Tafsir Al-Quran – Maulana Abd Hadi Yaakob – Surah No 61 – al-Saff

VIDEO – [Durasi  15m 39s] -Surah No 61-al-Saff – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube –  https://youtu.be/Ogybt4h1MiE ]

سورة الصف

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

وَإِذْ قَالَ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ إِنِّى رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيْكُم مُّصَدِّقًۭا لِّمَا بَيْنَ يَدَىَّ مِنَ ٱلتَّوْرَىٰةِ وَمُبَشِّرًۢا بِرَسُولٍۢ يَأْتِى مِنۢ بَعْدِى ٱسْمُهُۥٓ أَحْمَدُ ۖ فَلَمَّا جَآءَهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ قَالُوا۟ هَـٰذَا سِحْرٌۭ مُّبِينٌۭ ٦ وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ وَهُوَ يُدْعَىٰٓ إِلَى ٱلْإِسْلَـٰمِ ۚ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٧ يُرِيدُونَ لِيُطْفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفْوَٰهِهِمْ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْكَـٰفِرُونَ ٨ هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلْهُدَىٰ وَدِينِ ٱلْحَقِّ لِيُظْهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْمُشْرِكُونَ ٩ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍۢ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍۢ ١٠ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ١١ يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةًۭ فِى جَنَّـٰتِ عَدْنٍۢ ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ ١٢ وَأُخْرَىٰ تُحِبُّونَهَا ۖ نَصْرٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتْحٌۭ قَرِيبٌۭ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُؤْمِنِينَ ١٣ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوٓا۟ أَنصَارَ ٱللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ٱبْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّـۧنَ مَنْ أَنصَارِىٓ إِلَى ٱللَّهِ ۖ قَالَ ٱلْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ ٱللَّهِ ۖ فَـَٔامَنَت طَّآئِفَةٌۭ مِّنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَكَفَرَت طَّآئِفَةٌۭ ۖ فَأَيَّدْنَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ عَلَىٰ عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا۟ ظَـٰهِرِينَ ١٤

TERJEMAHAN SURAH AL-SAFF

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(1) Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(2) Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakanapa yang kamu tidak melakukannya!

(3) Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

(4) Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

(5) Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu?” Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik – derhaka.

(6) Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad”. Maka ketika ia dating kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!”

(7) Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, sedang ia diajak kepada memeluk Islam; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

(8) Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (9) Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

(10) Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

(11) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(12) (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga” Adn “. Itulah kemenangan yang besar.

(13) Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya).Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.

(14) Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidakberada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir.Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.

[Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin terdapat sedikit perbezaan dengan terjemahan oleh Maulana Abd Hadi ]

