VIDEO – [Durasi 17m 18s] -Surah No 66 -at-Tahriim – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/Ah15pL0Hurs ]
سورة التحريم
بسم الله الرحمن الرحيم
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ تَبْتَغِي مَرْضَاتَ أَزْوَاجِكَ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ (1) قَدْ فَرَضَ اللَّهُ لَكُمْ تَحِلَّةَ أَيْمَانِكُمْ وَاللَّهُ مَوْلَاكُمْ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ (2) وَإِذْ أَسَرَّ النَّبِيُّ إِلَى بَعْضِ أَزْوَاجِهِ حَدِيثًا فَلَمَّا نَبَّأَتْ بِهِ وَأَظْهَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ عَرَّفَ بَعْضَهُ وَأَعْرَضَ عَنْ بَعْضٍ فَلَمَّا نَبَّأَهَا بِهِ قَالَتْ مَنْ أَنْبَأَكَ هَذَا قَالَ نَبَّأَنِيَ الْعَلِيمُ الْخَبِيرُ (3) إِنْ تَتُوبَا إِلَى اللَّهِ فَقَدْ صَغَتْ قُلُوبُكُمَا وَإِنْ تَظَاهَرَا عَلَيْهِ فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ مَوْلَاهُ وَجِبْرِيلُ وَصَالِحُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمَلَائِكَةُ بَعْدَ ذَلِكَ ظَهِيرٌ (4) عَسَى رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا مِنْكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُؤْمِنَاتٍ قَانِتَاتٍ تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًا (5) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ (6) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَعْتَذِرُوا الْيَوْمَ إِنَّمَا تُجْزَوْنَ مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (7) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (8) يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ (9) ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ كَفَرُوا امْرَأَتَ نُوحٍ وَامْرَأَتَ لُوطٍ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ (10) وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (11) وَمَرْيَمَ ابْنَتَ عِمْرَانَ الَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِنْ رُوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَاتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِ وَكَانَتْ مِنَ الْقَانِتِينَ (12)
TERJEMAHAN SURAH AT-TAHRIIM
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
(1) Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(2) Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda – kaffarah); dan Allah ialah Pelindung yang mentadbirkan keadaan kamu, dan Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(3) Dan (ingatlah), ketika Nabi memberitahu suatu perkara secara rahsia kepada salah seorang dari isteri-isterinya. Kemudian apabila isterinya itu menceritakan rahsia yang tersebut (kepada seorang madunya), dan Allah menyatakan pembukaan rahsia itu kepada Nabi, (maka Nabi pun menegur isterinya itu) lalu menerangkan kepadanya sebahagian (dari rahsia yang telah dibukanya) dan tidak menerangkan yang sebahagian lagi (supaya isterinya itu tidak banyak malunya). Setelah Nabi menyatakan hal itu kepada isterinya, isterinya bertanya: “Siapakah yang memberi tahu hal ini kepada tuan? ” Nabi menjawab: “Aku diberitahu oleh Allah Yang Maha Mengetahui, lagi Amat Mendalam PengetahuanNya (tentang segala perkara yang nyata dan yang tersembunyi) “.
(4) Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah (wahai isteri-isteri Nabi, maka itulah yang sewajibnya), kerana sesungguhnya hati kamu berdua telah cenderung (kepada perkara yang menyusahkan Nabi); dan jika kamu berdua saling membantu untuk (melakukan sesuatu yang) menyusahkannya, (maka yang demikian itu tidak akan berjaya) kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya; dan selain dari itu Jibril serta orang-orang yang soleh dari kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat – juga menjadi penolongnya.
(5) Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, – yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, – (meliputi) yang janda dan yang anak dara.
(6) Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
(7) Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka): “Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan”.
(8) Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
(9) Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
(10) Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)”.
(11) Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”;
(12) Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran (ibu Nabi Isa seorang perempuan) yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya; dan ia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.
[ Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin ada sedikit perbezaan dengan trejemahan oleh Maulana Abd Hadi ]
===============================================
EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI) ===============================================
1. Surah at-Tahriim ada persamaan dengan Surah Al-Hadiid iaitu kedua-dua surah ada menyebut tentang “jihad” dan “taubat”. “Jihad” disebut dalam ayat 9 dan “Taubat” dalam ayat 8 surah ini.
2. Ayat pertama ditujukan kepada nabi kerana baginda telah bersumpah untuk tidak minum madu di rumah isterinya Zainab kerana ingin menjaga hati isterinya yang lain.
3. Di antara minuman yang nabi paling suka ialah madu. Zainab menyediakan madu untuk menggembirakan nabi kerana dia tahu nabi suka minum madu. Nabi biasanya akan pergi ke rumah Zainab untuk meminum madu. Perkara ini diketahui oleh Aisyah r.ha. 3. Isteri-isteri nabi ada dua kelompok iaitu yang rapat dengan Zainab dan yang rapat dengan Aisyah. Masing-masing suka sekiranya nabi rapat dengan mereka.
