VIDEO – [Durasi 16m 0s] -Surah No 87 – Al-A’laa – [Dgn Sarikata]-Maulana Hadi – 2018 – [Tafsir al-Quran (Ringkas)]
[ Tonton video di atas melalui saluran YouTube – https://youtu.be/YCiFj2sFE5Q ]
سورة الأعلى
بسم الله الرحمن الرحيم
سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى (1) الَّذِي خَلَقَ فَسَوَّى (2) وَالَّذِي قَدَّرَ فَهَدَى (3) وَالَّذِي أَخْرَجَ الْمَرْعَى (4) فَجَعَلَهُ غُثَاءً أَحْوَى (5) سَنُقْرِئُكَ فَلَا تَنْسَى (6) إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّهُ يَعْلَمُ الْجَهْرَ وَمَا يَخْفَى (7) وَنُيَسِّرُكَ لِلْيُسْرَى (8) فَذَكِّرْ إِنْ نَفَعَتِ الذِّكْرَى (9) سَيَذَّكَّرُ مَنْ يَخْشَى (10) وَيَتَجَنَّبُهَا الْأَشْقَى (11) الَّذِي يَصْلَى النَّارَ الْكُبْرَى (12) ثُمَّ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيَى (13) قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى (14) وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى (15) بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا (16) وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى (17) إِنَّ هَذَا لَفِي الصُّحُفِ الْأُولَى (18) صُحُفِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى (19)
TAFSIR SURAH AL-A’LAA
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.
(1) Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan), –
(2) Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya;
(3) Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya);
(4) Dan Yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak,
(5) Kemudian Ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering – (berubah warnanya) kehitam-hitaman.
(6) Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu – dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa,
(7) Kecuali apa yang dikehendaki Allah engkau lupakan; sesungguhnya Ia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), dan yang tersembunyi.
(8) Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) Agama yang mudah diterima oleh akal yang sihat.
(9) Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna);
(10) Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu;
(11) Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya,
(12) Dia lah orang yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar (azab seksanya),
(13) Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.
(14) Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh),
(15) Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk).
(16) (Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia;
(17) Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.
(18) Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam Kitab-kitab yang terdahulu, –
(19) Iaitu Kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.
[ Terjemahan Bahasa Malaysia dari http://www.surah.my/ dan mungkin ada sedikit perbezaan dengan terjemahan oleh Maulana Abd Hadi ]
===================================================
EKSTRAKS DARI TAFSIR RINGKAS (MAULANA ABD HADI)
===================================================
1. Dalam surah ini ada dua tajuk perbincangan, iaitu “tauhid” dan “tazhid minaddunia” (perkara-perkara yang bertentangan dengan akhirat)
2. Pegangan tauhid seseorang itu tidak mungkin kuat selagi dia masih terpedaya dengan dunia.
3. “Tauhid”, “akhirat” dan “sunnah” adalah gabungan yang tidak boleh dipisahkan.
4. “Tauhid dan syirik” dan “sunnah dan bid’ah” tidak boleh bergabung dan wujud dalam satu masa.
5. Apabila ianya “tauhid”, ianya adalah “sunnah”, dan ianya juga bermaksud “akhirat”.
6. Inilah asas al-Quran iaitu tauhid dan zuhud terhadap dunia.
7. Matlamatnya ialah supaya lahir dalam hati kita kurang minat kepada dunia kerana sudah terpikat dengan akhirat. Sekiranya tidak, maksud sebenar tauhid tidak tercapai.
8. Jika kita sentiasa memikirkan “dunia” dan “dunia” adalah segala-galanya, itu adalah petanda “tauhid” kita tidak bermakna (dan tidak berfungsi).
9. Apa guna kita tahu tentang Allah taala tetapi gagal untuk buat persediaan (ke akhirat)?
10. Kita ada Allah, tetapi tidak bergantung dan yakin kepadaNya; hakikatnya, maksud “tauhid” tidak tercapai.
11. Ayat-ayat ini mengingatkan kita supaya jangan menyia-nyiakan akhirat disebabkan kerana mengejar dunia.
12. “Dunia” boleh digunakan sebanyak-banyaknya tapi dengan syarat jangan terlepas (kelebihan) akhirat kerananya.
13. Perlu diingat bahawa ungkapan “tinggalkan dunia” bukannya bermaksud “kurang minat dengan dunia”.
14. Ayat-ayat al-Quran dalam surah ini berkisar sekitar “tauhid” dan “tazhid”.
15. “Hendaklah kamu sucikan nama Rabb kamu yang tinggi”.