===============================================

EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI) ===============================================
1. Surah as-Saff dan tiga surah selepasnya adalah tiga serangkai (saling berkaitan).
2. Surah as-Saff adalah surah terakhir mengenai jihad, dan tiga surah lagi adalah berkenaan infaq.
3. Surah as-Saaf, al-Jumu’ah dan Surah al-Munaafiquun adalah tentang tiga golongan teras yang perlu untuk menegakkan agama.
4. Golongan pertama, yang disebut dalam surah as-Saff ini, ialah golongan “mujahidin”. Perlu ada dalam umat Islam satu golongan yang bersedia berjuang dan bersusah payah untuk agama Allah.
5. Yang kedua, golongan ulama’, guru dan juga pelajar, sebagaimana disebut dalam surah al-Jumu’ah. Adanya ulama’, wujudnya suasana belajar dan mengajar, agama akan kekal.
6. Yang ketiga, golongan hartawan yang dermawan yang sentiasa bersedia menginfaqkan harta untuk menegakkan agama.
7. Ketiga-tiga golongan ini disebut dalam surah-surah tiga serangkai ini. Mujahidin, ulama’ dan pelajar agama, dan hartawan yang dermawan.
8. Mujahidin, golongan yang sedia berkorban untuk agama Allah bagi mempertahankan agama, golongan yang mengajar dan belajar untuk mengekalkan ilmu agama dan golongan yang sentiasa menginfaqkan harta untuk tujuan jihad dan untuk agama.
9. “Bertasbih kepada Allah makhluk di langit dan di bumi. Dan Dialah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana”.
10. Ayat ini adalah teguran kepada orang Islam yang meminta untuk berjihad tetapi apabila jihad disyariatkan mereka pula tidak bersedia untuk berjihad.
11. “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan (meminta untuk berjihad) apa yang kamu tidak melakukannya!”
12. Sesuatu amalan baik, apabila disyariatkan hendaklah segera dilaksanakan. Ayat ini adalah ayat “tarhib”, teguran (kepada orang beriman).
13. Kamu minta untuk berjihad, berperang. Apabila ianya disyariatkan, maka hendaklah kamu bersegera dan jangan berlengah untuk melaksanakannya. Kenapa kamu meminta untuk berjihad (berperang)? Kenapa kamu belum lakukannya (berjihad) sekarang ini (setelah ianya disyariatkan)? Kamu hendaklah segera melakukannya.
14. “Besar kemurkaan di sisi Allah – kamu meminta sesuatu kemudian kamu tidak laksanakannya”. 15. Jihad adalah perkara besar dan kelebihannya adalah tidak terhingga, yang tiada tandingan (ganjarannya).
15. “Sesungguhnya Allah amat suka kepada orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang rapi (berperaturan). Mereka teguh seolah-olah bangunan yang tersusun kukuh”.
16. “Ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya (Bani Israil), “Wahai kaumku, kenapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu tahu bahawa aku sesunggguhnya Rasul untuk kamu?”
17. Kisah ini telah disebutkan dalam surah sebelum ini, iaitu Nabi Musa meminta kaumnya Bani Israel untuk berjihad melawan kaum kafir di Baitul Maqdis. Tetapi kaumnya berkata kepadanya, “Pergilah kamu Musa berperang bersama tuhan kamu dan kami ingin tetap di sini”. Perkataan ini telah menyakiti Nabi Musa kerana seruan jihad adalah perkara yang besar, tetapi dipandang remeh oleh kaumnya.
18. “Mengapa kamu menyakiti ku? Sedangkan kamu tahu aku ini Rasul Allah”. Apa-apa yang aku beritahu adalah yang benar dari Allah.
19. “Apabila mereka menyimpang dari seruan rasul, Allah taala palingkan hati mereka dari hidayah. Dan Allah tidak akan beri hidayat kepada kaum yang fasiq”
20. “Taghrib” (galakan) kepada “qital” (peperangan) kepada umat nabi Muhammad adalah sebagaimana nabi Isa mengajak kaumnya untuk berperang.
21. “Dan ketika nabi Isa ibn Maryam berkata kepada Bani Israil”, Isa bin Maryam bermakna baginda mempunyai ibu dan bukan anak Allah.
22. “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku benar-benar Rasul Allah yang dipilih untuk kamu. Membenarkan (isi) kitab sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberi berita gembira bahawa akan datang seorang Rasul selepas daripada ku”
23. Kalimah sebegini ada di dalam Injil sekiranya mereka (penganut Kristian) tidak berbohong dan menipu.
24. Ini adalah kerana Nabi Isa datang untuk memberitahu berita gembira kedatangan nabi akhir zaman sebagai penutup sekelian nabi.
25. Adanya ayat-ayat seperti ini di dalam kitab Injil adalah sebagai bukti (kebenarannya), tetapi sekiranya tiada ayat-ayat sebegini maka ianya bukan kitab Injil yang benar.
26. “Dan memberi berita gembira akan datangnya seorang Rasul yang datang kemudian daripadaku – bernama Ahmad”.
27. Mengapa tidak disebut “Muhammad” di dalam ayat ini? Ini adalah kerana “Ahmad” adalah lafaz “tafdhil”, bermaksud “Yang Terpuji”. “Muhammad” bermaksud “yang banyak dipuji” dan aku (Nabi Isa) juga dipuji, tetapi “Ahmad” bermaksud lebih lagi dipuji berbanding “Muhammad”.
28. Untuk melebihkan nabi Muhammad s.a.w (berbanding nabi Isa), Allah sebut kalimah “Ahmad”, yang bermakna “lebih dipuji”. Namanya ialah “Ahmad”, iaitu “yang lebih dipuji”, supaya ada “mufadhalah”, (kelebihan dan keutamaan).
