Tafsir Al-Quran – Maulana Abd Hadi Yaakob – Surah No 79 – An-Naazi’aat

VIDEO – [Durasi  12m 32s] -Surah No 79 – An-Naazi’aat – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]

[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/wyqs6G2ktTs ]

سورة النازعات

بسم الله الرحمن الرحيم

وَالنَّازِعَاتِ غَرْقًا (1) وَالنَّاشِطَاتِ نَشْطًا (2) وَالسَّابِحَاتِ سَبْحًا (3) فَالسَّابِقَاتِ سَبْقًا (4) فَالْمُدَبِّرَاتِ أَمْرًا (5) يَوْمَ تَرْجُفُ الرَّاجِفَةُ (6) تَتْبَعُهَا الرَّادِفَةُ (7) قُلُوبٌ يَوْمَئِذٍ وَاجِفَةٌ (8) أَبْصَارُهَا خَاشِعَةٌ (9) يَقُولُونَ أَإِنَّا لَمَرْدُودُونَ فِي الْحَافِرَةِ (10) أَإِذَا كُنَّا عِظَامًا نَخِرَةً (11) قَالُوا تِلْكَ إِذًا كَرَّةٌ خَاسِرَةٌ (12) فَإِنَّمَا هِيَ زَجْرَةٌ وَاحِدَةٌ (13) فَإِذَا هُمْ بِالسَّاهِرَةِ (14) هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ مُوسَى (15) إِذْ نَادَاهُ رَبُّهُ بِالْوَادِ الْمُقَدَّسِ طُوًى (16) اذْهَبْ إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (17) فَقُلْ هَلْ لَكَ إِلَى أَنْ تَزَكَّى (18) وَأَهْدِيَكَ إِلَى رَبِّكَ فَتَخْشَى (19) فَأَرَاهُ الْآيَةَ الْكُبْرَى (20) فَكَذَّبَ وَعَصَى (21) ثُمَّ أَدْبَرَ يَسْعَى (22) فَحَشَرَ فَنَادَى (23) فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَى (24) فَأَخَذَهُ اللَّهُ نَكَالَ الْآخِرَةِ وَالْأُولَى (25) إِنَّ فِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لِمَنْ يَخْشَى (26) أَأَنْتُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمِ السَّمَاءُ بَنَاهَا (27) رَفَعَ سَمْكَهَا فَسَوَّاهَا (28) وَأَغْطَشَ لَيْلَهَا وَأَخْرَجَ ضُحَاهَا (29) وَالْأَرْضَ بَعْدَ ذَلِكَ دَحَاهَا (30) أَخْرَجَ مِنْهَا مَاءَهَا وَمَرْعَاهَا (31) وَالْجِبَالَ أَرْسَاهَا (32) مَتَاعًا لَكُمْ وَلِأَنْعَامِكُمْ (33) فَإِذَا جَاءَتِ الطَّامَّةُ الْكُبْرَى (34) يَوْمَ يَتَذَكَّرُ الْإِنْسَانُ مَا سَعَى (35) وَبُرِّزَتِ الْجَحِيمُ لِمَنْ يَرَى (36) فَأَمَّا مَنْ طَغَى (37) وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا (38) فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَى (39) وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى (40) فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى (41) يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا (42) فِيمَ أَنْتَ مِنْ ذِكْرَاهَا (43) إِلَى رَبِّكَ مُنْتَهَاهَا (44) إِنَّمَا أَنْتَ مُنْذِرُ مَنْ يَخْشَاهَا (45) كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا (46)

TERJEMAHAN SURAT AN-NAAZI’AAT

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(1) Demi (makhluk-makhluk) yang mencabut (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya;

(2) Dan yang menarik (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya;

(3) Dan demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya;

(4) Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya;

(5) Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya; (sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)!

(6) Pada masa berlakunya “tiupan sangkakala yang pertama” yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan),

(7) Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing);

(8) Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut,

(9) Pemandangannya tunduk gerun.

(10) Mereka (yang ingkar) berkata: “Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu?

(11) “Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput?”

(12) Mereka berkata lagi (secara mengejek: “Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan!”

(13) (Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua),

(14) Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata.