16. “Baca” (sebut) kepada orang lain nama Rabb mu yang tinggi.
17. Bila kita bertasbih seorang diri, ianya adalah merupakan amalan peribadi kita. Tetapi bila kita “tasbih” (mendorong supaya bertasbih) kepada orang lain, ianya adalah “tabligh”.
18. Bila kita bersendirian hendaklah berzikir dengan sebut “subhanallah”, bila bersama orang lain kita anjurkan supaya mereka bertasbih kepada Allah (sambil menerangkan apa maksud “subhanallah”).
19. Nabi Muhammad sebagai nabi terkahir, mengajarkan umatnya supaya tidak hidup bersendirian.
20. Jika umat ini tidak mentablighkan wahyu, maka penyebaran agama akan terhenti.
21. Sebutan dan zikir “subhanallah” (Allah maha suci dari kelemahan), akan membantu kita menguatkan kembali keyakinan kita kepada Allah. Maha suci Allah dari lemah.
22. Zikir “subhanallah” hendaklah sentiasa di”talkin” kepada jiwa kita supaya kita sentiasa bergantung kepada Allah yang berkuasa.
23. Apabila sebutan “subhanallah” ini disampaikan kepada orang lain, ianya menjadi tabligh ke arah tauhid.
24. “Hendaklah kamu sucikan, berkat nama Rabb mu yang tinggi”.
25. “Dialah yang telah mencipta”, dan yang lain semuanya dicipta (makhluk).
26. “Dia telah sempurnakan ciptaanNya”; Dia tidak tinggalkan penciptaannya separuh jalan (kerana tidak mampu menyiapkannya) tetapi telah menyempurnakan penciptaannya keseluruhannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).
27. “Dan Dia yang mentakdirkan sesuatu”, dan Dia pimpin sesuatu yang ditakdirkan itu untuk tuju dan membuat pilihannya sendiri.
28. “Dialah yang mengeluarkan padang-padang untuk makanan haiwan”.
29. “Dialah yang menjadikan padang rumput itu kering dan lama kelamaan menjadi hitam”
30. Ini adalah bukti bahawa segala kejadian tidak terjadi dengan sendiri malah Allah yang jadikan.
31. Pekerjaan masyarakat Mekah dan Madinah (umumnya) adalah memelihara unta dan kambing. Apa yang disebut Allah dalam ayat ini ialah apa yang mereka tengok setiap hari dan perkara ini akan berterusan berlaku sampai bila-bila, selagi manusia memelihara unta, kambing dan lain-lain.
32. Setelah Allah beritahu cara untuk mensucikan Allah dan kudrat Allah taala, Allah meneruskan dengan ayat, “Kami akan sentiasa baca kepada kamu (Muhammad) al-Quran, supaya kamu tidak lupa akan wahyu yang akan dibaca”
33. “Kecuali apa yang Allah kehendaki”. Ada ayat dan kalimah-kalimah yang dihazafkan (disembunyikan), hanya Allah saja yang maha mengetahui.
34. Allah maha mengetahui, samada yang nyaring lantang (dizahirkan), dan apa yang tersembunyi.
35. “Daripada wahyu yang dibaca ini, Allah taala akan mudahkan kamu”.
36. Allah akan mudahkan kamu untuk memahaminya, menghayatinya (mengamalkannya), dan mentablighkannya (menyampaikannya).
37. “Perkara-perkara yang dimudahkan” iaitu “syariat” yang terkandung dalam wahyu.
38. Allah akan mudahkan kamu untuk memahaminya, menghayatinya dan mentablighkan perkara-perkara syariat.
39. “Syariat” disebut sebagai “Yusra” (mudah), kerana ia (syariat) adalah mudah dan tidak membebankan dan boleh sentiasa diamalkan.
40. Semua syariat Allah adalah mudah, contohnya, solat lima waktu dan puasa sebulan dalam setahun.
41. Pada orang bukan Islam, mereka menyangka orang Islam menzalimi diri sendiri, tidak makan dalam sebulan Ramadhan dan setiap hari terpaksa solat (walhal agama lain sembahyang hanya sekali seminggu).
42. Allah beritahu bahawa “syariat” ini adalah mudah dan memberi manfaat yang banyak.
43. Jiwa orang yang bersembahyang, lebih hebat dari jiwa orang yang tidak menunaikan sembahyang. Kepuasan (jiwa) orang yang sembahyang lebih dari orang yang tidak bersembahyang. Perkara ini dialami (dan difahami) hanya oleh orang yang menunaikan sembahyang.