29. “Apabila datang kepada mereka bukti dan dalil, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang jelas!”. Siapakah yang lebih zalim daripada seseorang yang mengada-adakan atas nama Allah pembohongan?” iaitu menisbahkan (mengatakan) Allah ada wakil, ada anak dan berjuzuk. “Sedangkan ia diajak kepada Islam (dan tauhid)”
30. “Dan Allah tidak akan beri pimpinan hidayat kepada kaum yang zalim”.
31. Usaha mereka untuk memadamkan cahaya Islam adalah dengan pelbagai cara, terutamanya dengan pembohongan dan propaganda-propaganda lisan.
32. Allah beritahu, rancangan jahat, propaganda dan slogan-slogan mereka tidak akan berjaya menghapuskan atau memperlahankan berkembangnya Islam sekiranya ada dalam kalangan umat Islam orang-orang yang berusaha menghidupkan Islam.
33. Islam tidak akan mundur atau terhenti kerana gertakan orang bukan Islam, tetapi akan mundur dan jatuh bila orang Islam sendiri tidak menjalankan tugasnya menyebarkan agama ini.
34. (Pada mulanya) Nabi berseorangan (menyebarkan Islam) bermula dengan keluarga sendiri dan sahabat-sahabat baginda. Tentangan demi tentangan dihadapi sehingga ke tahap baginda dihalau, kemudiannya diperangi. Semua halangan ini tidak menggugat Islam dari tersebar bahkan Islam tetap berkembang dan hebat.
35. Walaupun meningkatnya penentangan dan gangguan, Islam tetap naik dan berkembang kerana usaha-usaha yang diakukan untuk menyebarkannya tidak berhenti.
36. “Mereka ingin memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka. Dan Allah taala tetap akan menyempurnakan cahaya (hidayat)Nya sekalipun tidak disukai oleh golongan yang ingkar”.
37. Bagaimanakah Allah menghidupkan agamanya? Dengan dilantik seorang nabi dan Islam ini berkembang kerana usaha nabi tersebut.
38. “Dialah Allah yang telah memilih rasulnya dengan membawa hidayat (al-Quran) dan agama yang benar”.
39. “Deen” bermakna cara hidup. Hidayat al-Quran yang memimpin mereka ke jalan hidup yang benar yang dibawa oleh nabi s.a.w.
40. “Untuk memenangkannya (dan meninggikannya) di atas semua cara hidup yang lain, sekalipun (cara hidup itu) tidak disukai oleh orang-orang yang syirik”.
41. “Wahai orang yang beriman! Sukakah Aku ajarkan kepada kamu suatu perniagaan yang faedahnya ialah menyelamatkan kamu dari azab neraka yang pedih?”
42. “Iaitu, kamu hendaklah beriman kepada Allah”. Ini adalah syarat pertama untuk jihad. Hendaklah beriman kepada Allah dengan menerima ajaran tauhid dan segala rukun iman. Yang kedua, “beriman kepada rasulNya”.
43. Ketiganya, “kamu berjuang di jalan Allah taala”, iaitu menyampaikan apa yang Allah taala turunkan. “Dengan harta kamu dan diri kamu sendiri”.
44. “Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui” Demikianlah usaha dari nabi yang disebutkan dalam al-Quran untuk menegakkan agama.
45. Walaupun golongan-golongan lain seperti Yahudi dan Nasara ingin memadamkan agama Islam.
46. Balasan di akhirat ialah, “Allah taala mengampuni dosa-dosa kamu”, dengan sebab iman, jihad dan infaq kamu.
47. “Dan masuklah kamu ke dalam kebun-kebun syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan istana-istana mahligai yang indah di dalam kebun-kebun syurga Adn”
48. “Itulah dia kejayaan yang agung dan sangat besar”, yang merupakan matlamat perjuangan kamu (orang Islam).
49. “Allah akan beri juga pemberian yang lain”. Selain dari janji kejayaan yang sangat besar (di akhirat) tadi, Allah akan beri juga pemberian yang lain.
50. Pemberian ini ialah yang kamu sangat suka, iaitu, “Bantuan dan kemenangan yang hampir (cepat berlakunya) dari Allah”.
51. “Dan sampaikanlah berita gembira itu kepada para mukmin”
52. Tuntutan pertama, janji “taghrib” (galakan) kepada jihad, tuntutan kedua, seru mereka supaya berjihad.
53. “Wahai orang beriman, kamu semua hendaklah menjadi pembela-pembela kepada agama Allah” 54. Ini adalah arahan daripada Allah. Allah berseru kepada orang yang beriman supaya menjadi pembantu-pembantu (pembela-pembela) agama Allah.
55. “Sepertimana Nabi Isa meminta kepada pengikut-pengikut setianya dengan berkata, “Siapakah yang akan menjadi pembantu-pembantu aku untuk menegakkan agama Allah?”
56. Di zaman nabi Isa, nabi Isa yang meminta (pengikut-pengikutnya), di zaman kita (nabi Muhammad), Allah sendiri yang arahkan (supaya menjadi pembela agama Allah).
57. Pengikut-pengikut setia nabi Isa berkata. “Kami bersedia menjadi pembantu agama Allah”
58. Jika di zaman nabi Isa, pengikut-pengikutnya menyahut untuk menjadi pembantu agama Allah bila Nabi Isa memintanya, kita umat Muhammad sepatutnya lebih lagi dari itu kerana yang mengarahkannya adalah Allah sendiri.
59. Ada dua kumpulan, “Berimanlah satu puak dari kalangan Bani Israil”, membantu agama tauhid yang dibawa nabi Isa melalui Kitab Injil. “Dan kufur satu puak yang lain”.
60. Dari dua kumpulan ini Allah memberi bantuan kepada kumpulan yang bersama dengan nabi Isa. “Lalu Kami beri pertolongan kepada orang yang beriman untuk mengalahkan musuh mereka. Jadilah mereka itu orang-orang yang menang (dengan hujjah-hujjah)”

Leave a comment