(15) Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? (

16) Ketika ia diseru oleh Tuhannya di “Wadi Tuwa” yang suci;

(17) (Lalu diperintahkan kepadanya): “Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya);

(18) “Serta katakanlah kepadanya: `Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)?

(19) `Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? ‘ ”

(20) (Setelah Musa menyempurnakan perintah Tuhannya, dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: mukjizat yang besar.

(21) Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah);

(22) Kemudian ia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa).

(23) Lalu ia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru,

(24) Dengan berkata: “Akulah tuhan kamu, yang tertinggi”.

(25) Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya.

(26) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).

(27) (Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)!

(28) Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnaKannya,

(29) Dan Ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang.

(30) Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya),

(31) Ia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya;

(32) Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya);

(33) (Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu.

(34) Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar,

(35) Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya,

(36) Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya,

(37) Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya),

(38) Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata,

(39) Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya.

(40) Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu,

(41) Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.

(42) Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?”

(43) Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?

(44) Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya.

(45) Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.

(46) (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.

[ Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin ada sedikit perbezaan dengan terjemahan oleh Maulana Abd Hadi ]

===============================================

EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI) ===============================================

1. Surah An-Naazi’aat menggambarkan keadaan malaikat pada hari kiamat. Allah taala pilih dan lantik mereka untuk menjaga urusan-urusan yang akan berlaku di hari kiamat.

2. “Demi para malaikat yang mencabut roh orang-orang kafir dan ingkar dengan keras”.

3. “Dan demi para malaikat yang mencabut roh orang beriman dengan lemah lembut”

4. “Dan demi malaikat yang terbang dengan laju (untuk menyempurnakan perintah)”

5. “Dan demi malaikat yang berkejar-kejaran untuk menyempurnakan tugas yang ditetapkan oleh Allah taala”.

6. “Dan demi malaikat yang mengatur urusan-urusan yang ditetapkan oleh Allah taala”. Mengatur dan mengurus segala tugas yang Allah taala arahkan kepadanya.

7. “Pada hari tiupan sangkakala pertama, akan berlaku goncangan yang sangat kuat”, menyebabkan semua manusia mati.

8. “Ianya disusuli dengan tiupan sangkakala yang kedua”.

9. “Hati manusia pada hari itu sangat takut (kerana dahsyatnya hari kiamat).

10. “Pandangan mata mereka tunduk hina dan menyesal”.

11. “Mereka berkata (semasa hidup di dunia ini), apakah kita akan dihidupkan kembali dari kubur kita?”

12. “Apakah setelah kita menjadi tulang yang hancur lebur, kita akan dihidupkan kembali?”

13. Mereka mempersendakan seruan rasul supaya beramal dan membuat persiapan. “Mereka berkata, sekiranya betul ada kehidupan kembali, maka rugilah kami kerana kami tidak buat seperti yang diarahkan”.

14. Mereka berkata begini sebagai ejekan, untuk mempersendakan nabi.

15. Allah menjawab, “Sesungguhnya kiamat itu suatu perkara yang amat mudah bagi Allah taala. Hanya satu tiupan sangkakala (sangkakala kedua), tiba-tiba mereka semua berada di Padang Mahsyar.

16. Datangnya manusia ke dunia, adalah secara sedikit demi sedikit, dari Nabi Adam, kemudian Nabi Nuh, Musa, Isa, Nabi Muhammad, kemudian berlakunya kiamat. Ianya melalui satu tempoh.

17. Tetapi untuk dibangkitkan semula selepas sangkakala kedua, “Tiba-tiba mereka berada sekali gus di Padang Mahsyar”

18. “Adakah sampai kepada kamu berita tentang Nabi Musa ketika tuhan menyerunya di lembah yang suci bernama “Tuwa”?”

19. Setelah diberitahu tentang syariat dan beberapa perkara tentang hukum, diarahkan kepada Nabi Musa supaya pergi kepada Fir’aun.

20. “Pergilah wahai Musa kepada Fir’aun. Sesungguhnya dia sudah melampaui batas”.

21. Melampaui batas dengan melakukan syirik dan kufur dan menzalimi hamba-hamba yang lain.

22. “Beritahu kepadanya, adakah kamu suka untuk membersihkan diri kamu dari syirik”.

23. Untuk menyucikan kamu (Fira’uan) dari kesilapan dan kesalahan dan bertaubat dari kezaliman.

24. “Aku akan pimpin kamu untuk mengenali (sifat-sifat dan tindak-tanduk) Rabb kamu”.