44. Sebaliknya, jika amalan dibuat bercanggah dengan sunnah, ianya tidak lagi “yusra” malah ianya akan membebankan, menyeksakan dan (terasa dan nampak) zalim.
45. “Yusra” ialah syariat Allah yang sememangnya mudah (untuk diamalkan), kerana di dalamnya ada “roh” yang boleh dirasai oleh seseorang yang mengamalkannya.
46. Kita ada “maklumat” (tentang cara-cara bagaimana sesuatu ibadat dilaksanakan), tetapi agama ini bukannya “maklumat”, tetapi ianya adalah penghayatan dan “rasa”; “rasa” itulah agama, samada aqidah atau amalan-amalan.
47. Apabila agama dihayati, ianya terasa mudah untuk diamalkan. Ianya semakin lama semakin bertambah kualiti dan kuantitinya kerana di dalamnya ada sesuatu yang dipanggil “roh”.
48. ”Aisyah r.ha bertanya kepada nabi tatkala dilihatnya kaki nabi bengkak kerana kuat beribadat, “Tidakkah tuan telah dimaafkan dari dosa yang dahulu dan yang akan datang?” Nabi s.a.w menjawab, “Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”. Semuanya ini adalah kerana lazatnya rohani yang berhubung dengan Allah taala yang dirasai mereka (yang rapat dengan Allah). Fizikalnya nampak terseksa tetapi jiwanya merasa kemuncak ketenangan.
49. Apabila ianya (sesuatu syariat) ada dalam wahyu dan diamalkan, ianya adalah mudah
50. “Oleh itu berilah peringatan”.
51. “Sesungguhnya peringatan (dengan ajaran al-Quran, wahyu) itu akan sentiasa memberi faedah”.
52. Apabila diberi peringatan dari wahyu ini, manusia akan terpecah kepada dua golongan. (Satu golongan ialah), “Akan menjadi pengajaran kepada orang yang ada sifat takut kepada Allah”. (Dan golongan kedua), “Akan menjauhi pengajaran al-Quran ini orang-orang yang celaka”
53. “Orang-orang yang celaka ini akan masuk ke dalam neraka yang besar (azab seksanya)”.
64. Bila masuk neraka, dia tidak akan mati dan tidak akan hidup. Dia tidak akan mati (dan tidak akan hilang darinya kesusahan dan azab neraka), dan dia tidak akan hidup (iaitu hidup seperti orang lain yang rehat)
Semoga Allah lindungi kita (dari azab ini)
54. “Sesungguhnya kejayaan di dunia dan akhirat adalah bagi orang yang menyucikan jiwanya dari syirik dengan iman”.
55. Dalam tafsir disebutkan, “Berjayalah di dunia dan akhirat bagi orang yang menyucikan dirinya dari syirik dan dosa dengan iman”.
56. “Dia menyebut nama Rabbnya, lalu dia menunaikan solat”, untuk mewujudkan hubungan dengan Allah”.
57. “Bahkan kamu melebihkan kehidupan dunia berbanding akhirat”.
58. Tandanya, kamu cuai terhadap akhirat. Sekiranya, seseorang itu tidak cuai terhadap akhirat, ia tidak dikira sebagai “melebihkan” dunia (tetapi dikatakan “menggunakan” dunia). Selagi klta berada di atas muka bumi ini, kita akan sentiasa “menggunakan” dunia.
59. “Melebihkan” di sini tidak bermaksud kita ada lebih sesuatu dari keperluan, kerana sekiranya ianya bermaksud demikian, akan terbatallah ibadat “zakat”. Ini adalah kerana zakat ini adalah untuk orang yang ada harta yang lebih untuk diagihkan kepada orang yang tidak berharta.
60. Memiliki harta tidak bermakna ia melebihkan dunia.
61. Tetapi bila seseorang itu mencuaikan akhirat, barulah dia dimasukkan ke dalam golongan mereka yang mengutamakan dunia. Kamu telah abaikan perkara-perkara akhirat sehingga terdapat kecacatan dalam akhirat kamu. Selagi ianya tidak mencacatkan akhirat, ianya tidak dikira sebagai mementingkan dunia tetapi dimasukkan ke dalam golongan yang “menggunakan” dunia.
62. “Sedangkan akhirat itu adalah lebih baik (kualitinya)”, dan di segi kuantitinya lebih lama, tiada penghujung.
63. “Perkara-perkara yang disebutkan tadi ada dalam lembaran-lembaran (suhuf) dahulu”, iaitu, “Dalam suhuf Ibrahim (yang sepuluh itu) dan juga di dalam kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa”