4. Nabi sering ke rumah Zainab kerana ingin minum madu di rumahnya.
5. Aisyah berpakat dengan Hafshah, jika nabi masuk ke salah satu rumah mereka selepas meminum madu di rumah Zainab, mereka akan katakan mulut nabi berbau busuk disebabkan makanannya atau minumannya.
6. Nabi memang tidak suka kepada bau busuk. Pakatan antara dua isteri nabi ini berjalan sebagaimana dirancang; bila nabi masuk ke rumah Hafshah, Hafshah beritahu bahawa mulut nabi berbau busuk seperti getah kayu. Nabi beritahu bahawa sebenarnya dia telah minum madu di rumah Zainab tetapi (kerana dikatakan berbau busuk) nabi berkata tidak akan minum lagi madu tersebut di rumah Zainab. Nabi berpesan supaya jangan diberitahu kepada sesiapa tentang perkara tersebut.
7. Setelah didapati nabi s.aw. tidak lagi pergi ke rumah Zainab, Hafshah memberitahu Aisyah bahawa rancangan mereka telah berjaya.
8. Maka turunlah ayat ini, “Wahai Nabi! Mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan kepada kamu?” Maksud “mengharamkan” ialah nabi tidak ingin minum madu lagi di rumah Zainab, bukannya nabi mengharamkan benda yang halal.
9. Nabi melakukan demikian untuk, “Memuaskan hati isteri-isterinya”, kerana dikatakan bau busuk maka baginda “mengharamkan” (tidak ingin) minum madu di rumah Zainab.
10. “Allah Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihani”
11. “Sesungguhnya Allah memfardhukan ke atas kamu untuk membatalkan sumpah-sumpah kamu”
12. “Dan Allah lah pelindung kamu yang sebenar”
13. “Dan Dia Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana”
14. “Ketika nabi memberi tahu secara rahsia kepada isterinya (Hafshah), (iaitu aku tidak akan pergi ke rumah Zainab untuk minum madu dan dia minta isterinya itu merahsiakan hal ini), isterinya tersebut menceritakan hal tersebut (kepada madunya)”
15. Apabila Hafshah menceritakan rahsia ini, “Allah taala memberitahu (melalui wahyu) kepada nabi bahawa rahsia itu telah dibocorkan”
16. “Engkau (nabi) telah memberitahu (kepada Hafshah) sebahagiannya dan tidak memberitahu sebahagian lagi”.
17. Nabi hanya menyebut sebahagian sahaja (iaitu “rahsia kita telah terbuka” dan tidak berkata “engkau telah beritahu rahsia ini kepada Aisyah”) supaya Hafshah tidak rasa malu.
18. “Dia memberitahu sebahagiannya (dari rahsia yang telah dibocorkan)”
19. “Dan kamu menyembunyikan sebahagian lagi (tidak mengatakan dengan terus terang” seperti, “Kamu sebenarnya telah memberitahu perkara tersebut kepada Aisyah. Aku telah diberitahu oleh Allah melalui wahyu”).
20. Tetapi baginda sembunyikan (sebahagiannya) kerana ingin menjaga hati isterinya.
21. Apabila nabi menceritakan kepada Hafshah bahawa rahsia tersebut telah bocor, Hafshah terkejut lalu berkata, “Siapa yang membuka rahsia ini?”
22. Nabi menjawab, “Aku diberitahu oleh Allah yang maha mengetahui perkara zahir dan batin”
23. Sayugialah kamu berdua bertaubat kepada Allah, “Sesungguhnya hati kamu cenderung (kepada perkara yang) menyusahkan nabi”
24. “Sekiranya kamu saling tolong menolong (kepada perkara yang) menyusahkan nabi, sesungguhnya Allah itu adalah penolong nabi”. Sesungguhnya Allah taala itu amat rapat dengan nabi.
25. “Dan Jibril amat rapat dengan nabi. Dan orang-orang mukmin yang soleh adalah amat rapat dengan nabi (menjadi penolong kepada nabi)”
26. “Dan malaikat-malaikat akan menjadi golongan yang membantu nabi”
27. “Mungkin Tuhannya (Allah), apabila dia (nabi) menceraikan kamu, Allah boleh tukarkan dengan isteri-isteri lain yang lebih baik daripada kamu”. Yang mempunyai sifat-sifat baik; benar-benar “muslim” (menyerahkan diri pada syariat Allah), “mukmin” (yakin pada janji Allah), taat setia terhadap hukum Allah, bertaubat kepada Allah, benar-benar beribadat kepada Allah dan sentiasa berpuasa kerana Allah. Dari kalangan janda-janda dan gadis-gadis perawan”.
28. Sekiranya kamu (isteri-isteri nabi) cuba (melakukan perkara yang akan) menyusahkan nabi, Allah boleh ganti kamu dengan orang lain. Nabi ada Allah, orang-orang mukmin dan malaikat yang boleh menolongnya.
29. “Wahai orang-orang yang beriman”, dalam kehidupan dunia ini, “Hendaklah kamu jaga diri kamu”. “Jaga diri kamu” (ditafsirkan) adalah dengan mengajar agama. Bermaksud orang yang tidak mengajar agama adalah orang yang tidak jaga agama. “Dan jaga ahli keluarga kamu (dengan mengajarkan agama kepada mereka)”
30. “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jaga diri kamu”.
