di negara-negara ini ada banyak kelas-kelas pengajian tentang hadis-hadis sahih; menyebabkan mereka boleh mendidik masyarakat tentang hadis-hadis sahih. Tugas menjaga hadis-hadis yang sahih diambil oleh imam-imam masjid dan ahli masyarakat. Ianya mampu dilakukan kerana ulama’-ulama’ mereka mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hadith.
14. Allah telah memberi kepada kita ilmu yang cukup dari nabi s.a.w. Cuma kelemahan kita ialah tidak mahu belajar hadis nabi.
15. Cinta kepada nabi hanya dalam bentuk slogan-slogan; dengan ilmu yang sedikit kita mereka-reka pula sesuatu yang baru (dalam ibadat). Rekaan-rekaan dalam ibadat ini seolah-olah kita menolak nabi.
16. Ingatlah nabi s.a.w diturunkan kepada seluruh umat manusia. Sebagai “Rahmatan lil alamin (rahmat kepada seluruh alam) baginda ajar kepada umatnya semua perkara yang perlu dari lahir sampai mati. Malangnya, kebanyakan umatnya tidak ingin belajar tentang ajaran nabi ini. Dan bila beramal, mereka cari yang lain dari ajaran nabi, mereka seolah-olah mencabar nabi! Bila beramal lain dari apa yang nabi ajarkan, manusia sebenarnya membazirkan masanya. Bila amalkan ajaran yang lain, ajaran nabi akan diabaikan, dan ini mungkin berlanjutan sehingga mati. Yang peliknya, lidah mereka tidak lekang dari memuji nabi, tetapi tingkah laku dan kehidupan mereka sebenarnya melawan nabi.
17. Allah turunkan kepada kita tiga puluh juzuk al-Quran untuk kita amalkan. Yang sahih dalam al-Quran ini sudah cukup banyak sehinggakan kita tidak sempat untuk mengamalkan yang palsu. Kita patut memohon ampun kerana tidak dapat amalkan sepenuhnya apa yang kita belajar dari al-Quran. Mereka yang jahil mengambil beberapa bahagian sahaja dari al-Quran dan yang lainnya mereka cipta sendiri. Tapi bila ditanya adakah mereka inginkan syurga, mereka menjawab ya, mereka pun inginkan syurga!
18. Untuk mengatasi kejahilan dan kekeliruan, kita hendaknya mengajak masyarakat untuk belajar (al-Quran dan hadis). Berkat dorongan dari kita supaya belajar di samping kita sendiri mengajar mereka, Allah akan memberi kekuatan kepada kita. Dan sekiranya apa yang kita ajarkan ini diamalkan dan disebarkan kita akan dapat pahala yang berterusan.
19. Tiga ayat ini ada kelebihan tertentu, yang sunat dibaca. Kelebihannya ialah Allah akan melantik beberapa orang malaikat untuk beristighfar dari waktu maghrib sehingga pagi untuk mereka yang membacanya. Dan jika dibaca di waktu pagi, malaikat akan beristighfar dari waktu pagi hingga petang.
20. Ayat-ayat ini adalah tentang tauhid.
21. “Dia lah Allah, tiada illah melainkanNya, Maha mengetahui perkara yang ghaib (dari manusia) Dan Maha Mengetahui perkara yang zahir (dari manusia).
22. “Dan Dialah Maha Pemurah dan Maha Mengasihani”
23. “Dia lah Allah, tiada illah melainkanNya. Yang Berkuasa (Mengurus); Yang Maha Suci; Yang Selamat (dari segala kecacatan); Yang Memberi Keamanan; Yang Maha Mengawal (Menjaga); Yang Maha Perkasa; Yang Maha Kuat; Maha Agung; Maha Suci Allah dari apa yang mereka syirikkan; Dialah Allah Yang Menciptakan; Yang Mengadakan; Yang Membentuk dan Membuat Rupa.”
24. “Dia memiliki nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya”; yang apabila hamba menyebut nama-nama ini akan memberi kesan dan faedah.
25. “Sentiasa bertasbih makhluk di langit dan di bumi”
26. “Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”