25. Dengan mengetahui sifat dan af’al (perbuatan Allah), kamu akan rasa takut.

26. Di antara perkara yang dituntut oleh Fir’aun ialah bukti (kebenaran dakwaan Nabi Musa). Berlakulah dialog di antara Nabi Musa dan Fir’aun. Nabi Musa memperlihatkan kepada Fir’aun mukjizat.

27. “(Firau’n) telah mendustakan seruan Nabi Musa (kerana degil) dan menderhakai Allah taala (tidak mengikuti dan mematuhi apa yang diarah).

28. “Kemudian dia berpaling (dari majlis) Nabi Musa dan berusaha untuk melawan (Nabi Musa). Dia kumpulkan pegawai-pegawainya, lalu dia berseru kepada pembesar-pembesar yang mengikutinya, dan berkata, “Aku lah Rabb kamu yang tinggi”.

29. Natijah (di akhirat) dari perkataan ini ialah, “Lalu Allah terus azabnya di akhirat”.

30. “Hukuman di akhirat dan hukuman di dunia”, hukum di dunia ialah ditenggelamkan oleh Allah taala di laut,

31. “Sesungguhnya kisah yang berlaku pada Fira’un dan tenteranya adalah satu pengajaran besar, bagi orang yang ada sifat takut serta gerun pada Allah”.

32. (Sebagai dalil aqli) “Adakah kamu lebih sukar untuk dicipta berbanding langit”, Jawablah wahai manusia, adakah kamu atau langit yang lebih sukar untuk dicipta?

33. “Allah yang mencipta langit; Dia yang meninggikannya”.

34. Langit yang berada di atas kamu tidak ada satupun tempat yang retak, berlubang atau ada apa-apa kecacatan.

35. “Dan Dia yang menjadikan malam gelap gelita, dan Dialah yang menjadikan siang hari terang benderang”.

36. “Dan bumi, selepas pada itu Dia ratakan”.

37. “Dia telah keluarkan dari bumi, air dan rumput-rumput”.

38. “Dan gunung-ganang Dia pasakkannya”.

39. “(Semuanya) ini adalah untuk keperluan kamu, dan keperluan kepada binatang ternak kamu”. Untuk kamu guna sementara kamu berada di dunia ini.

40. “Maka apabila datang huru-hara kiamat”.

41. “Hari manusia akan benar-benar ingat apa yang dia telah buat di dunia”.

42. “Dan akan diperlihatkan neraka Jahim kepada sesiapa yang dapat melihatnya.”

43. “Dan adapun seseorang yang melampaui batas agama, rosak akidah dan amalnya; serta mengutamakan dunia (berbanding akhirat), maka amalannya akan rosak”.

44. Adapun orang yang melampaui batas di segi akidah dan mengutamakan dunia berbanding akhirat, maka natijahnya ialah “neraka Jahimlah tempat tinggalnya”. Semoga Allah taala lindungi kita.

45. “Adapun seorang yang sangat takut (di dunia ini) untuk berdiri mengadap tuhannya di hari pembalasan, (lalu kerana perasaam takutnya itu), dia menahan dirinya daripada mengikuti hawa nafsu”. Jiwa manusia ini ada yang jiwa mutmainnah, ada jiwa lawwamah, ammarah bissu’. Jika dia dapat menahan dirinya dari mengikut hawa nafsu kerana takut kepada Allah, “Maka syurgalah tempat tinggalnya”. Semoga Allah taala memilih kita.

46. “Mereka bertanya kepadamu tentang kiamat, bilakah akan berlaku kiamat?”

47. Allah ajarkan jawapannya,”Siapakah kamu sehingga (sanggup) tanya bilakah kiamat?”

48. Tidak ada pada kamu (wahai Muhammad) ilmu tentang bilakah akan terjadinya kiamat.

49. “Kepada Rabb kamulah kesudahannya ilmu tentang kiamat”.

50. “Tugasmu (Muhammad) hanyalah memberi peringatan tentang adanya hari kiamat kepada mereka yang takut akan kiamat”.

51. “(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah . merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja”.

52. Mereka merasa bahawa hidup di dunia ini hanya samada satu petang atau satu pagi sahaja, tidak sampai satu hari pun.

Leave a comment