31. Jagalah diri kamu dengan belajar agama, dan “jaga ahli keluargamu”, dengan mengajarkan agama kepada mereka.
32. Jaga mereka (ahli keluarga mu) dan diri kamu, “dari api neraka”. Api neraka yang, “Bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala)”
33. “Neraka dijaga malaikat-malaikat yang diarahkan supaya menjaga, yang sangat keras dan sangat buruk layanannya. Mereka tidak sedikit pun menderhakai Allah”
34. Mereka melakukan apa yang diarahkan kepada mereka oleh Allah dan mereka melakukan apa yang diarahkan sahaja.
35. Mereka akan berkata di akhirat nanti, “Wahai orang yang ingkar, janganlah kamu mengemukakan apa-apa alasan di akhirat ini, sesungguhnya kamu dibalas ke atas apa yang kamu lakukan dahulu”
36. “Wahai orang-orang yang beriman, sentiasalah kamu bertaubat dengan Taubat Nasuha”. Taubat Nasuha ialah taubat yang ikhlas.
37. “Mudah-mudahan dengan taubat yang ikhlas itu Rabb kamu akan menutup dosa-dosa kamu. Akan memasukkan kamu ke dalam kebun-kebun syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”
38. “Pada hari akhirat, di padang Mahsyar, Allah tidak akan menghina nabi dan orang-orang yang beriman bersama nabi. Zahir cahaya kepada mereka ketika mereka melintas titian sirat, di kanan dan di depan mereka”
39. Di depan mereka ialah cahaya iman dan di kanan mereka ialah cahaya dari amalan baik mereka.
40. “Ketika itu mereka berdoa, “Wahai tuhan kami. Sempurnakanlah pemberian cahaya untuk kami. Dan ampunkanlah dosa kami. Sesungguhnya engkau berkuasa penuh atas segala sesuatu” Ayat berikut adalah berkenaan jihad.
41. “Wahai nabi. Hendaklah engkau berjihad menentang orang kafir (dengan pedang) dan berjihad menentang orang munafik (dengan lidah). Berkeraslah dengan mereka (iaitu, tegaslah dengan mereka, tidak boleh berlembut sebagaimana sikap kamu dengan orang-orang mukmin). Dan tempat tinggal mereka ialah neraka Jahannam, seburuk-buruk tempat kembali”
42. “Allah adakan satu bandingan tentang orang-orang kafir (yang tidak mendapat manfaat dari orang mukmin yang soleh selagi tidak beriman). Isteri nabi Nuh dan isteri nabi Luth; sedangkan kedua-duanya di bawah jagaan dua hamba Kami yang soleh. Tapi kedua-duanya telah mengkhianati mereka berdua (nabi Nuh dan nabi Luth)”
43. Kedua-dua isteri nabi ini telah mengkhianati suami mereka kerana adanya sifat nifaq (dalam hati mereka).
44. “Khianat” di sini ialah di segi agama (nifaq), bukan khianat di segi maruah.
45. “Kedua-dua nabi (suami mereka) tidak dapat menyelamatkan mereka dari hukuman Allah walaupun sedikit”
46. “Dikatakan kepada mereka, “Masuklah kamu berdua ke dalam api neraka bersama ahli neraka yang masuk (ke situ)”
47. “Dan Allah ceritakan satu lagi contoh tentang orang-orang yang beriman, iaitu isteri Fir’aun (Asiah) (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), ketika dia berkata, “Wahai tuhanku, binalah untuk ku di syurga nanti satu mahligai. Dan lindungilah aku dari kejahatan Fir’aun dan perbuatan-perbuatan Fir’aun.” Di antara kejahatan Fir’aun ialah kekufuran dan menyeru kepada selain dari Allah. Maksudnya, lindungilah aku dari kejahatan dari Fir’aun sendiri dan dari usaha-usaha dan perbuatan Fir’aun.
48. “Dan lindungilah aku dari kaum yang zalim”
49. Contoh kedua, wanita ahli syurga ialah Maryam. Tidak ada nama wanita solehah yang disebut di dalam al-Quran kecuali Maryam; untuk mensabitkannya sebagai hamba (perempuan) yang beribadat kepada Allah.
50. Namanya disebut di sini adalah sebagai hamba, bukan illah, kerana Maryam bermaksud, hamba Allah atau yang “Yang beribadat, menyembah Allah”
51. “Maryam, anak perempuan Imran, yang dapat menjaga maruah dan kemaluannya (kehormatannya)”, secara halal atau haram.
52. “Ditiupkan kepadanya roh (ciptaan) Kami, ke dalam kandungannya”
53. “Dan Maryam membenarkan kalimah (segala pemberitahuan Allah kepadanya, dia akan mendapat anak dan anaknya akan menjadi nabi), janji-janji Allah dan hukum-hukum Allah.
54. Dia (membenarkan) pemberitahuan dari Allah, membenarkan janji-janji Allah dan membenarkan hukum-hukum Allah dan kitab-kitabNya yang lain.
55. “Dan Maryam ini adalah dari kalangan hamba yang benar-benar taat”
